Ikuti Blog ini

Curtin mohon maaf iktiraf Rosmah wanita pertama


Universiti Curtin di Australia memohon maaf kerana merujuk kepada Datin Seri Rosmah Mansor sebagai wanita pertama Malaysia, apabila mengumumkan bahawa isteri perdana menteri itu akan dianugerahkan dengan ijazah Doktor Kehormat Persuratan.

NONEDalam satu kenyataan hari ini naib canselor universiti itu, Jeanette Hacket, berkata Curtin mengambil perhatian berhubung bidasan orang ramai atas pemberian ijazah berkenaan dan juga mengenai penggunaan istilah "wanita pertama".

"Kami juga mengakui penggunaan istilah ‘wanita pertama’ mungkin menyinggung sesetengah pihak dan kami memohon maaf mengenainya.

“Kami tidak lagi akan menggunakan istilah itu dan telah menerbitkan semula kenyataan media kami dengan perubahan yang dibuat itu," kata Hacket.

Kenyataan itu dipaparkan pada laman web rasmi universiti itu di Facebook. Sebelum ini, warga maya, khususnya dari Malaysia yang tidak berpuas hati telah membuat bantahan dan mencemuh Curtin.

Mengenai kritikan sama ada Rosmah layak dianugerahkan ijazah Doktor Kehormat Persuratan,  Hacket berkata bahawa universiti berkenaan tetap dengan pendirian mereka. -M'kini

Aziz Desa berhijrah ke Kelantan


KOTA BHARU, 16 Feb: Jarang orang tidak mengenali siapa Aziz Desa, seorang pengacara yang petah bercakap. Wajahnya sering dilihat di kaca-kaca televisyen. Malah masih lagi boleh disaksikan di TV9.

Namun agak mengejutkan apabila sekarang beliau berkhidmat di Kelantan Trade Centre (KTC), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO).

Sebelum menyertai TV9, Aziz pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Junid.

Semalam kenyataan medianya difaks kepada media-media tempatan bagi memaklumkan tugas barunya  di KTC.

“Atas sokongan rakan rakan fb, saya terima cabaran berkhidmat di Kota Bharu. Bermula semalam saya kini adalah ketua pegawai operasi (COO) Kelantan Trade Centre Hotel, Apartment & Convention Sdn Bhd.

“Saya juga masih dalam kontrak dengan TV9 dan akan bersiaran dari masa ke semasa apabila diperlukan. Dari langkawi ke Kota Bharu, selamat pagi, sekadar makluman pemberitahu,” katanya, dipetik dalam facebooknya.

Dalam kenyataan medianya semalam beliau berkata, KTC mensasarkan 76 acara bertaraf nasional dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK@12) tahun ini.

Katanya, selain inisiatif sendiri, penganjuran acara sempena TMK@12 akan dibuat dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, agensi kerajaan pusat dan swasta.

Kata beliau KTC mempunyai dewan pameran dan konvensyen seluas 1,200 meter persegi, boleh memuatkan 58 ruang niaga berukuran 3 x 3 meter dan menampung 1,500 tempat duduk.

Sasaran jumlah acara juga sempena memperingati 76 tahun pengisytiharan Bandar Kota Bharu oleh Sultan Muhammad ke-ll pada 1936.

“Antara program yang bakal diadakan Fiesta Kerana Kelapa, Karnival Budaya Iqra’, Fiesta Kanak-Kanak, Pameran Haiwan Peliharaan, Seminar Perubatan dan Rawatan al-Quran,” ujarnya.

Selain itu Pekan Batik, Ekspo Kraftangan, Fantasia Bulan Madu, Ekspo Pengantin Muslim, Ekspo Wakaf Che Yeh, Apresiasi Filem Ketuhanan dan Kemanusiaan dan Karnival Pelancongan Budjet juga akan diperkenalkan.

Ruang niaga yang masih berbaki ditawar kepada sesiapa yang berminat. Maklumat lanjut boleh hubungi talian 09-7471222. -Hrkh

Hebatt..Gambar-gambar Rumah Rasulullah..

"Diriwayatkan dari Anas ra dia berkata, “saya masuk ke rumah Rasulullah SAW, waktu itu baginda sedang tiduran di ranjang dengan mengenakan selimut. Di atas kepalanya bantal yang terbuat dari kulit yang diisi serabut. Lalu, seorang sahabat masuk ke kamarnya yang diikuti oleh Umar. Rasulullah SAW membalikkan badannya sehingga Umar melihat baju Rasulullah SAW tersingkap antara punggung dan seprei , lantas ia melihat ada bekas-bekas pada punggung Rasulullah SAW. Umar menangis.
Lalu, Rasulullah SAW bertanya kepadanya, “apakah yang membuat kamu menangis?”

Umar menjawab , “demi Allah, saya menangis setelah mengetahui bahawa engkau lebih mulia dari raja-raja dan kaisar. Mereka hidup sesuai dengan kemahuan di dunia (mewah dan kaya). Sementara engkau adalah Rasulullah(utusan Allah). Seperti yang saya lihat, engkau tidur di tempat seperti ini (sangat sederhana).”

Rasulullah SAW lalu bertanya, “bukankah kamu suka kalau mereka mendapat kesenangan dunia sementara kita mendapat kesenangan akhirat?”.

Umar menjawab, “ tentu, wahai Rasul.”. Kemudian Rasulullah SAW berkata lagi, “ Memang demikianlah adanya.” -(HADIS RIWAYAT AHMAD)-

Nabi kita adalah kekasih ALLAH, namun tak pernah punya rumah besar, apa yang ada cuma sebuah rumah yang terbahagi kepada ruang solat, ruang tamu, kamar Saidatina Fatimah Az-Zahra iaitu puteri bongsu baginda dan kamar Rasulullah sendiri.

Sementara rumah itu pula hanya beratap pelepah daun kurma bagi menghalang cahaya matahari daripada menembusi ruang dalam rumah. itu lah gambaran Rasulullah SAW yang dapat "tukanglawan" cari.

Dibawah ini adalah gambar replika binaan semula rumah berkenaan untuk renungan kita.

Diriwayatkan dari Aisyah ra, dia berkata, “Rasulullah SAW menghamparkan sebahagian tikar diwaktu malam dan baginda solat di atasnya. Baginda pun menghamparkan tikar itu disiang hari untuk tempat orang-orang duduk” -(HADIS RIWAYAT AL-BUKHARI DAN AL-BAIHAQI)-


Dibawah ini pula kesan-kesan runtuhan rumah Baginda


Di atas ini gambar sisa runtuhan rumah Nabi Saw & Sayyidah Khadijah as yang dilihat lebih dekat.

.Gambar di atas ini adalah runtuhan pintu masuk ke kamar Rasul Saw di rumah Sayyidah Khadijah as


.Di atas ini adalah Gambar runtuhan tempat Sayyidah Fatimah as, puteri kesayangan Rasulullah Saw dilahirkan.
.
Gambar di atas adalah sisa runtuhan kamar Rasul Saw dan Sayyidah Khadijah as.


.
Di atas ini adalah gambar runtuhan mihrab tempat Rasulullah saw bersolat.


Jikalau nak dibandingkan dengan rumah umat2nya sekarang…jauh berbeza sangat, dan kadang-kala rumah yang dibina itu bukan sekadar tempat berteduh, mungkin tidak salah miliki rumah besar yang selesa untuk keluarga, rumah yang besar dijadikan aras tanda kedudukan, lebih malang lagi ia jadi tanda bermegah-megah.

Moga kita hidup dalam kesederhanaa, miliki rumah besar itu tak salah, tapi biar berpada-pada, kerana masih ada insan yang duduk dibawah jambatan, apakah anda pernah terfikir untuk membantu mereka.

Gadai Aqidah: Ramai Terkejut Mufti Perak, Harussani Buat Pusingan U


Thaipusam: Najib tak langgar hukum syarak, kata Harussani

BANGI - Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini tidak menyalahi hukum syarak, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau berkata sebagai seorang pemimpin tidak salah untuk Perdana Menteri bersama-sama dengan bangsa lain dalam perkara yang berkaitan dengan adat.

"Sekiranya tiada niat untuk merayakan atau redha dengan perbuatan agama lain tidak mengapa tetapi kalau sama-sama merayakan baru tidak boleh," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Profesionalisme Penceramah Agama Umno
Bahagian Pekan 2012 oleh Perdana Menteri di sini hari ini.

Dipetik Bernama hari ini, Harussani yang hadir pada seminar itu berkata, Perdana Menteri memaklumkan kepadanya bahawa beliau hanya berada di dewan untuk menerangkan polisi kerajaan dan tidak terbabit dengan perarakan keagamaan dan tidak masuk ke dalam kuil atau dalam gua Batu Caves.

Mufti Perak itu sebelum ini dipetik sebagai berkata orang Islam yang merestui dan turut serta dalam upacara keagamaan lain melakukan perbuatan syirik.

Mengenai Najib yang memakai Kurta iaitu pakaian tradisional kaum India pada sambutan itu, beliau berkata, ia hanya budaya sahaja kerana orang Islam di India pun memakai pakaian yang sama.

Oleh yang demikian, Mufti Perak itu menasihatkan pihak yang cuba memutarbelitkan isu kehadiran Najib pada sambutan Thaipusam itu supaya menghentikannya kerana mereka membuat tuduhan tanpa usul periksa sehingga boleh
menjadi fitnah.

"Masalahnya dalam keadaan sekarang orang Melayu berpecah, masing-masing mencari peluang untuk menghentam orang lain terutamanya menghentam sesama bangsa, pantang silap sikit.

"Saya harap semua orang kita (Melayu) balik pada asal, balik pada musyawarah... soal politik berbeza itu bukan menjadi masalah," katanya.

Sebaliknya, Harussani lebih kecewa dengan tindakan Pas di Perak semasa majlis sambutan Thaipusam dengan mengadakan gerai dan khemah serta mengibarkan bendera Pas seolah-olah menyokong dan redha dengan orang yang melakukan kufur. -SH

LAPORAN KENYATAAN MUFTI PERAK, HARUSSANI ZAKARIA SEBELUM INI


Najib ‘gadai akidah’ hadir upacara Thaipusam di Batu Caves, tegas Harussani

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang “menggadai akidah” apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.

Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.

“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,”
katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.

“Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.

Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.

Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.

“Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan kufur yang boleh merosakkan akidah.

“Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan.
-TMI

Israel : DS Anwar Dijangka Jumpa Tok Guru Nik Aziz Minggu Ini


Gamba fail
SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebaik sahaja beliau pulang ke tanah air bagi menjelaskan kenyataan berhubung isu Israel-Palestin dalam akhbar Wall Street Journal (WSJ).

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, pertemuan itu yang dijangka selewatnya minggu ini perlu melihat kepada kelapangan masa Nik Aziz.Katanya, pertemuan itu dijangka berlangsung dalam keadaan baik meskipun perkara ini sengaja diperbesarkan oleh media kerajaan.

“Kami telah meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulama Pas dan menghormati pandangan mereka. Walaupun Anwar kini berada di luar negara, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz bagi menjawab isu tersebut setelah pulang ke tanah air.

“Namun bila dan di mana pertemuan itu berlangsung bergantung pada surat dari pejabat Menteri Besar,” katanya mengulas gesaan Nik Aziz yang mahu Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, menarik balik kenyataannya yang disiarkan dalam WSJ.

Laporan Sinar Harian hari ini memetik sumber dalaman PKR berkata, Anwar dijadual bertemu Nik Aziz dalam masa terdekat ini bagimenjawab isu berkenaan.Anwar dalam wawancaranya dengan WSJ dilaporkan berkata beliau menyokong usaha menjaga keselamatan Israel.

Pada masa yang sama, pada wawancara itu, Anwar turut menegaskan bahawa kepentingan sah rakyat Palestin juga mesti dilindungi.

Kenyataannya itu mengundang rasa tidak senang pelbagai pihak termasuk Majlis Syura Ulama Pas yang juga selari dengan pendirian parti itu supaya tidak mengiktiraf negara Israel dan mahu Anwar menarik balik kenyataannya itu ataupun menyaman majalah itu jika laporan berkenaan adalah tidak benar.SH

Kegagalan DEB: UMNO BN Tak Pandang Serius Teguran Raja Muda Perak

DEB Gagal: Teguran Istana Takkan Dipeduli Umno/BN

SHAH ALAM : Kerajaan Umno/BN tidak akan sesekali beri perhatian terhadap sebarang teguran untuk penambaikkan pentadbirannya biarpun teguran tersebut datangnya dari orang kuat istana, ujar Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Idris Ahmad.

Semalam, Raja Muda Negeri Perak, Raja Dr Nazrin Shah menegur kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai sasaran kerana kemungkinan terdapat penyelewengan di peringkat perlaksanaanya.

"Saya sifatkan teguran itu sangat bertepatan. Orang politik sudah lama tegur, Ketua Audit juga selalu dan sekarang orang istana pula yang memberi teguran kepada kerajaan.

"Kita berharap dengan teguran ini dapat membawa penambahbaikkan dalam perlaksanaan dasar kerajaan," tegas Idris yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Bagaimanapun beliau meragui teguran ini akan diberi perhatian ekoran segala teguran yang berlandaskan fakta dan angka sekalipun tidak pernah diperduli oleh Umno/BN malah segala teguran itu sering diperlekehkan mereka.

"Sebaliknya kita memerlukan transformasi politik dan juga perubahan sikap di kalangan kepimpinan negara.

"Sebagai contoh pemimpin Pakatan Rakyat telah terbukti dan teruji mentadbir negeri yang diperintah dengan baik," ujar Idris yang turut menjelaskan Pakatan berjaya mentadbir walaupun terdapat kekangan sumber kewangan daripada Kerajaan Pusat.

Idris turut bersetuju dengan kenyataan Raja Dr Nazrin bahawa kegagalan DEB merupakan kesan daripada pemimpin yang tidak amanah mentadbir dana yang seharusnya disalurkan untuk kebaikan dan keuntungan rakyat.

Katanya selain amalan rasuah, amalan kronisme, sogokan dan salah guna kuasa telah menjadi budaya dikalangan pemimpin dan pentadbiran Umno/BN sehingga tidak lagi mampu dibendung.

"Sejak dari RMK1 hingga ke RMK10, kerajaan sudah memperuntukkan kira-kira RM 1.2 trillion dan setiap RMK diberi dana besar untuk membela rakyat yang susah yang kebetulan majoritinya Melayu.

"Malangnya DEB sentiasa gagal akibat pemimpin yang korup. Mereka hanya ingat rakyat menjelang PRU dan selepas menang mereka lupa rakyat dan berpaling mengutamakan kroni-kroni mereka," jelas Idris kesal.

Bagaimanapun, Idris yakin rakyat kini sudah mampu memilih antara pentadbiran yang telus membela rakyat dan kerajaan yang hanya bekerja mengikis harta dan khazanah milik rakyat.

"Kita lihat sahaja negeri Kelantan yang mana pada tahun 1990 berada di tangga ke-dua kedudukan negeri termiskin. Namun kini Kelantan sudah menurun kedudukannya dan menduduki tangga ke-enam.

"Sebaliknya Sabah menduduki tangga teratas diikuti Terengganu walaupun kedua-dua negeri pentadbiran Umno/BN ini kaya dengan sumber hasil bumi petroleumnya," akhiri Idris. -tvsnews



Raja Nazrin: 'DEB tidak berdosa, berdosa pelaksana'


KUALA LUMPUR - Raja Muda Perak Dr Raja Nazrin Shah menyelar sesetengah pihak yang tidak amanah dalam menjalankan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehingga dasar yang baik itu gagal mencapai matlamatnya untuk membantu orang Melayu dan umat Islam.

Baginda bertitah akibat dari sikap itu, matlamat mahu mengimbangkan agihan ekuiti dalam kalangan ummah gagal dicapai dan dasar murni yang diwujudkan kerajaan itu pula dipersalahkan.

"Sedarilah, dasar tersebut tidak berdosa dan tidak pernah melakukan dosa,

yang berdosa adalah di kalangan mereka yang telah melakukan pelbagai penyelewengan di peringkat pelaksanaan. Akibatnya berlaku kerapuhan pegangan hak milik terutama di kalangan individu Melayu, lalu berlaku ketirisan hak milik harta dan ketirisan hak milik urus niaga bernilai tinggi," titah baginda semasa merasmikan Seminar Wakaf: Penjana Pembangunan di Bank Negara Malaysia di sini.

Menurut Raja Nazrin, kajian menunjukkan bahawa hanya enam peratus daripada kekayaan individu Melayu yang sempat sampai ke generasi ketiga dan hanya dua peratus sahaja disambungkan ke generasi seterusnya.

"Pola daya tahan pemilikan ekuiti di kalangan individu yang begitu sementara sifatnya akan memberi impak negatif dalam jangka panjang dan boleh menyebabkan ummah menerima nasib berdagang di bumi sendiri," titah baginda.
Baginda mengesyorkan satu mekanisme yang lebih berkesan perlu ada untuk memberi jaminan bahawa semua pegangan ekuiti Melayu Islam ini tidak begitu cepat terhakis.

Raja Nazrin turut melahirkan rasa kesal kerana ada individu yang bersifat "pagar memakan padi" yang telah menyebabkan beberapa institusi yang diwujudkan kerajaan untuk menjaga kepentingan ummah menghadapi masalah hingga muflis atau terpaksa diselamatkan oleh pemerintah.

"Konsep wakaf korporat difikirkan sebagai satu alternatif yang berpotensi menggantikan kaedah sedia ada. Konsep yang sedang dirintis ini menyuntik pendekatan arus niaga bersandarkan roh Islam... berpegang kepada konsep iman dan
takwa," titah baginda.

Idea wakaf korporat sudah pun tercetus sejak dari beberapa tahun lepas dan pada zaman dahulu ia berperanan sebagai sumber kekuatan ekonomi ummah sehingga ummah tidak perlu terlalu bergantung kepada dana kerajaan sehinggalah akhirnya ia berkubur akibat manipulasi penjajah, titah baginda.

Konsep ini telah dibuktikan kejayaannya di negara ini melalui penubuhan Waqaf An Nur Corporation yang ditubuhkan pada 3 Ogos 2006 yang boleh dijadikan rujukan untuk diterima pakai di peringkat lebih luas.

Menurut Baginda, bagi membolehkan konsep ini berjaya, idea itu perlu diangkat untuk pertimbangan di Persidangan Majlis Raja-Raja, selain mendapat sokongan ulama serta mendapatkan persefahaman di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri manakala individu yang dipilih memegang amanah nanti terdiri daripada mereka yang menghayati semangat Fisabilillah.
- Bernama

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .