Ikuti Blog ini
Fenomena "Listen Listen Listen": Template Tarbiyah UMNO BN Untuk Pelajar IPT ,Rabu, Januari 16, 2013 at 16.1.13,
#Listen #Listen #Listen
MUSTAHIL anda tidak faham lawak tajuk di atas. Mustahil! Dalam dunia serba canggih dan maklumat di hujung jari ini, tipulah kalau anda kata anda tak tahu apa yang saya maksudkan. Begitu pantas sekali lelucon ‘listen, listen, listen’ ini tersebar di ruang maya sehinggakan dalam kurang 24 jam, Presiden Suara Wanita 1Malaya (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin berjaya menumpaskan seorang warga siber sensasi ‘Shasha Mendoza’ yang menjadi sumber hilai tawa ketika berlangsungnya himpunan KL112.
Saya tidak sanggup menonton video forum ‘Seiringkah Mahasiswa Dengan Politik’ yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu. Satu kerana saya rasa tajuk forum itu bodoh. Dan kedua, saya tak sanggup tengok orang bodoh memperbodohkan diri.
Apa yang saya tahu ialah Sharifah Zohra bertindak merampas mikrofon daripada seorang mahasiswi UUM bernama Bawani, mungkin kerana sudah tidak dapat menahan lagi keperluan untuk mematahkan soalan Bawani mengenai perkara sensitif, termasuk perihal ekonomi dan pendidikan.
Lumrah orang yang tidak boleh menjawab soalan, akan membalas soalan dengan meroyan. Itulah yang dilakukan Sharifah Zohra. Bukan sekali, malah SEPULUH kali beliau berkata ‘Listen’ (dengar) kepada Bawani, ketika belum sempat mahasiswi itu menghabiskan soalannya. Sambil memegang mikrofon yang dirampas, Sharifah Zohra harus pula menuturkan ‘Let me speak’ (bagi saya bercakap) sehingga tujuh kali. Kau dah pegang mikrofon, siapa lah yang nak halang kau bercakap.
Yang lebih menggelikan buah pinggang, hujah-hujah Bawani dibalas Sharifah Zohra dengan ‘animals have problem’, ‘kucing ada masalah’, ‘anjing boleh menggonggong’, ‘lembu kambing ada masalah’, ‘kita manusia lebih rakus daripada ikan’, ‘and you tau tak binatang apa yang paling banyak sekali masalah?’, ‘pernah makan shark fin?’
Ini saya kutip daripada surat terbuka yang ditulis orang kepada sang Presiden SW1M. Saya sehingga kini masih tidak sanggup menonton sepenuhnya video terbabit; risau saya akan dapat mendengar IQ saya jatuh merudum. Tambahan pula saya punya pundi kencing yang lemah.
Pembodohan
Apa yang kita lihat (err.. anda lihat) dalam video itu adalah sejenis pembodohan terancang yang dijana kelestariannya oleh kehendak United Malays National Organisation yang mahukan orang Melayu ini bengap sebengap-bengapnya supaya mudah ditolak ke tepi ke tengah dan diperintah-perintah. Lihat sahaja gaya macainya di SW1M itu yang menyuruh orang ‘listen’ sampai sepuluh kali kepada kata-katanya yang entah apa-apa.
Inilah dia ‘template’ pentarbiyahan UMNO terhadap anak-anak kalian di universiti dan sekolah-sekolah yang diheret ke latihan Biro Tata Negara. Pembodohan yang dipaksakan ini adalah rencah asli sup bunjut UMNO yang dihidangkan saban hari melalui media arus perdananya di kaca televisyen dan dada akhbar serta menjadi asas pembentukan mentaliti rakyat supaya tidak menyoal dan merelakan apa sahaja yang berlaku.
Namun begitu apa yang menyebabkan semua ini menjadi kelakar ialah respon Ketua Pemuda UMNO, Saudara Khairy Jamaluddin.Ketawa besar saya semalam setelah membaca kicauannya di laman sosial ‘Twitter’.
Akaun rasminya, @Khairykj menyiarkan ‘And on UUM issue. Please #listen to me: this Jabeen lady DOES NOT represent BN. Sekian,’ (Dan tentang isu UUM itu, tolonglah dengarkan saya. Perempuan Jabeen ini tidak mewakili BN.Sekian). Barangkali KJ pun sudah puas ketawa berdekah dan rasa terpaksa ikut serta untuk ‘menganjing’ respon si Jabeen.
Usaha Khairy untuk mengawal keadaan ini ternyata gagal. Takkan lah UUM nak biar siapa-siapa sahaja masuk berpogram dalam kawasannya jika tidak punya tauliah, apatah lagi tauliahan UMNO dan logo 1Malaysia. Lumrah, kalau sudah bodoh dan buruk, semua orang tak mahu mengaku kawan. Kasihan si Jabeen.
Fungsi universiti
Pastinya universiti itu adalah tempat untuk belajar dan tiada cara yang lebih baik untuk belajar selain bertanya soalan. Untuk ini Pakatan Rakyat menjanjikan kebebasan akademik tanpa campur tangan politik yang mengekang kebebasan berfikir dan bertanya soalan, lagi-lagi soalan yang bisa menyengat dan sensitif mengusik kalbu pemerintah.
Universiti pastinya bukan tadika. Tidak ada pasal untuk ada pihak-pihak tertentu masuk ke kampus dan menyuruh orang mendengar kata-katanya. Mahasiswa punya hak untuk memilih; samada untuk mendengar atau tidak, untuk percaya atau tidak. Dan mahasiswa juga berhak menyoal. Barulah namanya forum. Kalau mahu bercakap sahaja tanpa perhubungan dua hala daripada audien, jadilah DJ radio. Mudah.
Pindaan terhadap AUKU yang membenarkan mahasiswa berpolitik seharusnya dijadikan titik tolak untuk menerapkan kesedaran dan partisipasi politik di kalangan anak muda. Kalaupun UMNO mahu terus mendoktrinkan kebodohan ideologi politik etnosentriknya, lakukanlah dengan bijaksana dan dengan hujah-hujah yang ilmiah. Apabila saya sebut ilmiah, maksud saya hujah yang tidak mengaitkan masalah-masalah kambing, anjing dan ikan jerung dalam perdebatan yang sihat.
Forum akademik, walaupun tajuknya berbunyi bodoh; sewajarnya dijalankan dengan penuh rasa hormat kepada ilmu dan tempat menuntut ilmu Universiti bukan taman asuhan kanak-kanak riang untuk disumbat-sumbat kepala otak anak mahasiswa itu dengan maklumat tanpa soal jawab. Malahan budak-budak tadika sekarang pun sudah pandai bersoal jawab. Jabeen mungkin tidak datang daripada sistem pendidikan yang maju itu.
Listen
Ya, pastinya ada masa untuk mendengar. Dan masanya ialah sekarang. UMNO dan juak-juaknya telah menutup telinga sejak Mac 2008 dan tidak mempedulikan suara rakyat yang mahukan perubahan. Seperti budak kecil yang menutup telinga sambil menyanyi ‘lalalala’ tidak mahu dengar cakap orang tua; begitulah perangai kanak-kanak UMNO dan Barisan Nasional kini yang tidak akan langsung mengambil iktibar daripada tempeleng maha hebat lima tahun lalu.
Kini UMNO terus hidup dalam penafian, dan akan mati dalam penafian dan angan-angan yang mengabui matanya sendiri.
Penyudah kepada forum anjuran proksi UMNO di UUM itu pastinya tidak mendapatkan apa-apa hasil selain daripada hilai tawa masyarakat yang menyaksikan pembodohan oleh pecacainya yang gagal sama sekali mengubah pendirian rakyat untuk menghumbankan UMNO dan macai-macainya itu ke lohong paling gelap dalam sejarah negara.
UMNO seharusnya mendengar teguran ramai, atau menanggung risiko untuk pupus selama-lamanya.
Listen! – Izmil Amri/[Roketkini]
Semuga Datuk Siti Istiqamah Bertudung Penuh , at 16.1.13,
Berhijab Penuh: Siti Nurhaliza Tunai Janji Dengan Fans Manis bertudung litup sejak menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-34 pada 11 Januari lalu, penyanyi tersohor Dato’ Siti Nurhaliza Taruddin mengesahkan bahawa keputusannya untuk berimej sopan dengan berhijab penuh itu dilakukan dengan kerelaan hatinya sendiri.
Malah, Siti Nurhaliza berkata sudah tiba masanya dia menunaikan kata-kata serta janjinya selama ini yang mahu berhijab penuh sebaik sahaja pulang daripada menunaikan Haji di Kota Suci Mekah tidak lama dulu.
“Inilah doa daripada orang ramai dan peminat. Saya pernah kata dulu yang saya akan berhijab penuh, dan kini saya tunaikan jua. Alhamdulilah pada hari jadi saya yang ke 34 yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat saya mengambil keputusan untuk berhijab penuh,” katanya ringkas yang tidak berniat untuk mengulas lanjut.
Siti Nurhaliza ditemui murai.com.my di majlis resepsi ketiga penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apex dan Leuniey di Hotel Royale Damansara, malam semalam.
Pada majlis yang berkonsepkan English itu, Siti telah menyumbangkan sebuah lagu untuk kedua-dua mempelai yang berjudul Kengan Terindah dendangan Samsons.
Mengenakan gaun berwarna cokelat lembut atau nude colour rekaan pereka fesyen kegemarannya, Rizman Ruzaini, penampilan Siti itu telah dipadankan dengan tudung litup dari rona serupa.
Bukan sekadar tudung dan gaun dari rona serupa, dia turut memadankan penampilan mempesonanya itu dengan clutch serta tumit tinggi warna yang sama. -murai
Semuga Datuk Siti istiqamah dengan tindakannya memakai tudung penuh tersebut.
Itu yang pertama. Yang kedua semuga Datuk Siti mensucikan niat bertudung penuh itu kerana Dia, bukan dikeranakan dengan kerana-keranan yang lain.
Semuga kehidupan Datuk Siti sekeluarga dilimpahi hidayah, inayah, perlindungan dan rahmatNya. -GB
Penjelasan Bawani Berkenaan Isu Cik Pah LISTEN , at 16.1.13,
Insiden memalukan di Universiti Utara Malaysia (UUM) secara jelas memperlihatkan sisi hodoh bagaimana universiti kita hanya mahu mengajar surah-surah yang memuja Barisan Nasional (BN) dan memburukkan Pakatan Rakyat semata-mata.
Jika tidak dengan keberanian mahasiswa bernama Bawani KS mempertahankan hujah hingga gagal dijawab panelis serba dangkal pro-BN, Sharifah Zohra Jabeen tersebar di laman perkongsian video Youtube, tiada siapa yang terasa panas termasuk timbalan menteri pengajian tinggi, Saifuddin Abdullah.
“Sekarang orang ramai akan tahu apa yang berlaku di universiti awam dan bagaimana mereka boleh menganjurkan forum ‘Mahasiswa dalam politik’ dan menggunakannya untuk ‘brainwash’ pelajar dengan memberitahu mereka perhimpunan jalanan adalah salah sambil menunjukkan gambar-gambar pemimpin pembangkang seperti Nurul Izzah dan memberitahu kita agar tidak mencontohi mereka,” kata Bawani.
Walaupun tidak kecewa kerana dicaci secara terbuka, Bawani masih kesal tentang bagaimana keseluruhan forum dianjurkan untuk menjadikan pelajar universiti menentang perhimpunan Bersih dan perhimpunan jalanan untuk memperjuangkan hak rakyat.
“Dalam kebanyakan forum, mereka menunjukkan klip video perhimpunan dan gambar-gambar wanita yang terlibat dalam perhimpunan dan kemudian memberitahu pelajar-pelajar ini bagaimana wanita perlu bertindak atau berkelakuan dan tindakan tersebut adalah salah,” katanya menceritakan ketika dihubungi.
Nampaknya Saifuddin lebih berminat mencari publisiti murahan sanggup meminta supaya Bawani berhubung dengannya daripada meminta penjelasan Sharifah Zohra yang terang-terang menghina keintelektuakan mahasiswa dalam konteks minda terbuka, mengkritik dan dikritik.
“Dia memberitahu saya dia menyokong saya dan saya menjawab pemimpin NGO seperti Sharifah tidak harus dibenarkan untuk menganjurkan apa-apa forum yang berat sebelah dalam universiti awam,” katanya.
Sepatutnya Saifuddin menasihatkan mana-mana panelis yang dijemput hadir ke sesi percambahan minda sebegini supaya mengenepikan sentimen 'mahu menang' sebaliknya menumpukan perhatian dengan mendengar pandangan mahasiswa kemudian menjawabnya dengan fakta bukannya ikan jerung.
