Ikuti Blog ini

TG Nik Aziz kecewa hudud diberi ‘wajah begitu buruk’

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 20 Sept – Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan golongan yang menolak untuk melaksanakan hukum hudud seperti menghina dan mengetepikan ajaran Islam, dan merupakan golongan yang “jahil.”

TG Nik Aziz (gambar) berkata, kekeliruan tentang hukum hudud berlaku disebabkan pandangan yang dikeluarkan golongan tertentu yang jahil tentang undang-undang Islam itu.
“Saya menyebut hakikat ini kerana kekeliruan yang timbul atau sengaja ditimbulkan dalam negara kita bahawa hudud ertinya hukuman ke atas pesalah.

“Justeru, hudud diwajahkan dengan wajah yang begitu buruk dan mengerikan. Seolah-olah apabila hukum hudud dilaksanakan, semua tangan akan dipotong dan semua batu akan dijadikan lontaran untuk pesalah,” kata beliau.

“Kita masih terngiang-ngiang kata-kata sinis yang dilontarkan sedikit masa lalu yang menyatakan ‘Jika mahu menikmati sup tangan, silalah ke Kelantan’ dan ‘akan habislah batu-batu di Kelantan digunakan untuk melontar pesalah zina’,” kata Nik Aziz lagi.

Sekalipun ia sudah lama diucapkan, kata beliau,  hakikatnya kata-kata dan ucapan seperti inilah yang memberikan imej yang negatif terhadap undang-undang hudud.
Berucap merasmikan  Hari Hududullah di Kota Baru, Kelantan pagi tadi, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, disebabkan kekeliruan itu ramai umat Islam dalam negara ini tidak memahami hukum hudud mengikut ajaran Islam.

“Hasilnya, masyarakat bukannya semakin dekat dengan Islam tetapi semakin jahil dan semakin jauh daripada syariat Islam yang sebenar.
“Syariat Islam bukannya dilihat indah dam cantik, tetapi dilihat primitif, ketinggalan zaman, ‘ouf of date’  dan sebagainya,” katanya menambah, orang bukan Islam turut salah faham tentang undang-undang Islam yang sebenar.

Kerajaan negeri Kelantan pimpinan Nik Aziz sebelum ini telah menggubal undang-undang hudud namun tidak dapat dilaksanakan ekoran surat amaran yang dikeluarkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Nik Aziz pada 8 Jun lalu berkata hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud tidak dapat dilaksanakan kerana Dr Mahathir telah menyekat pelaksanaannya, ia disekat melalui satu surat amara dihantar kepada pemimpin veteran itu.
Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telah pun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993.

Ini berikutan dengan janji PAS untuk melaksanakan Hukum Hudud pada pilihan raya umum 1990.
Menurut Nik Aziz, isu-isu agama yang berlaku sejak kebelakangan ini menambahkan lagi salah faham dan pandangan serong terhadap ajaran Islam yang sepatutnya tidak berlaku dalam negara yang berlandaskan prinsip Islam.
“Isu-isu seperti larangan bukan Islam memasuki masjid dan juga bacaan al-Quran di pembesar suara misalnya, ditangani dengan wajah yang lebih cenderung ke arah sentimen tanpa bimbingan ilmu yang sebenar. Hasilnya, sentimen yang dibakar bertambah panas sedangkan panduan sebenar Islam diketepikan.

“Saya sifatkan golongan yang menolak, menghina dan mengenepikan syariat Islam khususnya hudud merupakan golongan yang jahil dan tidak mengetahui keindahan syariat Islam itu sendiri,” katanya sambil menambah, sekalipun mungkin mereka beragama Islam, tetapi Islam yang dianuti hanya di ruang yang terbatas tanpa didaulatkan sebagai undang-undang yang memerintah.
Tambah Nik Aziz, hukum hudud bukan dijatuhkan oleh orang pilitik tetapi hakim yang akan mengadili sebarang perbicaraan.

“Saya juga ingin tegaskan bahawa hukum hudud ini jika dilaksanakan bukannya dipelopori oleh orang politik. Tetapi hakim yang akan menjatuhkan hukuman. Itupun akan menjalani perbicaraan yang adil terlebih dahulu.
“Jadi tidak perlu untuk merasa gerun dan takut dengan hukum hudud kerana bimbang kononnya akan dikuasai oleh orang politik,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau juga berharap golongan yang menolak hukum hudud “dapat diperbetulkan” selaras dengan kehendak Islam.
 “Justeru, saya mengharapkan agar tabiat menolak hudud ini dapat diperbetulkan agar jangan menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat,” katanya.

550 peneroka Felda Bera tuntut RM300 juta

TEMERLOH, 20 Sept: Seramai 550 peneroka dari Felda Gugusan Bera hari ini menuntut pihak Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd membayar ganti rugi RM300 juta hasil penjualan sawit mereka sejak 16 tahun lalu.

Writ tuntutan tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh melalui peguam-peguam Nasar Mirbas Khan dan Hanipa Maidin.

Ketika bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Nasar Khan berkata tuntutan peneroka ialah  berkaitan kadar perahan gred (KPG) yang dibayar kepada peneroka dengan terdapat unsur penipuan kerana dibayar lebih rendah daripada gred sebenar.

“Selain daripada itu peneroka selaku plaintif menuntut wang isi rong sawit, tandan yang ditolak tetapi diproses, keladak minyak dan abu tandan sawit yang semuanya mempunyai nilai tetapi tidak dibayar atau dikembalikan oleh Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd selaku defendan.

“Untuk tahun 2008 sahaja, kerugian yang dialami peneroka kerana tidak dibayar hasil yang disebutkan ialah RM19 juta dan tuntutan bermula sejak tahun 1995. Jadi kita jangka peneroka sepatutnya dibayar sekitar RM300 juta lagi,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman dan Pengerusi Biro Hal Ehwal Felda Keadilan Pusat Suhaimi Said serta pemimpin-pemimpin peneroka.

Sementara itu Tuan Ibrahim ketika diminta berucap, berkata para peneroka hanya menuntut keadilan terhadap hak mereka sendiri tanoa meminta hak orang lain.

“Berdasarkan kes-kes saman yang sama dibicarakan di mahkamah sebelum ini, keputusan-keputusannya menyebelahi peneroka. Ini menunjukkan mereka benar.

“Ini muafakat mereka bersama tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang jadi isu ini merupakan kepentingan bersama,” katanya.

Suhaimi Said pula memberitahu, sebelum ini 1,061 peneroka daripada Felda Gugusan Jengka telah tampil menuntut kerugian yang serupa daripada Felda dan anak syarikatnya di mahkamah yang sama. -Hrkh

Rumah Mat Sabu cuba dibakar individu tak dikenali

Kediaman Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, di Seksyen 19 di Shah Alam dipercayai dilempar bom petrol tengah malam tadi sehingga menyebabkan sebahagian pagarnya terbakar.

Anak perempuannya Nurul Huda berkata, dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam, beliau mendapati bahagian pagar depan dan lantai halaman rumahnya terbakar, selepas dimaklumkan jiran.

NONE"Saya tak nampak api. Waktu saya keluar rumah (api) sudah tiada. Cuma ada bau minyak dan gas," katanya yang berseorangan di rumah ketika itu.

Ibunya ketika itu berada di kampung halamannya di Perlis manakala Mohamad pula dipercayai mempunyai program di Pulau Pinang pada masa itu.

Nurul Huda, 27, berkata, jiran-jiran memaklumkannya melibat dua lelaki berada sekitar kawasan kediaman mereka sebelum mendapati api menyambar pagar rumah Mohamad.

Api itu juga dipadam terlebih dahulu oleh jirannya sebelum memaklumkan kepadanya kejadian itu, kata peguam muda itu.

'Sudah berjaga-jaga'
Menceritakan kembali detik-detik semalam, Nurul Huda berkata, sejurus lepas kejadian, beliau terus menelefon pihak polis bagi memaklumkan perkara itu.

"Polis datang kira-kira pukul 1 pagi. Saya buat laporan polis di situ juga. Salinan repot saya ambil pagi tadi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

NONEDitanya sama ada beliau merasa takut selepas kejadian yang pertama kali menimpanya itu, Nurul Huda berkata tidak kerana sudah merasa ada sesuatu yang tidak kena dalam masa terdekat.

"Saya sudah rasa lain macam dalam dua, tiga hari sejak lampu jalan depan rumah saya tidak menyala. Jadi, saya sudah ambil langkah berjaga-jaga," katanya.

Pada 8 September lalu, Mohamad mendakwa menerima SMS ugutan daripada daripada individu tidak dikenali yan mengancam mahu menyimbah asid terhadap isteri dan anak perempuannya.

Beliau menyifatkannya sebagai ancaman berat yang diterimanya berpunca daripada laporan Utusan Malaysia pada 27 Ogos berkaitan Mat Indera, tragedi Bukit Kepong dan sejarah kemerdekaan yang didakwa memfitnahnya. -M'kini

PRU13: Pembubaran Parlimen Awal Disember 2011

Olih Subky Latif : DIPERCAYAI Pilihan Raya Umum ke 13 akan diadakan sebelum Hari Natal 25 Disember akan datang.
Tanda-tanda pilihan raya sudah hampir berdasarkan perlantikan pengurus pilihan raya bagi Parlimen sudah pun dibuat.
Sudah ada pegawai pengurus pilihan raya itu telah menerima perlantikan dari Suruhanjaya Pilihan Raya.
Seorang daripadanya memberitahu saya, dia sudah menerima perlantikan itu.
Dia tidak diberitahu bila pilihan raya itu akan diadakan kerana tarikhnya tidak dinyatakan, tetapi dia menunggu arahan bila latihan persiapan akan diadakan.
Dengan maklumat itu dapat diduga bahawa pilihan raya sudah hampir.
Ia adalah tanda awal selepas jentera pilihan raya BN sudah selesai mengadakan pilihan raya olok-olok dan Perdana Menteri sudah pun menjelajah ke seluruh negara bagi meningkatkan persiapan jentera pilihan raya partinya.
Apa pun ia tidak mungkin diadakan sebelum bulan Disember, pertama disebabkan latihan bagi pegawai pengurus dan lain-lain kaki tangan bagi peti undi belum bermula.

