(Bekas Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ir.
Ismail Bin Samion [dua dari kanan] mengumumkan penyertaannya ke dalam
PAS)
KUALA LUMPUR: Seorang lagi tokoh masyarakat
mengumumkan penyertaannya ke dalam PAS hari ini sebagai penyataan
sokongan kepada Pakatan Rakyat menuju Putrajaya.
Leftenan Jeneral
(B) Datuk Ir. Ismail bin Samion, adalah bekas Naib Canselor Universiti
Pertahanan Nasional (UPNN) menyerahkan borang permohonannya kepada
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.
Turut serta di majlis yang diadakan di Pusat Media PAS itu adalah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Mahfuz
ketika mengalu-alukan kemasukan Ismail, berkata lonjakan ini akan
memberi ruang kepada mana-mana bekas tentera untuk tampil berani
bersama-sama menyokong Pakatan Rakyat.
(Datuk Ismail menyerahkan borang kepada Datuk Mustafa hari ini)
"Bukan sahaja bekas tentera, malah anggota tentera yang masih
berkhidmat pun perlu bersama-sama berani membuat perubahan. Sehubungan
itu, saya menyeru yang lain, khususnya TUDM untuk menjejaki langkah
Datuk Ismail ini," kata beliau kepada wartawan.
Mustafa pula
menyifatkan kemasukan Ismail itu merupakan satu gambaran kesedaran yang
menyeluruh di kalangan rakyat yang mahukan perubahan.
"Saya
melihat kemasukan daripada kalangan bekas pegawai kerajaan, sama ada
tentera ataupun sivil, ia satu gambaran kesedaran yang menyeluruh untuk
membuat perubahan," kata beliau.
Beliau juga berharap dengan kemasukan Ismail ini akan memperkemaskan lagi jentera kempen Pakatan Rakyat, khususnya di Kedah.
Dilahirkan
di Kuala Nerang, Kedah pada 23 Nov 1951, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ir.
Ismail Bin Samion (TUDM) merupakan lulusan dari Universiti Reading, UK
dalam bidang kejuruteraan mekanikal pada tahun 1980.
Beliau telah
berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia selama 38 tahun sebagai
seorang jurutera dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Komandan
Akademi Tentera Malaysia (MAM) dan akhirnya sebagai Naib Canselor (VC)
di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Kerjayanya
dalam TUDM bermula sebagai seorang jurutera junior di skuadron
pengangkutan (helikopter) dan semakin memuncak apabila dilantik ke
jawatan Penolong kepada Ketua Tentera Udara (Kejuruteraan).
Beliau dilantik sebagai ketua jurutera TUDM (1997 hingga 2000) sebelum dilantik sebagai komandan MAM pada tahun 2001.
Apabila
Akademi dinaik taraf kepada Universiti Pertahanan, pada tahun 2006,
beliau telah dilantik sebagai Naib Canselor pertama. Beliau merupakan
jurutera pertama yang dilantik sebagai Naib Canselor sesebuah IPTA.
Selain
daripada itu, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting lain
di dalam berbagai sektor industri dan kejuruteraan Malaysia.
Beliau
juga sangat aktif dalam menyokong aktiviti-aktiviti Industri Pembinaan
dalam sebagai seorang penilai panel (2005 hingga 2010).
Beliau
juga merupakan salah seorang daripada perintis bagi Lembaga Pembangunan
Industri Pembinaan (CIDB) dalam menilai dan mencadangkan penerima
anugerah The CEO of the Year dan The Prominent Award.
Beliau
pernah mewakili Institusi Jurutera (IEM) di dalam Lembaga Panel
Tatatertib, Peguambela & Peguamcara (2010 hingga 2012) dan juga
sebagai ahli PEMUDAH Selangor (2010 hingga 2012).
Mempunyai
seorang isteri, Datin Khalijah Hashim dan dikurniakan 4 orang
cahayamata. Ayah beliau, Samion bin Mohamad, adalah salah seorang bekas
anggota tentera yang terkorban ketika Kedah diserang komunis pada tahun
1954. Ibu beliau bernama Aminah bt Ishak.
Penyertaannya ke dalam
PAS hari ini melambangkan kesediaan Pakatan Rakyat untuk mentadbir
dengan dengan baik dan mendapat sokongan dari teknokrat negara.
-Hrkh