Jika beginilah yang ditunjukkan Sharifah Zohra bermakna Saifuddin telah gagal 'mendisiplinkan' penyokong BN seperti Sharifah Zohra dan harus meminta maaf secara terbuka kerana ia bukan setakat menghina mahasiswa malah program cuci otak sebegini sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa yang maklumat diterima begitu pantas.
Nyata kementerian pengajian tinggi sekali lagi hanya membenarkan program memandulkan pemikiran mahasiswa diadakan di universiti awam tanpa memikirkan kesan jangka panjangnya terhadap kemajuan negara pada masa akan datang.
UMNO Kalah Lagi: Anwar Menang Saman, Khairy Tarik Balik Fitnah , at 16.1.13,
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menang kes saman terhadap Khairy Jamaluddin Abu Bakar berikutan Ketua Pemuda Umno itu menarik semula kenyataan fitnah beliau ke atas Ketua Umum KEADILAN dan kes selesai.
Khairy sebelum ini berpendirian bahawa beliau ada menuturkan kata-kata terhadap plaintif (Anwar) adalah pengkhianat Melayu dan boneka kepada Amerika Syarikat dan Yahudi.
Semalam, Khairy menarik balik kenyataan tersebut dan mengambil pendirian beliau tidak pernah berkata demikian.
“Sekarang Khairy mengatakan beliau tidak pernah mengucapkan kata-kata tersebut. Ini bertentangan dengan pendiriannya sebelum ini. Pihaknya tarik balik dan kita berpuas hati,” kata Anwar mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Khairy kata saya pengkhianat Melayu, dah tarik balik maksudnya saya ni pahlawan Melayulah…,” seloroh Anwar yang berpuas hati dengan keputusan tersebut.
Hadir sama mendengar keputusan yang dibacakan oleh Hakim Datuk Su Geok Yiam adalah Khairy dan seorang lagi peguam Anwar, Gobind Singh Deo.
Ekoran tindakan Khairy itu, Anwar mengingatkan pemimpin Umno agar berhenti menggunakan saluran media sesuka hati untuk memburukkan imej beliau.
Peguam mewakili Anwar, Haijan Omar turut berpuas hati dengan penarikan tersebut.
“Dia (Khairy) menarik balik sebab bertentangan dengan pendirian beliau sebelum ini. Kita berpuas hati dan setuju untuk selesaikan,” kata Haijan kepada pemberita.
“Lagipun ia menjimatkan masa dan kos semua pihak,” tambahnya.
Anwar memfailkan saman tersebut pada 7 September 2007 dengan mendakwa Khairy yang ketika itu Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Umno menfitnah beliau semasa menghadiri satu majlis politik di Kuala Kangsar, Perak, pada Ogos 2007.
Menurut beliau, kenyataan fitnah itu disiarkan oleh media cetak dan eletronik dalam negara pada 3 Ogos 2007.
Anwar juga mendakwa kenyataan itu menggambarkan beliau sebagai seorang ahli politik yang tidak boleh dipercayai oleh orang Melayu, yang tidak mengutamakan perjuangan orang Melayu serta hak mereka, dan beliau berkeupayaan untuk mengkhianati perjuangan dan hak orang Melayu demi mendapatkan sokongan bukan Melayu dalam negara.
Beliau turut berkata, Khairy membuat kenyataan itu untuk menyindir bahawa beliau (Anwar) merupakan seorang ejen politik Amerika Syarikat dan pihak Yahudi, di samping bertujuan memusnahkan kerjaya politiknya, dan Khairy menurutnya berniat jahat ketika membuat kenyataan itu yang merupakan satu pembohongan, tidak berasas dan tidak benar.
Selain ganti rugi am, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, Anwar turut memohon injunksi bagi menghalang Khairy, atau ejennya, daripada mengulangi kenyataan itu.
Listen: Pemuda PAS temui Bawani ucap tahniah , at 16.1.13,
KAMPAR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang diwakili Exconya, Mohd Hakim Mohd Nor telah bertemu dengan mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani yang menjadi buah mulut masyarakat ketika ini setelah berani tampil ke depan menyatakan pandangannya pada satu forum yang dianjurkan di universiti tersebut.
Pertemuan singkat itu diadakan di kediamannya di Air Kuning, Kampar semalam yang turut disertai oleh Exco Pemuda PAS Perak, Isran Fahmi dan Ketua Pemuda PAS Tapah, Shamsul Busra.
Mohd Hakim mengucapkan sekalung ucapan tahniah kepada Biwani mewakili DPPM atas keberaniannya menyatakan pandangan di program yang dianjurkan itu.
Katanya, Pemuda PAS sentiasa memberi sokongan kepada beliau yang berani berhadapan untuk menyatakan kebenaran di khalayak ramai.
Bawani, seorang pelajar yang aktif memperjuangkan hak rakyat dan mahasiswa menceritakan tentang kejadian itu kepada wakil Pemuda PAS.
Menurutnya, program tersebut berlaku kira-kira sebulan lalu dan sangat terkejut video itu meletup sejak semalam selepas Harakahdaily mengeluarkan berita video tersebut.
Kata beliau, ramai yang menelefon beliau memberi sokongan dan semangat termasuklah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
Ketika ditanya apakah respons UUM selepas tersebarnya video itu, Bawani berkata beliau belum menerima sebarang panggilan daripada pihak universiti.
Beliau sangat berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan padu kepadanya dan ianya akan menambahkan lagi semangatnya untuk berjuang mengangkat hak rakyat khususnya suara mahasiswa. -Hrkh
Lim Guan Eng & PRkah Yang Sebabkan Melayu Di Johor Semakin Merempat? , at 16.1.13,
Kedudukan Melayu Johor membimbangkan
Tanah kerajaan diswastakan tanpa mengira harga dan mudaratnya kepada bangsa Melayu serta rakyat Johor keseluruhannya.
KUALA LUMPUR: Masa depan hak ekuiti masyarakat Melayu Johor kini didakwa semakin merosot dan jurang perbezaan prestasi ekonominya kian membesar akibat lambakan pelabur asing masuk ke negeri itu.
Kebimbangan itu dinyatakan wakil agensi kerajaan, perwakilan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPPMM) dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam satu resolusi Kongres Ekonomi Melayu Peringkat Zon Selatan.
Presiden DPMM Datuk Syed Ali Alattas ketika membentangkan resolusi yang tercapai pada 6 Januari lalu itu berkata, kongres turut kesal dengan isu hak milik tanah orang Melayu Johor apabila tanah kerajaan diswastakan tanpa mengira harga dan mudaratnya kepada bangsa Melayu serta rakyat Johor keseluruhannya.
Syed Ali berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor akan ditentukan daripada projek pembangunan Iskandar Malaysia di mana 80 peratus daripadanya dikuasai pelabur asing.
“Projek Iskandar memundur dan memiggirkan orang Melayu dari segi ekonomi sekaligus meningkatkan jurang kemiskinan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Katanya, pendapatan perkapita penduduk Johor juga semakin rendah apabila kebanyakan masyarakat Melayu kini tidak mampu lagi membeli rumah di sekitar kawasan Iskandar.
`Tanah sendiri dimiliki orang asing’
“Bayangkan rumah dengan keluasan 1, 300 kaki persegi kini mencecah RM1juta.
Individu yang bergaji RM5,000 pun tak mampu membelinya kerana bank hanya membenarkan pinjaman sehingga RM200,000 sahaja.
“Lebih teruk tanah sendiri dimiliki orang asing…ini situasi merbahaya yang dihadapi penduduk Johor,” katanya.
Koridor pembangunan yang dimiliki Khazanah Nasional Berhad dan terletak di Selatan Johor itu mempunyai keluasan kira-kira 500,000 ekar, kira-kira tiga kali ganda daripada keluasan Singapura.
Sehubungan itu, Kongres itu mencapai satu resolusi mahu mendesak kerajaan memperuntukkan 30 peratus (24,000 ekar) Nusajaya kepada orang Melayu.
Selain itu, kongres turut meminta Jambatan Selat Tebrau yang dikenali sebagai ‘Jambatan Bengkok’ yang terbengkalai diteruskan semula.
“Rugi kalau jambatan yang dibina dengan kos RM700 juta itu terbiar.
Kalau tambah modal RM700 juta lagi boleh selesai,” katanya.
Kongres itu juga mengambil ketetapan untuk menggunakan status Melayu, dan bukan lagi Bumiputera bagi mengelakkan daripada penyelewengan dan kekeliruan kepada status ‘Bumiputera’ dimanipulasi oleh pihak lain demi keuntungan pihak tertentu. -FMT
Langgan:
Catatan (Atom)