Ia tidak mungkin dibuat sebelum Oktober kerana menjelang Oktober rombongan haji ke Mekah mula berangkat.
Tidak ada kemungkinan pilihan raya itu akan diadakan dalam musim haji kerana Suruhanjaya Pilihan Raya pernah ada pengalaman mengadakannya dalam musim haji dalam tahun 1980an dulu.
Ada calon dari Wanita UMNO Pulau Pinang yang sudah berada di Tanah Suci terpaksa balik kerana bertanding. Ia satu kesalahan bagi ibadat haji bagi jamaah yang sudah berada di Mekah kembali ke tanahair sebelum mengerjakan haji.
Tindakan kerajaan bersetuju mengadakan pilihan raya dalam musim haji itu adalah perampas hak pengundi yang mengerjakan haji dari melakukan tanggungjawab menentukan wakil dan kerajaan yang hendak dipilihnya.
Beribu-ribu jamaah haji telah hilang peluang mengundi dan mereka hanya mengikut perkembangannya dari jauh.
Jamaah yang malang itu adalah pengundi bagi calon PAS dan BN khususnya UMNO. Mereka saja yang menunaikan haji.
Ia tidak menjejaskan pengundi DAP dan lain-lain pengundi BN bukan Islam. Tindakan itu merugi pengundi Islam saja. Jelaslah tindakan itu bersifat merampas hak orang Islam.
Menjelang pilihan raya itu saya pernah menulis rencana menyeru umat Islam yang bercadang untuk menunaikan haji tahun itu membatalkan hasratnya ke Mekah kerana mengundi itu lebih aula. Ia hanya berlaku empat atau lima tahun sekali dan rakyat wajib mengutamakan pengundi kerana ia menentukan kerajaan yang hendak ditegakkan. Adapun haji ada setiap tahun.
Mursyidul Am PAS sekarang, ketika itu belum menjadi Menteri Besar Kelantan telah menyokong saranan rencana saya itu.
UMNO tidak dapat memberi jawapan atas kecaman pembangkang atas kejadian itu.
Dipercayai UMNO yang membelenggu SPR tidak mahu kejadian itu berulang.
Jamaah haji hanya selsai pulang menjelang hujung bulan November. Maka selepas itu barulah pillihan raya itu akan diadakan.
Apapun ia tidak mungkin adakan hujung bulan itu kerana ia sedang dalam musim peperiksaan. Beberapa peperiksaan sekolah menengah belum selesai. Pillihan raya tidak mungkin diadakan sebelum selesai peperiksaan kerana ia melibatkan guru-guru sebagai pengendali hari mengundi dan sekolah sebagai tempat tempat mengundi.
Masalah yang besar dalam bulan Disember selalunya ia adalah musim hujan di pantai timur. Ia boleh menyukarkan jika musim hujan itu diikuti oleh banjir.
Tetapi banjir sekarang tidak lagi semestinya hujung tahun saja dan tidak saja di pantai timur. Ia boleh berlaku di mana-mana saja dan bila-bila masa.
Bagi hujung tahun ini tiada lagi masa yang lebih baik selain dari bulan Disember, dan ia mestilah sebelum hari Krismas.
Jika tidak diadakan waktu itu, maka ia terpaksa memikirkan tahun 2012 pula. - Hrkh

'BN mansuh ISA setelah hilang keyakinan rakyat'

Janji Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanyalah setelah Perdana Menteri sedar bahawa rakyat sudah hilang keyakinan dengan kepimpinan kerajaannya., kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

azlanMalah, janji itu, menurutnya juga dibuat selepas kerajaan dikecam hebat di dalam dan luar negara berikutan salah guna kuasa serta kekerasan yang melampau pihak berkuasa terhadap pehimpunan aman BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.

“Jika rakyat tidak percaya kepada janji Najib, ia adalah salahnya sendiri kerana rekodnya sebagai Perdana Menteri sejak April 2009 tidak menunjukkan dia berani melaksanakan apa yang dijanjikannya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Lim, selain desakan rakyat dan masyarakat antrabangsa, tekanan terhadap Najib daripada kalangan orang-orang kanan kerajaan sendiri membuatkan beliau terpaksa berjanji untuk memansuhkan ISA.

bersih rally petaling street 090711Bagi menutup keaiban itu, Najib terpaksa mempertahankan janji memansuhkan ISA itu kononnya adalah usaha BN sendiri walau pun rakyat melalui pelbagai NGO dan parti-parti pembangkang telah mendesaknya sejak lebih 40 dekad lalu.

Lim berkata janji-janji Najib hanya boleh dipercayai jika beliau berani menangani lima persoalan utama:

“Adakah dengan pemansuhan ISA dan pindaaan undang-undang lain akan dilaksanakan sebelum pilihan raya umum akan datang atau ia cuma umpan janji-janji pilihan raya BN?

“Adakah undang-undang yang akan menggantikan akta-akta zalim yang dimansuhkan itu bakal melahirkan undang-undang yang sama kejamnya dalam bentuk baru; contohnya, memansuhkan ISA tetapi menggubal undang-undang baru yang sama seperti ISA?

azlan“Adakah Najib akan menyokong pemansuhan undang-undang zalim dan kejam seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi?

“Adakah Najib sanggup memansuhkan semua peruntukan dalam undang-undang yang selama ini telah memperlekehkan doktrin pemisahan kuasa termasuk yang tidak membenarkan penelitian semula (judicial review) terhadap keputusan kuasa eksekutif?

“Adakah Najib akan menyokong usul di Parlimen untuk menerima konvensyen-konvensyen hak asasi antarabangsa, khususnya Piagam PBB mengenai Hak Sivil dan Politik serta Piagam PBB mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya?”

bersih rally july 9 crowd face-off with police 1Lim berkata kejayaan rakyat mendesak Najib untuk berjanji menghapuskan ISA adalah melalui usaha serius menentang penindasan dan penipuan kuasa, terutamanya melalui perhimpunan aman BERSIH 2.0.

“Sebelum Najib berangan-angan mahu menjadikan Malasia sebagai 'negara demokrasi terbaik di dunia', beliau perlu menjelaskan kepada rakyat, bila beliau mahu menarik balik pengharaman BERSIH 2.0 dan bila beliau akan menarik balik tuduhan terhadap mereka yang ditangkap kerana kempen BERSIH 2.0?” soalnya. -M'kini

Sejarah merdeka dan 'Mat Sabu direbus hidup-hidup'

Ahmad Lutfi Othman

Seorang rakan melahirkan rasa lega apabila akhbar hari ini, 16 September, lebih tertumpu kepada pengumuman Perdana Menteri memansuhkan akta rimba, ISA.

Riuh-rendah puja-puji buat Najib Razak yang telah melakukan "inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah".

"Kenapa pula?" tanya saya, separuh mendesak.

"Yalah, sekurang-kurangnya akhbar tidak lagi bantai Mat Sabu, lega sikit," balasnya, merujuk paparan media, khususnya Utusan Malaysia dan TV3, yang tidak henti-henti menyerang Timbalan Presiden PAS itu, sejak 27 Ramadan lalu.

"Saya tak nampak isu Mat Sabu ini meletakkan PAS pada kedudukan bertahan, dan menyerahkan posisi menyerang kepada Umno," pintas saya. "Mungkin di peringkat awal nampak kita tertekan, tapi ini 'kan perkara biasa. Kena cara dan strateginya, Umno pula terpaksa menjawab nanti."


"Yang penting, jangan biar Mat Sabu sahaja yang menangkis tohmahan itu," ingatan seorang rakan lain.

Memang ungkapan sepintas lalu Mat Sabu mengenai peristiwa Bukit Kepong boleh mengundang salah tafsir, apatah lagi apabila media bertubi-tubi mendakwa beliau menyamakan Mat Indera dengan tindakan ganas komunis.

Malah, jika kita meneliti laporan akhbar selama 20 hari berturut-turut itu, sentimen bekas anggota polis dan tentera, yang sebahagian besarnya Melayu, dieksploit semahunya. Pelbagai event segera

Bukan setakat melibatkan pesara pasukan keselamatan yang tercedera akibat angkara pengganas komunis (hampir semua yang ditonjolkan media itu berlaku pada era pasca kemerdekaan, termasuk dekad 70-an, dan langsung tiada kaitan dengan ceramah Mat Sabu), tetapi juga membabitkan bekas panglima dan ketua-ketua polis, "yang sudah bijak bermain politik".

Bagaimanapun rakan saya itu lebih risau dengan kemampuan jentera penerangan parti untuk menangkis serangan media Umno.

Beliau kurang yakin dengan rangkaian pengedaran Harakah yang terbatas, apatah lagi media baru seperti laman web, blog, twitter dan facebook, dilihat belum cukup meluas menembusi "kekebalan" Umno di kampung-kampung, termasuk rancangan Felda.

"Saya tidak bimbang kesan jangka panjang kontroversi Mat Sabu, malah ia cukup menekan Umno. Soalnya, kita bakal berdepan PRU13 bila-bila masa. Rugi besar jika isu-isu lain tenggelam begitu saja nanti."

"Umno masuk berkempen dalam setiap rumah melalui TV. Ramai juga, termasuk penyokong PAS, yang terpengaruh atau berjaya diragui oleh Utusan Malaysia," tegasnya, sambil meletakkan tanggungjawab kepada saya dan rakan-rakan di Harakah, untuk bingkas menjawab serangan itu.

"Kadang-kadang pelik memikirkan tabiat orang kita," kata saya, merujuk 'kelemahan' ahli-ahli PAS, "ada kalanya kita sendiri boleh bertegang leher disebabkan laporan Utusan, yang sedia diketahui memang bertujuan melemahkan jemaah. Sekurang-kurangnya dapatlah info yang betul terlebih dulu."

Saya masih percaya kontroversi Mat Indera ini dapat dikendurkan jika subjek utama ceramah Mat Sabu di Tasik Gelugor, iaitu pengiktirafan kepada semua pejuang kemerdekaan dan pembetulan (rekonstruksi) terhadap sejarah negara yang dipesongkan, dapat diletakkan pada landasan sebenarnya.

Sekurang-kurangnya anak-anak muda kini tercari-cari buku dan dokumentasi sejarah kemerdekaan. Nama-nama seperti Ibrahim Yaakob, Mustapha Hussain, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam dan Abu Bakar Baqir menjadi sebutan.

Begitu juga dengan nama-nama pertubuhan Melayu yang radikal seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Gerakan Pemuda Melayu (GERAM), Pemuda Radikal Melayu (PERAM) dan Hizbul Muslimin.

Beberapa ungkapan revolusioner, menandakan penentangan total terhadap penjajah, diminati anak-anak muda, seperti tulisan Ahmad Boestamam dalam Testament Politik API: "Kita menghadapi penjajahan dengan revolusi. Kita tidak segan membasahi bumi ini dengan darah. Pemuda biar hancur, asal tanah air menjadi luhur."

Tidak terkecuali institusi lain yang penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, seperti gabungan pertubuhan politik Melayu, Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan sekumpulan pertubuhan politik bukan Melayu dalam All Malaya Council of Joint Action (AMCJA).

Orang ramai juga mula didedahkan dengan cadangan Perlembagaan Rakyat 1947 yang unik dan bersejarah itu, sebagai asas perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka, tetapi ditolak British. Misalnya, kesediaan para penggiat politik bukan Melayu dalam AMCJA untuk mengetepikan rupa bangsa asal mereka dengan menerima rupa bangsa "Melayu" disifatkan seorang penulis, Abdul Rahman Ismail, sebagai satu perubahan yang cukup revolusioner, sesuatu yang tidak pernah dijangka sebelumnya dan tidak berupaya dicapai lagi selepas itu.

Malah, sejarah penubuhan dan pergerakan parti politik terawal, Parti Komunis Malaya (PKM) turut mendapat tumpuan ramai. Saya kira banyak buku-buku tentang tokoh-tokoh PKM yang berada di pasaran dicari pembaca. Minggu lalu, saya agak kecewa kerana buku yang dicari, mengenai Rashid Maidin di Koperasi Kedai Buku Universiti Malaya, kehabisan stok.

Saya juga yakin nama pejuang-pejuang awal yang berkorban nyawa dan kudrat menentang British mula dikenali secara lebih dekat. Di antaranya, Dol Said, Dato' Bahaman, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau, Dato' Maharajalela, Tok Gajah, Dato' Sagor dan lain-lain lagi.

Begitu juga dengan institusi agama dan bangsa, yang berperanan penting dalam usaha mendirikan sebuah negara merdeka, seperti Pusat Perekonomian Melayu SeMalaya (PEPERMAS), Majlis Tertinggi Agama Tanah Melayu (MATA), Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR), Maahad Al-Ihya Assyarif Gunung Semanggol, Madrasah Al-Diniyah Padang Rengas, dan sebelumnya Madrasah Al-Mashor Pulau Pinang.

Tidak ketinggalan fungsi akhbar sebagai peniup kesedaran umat, seperti Al-Imam, Neracha, Seruan Azhar, Majalah Guru, Al-Ikhwan, Saudara dan Utusan Melayu sendiri, dengan tokoh-tokoh penulis dan pembaharu seperti Syed Syeikh Al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan lain-lain. Pendek kata, sejarah perjuangan bangsa yang panjang itu kian diminati, hanya disebabkan ucapan Mat Sabu yang disensasikan Utusan Malaysia.

Sekurang-kurangnya, buat masa ini, sumbangan golongan kiri dan agamawan, tidak boleh diketepikan. Dakwaan bahawa hanya Umno memperjuangkan kemerdekaan akan menjadi gelak ketawa. Malah semakin ramai yang mempersoalkan sama ada Umno "memperjuangkan kemerdekaan" atau sekadar menjadi "penyambut kemerdekaan".

Ucapan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, sewaktu berucap menerima ijazah kehormat doktor undang-undang dari USM pada 9 Jun 1973 juga disebut kembali, sebagai tanda pengiktirafan kepada golongan selain Umno: "Pejuang-pejuang kemerdekaan waktu itu telah berkumpul dalam dua kumpulan. Satu kumpulan yakin bahawa kemerdekaan hanya boleh dicapai menerusi revolusionary means sementara satu kumpulan lagi percaya dengan proses perlembagaan.

"Sekalipun kemerdekaan dicapai oleh golongan yang moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan itu."

Dari sisi lain, perdebatan sama ada Tanah Melayu dijajah sepenuhnya atau sekadar negara naungan British oleh beberapa profesor yang dikenali rapat dengan Umno, bagi saya, ada manfaat tersendiri. Bukanlah kerana ia melarikan tumpuan polemik yang mula dicetuskan Mat Sabu tetapi lebih merupakan perbahasan yang produktif daripada terkurung dengan tragedi di Bukit Kepong.

Malah, kejayaan membatalkan Malayan Union yang digembar-gemburkan sebagai kemenangan Umno juga diberikan tafsiran berbeda. British dikatakan telah berjaya memindahkan tanggungjawabnya terhadap masa depan orang asing yang telah dibawanya atau digalakkan ke Tanah Melayu untuk kepentingan politik dan geledahan ekonominya dahulu, ke bahu orang Melayu sendiri.

Apabila membandingkan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948, MacMicheal misalnya menyatakan: "Kedua-duanya 75 peratus bertindan-tindih ... penyatuan dalam suatu nama tertentu telahpun dicapai dan lunas kerakyatan bersama telah diterima; yang lain-lain tidak begitu penting."

Buku Jomo KS, Pembangunan Ekonomi dan Kelas Sosial di Semenanjung Malaysia, yang berdasarkan tesis Ph.D beliau boleh dirujuk bagi mendapat gambaran lebih jelas tentang kemasukan orang India dan Cina dari negara asal masing-masing ke Tanah Melayu, bagi kepentingan kapitalis British.

Begitu juga usaha licik lagi terancang British memunggah kekayaan negara ini, khususnya melalui bijih timah dan getah. Misalnya pelaburan British dalam penanaman getah diberikan segenap kemudahan oleh pentadbiran British. Tanah "yang amat murah" disediakan dengan banyaknya untuk diberi milik kepada kepentingan Eropah, terutama melalui enakmen tanah 1897.
Selain itu, seperti dijelaskan Dr Ismail Said dalam bukunya mengenai perjuangan PAS 1951-1970, implikasi pemberian kerakyatan berdasarkan prinsip jus soli (yang ditentang PAS) boleh dilihat dari segi jumlah pengundi dalam pilihan raya umum 1959 berbanding tahun 1955.

Pada 1955, pengundi Melayu berjumlah 1,078,000 (84.2 peratus), berbanding 143,000 pengundi Cina (11.2%) dan 50,000 pengundi India (3.9%).

Bagaimanapun pada 1959, selepas pelaksanaan dasar kerakyatan yang longgar, hasil cadangan Suruhanjaya Reid, pengundi Melayu berjumlah 1,217,000 (56.8 peratus), manakala pengundi Cina berjumlah 764,000 (35.6%) dan 159,000 pengundi India (7.4%). Lihatlah sendiri peningkatan mendadak populasi Cina dan India di Persekutuan Tanah Melayu.

II.

Elok juga kita menilai kritikan yang dihalakan kepada Mat Sabu, terutama oleh mereka yang berbangga dikenali sebagai pemikir Melayu. Salah seorang daripadanya adalah Kamaruddin Kachar, bekas Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel).

Dalam satu forum anjuran Perkasa di Kg Baru, beliau berkata: "Saya minta semua menentang habis-habisan Mat Sabu, komunis bukan sahaja menyerang tapi mereka seksa, tebuk perut dan mahu kita iktiraf komunis.

"Mat Sabu mari sini saya mahu tempeleng dia, jangan main-main dengan kita... Mat Sabu hingus belum kering, biadap dan kurang ajar, kita rebus dia hidup-hidup dan jangan perlekeh Islam dan Melayu," katanya.

Jelas beliau, sekiranya berlaku pertumpahan darah ekoran kenyataan kontroversi itu Mohamad dan PAS perlu bertanggungjawab.

Seorang rakan menelefon saya: "Dah baca kenyataan Kamaruddin Kachar? Dia nak rebus hidup-hidup Mat Sabu, macam perangai firaun yang rebus Mashitah, orang gajinya yang dicampak dalam kawah panas."

Segera saya teringat Kamaruddin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra (dahulu Pertanian) Malaysia, semasa saya mengetuai gerakan mahasiswa di UTM pada 1985-86 dahulu.

Beliau yang kemudiannya menjadi Ketua Pengarah Biro Tata Negara memang dikenali sebagai orang yang cukup kuat menekan gerakan pelajar Islam di UPM. Rasanya Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung KeADILan, yang ketika itu Presiden PMUPM kenal benar gelagat Kamaruddin.

Justeru, saya langsung tidak terkejut dengan "perangai hodohnya" itu, apatah lagi tidak malu-malu mengaku orang yang begitu sensitif dengan "usaha memperlekeh Islam".

Elok sangatlah dia berkawan dengan Ibrahim Ali.

Isu filem Hantu Bonceng: Boleh menggugurkan syahadah.


1. Sungguh menyedihkan ! Ramai pihak sangat kesal dengan kelemahan ketara yang berlaku dalam Lembaga Penapisan Filem [LPF] di bawah Kementerian Dalam Negeri [KDN] dan juga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional [FINAS] di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan [KPKK] sehingga membenarkan filem-filem yang berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan untuk tontotan umum.

2. Filem terbaru yang mengandungi unsur menghina Islam adalah “Hantu Bonceng” yang diarahkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nazri dengan lakonan oleh Mohd Razizan Abd Razak [Zizan RL]. Salah satu babak yang dilakonkan secara jelas menghina Rasulullah SAW apabila Zizan menyebut "Asyhadu anna Muhammadar Syaitan" yang membawa maksud "Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan".

3. Kalimah syahadah bukan perkataan yang boleh dijenakakan atau dipersenda sedemikian rupa justeru ia membawa kesan yang boleh menggugurkan syahadah walaupun ia sekadar lakonan. Sementelah pula filem yang menjadi tontonan umum ini akan mencetus kekeliruan dan gambaran yang salah masyarakat terhadap Islam. Lebih berisiko apabila kelak ia turut merosakkan aqidah masyarakat awam.

4. Dewan Pemuda PAS turut mempersoalkan, sekiranya benar wujud panel penapisan di dalam LPF ataupun diperingkat FINAS sendiri mengenai filem-filem yang bakal ditayangkan untuk tontonan umum mengapa masih wujud babak yang menimbulkan kontroversi ini ? apa yang ditapis selama ini ? penapis apa yang mereka pakai ? penapis tea ? atau penapis cendol yang berlubang besar ? sehingga masih banyak adegan yang "menyenakkan mata" dan mengganggu sensitiviti masyarakat, lolos menjadi paparan umum melalui filem yang telah diluluskan.

5. Lebih malang, pihak berkuasa agama seperti kaku dan kelu tidak tahu berbuat apa -apa meskipun berdepan dengan isu penghinaan terhadap Islam. Sedih sungguhnkami dibuatnya. Apalah erti dan makna pihak berkuasa agama ? sebelum ini, JAKIM seperti tiada kuasa dan tiada apa yang boleh dilakukan malah untuk menerima memorundum pun tidak berkeupayaan apabila tercetus isu penghinaan terhadap Islam dan syariatnya oleh Mak Cik Hajjah Sitt Al Wuzara.

6. Lambakan filem tahyul dan karut menerusi tontonan umum di kaca televisyen samaada melalui chanel RTM ataupun chanel swasta seperti Astro terus bermaharajalela tanpa sebarang tindakan berkesan oleh pihak berkuasa agama. Apa sudah jadi ? Apakah pihak berkuasa agama tidak menyedari perkara ini ? jika orang awam pun menyedari berlakunya perkara ini, bagaimana pihak berkuasa agama masih tidak menyedarinya ?

7. Kerajaan juga selayaknya serius melihat perkara ini. Jangan biarkan filem menjadi medium untuk menghina, mempersenda dan memperkecilkan Islam di dalam negara ini. Sebelum ini, peka benar kerajaan terhadap isu Kalimah Allah, Isu Gereja dan isu komunis yang tidak wujud. Kenapa dalam perkara ini pihak kerajaan dan jabatan Agama kelihatan seperti "mati pucuk" ? tidak tahu dan tidak berupaya bertindak selayaknya.

8. Dewan Pemuda PAS sangat khuatir sekiranya tidak ada satu garis pandu yang berlandaskan Syariat Islam menjadi rujukan kepada LPF dan FINAS, filem-filem yang lebih “luar biasa” akan dihasilkan dan mungkin diluluskan kerana keuntungan yang bakal diperolehi oleh pihak-pihak tertentu tanpa menimbang tara impak yang akan berlaku. Bukan sahaja kepada filem tempatan yang semakin hari semakin memperlihatkan kepada umum bagaimana hilangnya nilai seni, moral, adab serta adat ketimuran tetapi juga kepada filem luar [asing] yang mengundang kepada keruntuhan moral, akhlak, pemikiran dan budaya masyarakat kita.

9. Justeru, Dewan Pemuda PAS meminta pihak FINAS mahupun LPF untuk mewujudkan panel syariah yang berauthoriti sebagai lembaga penapisan yang tertinggi terutama dalam menapis cerita atau filem yang mempunyai kaitan dengan agama Islam. Selain itu, Dewan Pemuda PAS juga menyeru kepada mereka yang terlibat secara lansung di dalam industri ini seperti penerbit, pelakon dan penyiar untuk merujuk kepada alim ulamak seperti mufti atau pihak berkuasa Agama seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia [JAKIM] terlebih dahulu sebelum menerbitkan sesebuah filem. Jangan apabila sudah wujudnya kontroversi baru mencari ulamak untuk melepaskan diri.

10. Dewan Pemuda PAS juga menyeru kepada para artis untuk meneliti dan membuat kajian terlebih dahulu mengenai skrip yang bakal dilakonkan oleh mereka. Sekiranya skrip tersebut mengandungi unsur-unsur yang dirasakan bertentangan dengan fitrah dan juga berpotensi untuk mencemarkan kemuliaan Islam maka bertanyalah kepada para ulamak . Perkara ini juga mesti dilakukan oleh pihak penerbit, pengarah mahupun pelakon agar tidak mewujudkan suasana kontroversi seperti ini.

Semoga industri filem negara terus maju dan berkembang ke serata dunia dengan membawa imej negara yang baik dan gemilang tanpa perlu mencetus elemen lucah, persendaan terhadap agama, tahyul dan perlecehan akhlak semata - mata untuk dijadikan tangkal pelaris filem di bioskop antarabangsa.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.


GST Selepas PRU 13 : Pastikan Pengundi Tidak Pilih BN


Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (LPAS) meminta pengundi tidak mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya akan datang ( ke 13) bagi memastikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak dilaksanakan. Ini ekoran komitmen Perdana Menteri dalam sebuah kenyataannya semalam bahawa GST akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat iaitu selepas PRU ke 13.

Dalam pada itu, LPAS berterima kasih kepada PM yang berani berterus terang kepada rakyat bahawa kerajaan akan melaksanakan satu lagi dasar yang akan mencekik darah rakyat. Dalam beberapa hari lepas, cukai 6% prabayar hendak dilaksanakan namun terpaksa ditangguhkan kerana bantahan rakyat. Penangguhan ini bukan bermaksud tidak dilaksanakan langsung, ia akan dilaksanakan juga. Paling selamat untuk dilaksanakan adalah selepas PRU ke 13, selepas rakyat digula-gulakan dengan segala macam janji manis.

GST adalah cukai barangan dan perkhidmatan. Nilainya adalah 4%, sedikit bagi mereka yang hidup mewah, tetapi amat menekan bagi golongan berpendapatan rendah. GST akan mengena pada semua lapisan masyarakat, tidak kira usia atau golongan. Sudah tentu yang mendapat laba besar adalah kerajaan sementara yang merana adalah rakyat.

Yang hairannya, Malaysia adalah negara yang kaya dengan pelbagai sumber. Daripada laut, bumi, hutan, pelancongan, pertanian, industri dan lain-lain lagi. Malaysia juga adalah pengeluar Petroleum. Berbanding dengan negara jiran seperti Singapura, sepatutnya Malaysia jauh lebih kaya dengan meninggalkan negara-negara yang tidak ada hasil bumi. Dalam keadaan demikian, masih banyak lagi cukai yang dikenakan kepada rakyat. Banyak lagi cukai baru akan diperkenalkan nanti. Pendapatan rakyat tidak pula bertambah. Dasar gaji minima yang diminta oleh rakyat untuk dipertimbangkan masih lagi tidak dipedulikan.

Justeru, LPAS meminta rakyat agar mempertimbangkan kembali sokongan kepada BN dalam PRU ke 13. Mengundi BN ibarat masuk ke perangkap yang akan menyiksa rakyat buat beberapa tahun lamanya. Sudah 54 tahun negara merdeka, dan sudah berbelas kali peluang diberikan namun BN tetap tidak berubah. Slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ adalah slogan retorik politik. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat sendiri. LPAS percaya, rakyat Malaysia semakin cerdik untuk menilai suasana politik dalam negara. LPAS mengharapkan PRU ke 13 kali ini adalah titik perubahan untuk rakyat Malaysia. Bebaskan Malaysia dari (BN) Beban Negara!

Disediakan oleh;

YB UST.MOHD FIRDAUS JAAFAR
Pengerusi

ISA: Selama Ini PR & NGO Menentangnya, UMNO/BN & Perkasa Mempertahankannya

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan pemansuhan ISA dan penyemakan akta-akta yang dianggap "decronain" oleh Perdana Menteri pada malam perayaan 16 September 2011 adalah satu pengiktirafan peranan parti pembangkang dalam melaksanakan apa yang dikatakan "check and balance" dalam sebuah negara yang mendakwa mengamalkan sistem demokrasi.

Menurutnya, peranan pembangkang yang konsisten dan berani untuk menyuarakan perjuangan rakyat yang menjadi mangsa kezaliman ISA dan akta-akta yang jelas melanggari prinsip-prinsip kebebasan dan hak asasi manusia selama lebih lima puluh tahun adalah bukti kukuh yang mana akhirnya kerajaan BN akur dan menginsafi akan peranan pembangkang didalam dan diluar parlimen.

Pengumumuan Perdana Menteri yang bersedia memansuhkan ISA dan akta-akta draconian yang lain adalah merupakan anjakan paradigma minda rakyat yang memperakui peranan institusi pembangkang dalam sebuah negara yang sedang berjuang untuk menyuburkan sistem demokrasi seperti Malaysia, tambahnya di dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Salahuddin yakin bahawa rakyat negara ini telah membuka mata mereka untuk mengiktiraf kemenangan mereka sendiri melalui perjuangan yang begitu panjang dan memberikan komitmen mereka kepada Pakatan Rakyat untuk melaksanakan perubahan total dalam pilihanraya akan datang.

Di dalam satu perkembangan berasingan, Datuk Seri Najib Razak tetap akan menafikan keputusannya memansuhkan ISA adalah hasil perjuangan Pakatan Rakyat, walaupun orang ramai amat faham dengan realiti itu, demikian kata AJK PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa, harakahdaily dipetik.

Penentangan Pakatan Rakyat terhadap ISA antara lain terbukti dengan penubuhan sebuah NGO, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang membabitkan para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat, tetapi dipersendakan oleh para pemimpin Umno.

PAS, PKR dan DAP telah bersama dengan GMI sejak NGO itu ditubuhkan pada tahun 2008 lalu, manakala Umno pula menuduhkan para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat serta aktivis GMI sebagai kumpulan yang tidak memahami ISA dan kepentingannya untuk negara.

Menurut beliau, penentangan para pemimpin Umno terhadap perjuangan untuk memansuhkan ISA oleh Pakatan Rakyat disuarakan oleh para pemimpin Umno di dalam persidangan Parlimen.

Katanya, selain itu, Umno menerusi proksinya, Perkasa turut menyuarakan penentangan terhadap perjuangan Pakatan Rakyat itu dengan mengadakan himpunan khas, tetapi gagal menarik minat ramai apabila hanya dihadiri sejumlah kecil peserta sahaja.

"Realiti itu amat jauh berbeza dengan himpunan yang diadakan oleh GMI yang dihadiri puluhan ribu orang yang juga para penyokong Pakatan Rakyat," katanya..

Media pro Umno sejak kelmarin melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan bahawa langkah kerajaan memansuhkan akta ISA adalah "hasil perjuangan" Pakatan Rakyat

Sebaliknya, menurut Najib, langkah berkenaan dibuat oleh Kerajaan BN kerana Kerajaan BN mendengar isi hati rakyat yang mahukan perubahan.

Sehubungan itu, Najib meminta agar jangan ada orang hendak 'claim credit' kononnya pengumuman itu adalah hasil perjuangan mereka.

Ulasan seperti itu dibuat oleh Najib sejak keputusan memansuhkan ISA diumumkan menerusi perutusan Hari Malaysia pada 16 September.

Selain itu, beliau juga berkata demikian sebagai mengulas reaksi segera yang ditimbulkan pemimpin Pakatan Rakyat yang mengatakan langkah Kerajaan BN memansuhkan ISA merupakan salah satu usaha yang digariskan dalam manifesto Buku Jingganya.

Namun menurut Najib, pemansuhan akta itu dibuat untuk memenuhi janji beliau semasa mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri, manakala tindakan itu akan meletakkan Malaysia atas landasan lebih progresif dan terbuka dalam memelihara ketenteraman awam.

"Perubahan yang saya umum itu kerana kita dengar suara dan isi hati rakyat," katanya yang turut diperdengarkan dalam program Sirih Pulang ke Gagang di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam kelmarin.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, kenyataan berulang kali yang dikeluarkan oleh Najib itu jelas menunjukkan Najib menolak tekanan yang dialaminya berhubung perlaksanaan ISA selama ini.

"Tetapi perkara itu tidak boleh dinafikan oleh Datuk Seri Najib. Menafikan tekanan dari Pakatan Rakyat yang dialaminya berhubung perlaksanaan ISA selama ini sehingga membawa kepada pemansuhan akta itu tidak akan memberikan sebarang keuntungan kepada Perdana Menteri," katanya.

Malah, semakin dinafikan oleh Perdana Menteri, tegas beliau, semakin ketara pula kesombongan dan ketidakikhlasan Perdana Menteri berhubung pemansuhan ISA yang diumumkan pada 16 September lalu yang dikatakan untuk tranformasi politik di tanah air.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .