Perhimpunan Agung UMNO kali ini merupakan perhimpunan yang paling
penting bagi UMNO kerana perhimpunan itu adalah perhimpunan terakhir
sebelum pilihanraya ini. Perhimpunan kali ini menampakkan yang UMNO
begitu tertekan dengan ucapan yang bergegar-gegar yang melambangkan
perasaan kurang kepastian untuk mempertahankan kuasa yang ada kepada
mereka itu.
Berbagai isu yang dilemparkan kepada pembangkang dengan kuat tetapi
isu-isu itu jugalah isu yang pembangkang lemparkan kepada BN khususnya
UMNO selama ini. UMNO nampaknya tidak tenang menghadapi cabaran
demokrasi. UMNO membidas pembangkang seolah-olah penawaran pimpinan
gantian di Putrajaya itu seperti melakukan jenayah, sedangkan negara ini
memberikan peluang kepada mana-mana parti untuk menjadi kerajaan.Itu
sebab diadakan pilihanraya setiap lima tahun sekali.
Seperti biasa UMNO menekankan yang UMNO adalah parti yang
berpengalaman. Kerajaan tidak perlu ditukar kerana UMNO telah
membangunkan negara ini dari sebuah negara miskin kepada sebuah negara
yang berpendapatan sederhana dan bakal menjadi sebuah negara maju
berpendapatan tinggi menjelang 2020 nanti. Bagi UMNO apabila negara itu
maju maka rakyat tidak payah menukar kerajaan lagi kerana kononnya
rakyat akan menghadapi risiko yang tinggi jika kerajaan gantian itu
tidak mampu melakukan apa yang BN telah lakukan.
Tetapi dalam pada itu Najib menjadikan Amerika Syarikat sebagai
contoh tetapi hanya mengambil kemenangan Obama yang kekal menjadi
Presiden buat penggal kedua itu sahaja. Najib patut mengambil iktibar
dan rakyat mesti memahami yang politik ini adalah berdasarkan kepada
keadaan sekarang dan masa depan rakyat dan negara. Rakyat AS telah
menukar kerajaan puluhan kali walaupun negara itu adalah negara maju.
Jika inilah alasan Najib untuk rakyat negara ini tidak boleh menukar
kerajaan dan elok di batalkan sahaja pendaftaran parti-parti yang lain
dari BN di negara ini.
Dalam pada itu kita telah nampak sikap ahli-ahli Parlimen BN pada
hari ini kerana tidak hadir dalam persidangan hari ini kerana menghadiri
majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO. Mereka (ahli-ahli Parlimen BN)
tidak bertanggungjawab kerana perhimpunan agung UMNO itu sepatutnya
dihadiri oleh mereka yang menjadi perwakilan sahaja sedangkan ramai dari
MP-MP BN itu bukan pun ahli-ahli UMNO atau perwakilan ke perhimpunan
itu.
Berbalik kepada Perhimpunan Agung UMNO yang kita jelas terlihat ialah
perasaan gusar dan takut jika rakyat mengalihkan sokongan mereka kepada
pembangkang. Apa yang Najib gagal memahami ialah orang Melayu sekarang
mahukan perpaduan Melayu dan kali ini berpadu di luar UMNO. Tetapi apa
yang Najib mahukan orang Melayu ini tunduk dan menjadi bangsa yang
‘subservient’ kepada parti. Sepatutnya parti-parti politiklah yang patut
‘subservient’ kepada rakyat dan ahli-ahlinya.
Najib masih memaparkan politik memenjara pemikiran orang Melayu
seolah-olah orang Melayu tidak boleh memandang parti lain dan apa yang
orang Melayu patut lakukan ialah untuk sentiasa mengangguk dan mengikut
sahaja apa yang UMNO mahukan walaupun rasuah yang terlampau yang
pimpinan UMNO itu sudah tidak terkawal lagi. Negara kita adalah sebuah
negara yang terlalu deras menuju kehancuran kerana rasuah yang sudah
tidak terkawal kerana hampir kesemua pimpinan, terutamanya dalam
kerajaan itu terlibat dalam kegiatan hina itu.
Pengakhir kata Najib dalam ucapan beliau tadi, beliau telah memohon
maaf di atas segala kesalahan yang UMNO dan pimpinannya telah lakukan.
Tidak pula beliau mengulas apa kesalahan-kesalahan yang UMNO dan beliau
lakukan. Beliau meminta rakyat memaafkan UMNO dan kepimpinan parti di
atas segala kesalahan.
Najib tidak pula meminta maaf di atas semua salah laku rasuah yang
dilakukan oleh pimpinan kerajaan. Jika rasuah adalah salah satu dari
kesalahannya dan meminta rakyat memaafkannya ia sepatutnya pimpinan UMNO
melakukan tindakan yang berani dan berjanji memulangkan kembali wang
rakyat yang telah dibawa lari dari perbendahaaraan negara secara
sistematik selama ini. Sementara memulangkan kembali harta rakyat yang
dilarikan itu UMNO sepatutnya berehat dan melakukan ‘soul searching’
yang intensif terhadap diri mereka.
Kalaulah ini dilakukan ia boleh menyejukkan hati rakyat yang
sayangkan negara. Misalnya jika keluarga Dr Mahathir boleh memulangkan
kembali wang rakyat yang hampir RM2 billion yang digunakan oleh anaknya
untuk menyelesaikan masalah perniagaannya dahulu ada juga lah nampak
keinginan untuk bertaubat dan meminta maaf kepada rakyat. Semasa Lemahn
Bros di AS menggunakan wang kerajaan semasa kejatuhan ekonomi dunia
dahulu, sekarang syarikat gergasi itu sedang beransur-ansur memulangkan
kembali semua wang rakyat yang di gunakan untuk ‘bailout’ syarikat itu
dahulu. Sudah sampai masanya Mirzan Mahathir mengembalikan kembali wang
rakyat yang digunakan itu seperti apa yang dilakukan oleh Lemahn Bros
itu.
Apa lagi kesalahan yang dimaksudkan oleh Najib yang dilakukan oleh
kepimpinan UMNO itu. Adakah isu komisyen Scorpene yang melibatkan
ratusan juta itu salah satu dari kesalahan yang Najib memohon maaf?
Bolehlah rakyat maafkan, tetapi pulangkanlah balik wang sejumlah itu
kepada rakyat.
Bolehkah Najib menggunakan pengaruh beliau untuk membayar royalti
minyak kepada Kelantan untuk melayakkan beliau mendapat kemaafan? Ada
lebih dari RM7 billion wang royalti yang sepatutnya di bayar kepada
rakyat Kelantan. Itu merupakan kesalahan yang sangat besar terhadap
rakyat negeri Kelantan yang mana 98% rakyat terdiri dari orang Melayu.
Inilah di antara ratusan isu yang sengaja dilakukan oleh pimpinan
kita dan jika mereka mahukan kemaafan adalah elok UMNO duduk di kerusi
pembangkang dan memperbaiki diri dan kembali mendapatkan mandat dalam
pilihanraya yang akan datang jika rakyat bersetuju.
Kalaulah BN mendapat kemaafan dengan segala kejahatan rasuah yang
mereka lakukan, maka BN akan terus melakukannya setelah mendapat kuasa
nanti. UMNO akan kembali meminta maaf dalam pilihan raya yang selepas
PRU ini dan rakyat memberikan kemaafan lagi. Jika ini keadaannya maka BN
akan lebih bebas melakukan kerja hina yang sudah menjadi kerja biasa
dan ‘normal’ bagi parti yang sudah lusuh ini.
Belum kita lihat sikap UMNO yang percaya kuasa hanya untuk mereka
sedangkan itu adalah kuasa rakyat yang akan memberikan ketentuan siapa
yang patut mentadbir kali ini. Tetapi pimpinan UMNO ini tidak mahu
menerima yang partinya sudah lemah. Usaha UMNO untuk bertahan sudah
terlalu kotor perlakuannya. Untuk memisahkan kuasa dari mereka (UMNO)
tidak ubah seperti memisahkan daging dengan kulit.
Apabila mereka (UMNO) terfikir sahaja tentang kehilangan kuasa mereka
menjadi separuh gila, sedangkan peralihan dan giliran kuasa itu adalah
perkara lazim dalam demokrasi. Sesungguhnya UMNOlah yang gila kuasa
sehinggakan mereka dan pimpinannya berkata mereka akan bertahan walau
dengan cara apa sekali pun. Padahal kita bukan hendak memisahkan nyawa
dari tubuh mereka. Kita hanya hendak melaksanakan demokrasi mengikut
sistemnya yang ada dengan cara terbuka.
Kepada Najib beliau tidak payah bercakap seperti halilintar memecah
bumi kerana berucap secara itu sudah ketinggalan zaman. Zaman sekarang
rakyat mahu melihat ‘content’ bukannya gaya berucap. Ia akan hanya
menampakkan kelemahannya lebih jelas dari yang sudah jelas kita lihat
selama ini.
Kata perpatah, ‘patah tumbuh hilang berganti’ Rakyat bukan saja-saja
hendak mematahkan, tetapi rakyat mahu mematah atau mencantas pokok itu
untuk ia bercambah dan rimbun daunnya serta lebat buahnya.
Kalau hendak sangat berucap bergegar-gegar itu, eloklah berbahas
secara terbuka dengan Ketua Pembangkang. Ini tidak…bercakap
bergegar-gegar seorang diri. Kalau bercakap bergegar-gegar tetapi tidak
memberi mana-mana pihak menjawabnya orang itu adalah pemimpin yang lemah
dan tidak berketerampilan sebagai pemimpin sebenar.
'A genuine leader does not wail and scream'. -
http://aspanaliasnet.blogspot.com/