Ikuti Blog ini

Siapakah menteri rogol amahnya?

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Soalan siapakah menteri yang terlibat merogol seorang pembantu rumah Indonesianya kini menjadi persoalan paling hangat diperkatakan ekoran pendedahan kembali isu ini oleh WikiLeaks.

Laporan awal Harakahdaily mengenai hal ini telah menjadi berita paling hangat dan paling ramai dibaca oleh pelayar Harakahdaily.

Dalam laporan itu, Harakahdaily melaporkan kembali tulisan pemimpin akhbar pro BN, Rocky Bru atau nama sebenarnya Ahirudin Atan dalam blognya mengenai peristiwa seorang menteri merogol pembantu rumahnya pada tahun 2007 lalu.

Namun menteri berkenaan selamat walaupun laporan mengenainya sampai ke Kedutaan Indonesia, Kedutaan Amerika bahkan juga ke pejabat Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Badawi.

Semalam, NGO Tenaganita menyiarkan kembali satu kenyataan akhbar yang pernah dibuat oleh Migrant Care, sebuah badan kebajikan pekerja Indonesia yang mengesahkan kejadian yang berlaku pada tahun 2007 itu.

Kenyataan yang ditandatangani oleh Wahyu Susilo (Policy Analyst), Anis Hidayah (Executive Director) dan Alex Ong (Country Director) dibuat pada 1 Ogos 2007.

Dalam kenyataan akhbar itu, Migrant Care berkata, pembantu rumah Indionesia itu bernama Robengah dan ketika itu dia berada di bawah penyeliaan Migrant Care.

Dalam kenyataan itu juga, Migrant Care menamakan RELA sebagai salah satu badan yang sangat dimarahi oleh warga Indonesia walaupun Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan diplomatik yang sangat baik.

Satu blog popular, Tukartiup juga kini memainkan sentimen siapakah perogol bertaraf menteri itu?

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan, menteri berkenaan telah bersara namun menurut maklumat terbaru, dia masih berada dalam kebinet kerajaan Malaysia sekarang.

Sementara itu, Country Director Migrant Care, Alex Ong (gambar) ketika dihubungi Harakahdaily hari ini mengesahkan kejadian itu.

"Beliau dirogol pada 19 Februari 2007 di Kuala Lumpur. Kemudiannya dihantar balik ke Indonesia pada 20 Februari 2007," kata Alex kepada Harakahdaily.

Selepas mendapat maklumat dari orang ramai, kata Alex, Migrant Care telah menjejak mangsa ini ke kampungnya yang terletak di Banjar Negara, Jawa Tengah.

"Dua kakitangan kami telah menemui dan mewawancara beliau pada 23 Julai 2007 di Banjarnegara," kata Alex lagi. Migrant Care kemudiannya telah mengeluarkan kenyataan media pada 1 Ogos 2007.

Ketika ditanya, apa berlaku selepas itu, Alex memberitahu, tindakan susulan tidak boleh diambil kerana wanita berkenaan tidak mahu diganggu kerana tidak mahu malu dan juga akibat dari ketakutan.

"Dia telah diminta bersumpah untuk tidak memecahkan rahsia itu jika tidak akan disumpah tiga keturunan," cerita Alex kepada Harakahdaily.

(Gambar perpustakaan: Alex (tengah) bersama Che Ishak (kanan) dan Taufek ketika berbincang bagi membawa pulang Azreen dari Lombok, Indonesia)

Sebelum ini, Migrant Care pernah membantu Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa dan Adun Paroi, Taufek Abdul Ghani untuk membawa pulang Azreen Che Ishak dari Kampung Hulu Sawah, Rantau, Negeri Sembilan yang dibawa lari pemuda Indonesia ke Lombok, Indonesia.

Husam membantu keluarga Che Ishak yang berasal dari Kelantan itu melalui NGO yang dipimpinnya ketika itu, Kijang Care.

Lagi Bas 2 Tingkat Terbalik

2 parah, lapan cedera di Jalan Raub-Bentong

RAUB: Sebuah lagi bas dua tingkat terbalik, kejadian kedua dalam tempoh seminggu menyebabkan lapan cedera, termasuk dua parah dalam kemalangan di Kilometer 363 Jalan Raub-Bentong awal pagi semalam.

Kejadian jam 5.20 pagi itu membabitkan bas milik Mahligai Ekspres dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Klang, berlaku kira-kira 500 meter dari sempadan Raub-Bentong.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Shamsudin Wan Osman, berkata dua penumpang yang cedera parah masing-masing dimasukkan ke Hospital Raub dan Hospital Temerloh, manakala enam lagi diberi rawatan pesakit luar.

"Seorang penumpang lelaki berusia 40-an patah tulang rusuk dan cedera di kepala, manakala seorang penumpang wanita berusia 30-an cedera di perut.

"Enam lagi penumpang yang cedera dibenar meneruskan perjalanan selepas menerima rawatan," katanya dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan tidak menolak kemungkinan kemalangan itu berlaku akibat kecuaian pemandu kerana ia berlaku di jalan yang lurus dan cuaca baik.

Wan Shamsudin berkata, siasatan mendapati bas berkenaan yang baru sebulan digunakan membawa 42 penumpang, bertolak dari Kota Bharu pada kira-kira jam 9.30 malam.

"Ujian air kencing mendapati pemandu berusia 46 tahun terbabit negatif dadah, tetapi siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Katanya, sebelum kejadian itu tiga penumpang bas terbabit ditahan dalam sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Benta pada kira-kira jam 4 pagi.

Katanya, tiga penumpang terbabit didapati positif dadah selepas dijalankan ujian air kencing. -BH

Speaker Parlimen Malaysia ibarat pagar makan padi

Minggu lepas saya menulis mengenai perlembagaan yang lumpuh. Sebelum itu saya menulis tentang perlembagaan tidak diisi. Saya katakan kedua-duanya sama saja kerana dalam kedua-dua senario itu, perlembagaan tidak efektif dan oleh kerana itu timbullah suasana kelam kabut.

Kita semua maklum di mana-mana pun suasana kelam-kabut itu timbul kerana dua sebab; sama ada tidak ada peraturan atau kerana peraturan tidak diikut atau tidak dihormati. Macam keadaan di jalan raya dan lebuh raya kita.

Berbalik perlembagaan ia adalah undang-undang utama yang juga undang-undang tertinggi. Undang-undang menjadi penanda aras untuk semua; baik kerajaan, Parlimen atau rakyat atau siapa saja.

Meskipun begitu perlembagaan hanyalah sebuah dokumen. Ia bukan sebuah lampu ajaib sebagaimana dimiliki Aladin. Ini bermakna untuk menghidupkan segala peraturan dan nilai yang terkandung di dalam perlembagaan itu kita semua perlu komited dengannya. Perlembagaan Persekutuan, melalui Seksyen 1 Jadual Keenam mewajibkan hakim-hakim berikrar untuk “memelihara, melindungi dan mempertahankan” perlembagaan. Anggota Kabinet dan Ahli-ahli Parlimen juga diminta berbuat demikian.

Prosiding di Parlimen telah pun diatur oleh Perlembagaan. Sama ada secara langsung melalui peruntukan di bawahnya atau melalui Perintah Tetap yang dibuat Parlimen atas autoriti Perlembagaan. Jika begitu mengapa berlaku kekecohan berlaku di Parlimen selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim digantung pada 2 Disember lalu?

Sudah pasti di sana ada peruntukan atau amalan yang telah termaktub sekian lama dilanggar atau tidak dipedulikan. Pihak Barisan Nasional (BN) menyebut kuasa mutlak speaker. Mereka begitu emosional sehingga Datuk Seri Nazri Aziz sampai ke tahap memperbodohkan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat khususnya Karpal Singh yang mewakili Anwar.

Memang kuasa speaker, sebagaimana juga prosiding dalam dewan, tidak boleh dibawa ke mahkamah. Tetapi yang jadi masalah di sini ialah apa yang berlaku di Perak: mahkamah memutuskan prosiding dalam Dewan dan kuasa speaker boleh dibawa ke mahkamah. Alasan yang diberikan ketika itu ialah perlembagaan ialah undang-undang tertinggi dan dewan berada di bawah perlembagaan.

Tafsiran yang betul ialah mahkamah tidak boleh campur urusan Dewan kerana itulah yang disebut oleh Perlembagaan. Dan undang-undang ini sebenarnya telah pun dipakai mahkamah sebelum berlaku krisis politik di Perak pada 2009. Sebagaimana dalam soal kedudukan menteri besar, mahkamah dengan tiba-tiba memberi tafsiran baru yang menyebabkan undang-undang kita jadi tunggang-langgang. Suka saya menyebut di seluruh Komanwel, termasuk di Amerika Syarikat, undang-undang yang betul ialah Dewan mempunyai kedudukan dan autonomi yang tidak diganggu oleh mahkamah. Betul atau tidak keputusan itu mahkamah tidak akan campur.

BN cuba membawa balik undang-undang asal. Malam Selasa lepas Nazri muncul dalam televisyen untuk menghujah kedudukan itu. Saya tidak pasti apa yang Barisan akan buat selepas ini kiranya isu kerusi BN yang terbatal dalam DUN Kedah – yang juga menyentuh kuasa speaker – timbul lagi.

Di negara-negara maju seperti United Kingdom soal-soal seperti kuasa speaker ini tidak jadi isu. Semua orang terima dan hormat. Hanya negara-negara seperti Malaysia sahaja orang bergaduh tentang kuasa speaker. Dan sebelum ini kita sudah menyaksikan begitu ramai Ahli Parlimen digantung: Fan Yew Teng, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Fong Po Kuan dan Gobind Singh. Cuma apabila yang terkena itu Zambry, lain pula undang-undangnya. Tetapi apabila yang terkena Anwar, Karpal, Sivarasa dan Azmin kita diminta menerima undang-undang asal.

Di negara-negara parlimennya bertaraf dunia apa dibincangkan ialah apakah benar Apco yang dikatakan ada hubungan dengan regim Yahudi itu benar-benar mempunyai peranan dalam pembentukan slogan 1Malaysia? Untuk itu Anwar perlu diberi ruang untuk mengemukakan bukti yang ada padanya. Kita perlu ingat, dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan memerintah adalah milik Dewan. Dengan itu ia perlu menjawab soalan Dewan. Sebab itu adalah salah bagi Dewan menafikan ruang untuk Anwar bercakap.

Dari segi politik penafian itu menggambarkan yang BN tidak berani berhadapan dengan kenyataan. Dan ini pelik kerana Barisan masih mempunyai majoriti dalam Dewan. Kalau apa yang dikatakan Anwar itu benar sekalipun apa yang BN hendak takutkan? Dalam sistem kita majoriti adalah segala-galanya.

* Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 21 tahun

Kelantan belanja RM80 juta bantu SAR

SHAH ALAM, 27 Dis: Kerajaan Negeri Kelantan telah membelanjakan lebih RM80 juta untuk membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri itu selama 20 tahun memerintah, tegas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Kerajaan Negeri Kelantan itu lberkata, semua sumbangan dan bantuan itu dapat dijayakan di dalam keadaan kerajaan negeri tidak banyak duit.

"Jika Kerajaan Kelantan mempunyai banyak wang seperti Kerajaan Selangor, sudah pasti banyak perkara dapat dilakukan," tegasnya semalam selepas berucap di atas tajuk Pembentukan Dasar dan Perlaksanaan Program Pendidikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat: Ke Arah Membangun Masyarakat Adil dan Sejahtera.

Beliau berucap demikian ketika bersama membentangkan ucapan pleno dalam Konvensyen Pendidikan Islam Malaysia 2010 anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan pembangunan Modal Insan Selangor dengan kerjasama Lajnah Pendidikan PAS Pusat (LPPS).

Konvensyen bertema Membangun Gagasan Baru Pendidikan Islam Malaysia itu dirasmikan oleh Pengerusi LPPS, Datuk Abu Bakar Chik merangkap penasihat program selepas menyampaikan ucaptama.

Turut menyampaikan pandangan ketika membentangkan kertas kerja adalah Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Hajah Halimah Ali dan Ketua Pengarah PASTI Malaysia yang juga pengarah program, Cikgu Azrin Abdul Majid.

Nik Amar turut menjawab soalan peserta yang ingin tahu mengenai pengiktirafan kerajaan negeri terhadap lulusan Sekolah Rendah Islam (SRI) yang dikatakan gagal diterima masuk ke sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) termasuk Maahad Muhammadi.

Menurutnya, kemasukan ke sekolah terkawal seperti Maahad Muhammadi terikat dengan keputusan peperiksaan UPSR dengan mendapat 4A 1B yang menjadi ukurannya dan mereka yang mempunyai kelulusan baik di dalam peperiksaan SRI mendapat bonus kemasukan.

"UPSR menjadi ukuran kerana ia bersistematik walaupun kita tidak suka kepada semua itu tetapi itulah sukatan yang terbaik setakat ini sedangkan peperiksaan SRI pula masih tidak mencapai tahap terbaik sebab tidak seragam antara semua SRI.

"Justeru, saya sarankan pihak SRI di seluruh negara dapat selaraskan semua silibus dan tahap peperiksaan mereka biar selaras agar senang mana-mana pihak untuk iktiraf lulusan dari SRI.

"Tidak timbul langsung masalah enggan memberikan pengiktirafan kepada lulusan SRI namun jika SRI dapat sistematikkan tahap pepeiksaan mereka, ia pasti akan menjadi penentu kemasukan ke mana-mana sekolah YIK termasuk Maahad Muhammadi," tegasnya.

Penanya soalan menyatakan anaknya yang kini dapat bersekolah di bawah YIK juga mendapat keputusan 3A dalam UPSR, Mohd Amar berkata, memang tidak cukup syarat dan ternyata kini dapat juga bersekolah di bawah YIK.

Sebelum ini, isu di atas menjadi rungutan agak meluas di dalam internet tentang rungutan ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan pendekatan pihak pendidikan Kerajaan Negeri Kelantan yang disifatkan tidak memberikan peluang lebih besar kepada lulusan SRI sedangkan sudah 20 tahun memerintah. -Hrkh

Presiden lancar Majlis Perwakilan PAS Luar Negara

MANCHESTER : PAS mengorak satu lagi langkah ke hadapan dengan melancarkan PAS Representative Council of UK & Eire (Majlis Perwakilan PAS Luar Negara) di Manchester Conference Center, Manchester, United Kingdom (UK) oleh Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, semalam.

Majlis ini turut dihadiri oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi PAS Representative Council of UK & Eire, Jupri Bade dan rakyat Malaysia di United Kingdom.

Majlis Perwakilan ini dianggotai oleh para teknokrat dan profesional Malaysia di UK dan Ireland bagi meneruskan dakwah Islam buat semua rakyat Malaysia di seluruh dunia amnya dan di bumi United Kingdom dan Ireland umumnya.

“Sebagaimana kita mengamalkan demokrasi di Malaysia, kita juga mengamalkan demokrasi di UK. Malah rakyat Malaysia di UK dan Ireland boleh belajar daripada keterbukaan demokrasi di UK yang sebenarnya dipelajari dan dikaji daripada sistem Islam itu sendiri.

“Masyarakat Eropah sebelum kedatangan Islam, tidak mengenali sistem demokrasi seperti yang ada pada hari ini, dan hanya mengenalinya selepas mengenali keadilan Islam kepada semua,” kata Tuan Guru Abdul Hadi pada majlis itu.

Di dalam kenyataannya pada majlis pelancaran tersebut, Jupri Bade yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan yang pertama menyebutkan bahawa keanggotaan majlis hanya dilantik secara terus oleh PAS, bagi mewakili dan meneruskan visi dan misi PAS dalam memperjuangkan dan menegakkan Islam. -Hrkh


Ali Rustam Mahu Buat Apa Lagi Dengan RM2 Bilion?

Negeri sudah Maju 2010 namun masih perlukan RM2 bilion. Untuk apa semua ini? Semua ini adalah untuk menunjuk-nunjuk serta untuk pembaziran yang dilakukan secara bermaharajalela oleh kerajaan pimpinan Ali Rustam selaku Ketua Menteri.

RM2 bilion tersebut diperlukan oleh kerajaan Melaka untuk meraih serta muncul sebagai negeri bandar pertama di negara Malaysia. Mengapa perlu dikejar negeri bandar pertama sedangkan rakyat negeri Melaka pun tidak seperti sebuah negeri maju bahkan semakin banyak kemiskinan yang melanda rakyat Melaka akibat kerakusan kerajaan Ali Rustam.

Bagi menjadi sebuah negeri bandar pertama yang menelan kos RM2 bilion tersebut, ia membabitkan pembinaan empat jejambat persimpangan bertingkat antara Ayer Keroh ke pusat bandar yang melibatkan kos sehingga RM40juta.

Ia turut membabitkan pembinaan jalan empat lorong yang menghubungkan negeri Melaka dengan Johor dan Negeri Sembilan. Jalan yang dikenal pasti adalah jalan pantai yang akan menghubungkan Banda Hilir, Ayer Kroh-Durian Tunggal-Batang Melaka, Bemban-Jasin-Tangkak, Kandang-Jasin-Selandar dan Muar-Linggi.

Piala AFF Suzuki Malaysia Menang 3-0

Piala Suzuki AFF: Malaysia kalahkan Indonesia 3-0


KUALA LUMPUR: Malaysia menang selesa 3-0 ke atas Indonesia pada final pertama Piala Suzuki AFF, di Stadium Nasional Bukit Jalil, selepas wisel dibunyikan tanda tamat permainan malam ini.

Gol Malaysia diperoleh menerusi Safee Sali pada minit ke-60 dan 72, manakala Asaari Shamsudin pada minit ke-67.


Skuad negara akan bertandang ke Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta Rabu ini untuk final kedua.

Dengan kemenangan itu, Malaysia semakin hampir mendakap Piala Suzuki AFF dengan berbekalkan tiga gol di Indonesia nanti.

Perlawanan agak seimbang pada separuh masa pertama tetapi beberapa peluang Malaysia untuk mendahului tidak dapat disempurnakan.

Masuk separuh masa kedua, Malaysia menggandakan asakan dan pada minit ke-50 pengadil terpaksa menangguhkan perlawanan hampir 10 minit berikutan tindakan penonton memancarkan cahaya laser ke arah pemain.






Najib buat Faekah Husin rasa geli

KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri (PM) bahawa slogan 1Malaysia bukan alat propaganda politik BN tetapi wadah penyatuan membina masyarakat amat menggelikan hati, kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin
Beliau berkata, sebaiknya PM (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengarahkan syarikat yang membolot kontrak mencetak kain rentang dan banting slogan ini menarik balik semula kain rentang dan banting yang telah mereka cetak dan pasang.

Jika tidak, katanya ia akan menunjukkan PM menipu dalam terang.
“Rakyat melihat dengan jelas bagaimana lambang BN terpapar pada setiap banting yang dipasang.
“Gambar PM yang jauh lebih besar dari jalur gemilang juga menjengkelkan mata.
“Nasihat saya baik tarik semula sebelum diketawakan anak-anak.
“Apapun, isu yang lebih penting yang PM atau TPM harus jelaskan kepada rakyat ialah; jika benar ia adalah alat penyatuan dan bukan propaganda UMNO-BN mengapa perkara ini tidak pernah dibincang dan dibahaskan dalam parlimen?
“Mengapa ia tidak dimasukkan di dalam bajet Negara sedangkan bayaran bagi menghasilkan slogan “indah” ini mencecah RM100 juta.
“Mengapa hanya setelah Ketua Pembangkang membangkitkan perkara ini dengan kaitan kepada penglibatan APCO barulah Parlimen membahaskannya?
“Itupun bukan untuk membahaskan kewujudannya, bayaran ke atasnya, mahupun matlamat mewujudkannya tetapi mahu menghukum Ketua Pembangkang kerana mengetengahkannya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Faekah berkata, sebarang perkara untuk kebaikan rakyat majmuk di Negara ini khusus perpaduan, pasti mendapat sokongan hatta dari Ahli Parlimen pembangkang.
Namun persoalannya, ini tidak di lakukan dan seluruh proses kewujudan 1Malaysia ini cuba dirahsiakan.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .