Ikuti Blog ini

Sertai Umno,Dr Asri jelas kedudukan sebenar di Kota Bharu

KOTA BHARU, 29 Jun: Setelah ura-ura Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyertai Umno bersama kelompok ulama muda tidak menjadi kenyataan, bekas Mufti Perlis itu akan dibawa ke Kelantan bagi menjelaskan perkara sebenar yang berlaku.

Orang ramai di sini dijangka berpeluang mendengar sendiri penjelasan Dr Asri, sejauh mana dakwaan terhadapnya konon berminat menyertai Umno.

Beliau diundang pada siri wacana perdana yang akan dianjurkan kerajaan negeri pada 10 Julai ini bertempat di Balai Islam, Lundang bermula jam 9 malam.

Wacana itu bertajuk ‘Bolehkah Melayu Bersatu?’ turut mengundang dua Exco Pemuda Umno Malaysia, Ustaz Afandi Yusof dan Lokman Noor Adam. Selain itu anggota parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Manakala Prof Madya Dr Muhammad Agus Yusof akan bertindak sebagai moderator.

Pengarah program berkenaan, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, pemilihan tajuk tersebut sesuai dengan pelbagai tafsiran dibuat berkaitan kedudukan orang Melayu di negara ini sekarang.


”Ada tafsiran yang optimis, dan ada pula yang pesismistik, namun begitu negara ini telah melalui pelbagai bentuk perubahan politik, ekonomi, dan sosial yang memberi kesan kepada masyarakat Melayu,” katanya di sini.

Wacana tersebut merupakan beberapa siri forum diadakan di Kelantan sejak 2008. Wacana itu pernah mempertemukan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Bekas pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Datuk Nakhaie Ahmad juga pernah diundang ke wacana berkenaan sebelum ini.

Wacana itu dianjur dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Air Kelantan Sdn. Bhd. Selain itu Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Kelantan TV (KTV) dan Galeri Al-Mizan.

Sebelum ini Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusoh mendakwa kira-kira 100 ulama muda berkelulusan tinggi akan menyertai Umno termasuk Dr Asri.

Bagaimanapun beberapa hari selepas itu hanya 40 sahaja sahaja ulama muda dilaporkan menyertai Umno tanpa kehadiran Asri pada majlis yang dihadiri presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak.

Berdasar kepada jumlah itu hanya seorang sahaja iaitu Dr Fadlan Mohd Othman berkelulusan sehingga PhD. -Hrkh

1:40 pengundi baru agenda politik Umno

KUALA LUMPUR, 29 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) cuba menjayakan agenda politik Umno untuk terus berkuasa di tanah air pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

Beliau berkata demikian kerana SPR dilihat sengaja membiarkan isu nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak PRU12 lalu adalah satu Melayu dan 40 bukan Melayu (1:40) berpanjangan.

“Mereka sengaja tak mahu menggunakan daftar automatik. Ini lebih bersifat mahu menyelesaikan agenda politik Umno untuk terus kekal memerintah di Malaysia,” ujar beliau petang tadi selepas mesyuarat berkala Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, SPR sepatutnya boleh menangani masalah mendaftar pengundi baru di kalangan masyarakat Melayu dengan melaksanakan daftar undi secara automatik.

“Sebenarnya SPR boleh mengatasi masalah ini dengan cara yang baik, iaitu melalui daftar secara automatik,” ujar beliau.

Katanya lagi, kenyataan ‘1:40’ yang dibuat oleh Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno itu sebenarnya langsung itu memberi kesan pada sensitiviti rakyat yang nyata menolak politik perkauman Umno.

Ini kerana, beliau berkata, rakyat tidak kira Melayu ataupun masyarakat bukan Melayu sejak tsunami politik PRU12 lalu sudah mulai menerima kuasa politik Melayu yang baru, iaitu kepemimpinan Pakatan Rakyat sebagai teras pada kuasa politik negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS serta Pakatan Rakyat mampu menggantikan Umno BN dengan sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu, termasuk para pengundi baru kelak.

“Umno sekarang dalam bimbang, mereka takut hilang kuasa dan mereka takut pengundi baik Melayu atau tidak pergi pada kuasa yang baru, iaitu Pakatan Rakyat,” tegas beliau.

Sebelum pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu nisbah 1:40 tersebut mencerminkan kegagalan SPR dalam menguruskan urusan pilihan raya di Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menyokong cadangan Abdul Hadi supaya daftar pengundi baru dibuat secara automatik.

Beliau turut mempertikai kaedah SPR dalam menyelesaikan masalah pengundi yang bermastautin di luar negara.

“Malahan, ratusan ribu rakyat Malaysia di luar negara sekarang seakan dinafikan hak untuk mengundi disebabkan masalah sulit ini,” jelas beliau.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, Pakatan Rakyat bercadang untuk menuntut semula SPR menerima cadangan mereka sebelum ini, iaitu daftar undi secara automatik.

“Ini yang akan kita tuntut dan sekiranya SPR jujur mahu memperkatakan tentang pilihan raya yang adil, telus dan demokratik, maka mereka perlu terima cadangan ini,” ujar beliau.

Bagi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula, selain mendakwa Pemuda Umno mendedahkan perangkaan yang palsu, beliau turut mencabar SPR untuk mendedahkan perangkaan yang sebenar berhubung isu nisbah 1:40 tersebut.

“Dari maklumat yang kita dapat, pendedahan Pemuda Umno itu saya fikir adalah tidak betul.

“Maka, kita nak cabar SPR untuk dedahkan angka yang sebenar, jumlah yang didaftar dan peratus penyusutan daftar pengundi baru mengikut bangsa,” ujar beliau.

Dalam perkembangan yang lain, Majlis Pakatan Rakyat mengumumkan untuk menganjurkan konvensyen bersama peringkat kebangsaan pada Oktober ini.

Tetapi, Anwar sendiri tidak memberikan tarikh spesifik berhubung konvensyen tersebut ketika disoal oleh wartawan. -Hrkh

Kempen Tak Nak Judi diteruskan

1. Vincent Tan mengamuk marahkan Pakatan Rakyat kononnya menjadi punca pihak kerajaan terpaksa menarik balik lesen judi sukan yang telah dijanjikan penganugerahannya kepada Berjaya Group .

2. Saya tidak hairan dengan amukan Vincent Tan yang menyalahkan Pakatan Rakyat kerana beliau adalah seorang yang terkenal sebagai Tauke Judi Negara . Judi adalah perniagaannya dan judi juga adalah kehidupannya.

3. Apa yang menghairankan saya ialah alasan Datuk Seri Najib dalam jawab balas media ketika ditanya kenapa beliau menarik balik lesen judi tersebut . Datuk Najib memberi beberapa alasan , antaranya ialah kerana mengambil kira faktor agama , pandangan rakyat dan kepentingan politik.

4. Secara positifnya saya bersyukur jika ia adalah alasan yang benar - benar melandasi tindakan beliau walau agak "ketinggalan keretapi" justeru agama bukanlah hari ini mengharamkan judi tetapi sejak ribuan tahun yang lalu . Sekurang - kurangnya UMNO kini mula mengambil kira soal agama setelah sekian lama agama sering dipinggiran sempadan parti UMNO , hanya diambil dan dibuang bila perlu .

5. Andai benar alasan - alasan itu mengasaskan tindakan UMNO kini , maka wajarlah UMNO dan BN merancang secara sistematik untuk menghapuskan semula segala maksiat dan mungkar yang telah didirikan sejak lebih 50 tahun mereka memerintah negara ini . Sekurang - kurangnya untuk melihat 50 tahun akan datang , negara kita menjadi negara sifar maksiat dan mungkar yang dianjur dan diluluskan oleh kerajaan .

6. Saya insaf , membasmi maksiat dan mungkar yang telah berakar umbi dalam masyarakat kita hari ini perlukan masa dan tindakan terancang serta berkesan . Persoalannya ...... apakah plan tindakan untuk Amar makruf dan An Nahyu A'nil Mungkar ini dilaksanakan dalam kerajaan UMNO dan BN ?

7. Umum melihat hari ini , maksiat dan mungkar kian bertambah dan implikasinya juga semakin parah . Peningkatan indeks jenayah , seks bebas , gejala buang bayi dan keruntuhan moral dari kalangan remaja semakin tenat . Bagaimana plan kerajaan untuk menanganinya ?

8. Lambakan filem yang tidak bermoral malah melepasi sistem tapisan filem di penyiaran negara , aktiviti hiburan melampau tanpa had dan batas , sistem pendidikan yang rapuh dan tidak melahirkan insan yang soleh serta iklim sosial yang tiada kawalan halal haram oleh pihak berkuasa terus menjadi baja yang menyuburkan pertumbuhan maksiat dan mungkar dalam negara ini .

9. Kerajaan boleh mulakan dari perkara yang telah menjadi persepakatan antara agama seperti pengharaman judi . Selain semua agama menolak judi , kesan langsung judi kepada sosial rakyat dan negara kita juga parah dan membimbangkan . Kerajaan tidak perlu teragak - agak untuk menghapuskannya sebagaimana nekadnya tindakan kerajaan membatalkan lesen judi sukan baru - baru dengan alasan mengambil kira faktor agama . Tiada beza hukum agama pada judi suka dan judi mesin slot serta judi lumba kuda dan lainnya .

10. Saya menyokong tindakan Gerakan Membantah Judi [ GMJ ] yang dianggotai oleh 60 ngo untuk meneruskan Himpunan 3 Julai 2010 biarpun kerajaan UMNO dan BN membatalkan lesen judi sukan tempohari sebagai untuk mengekalkan momentum kesedaran rakyat menolak semua jenis judi .

11. Himpunan 3 Julai ini bukan lagi demonstrasi atau perarakan menuju istana negara tetapi Himpunan Tak Nak Judi di Masjid Negara bagi mendengar ucapan ,taklimat dan penjelasan para pemimpin ngo dari GMJ termasuk pemimpin parti politik yang menolak semua jenis judi . Sebagai contoh Naib Setiausaha Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Goh Kean Seng, wakil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, Ser Choog Eng dan dari Budayawan Bertindak, Lee Ban Chen adalah antara tokoh - tokoh yang membantah semua jenis judi dari terus diberi ruang bebas beroperasi dalam negara kita .

12. Semasa muktamar PAS ke 56 berlangsung dulu , UMNO kecoh kata PAS hanya haramkan judi sukan lalu menuduh PAS sebagai hipokrit . Hari ini kita buktikan , bahawa PAS tidak hipokrit dan bukan sebagaimana yang didakwa , sebaliknya kita mempunyai komitmen yang tinggi untuk terus berjuang membasmi semua jenis judi maksiat dan mungkar . Justeru itu , sekali lagi Dewan pemuda PAS menyatakan sokongan kepada hasrat GMJ untuk meneruskan himpunan 3 Julai dengan menukar Format menjadi Himpunan Tak Nak Judi.

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

NGO lapor pada SPRM isu FELDA

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Julai dan menyerahkan "dokumen lengkap" dakwaan 'salah guna kuasa' dalam Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA).

"Kita minta SPRM buat siasatan. (Kerajaan) jangan cuba memperbodoh-bodohkan rakyat," kata Mazlan Aliman (kiri sekali) dalam sidang media di ibupejabat PAS di ibu negara pagi ini.

Tarikh aduan itu dibuat akan dimaklukam kemudian kepada pihak media, tambah Mazlan lagi.Turut hadir dalam anggota majlis pimpinan pusat PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong yang juga bekas timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi.

Mazlan berkata, dokumen tersebut sebagai dokumen sokongan mengandungi jumlah pendapatan FELDA dan aktiviti yang dijalankan oleh 43 anak syarikatnya.

Mazlan yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS berkata, tindakan itu susulan tiga laporan polis pada 23 Jun, 25 Jun dan hari ini - masing-masing di Temerloh, Kota Tinggi dan Segamat - berhubung dakwaan kepincangan dan salah urus agensi kerajaan itu.

Sebelum ini, ahli parlimen Klang Charles Santiago turut membuat laporan kepada SPRM atas dakwaan yang sama - kemerosotan rizab kewangan tunai FELDA yang menjunam RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun - seperti dijelaskan Ahmad di Parlimen.

Bercakap dalam sidang media itu juga, Mazlan berkata, beliau telah melihat aduan yang dikemukakan oleh Charles itu dan mendakwa dokumen yang akan diserahkannya "lebih terperinci".

"Ia satu laporan yang lebih terperinci (berbanding laporan Charles)," katanya sambil menunjukkan buku laporan rasmi FELDA.

Sementara Dr Tan pula berkata sebelum Perdana Menteri Najib Razak menerajui FELDA pada 2005 semuanya "baik, OK dan berimej sederhana"."Sebaliknya selepas beliau ambil alih, semuanya habis," katanya.

M'kini/-

Lagi penafian menyertai UMNO bersama 40 ulama muda

Ustaz Abdul Wahab Abdullah, seorang ustaz yang hadir dalam majlis penyertaan 40 ulama muda kedalam UMNO tampil membuat penafian berhubung penyertaannya kedalam UMNO dalam sidang media khas yang di adakan di Madrasah Diniah Islamiah (MADI), semalam.

Beliau menyatakan bahawa beliau tidak dimaklumkan tentang penganjuran majlis tersebut adalah untuk penyerahan borang penyertaan mereka kedalam UMNO. “Saya tidak tahu langsung tentang penganjuran majlis ini. Kedatangan kami adalah untuk membersihkan nama persatuan kami”, kata beliau.

Beliau menyatakan bahawa kehadirannya ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah untuk membersihkan nama persatuannya yang membawa aliran fahaman Wahabi yang dikatakan terlibat dengan Jemaah Islamiah.

Beliau datang bersama beberapa orang rakannya daripada Perlis. Beliau dimaklumkan rombongan mereka ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah untuk menjaga “survivor” persatuannya, Persatuan Al Islah Negeri Perlis kerana dikaitkan dengan JI.

“Saya tak pernah fikir untuk masuk UMNO dan akan diperlakukan sebegini”, kata beliau dengan nada kecewa.

Ustaz Abdul Wahab Abdullah adalah guru di Madrasah Diniah Islamiah (MADI), sebuah sekolah kelolaan Badan Perhubungan PAS Perlis. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Bendahari Dewan Ulama PAS Perlis.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Ustaz Saleh Adam, Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Sdr. Hairy Hasyim, YDP PAS Kawasan Kangar,Ustaz Yaakob Abu Seman, Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis dan Cikgu Khoo Yang Chong, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Perlis

Keratan Akhbar bertajuk "Ulama Muda Masuk UMNO"

Wartawan yang hadir

Cikgu Khoo Yang Chong menyampaikan ucapan

Bertasbih Tapi Menghalal Yang Haram?

Di antara perkara yang sangat-sangat menggembirakan saya ialah apabila pimpinan PAS yang tidak mempunyai latar pendidikan agama yang tinggi (termasuk yang tidak berpendidikan formal dalam bidang agama) telah menunjukkan kemampuan dalam menghurai sesuatu dalam konteks Islam dengan begitu baik. Yakin sungguh di hati kecil saya, inilah kesan daripada perjuangan PAS yang dipimpin golongan ulama’.

Hasilnya, golongan dilihat telah mampu memahami dan menghuraikan aspek kehidupan dari perspektif Islam dengan jelas. Ia merupakan hasil didikan dan tarbiyah yang diperolehi di dalam PAS. Berbeza dengan UMNO yang dilihat membekukan golongan ulama’. Jika tidak, mana mungkin sesuatu yang haram seperti judi, boleh dilesenkan sebagai halal.

Saya menyentuh begini kerana ada peristiwa menarik hati saya sewaktu penggulungan perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tempoh hari (9 Rejab 1431/22 Jun 2010). Ia adalah sidang kali ke-2 bagi tempoh penggal ketiga DUN Kelantan yang Ke- 12.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PAS menghuraikan falsafah solat begitu tepat sekali, walaupun tidak mendapat pendidikan agama yang tinggi secara formal. Jika boleh saya nukilkan kembali bagaimana YB Haji Zulkifli Mamat (Pulai Chondong) menyebut betapa peliknya sesetengah Muslim yang sewaktu rukuk dan sujudnya menyebut tasbih meninggikan Allah SWT, tetapi di dalam masa yang sama menyokong judi dihalalkan.

Tidakkah terdetik di hati kecil mereka betapa salahnya apa yang mereka lakukan. Dahi sujud kepada Allah membisik tasbih, memuji Allah SWT dengan mengaku bahawa Allah SWT yang Maha Tinggi, tetapi di luar solat mengangkat tangan bersetuju dengan judi. Tidakkah terdetik rasa malu kepada Allah SWT?

Saya ingin menambah dalam coretan ringkas ini. Sebenarnya Kerajaan UMNO/BN melesenkan judi untuk meraih pendapatan yang lebih. Dalam erti kata lain untuk mendapat kemakmuran. Sedar atau tidak, persoalan kemakmuran telah disebut jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Jika saya diberi peluang berkuliah kepada pimpinan UMNO, ingin sekali saya membaca ayat daripada Surah Al A’raf, ayat 96 yang bermaksud:

“...Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka segala macam berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya...”

Sudikah kiranya pemimpin UMNO yang beragama Islam mengambil sedetik dua masa untuk menelaah ayat ini? Jika sudi, perhatikanlah bagaimana janji Allah untuk melimpahkan segala macam berkat hanya apabila manusia beriman dan bertakwa.

Kemakmuran ialah satu keberkatan. Kemakmuran bukannlah bermakna kemewahan semata-mata. Hidup kaya raya tetapi hati susah bukan makmur namanya. Negara mendapat pendapatan yang lebih, tetapi kesan terhadap sosial dan kehidupan rakyat jelata begitu teruk. Itu bukan makmur namanya. Sedangkan kami di Kelantan percaya bahawa keberkatan itu ada kaitan erat dengan ketakwaan kepada Allah SWT, dan atas asas inilah kami memperkenalkan dasar Membangun Bersama Islam yang berteraskan prinsip Ubidiah, Masuliah dan Itqan.

Sayangnya, pimpinan UMNO pada hemat saya gagal atau langsung tidak mahu memahami ayat al-Quran di atas. Barangkali, jika masih ada golongan ulama’ yang berminat mahu berada di dalam kubang UMNO, saya hanya mampu untuk bersimpati.

YAB Datuk Tuan Guru Nik Abd. Aziz Nik Mat
Mursyidul AM PAS
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .