Ikuti Blog ini

Kemaruk 2/3 hingga terlupa Umno-BN caca marba

Pemimpin Umno-BN dan mereka yang sewaktu dengannya pastinya cukup seronok dengan perkembangan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Sudah ada tiga ahli parlimen yang melompat jadi 'wakil bebas'.

Bermakna Umno-BN mendapat 3 kerusi parlimen tanpa perlu pilihanraya kecil. Kemungkinan dalam tempoh terdekat parlimen Kulim Bandar Baru akan masuk dalam senarai berkenaan.

Stituasi ini menyebabkan Umno-BN semakin kemaruk dengan misi untuk kembali mendapat majoriti 2/3 di parlimen. Adakah semudah itu?

Dalam sibuk-sibuk mencari atau mengenal pasti serta mencari mana lagi ahli parlimen yang goyah dan tidak bermoral serta diselubungi masasalah peribadi atau kewangan untuk diajak dalam pesta lompat melompat ini, Umno-BN terlupa bahawa mereka kini semakin parah dan kronik.

Pergolakan dan MCA dan PPP sudah tidak boleh diselamatkan. Budaya tikam belakang dalam Umno serta komponennya terus berlaku dan berluasa.

Melihat sokongan kepada program Dato Seri Anwar Ibrahim di dua tempat berbeza di Melaka malam tadi yang dihadiri oleh lautan manusia cukup memberikan gambaran bahawa pengaruh dan sokongan terhadap Pakatan Rakyat bukan sahaja tidak tergugat malah semakin semakin mendapat sokongan.

Dalam masa yang sama program lain Pakatan Rakyat seperti di Melaka melalui program ceramah, program sambutan Tahun Baru Cina memberi isyarat yang cukup jelas yang menggerunkan Umno-BN bahawa mereka bakal tersungkur dalam pilihanraya umum akan datang.

Jadi biarkanlah mereka bergembira dan berseronok seketika menjaga tepi kain orang sehingga mereka lupa apa yang berlaku dalam kain sendiri. Kepada pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat lipat gandakan usaha untuk misi yang lebih besar dalam pilihanraya umum akan datang.

Ku Li Isytihar Jadi Bebas?


Pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bakal mengisytihar dirinya sebagai ahli parlimen bebas, apabila dewan rakyat bersidang pada bulan ini?

Sumber maklumat dari PKR memberitahu MerdekaReview, bahawa Tengku Razaleigh Hamzah (gambar kiri) yang melontarkan kritikan secara terbuka kepada UMNO sejak beberapa bulan kebelakangan ini, lantaran daripada isu royalti minyak di Kelantan, bakal mengisytihar dirinya sebagai ahli parlimen bebas.

Ketika menjawab soalan MerdekaReview melalui email, ahli parlimen Gua Musang, Kelantan ini menafikan bahawa dirinya akan berbuat demikian pada persidangan dewan rakyat yang akan datang. Walau bagaimanapun, beliau enggan meramalkan apa yang bakal berlaku pada beberapa bulan yang akan datang.

"Itu tidak benar. Tetapi sukar untuk memberitahu apa yang akan berlaku pada beberapa bulan yang akan datang. Sentiasa hubungi saya," (This is not true. However it's hard to tell what happens next over the coming months. Please stay in touch.) jawabnya secara ringkas.

Anwar bersemuka dengan Tengku Razaleigh?

Sebagaimana yang dimaklumkan, PKR terus berunding dan melobi Tengku Razaleigh agar keluar parti atau "melompat" ke PKR sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Malah, dalam perundingan yang terbaru, Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dikatakan sendiri bersemuka dengan Tengku Razaleigh. Menurut sumber, apa yang dibincangkan termasuklah keahlian UMNO Tengku Razaleigh dan peranannya sebagai ahli dewan rakyat bebas di Parlimen.

Ada sumber yang memberitahu MerdekaReview bahawa perbincangan tentang keluar parti belum mencapai persetujuan; namun ada juga sumber yang mendakwa bahawa muafakat telah dicapai antara Tengku dengan PKR, iaitu beliau akan memainkan peranan sebagai ahli parlimen bebas semasa persidangan pada Mac 2010. Tengku dijangka akan mengambil ketetapan dirinya, yang bercanggah dengan pendirian UMNO, misalnya dalam usul pindaan Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang dibawa oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

"Zulkifli Noordin" dalam UMNO?

Dengan itu, Tengku Razaleigh akan memainkan peranan sebagai "Zulkifli Noordin (gambar kiri) dalam UMNO", menimbulkan masalah kepada UMNO yang menguasai gelanggang dalam pertarungan antara UMNO-Pakatan Rakyat, baru-baru ini.

Menurut sumber maklumat, ada pertimbangan strategi seandainya Tengku Razaleigh terus kekal bersama UMNO. Pertamanya, jikalau Tengku Razaleigh terus melompat ke PKR, maka anggota dalam PKR mungkin meragui kesetiaannya terhadap parti. Keduanya, seandainya Tengku Razaleigh melompat ke PKR, maka beliau akan kehilangan kredibiliti untuk menyerang UMNO. Sebaliknya, jikalau beliau masih bersama UMNO, beliau boleh menegur UMNO dengan identitinya sebagai anggota yang tidak tercemar dengan taktik kotor UMNO.

"Situasi yang paling memihak kepada beliau adalah, terus bersama UMNO," katanya. Bagaimana pula seandainya whip UMNO mengambil tindakan terhadap Tengku Razaleigh? Sumber maklumat berkata, apa yang diinginkan oleh Tengku Razaleigh adalah pemecatan oleh parti, dan bukannya meletak jawatan sendiri.
Selain itu, apabila MerdekaReview cuba mengesahkan khabar ini dengan Syed Husin Ali (gambar kanan), Timbalan Presiden PKR, beliau hanya berkata "saya tidak tahu", sebelum menamatkan perbualan secara tergesa-gesa.

Tengku Razaleigh bercanggah pendapat dengan UMNO dalam isu royalti minyak di Kelantan sejak tahun lalu. Beliau yang menyokong agar negeri Kelantan dibayar royalti minyak telah berjanji kepada Anwar untuk mengetuai kaukus ahli parlimen dalam isu royalti petroleum. Perkara ini telah menggemparkan UMNO.

Tengku Razaleigh dikritik oleh rakannya dalam parti, malah diserang oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian yang dikuasail oleh UMNO. Presiden UMNO, Najib Razak pernah berkata terpulang kepada ahli UMNO untuk menentukan sama ada Tengku Razaleigh harus diambil tindakan dalam isu ini. Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin pula mempertikaikan kesetiaan Tengku Razaleigh terhadap UMNO.

Tengku Razaleigh pernah menubuhkan dan mengetuai parti Semangat 46 pada tahun 1989, setelah tewas kepada Mahathir Mohamad dalam pergelutan kuasa UMNO pada tahun 1980-an. Dalam PRU pada tahun 1990, Semangat 46 bekerjasama dengan PAS dan DAP untuk menentang BN. Bagaimana pun, Semangat 46 dibubarkan dan beliau masuk semula ke UMNO selepas tujuh tahun berjuang di luar UMNO.

Ong Tee Keat juga dilobi?

Selain Tengku Razaleigh, PKR dikhabarkan sedang melobi Presiden MCA, Ong Tee Keat untuk isytihar dirinya sebagai ahli parlimen bebas, agar "menukar" persepsi bahawa "ahli parlimen bebas" kini kebanyakannya pro-BN. Ong Tee Keat jelas berada dalam kedudukan terancam, lantaran daripada pergelutan kuasa dalam partinya terkini.

Walau bagaimanapun, Ong Tee Keat (gambar kiri) gagal dihubungi MerdekaReview untuk mengesahkan khabar ini.

Sumber maklumat dalaman PKR berkata, wujudnya "kem ahli parlimen bebas" setelah beberapa orang ahli dewan rakyat PKR keluar parti. Malah, daripada kem ini, ahli pro-BN adalah majoriti. Seandainya PR berjaya menarik beberapa orang ahli parlimen untuk menjadi "bebas", maka ia boleh menghakis kelebihan BN dalam kem ini.

Terdapat enam orang ahli parlimen bebas setakat ini, dan antaranya, hanya Ibrahim Ali dari Pasir Mas yang menyatakan pendiriannya untuk Pro-UMNO. Tiga orang lain yang keluar dari PKR, Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) dipercayai juga memihak kepada BN; sementara dua orang lagi dari SAPP, iaitu Chua Soon Bui (Tawau) dan Eric Majimbun (Sepanggar) yang keluar dari BN pada tahun 2008, dipercayai memihak kepada PR.

Selepas Mohsin Fadzli Samsuri keluar dari parti, PKR hanya tinggal 28 orang ahli parlimen, setanding dengan DAP dari segi bilangannya. Namun, harus dingatkan bahawa daripada 28 orang ini, salah seorangnya, iaitu Jeyakumar Devaraj (Sungai Siput) adalah pemimpin PSM (Parti Sosialis Malaysia) yang bertanding dengan menyarung jersi PKR pada PRU ke-12.
Bilangan ahli parlimen PR semakin berkurang, dengan hanya 79 orang sekarang. Dengan kata lain, keluarnya lima orang lagi dari PR akan menjatuhkan PR ke paras satu pertiga di dewan rakyat, iaitu 74 orang.

*Chan Wei See adalah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Akhirnya PKR pecat Zulklifi Noordin

Ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dipecat daripada PKR hari ini.

Perkara tersebut diumumkan Setiausaha Agungnya Saifuddi Nasution Ismail pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya petang ini.

Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali, Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub, Ketua Penerangan Latheefa Koya dan Pengarah Strategik Tian Cua turut hadir. Bagaimanapun, ketua umummnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Ismail tidak turut serta dalam sidang media tersebut.

Sehubungan itu, Zulklifi juga diminta mengosongkan kerusi parlimen Kulim-Bandar Bharu yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanpun Zulklifi dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh 14 hari berhubung pemecatan itu.

Dua hari lalu, Zulkifli dihadapkan ke lembaga jawatankuasa dispilin PKR tetapi bertindak keluar selang sejam kemudian.

'Kesalahan berulang-ulang'

Beliau dihadapkan ke jawatankuasa itu bagi memberi penjelasan berhubung bidasannya terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan membuat laporan polis ke atas ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Zulklifi mendakwa panel yang sepatut menentukan masa depannya hari ini sepatutnya dianggotai oleh orang Islam kerana ia membabitkan penggunaan isu kalimah Allah dan agama Islam.

Dakwaannya itu bagaimanapun ditolak dan menurut setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution, kes Zulklifi tidak kena mengena dengan isu kalimah Allah.

Dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR selama kira-kira 3 jam setengah, Saifudin menjelaskan, keputusan terhadap Zulkifli dibuat secara sebulat suara selepas mempertimbangkan pelbagai aspek, termasuk kesan "kesalahan yang berulang-ulang" yang dilakukannya dan kesannya terhadap parti.

Saifuddin berkata, surat bagi memaklumkan keputusan tersebut akan dimaklum kepada Zulkifli pada Isnin ini melalui pelbagai surat, faks dan e-mel.

Menurut Saifuddin, Zulkifli disabitkan bersalah kerana membuat laporan polis terhadap wakil rakyat PAS Khalid Samad dan ekoran kenyataannya yang dibuat dalam sebuah wawancara di TV3 sebelum ini, antarnaya berbentuk serangan terhadap dasar dan pendirian parti serta kemampuan Pakatan Rakyat.

Kulim diselia Gobalakhrisnan

Saifuddin berkata, selepas tempoh rayuan tamat, sekiranya rayuannya ditolak, PKR akan mendesak ahli parlimen kontroversi itu mengosongkan kerusi parlimen kawasan tersebut kerana kemenangannya sebelum ini diperoleh atas tiket PKR.

Ditanya tindakan PKR sekiranya Zulkifli enggan berbuat demikian, Saifuddin hanya berkata, beliau yakin, sebagai ahli parlimen yang bertanggungjawab dan faham nilai integriti dan kewibawaan, beliau akan akur pada desakan tersebut.

Sementara itu, katanya, PKR juga menugaskan pemimpinanya menjaga kebajikan kawasan di mana wakil rakyat mereka berpaling tadah.

Beliau menambah, wakil rakyat Padang Serai N Gobalakhrisnan selepas ini akan ditugaskan menjaga kawasan Kulim-Bandar Baharu. Awar di Nibong Tebal, Yusmadi Yusoff (Balik Pulau) ditugaskan di Bayan Baru dan Dr Lee Boon Chye (Gopeng) di Bagan Serai.

Sementara Zulkifli ketika dihubungi Malaysiakini sejurus selepas keputusan tersebut diumumkan enggan mengulas lanjut kerana bercadang mengadakan sidang media khas mengenai perkara itu lewat petang ini.

Hancur Lebur Terbarai

najib kata...muhyiddin kata...zahid kata...ali rustam kata...
mca tak ada masalah....
hanya proses pengukuhan....




persidangan wanita mca


pemuda mca...ramainya...


timbalan pemuda mca , terpaksa telefon kawan-kawan yang lain....

MCA hancur lebur.....

Seminar Royalti Dedah Banyak Kezaliman UMNO

Pagi tadi aku sempat lepak santai dekat Balai Islam, Lundang, Kota Bharu, Kelantan layan Seminar Royalti Petroleum: Dari Perspektif Undang-Undang .

Antara yang hadir sebagai Ahli Panel ialah Dr Shamrahayu (Pensyarah Undang-Undang UIAM), Dato' Wan Abd Muttalib Embong (Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu) dan Tuan Haji Hassan Ahmad (Bekas Bendahari Petronas) dan juga Puan Fahda Nor Ahmada Kamal(isteri kepada YB Yusmadi Ahli Parlimen Balik Pulau).

Program pagi tadi juga turut dihadiri oleh beberapa ADUN-ADUN dan Ahli-Ahli Parlimen PAS Kelantan nak sebut 1-1 tak dapat sebab ramai sangat. aku pulak tak berapa ingat. yang aku ingat Ahli Parlimen Pasir Putih YB Muhammad Hussin, Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Siti Zailah Muhd.Yussof, ADUN Salor YB Dato'Haji Husam Musa, ADUN Manek Urai YB Haji Mohd.Fauzi Abdullah...

Banyak perkara-perkara yang selama ni tersembunyi dari pengetahuan umum didedahkan oleh Ahli-Ahli Panel Seminar lebih-lebih lagi 2 daripada mereka pernah berada didalam Petronas sendiri dan juga pengamal Undang-Undang.

Tuan Haji Hassan dalam penerangannya menjelaskan dengan penuh detail sejarah berkaitan dengan penggubalan Akta PDA sehingga kepada termeterainya Perjanjian Penyerahan antara Negeri-Negeri dengan Petronas.

"Najib tu dulu-dulu kerja dia cuma PA kepada Tengku Razaleigh Hamzah, patutnya dia tahu dan paham apa yang Ku Li tegaskan sekarang tu betul atau tidak sebab sebagai PA, apa sahaja yang pergi kepada Ku Li, dia yang dapat dulu. tapi sekarang dia (Najib) dah jadi bodoh... yang betul ditidakkan, yang tak betul diiyakan"

"Semua tu atas dasar Politik dan bukannya atas dasar kebenaran".

"Hassan Merican pulak masa dalam flight (Jet Peribadi milik Petronas) dari Semenanjung ke Sarawak/Sabah pernah cerita pada saya masalah dia. katanya dia dapat arahan direct dari Kerajaan Pusat supaya hentikan pembayaran Royalti Minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2000 selepas Parti PAS berjaya ambil alih Kerajaan Terengganu".

"Kata Hassan Merican pada saya (Haji Hassan), saya (Hassan Merican) serba salah... kita (Petronas) ada Perjanjian dengan Negeri-Negeri dan itu adalah Amanah dan Tanggungjawab yang mesti saya pikul dan tunaikan dengan jujur dan adil".

"Kalau saya langgar arahan pihak atasan (Kerajaan Pusat), hari ini kita (Petronas) bayar, esok saya kena hantar surat letak jawatan atau terima perlucutan jawatan saya serta-merta. kalau saya ikut arahan atasan (Kerajaan Pusat), saya tidak amanah pada tanggungjawab saya".

"Tapi saya ada banyak kerja yang perlu saya teruskan untuk perkembangan industri Minyak di Malaysia dalam Petronas".
"Itu yang Hassan Merican luahkan pada saya dalam penerbangan tersebut. seterusnya Hassan Merican terpaksa mengikut arahan Kerajaan Pusat demi meneruskan perkembangan industri Minyak Petronas yang telah banyak dirancang dan dalam masa yang sama, banyak juga arahan-arahan atau keputusan-keputusan lain yang dibuat oleh Hassan Merican mula tidak sehaluan dengan kehendak Kerajaan Pusat".

Itu antara yang didedahkan oleh Tuan Haji Hassan selaku Bekas Bendahari Petronas.

Lain-lain Ahli Panel pula mengupas isu Royalti Minyak dari sudut Perundangan dan secara jelas dinyatakan bahawa tidak ada cara untuk Petronas tidak membayar Royalti Minyak kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Pusat pula tidak ada hak untuk menghalang pembayaran tersebut kerana semuanya telah jelas didalam Perjanjian yang ditandatangani oleh ke 2-2 pihak (Petronas dan Kerajaan Negeri).

Secara kasar pemerhatian aku dan jugak pertimbangan aku dalam hal Royalti Minyak Kelantan ni (campur dengan sentimen aku anak jati Kelantan... hahaha), kot mana-manapun KERAjaan Pusat atau Petronas WAJIB bayar Royalti Minyak pada Kerajaan Kelantan.

Setakat ni hampir semua individu yang terlibat dalam penubuhan Petronas, penggubalan Akta PDA dan juga Perjanjian Petroleum termasuk pakar Undang-Undang yang terlibat secara langsung dalam urusan Petroleum ni setuju dan bersama dengan Kerajaan Kelantan dalam hal ni.

Tun Salleh Abbas, Tuan Haji Hassan Ahmad, Tengku Razaleigh Hamzah, Nik Syaghir Nik Mohammad semua individu-individu ni adalah mereka-mereka yang berada on-board masa Petronas ditubuhkan dan masa Akta 1974 dan juga Perjanjian 1975 dimeterai.

Nak cakap apa lagi..? yang dok bising-bising cakap Kelantan tak layak pulak paling tinggi pun setakat PA kepada Tengku Razaleigh Hamzah. tu pun tak reti nak cakap sendiri. setakat passing-passing "baton" dekat pencacai bawahan.

Pencacai bawahan pulak semuanya geng-geng "Penderhaka" rakyat kepada Negeri Kelantan. semua gila nak jadi MB Kelantan "kununnya". Brahim Ali, Stopa Muhamed, Awang Adek (Bekas Bakal Menteri Besar Kelantan).

Elok sangat. PRU-13 nanti semua kambing-kambing ni akan di korbankan melalui undi rakyat. rakyat pilih kau jadi wakil kepada rakyat, kau pulak meroyan jadi wakil kepada parti.tunggu je rakyat humban korang dalam parit dengan parti-parti kau sekali.
18hb. March, 2010 ni GEGAR akan gegarkan Terengganu pulak. insya-Allah Ku Li akan bersama diatas pentas Ceramah Perdana Isu Royalti Minyak di Kuala Terengganu nanti. Tun Salleh Abbas jugak dengar khabar akan hadir kalau dia sihat Insya-Allah.

Menteri Besar Terengganu Mat Said..? tunggu je kalau-kalau ada kejutan. yang pasti, Mat Said pun sedang menuntut pembayaran Royalti yang ditarik balik. ni kalau tak kena gaya, Sabah dan Sarawak akan bersama dengan Kerajaan Negeri Kelantan.

Kalau Perjanjian dengan Terengganu dan Kelantan senang-senang je KERAjaan Pusat tarik balik tanpa alasan yang kukuh, tak mustahil Sabah dan Sarawak akan terima nasib yang sama kalau KERAjaan Pusat dah tersepit.

Ingat... anjing kalau dah tersepit...

BN Semakin Parah, 1,400 Ahli PPP Kuala Langat Ucap Selamat Tinggal Kepada BN

Seramai 1,400 ahli Parti Progresif penduduk di seluruh Parlimen Kuala Langat membuat keputusan meninggalkan parti itu secara beramai-ramai dan menyertai KEADILAN kerana hilang kepercayaan terhadap Barisan Nasional.

Langkah itu mengakibatkan kesemua 17 cawangan PPP di Kuala Langat terpaksa dibubarkan.

Penyertaan itu diketuai Timbalan Pengerusi Bahagian PPP Kuala Langat Muniandy Alagamalai, dua Naib Pengerusinya B.

Balasubramaniam dan S. Sellasamy, Setiausaha Bahagian Radha Krishnan Nallusamy, Bendahari G.Anbalagan, Ketua Pemuda S. Joseph dan Ketua Wanita P.Palasakty.

Kepimpinan bekas PPP Kuala Langat menyerahkan borang keahlian KEADILAN kepada Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid dalam satu majlis ringkas dua hari lalu.

Abdullah Sani berkata kemasukan beramai-ramai ahli PPP terbabit menangkis dakwaan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang menyatakan bahawa KEADILAN "bakal gulung tikar" dengan isu beberapa Ahli Parlimennya yang berpaling tadah."Ini menunjukkan kemelut kepimpinan dalam Barisan Nasional dengan menyaksikan penghijrahan beramai-ramai ahli PPP untuk menyertai KEADILAN kerana mereka yakin Pakatan Rakyat sahaja yang boleh membela nasib rakyat dan keprihatinan mereka terhadap kes Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Menurut Abdullah Sani keputusan tersebut juga membuktikan bahawa ahli PPP terbabit telah hilang kepercayaan terhadap BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga berkata tindakan itu membuktikan bahawa isu lompat parti yang berlaku dalam KEADILAN baru-baru ini tidak sedikit pun menjejaskan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap KEADILAN malahan sebaliknya berlaku.

"Tindakan ini menangkis kenyataan Rais Yatim dan saya ingin memberi mesej kepada beliau bahawa dua atau tiga ahli KEADILAN keluar parti, 2,000 atau 3,000 lagi akan masuk ke dalam parti ini," tegasnya.

Setiausaha PPP Kuala Langat, Radha Krishnan ketika dihubungi berkata beliau bersama ahli-ahli PPP terbabit membuat keputusan itu kerana prestasi yang ditunjukkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Kami telah mengikuti perkembangan Pakatan Rakyat di Selangor selama setahun lebih dan kami melihat perkembangan yang sangat bagus yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat,"ujarnya.

Menurutnya ahli PPP turut hilang kepercayaan terhadap parti itu yang kononnya parti pelbagai kaum, tetapi meminggirkan kaum India.

"Barisan Nasional gagal menunaikan janji untuk membantu masyarakat India di Kuala Langat terutama dalam isu melibatkan peneroka India di Pulau Carey yang tidak dapat ditangani dengan baik oleh kerajaan negeri terdahulu. Ia bukan hanya melibatkan orang India, tetapi juga masyarakat kaum asli,"katanya.

Katanya ahli PPP merasa kecewa dengan parti itu dalam pelbagai isu kepimpinan dalam Barisan Nasional, isu sekolah dan bahasa Tamil serta isu jawatan kerajaan yang tidak dibuka penyertaan kepada masyarakat India. -SK

Kehadiran lesu, AGM Pemuda ditangguhkan

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pemuda MCA kali ke-46 ditangguhkan sebentar tadi berikutan jumlah perwakilan yang hadir tidak mencukupi untuk membolehkan perhimpunan dijalankan.

Timbalan Ketua Pemuda, Datuk Dr Mah Hang Soon mengumumkan keputusa itu jam 10.45 pagi ini, iaitu 15 minit selepas pendaftaran delegasi ditutup.
Mesyuarat yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara sepatutnya bermula pada jam 9 pagi tetapi kurang 10 daripada 1,742 perwakilan yang hadir.

Meskipun pendaftaran akan dibuka sehingga jam 10.30 pagi, kemungkinan besar AGM itu terpaksa dibatalkan kerana tidak mempunyai korum yang mencukupi.

Bagaimanapun, AGM pergerakan Wanita di Wisma MCA menyaksikan lebih 350 perwakilan, - kira-kira satu perlima daripada jumlah perwakilan hadir.

Mesyuarat itu juga dipulaukan oleh ketuanya, Datuk Paduka Chew Mei Fun.

Kehadiran perwakilan di kedua-dua AGM itu dilihat sebagai pengukur, sejauh mana sokongan para perwakilan terhadap presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat yang kini tersepit.

Majlis eksekutif kedua-dua pergerakan itu pada mesyuarat tergempar mereka semalam mengambil keputusan untuk menangguhkan AGM hari ini.

Namun jawatankuasa pusat (CC), tanpa kehadiran 21 anggotanya yang meletakkan jawatan dua hari lalu, menuntut AGM MCA yang dijadualkan pada Ahad ini diteruskan.

CC juga mengarahkan pergerakan Pemuda dan Wanita MCA mengadakan AGM mereka hari ini.

Kedua-dua pemimpin pergerakan itu adalah penyokong kuat naib presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Terima kasih Harakah

Masyarakat Tionghua Marah Dengan Ahmad

KUALA TERENGGANU – Majoriti daripada masyarakat Tionghua Kuala Terengganu merasa tidak puas hati dan marah dengan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said, ekoran kenyataanya berkaitan pembaikpulihan Tokong Ho Ann Kiong yang terbakar baru-baru ini.

Ahmad berkata kerajaan negeri tidak akan menghulurkan sebarang sumbangan kewangan bagi membina semula tokong itu kerana ia telah menerima sumbangan daripada ahli perniagaan.
Semasa Ahmad berkata demikian, ADUN Bandar, Toh Chin Yaw dilaporkan terpaksa mengiyakan kenyataan Ahmad, apabila ditanya pihak media.

Namun sebaliknya, masyarakat Cina berharap kerajaan negeri menghulurkan juga bantuan walaupun sedikit.

Sehubungan itu, Buletinonline difahamkan, terdapat masalah komunikasi diantara Ahmad dan Toh menyebabkan kemarahan masyarakat Cina tersebut tidak dapat disampaikan kepada kerajaan negeri.

Justeru, pada Rabu 3 Mac, MCA terpaksa menggunakan khidmat Pengerusi Biro Agama MCA Datuk Seri Tan Chai Ho.

Tan berkata Ahmad Said sepatutnya menggunakan inisiatif segera kerajaan persekutuan bagi menderma RM500,000 untuk membiayai pembinaan semula tokong itu.

"MCA berpendapat kerajaan negeri Terengganu patut menunjukkan sikap murah hati dan belas ihsan terhadap sebuah tokong yang kini tidak lagi boleh digunakan akibat kebakaran," katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.

Tan, yang juga anggota Jawatankuasa Pusat MCA berkata kerajaan negeri tidak bertindak bijak apabila tidak mempedulikan nasib tokong itu.

"Ini bercanggah dengan semangat 1Malaysia, perpaduan dalam kepelbagaian," katanya.

Menurut sumber, lebih 70% kaum Tionghua merasa tidak puas hati, tetapi sehingga kini Ahmad tetap berdiam diri, tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sumber dari parti komponen BN itu turut mengakui, BN menghadapi masalah dalam pilihanraya akan datang untuk meraih sokongan bagi memenangkan DUN Bandar.

BuLetiN oNliNe

Tok Guru Nik Aziz Pindah ke Wad Biasa – Nik Abduh

http://buletinonline.net/images/stories/berita23/nikabduh1.jpgTepoh, KUALA NERUS – Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit dada, 3 Mac lalu, kini beransur pulih dan dipindahkan ke wad biasa.

Exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz menyatakan demikian kepada Buletinonline, selepas menghadiri Program Bersama Dua Anak Tok Guru Yang Dianjurkan oleh Pemuda PAS DUN Tepuh, disini, semalam.

”Dia (Tok Guru Nik Aziz) masuk hospital kerana letih…. Dan hari ini (semalam) dia masuk ke wad biasa,”katanya yang juga anak kepada Menteri Besar Kelantan itu.

Nik Abduh berkata, dengan dimasukkan ke hospital, ayahnya dapat berehat.

”Biasanya, doktor suruh duduk lama, tapi ayah biasanya minta keluar awal, sehari dua lagi dia keluarlah,”jelas Nik Abduh apabila ditanya, bilakah ayahnya akan keluar dari hospital.

Program makan tengahari yang diadakan semalam turut menjemput Ustaz Abdul Khalil Abdul Hadi, anak kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Kedua-dua anak Tok Guru telah menyampaikan nasihat dan panduan dalam menempuh perjuangan, kepada para pemuda PAS dari kawasan ini.


Harussani Tokok-tambahkan Cerita - Ust Ahmad Awang

Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ahmad Awang mendakwa Tan Sri Harussani Zakaria telah menokok tambah perbualan mereka ketika mufti Perak itu menghubunginya bagi memujuk PAS untuk bersama Umno menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak selepas pilihan raya umum 2008.

Ahmad mengulas kenyataan Harussani, dalam program dialog Zaaba di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam, yang mendakwa PAS Perak dengan angkuh menolak cadangan tersebut walaupun pada dasarnya mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan dipersetujui kepimpinan parti itu.

"Apa yang beliau cakap dalam dialog itu adalah tambahan kemudian. (Perkara) Itu tidak betul," katanya sambil menambah, dalam perbualan tersebut, mufti Perak itu tidak memberitahunya yang cadangan itu mendapat perkenan baginda.

"Perbualan tentang ayat al-Quran dan hadis itu tidak ada. Ia direka-reka kemudiannya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Sebagai pesuruhjaya PAS negeri ketika itu, Ahmad mengakui - dalam perbualan telefon dengan Harussani - mufti Perak itu telah memujuknya parti itu bersama-sama Umno membentuk kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, katanya, beliau berkeras tidak mahu bekerjasama dengan Umno kerana mendakwa Umno adalah "zalim" termasuk memberi contoh pengalaman PAS bersama dengan Umno satu ketika dahulu.

Ahmad juga mengakui dalam perbualan dengan Harussani - lebih kurang 10 minit itu - beliau membuat ketetapan untuk bersama-sama dengan DAP menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Dalam perbualan telefon itu juga, Ahmad berkata, Harussani berkata kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu berteraskan Melayu dan Islam, sedangkan mufti Perak itu mendakwa pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Kor Ham anti-Islam.

Ahmad berkata, beliau menjawab dengan berkata bahawa beliau mengenali pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Kor Ham sejak tujuh atau lapan tahun lalu, dan mengetahui beliau beragama kristian.

"(Tetapi) Ngeh tidak pernah bersikap anti-Islam," katanya.


Menurut Ahmad lagi, dalam perbualan tersebut, Harussani juga tidak menyatakan tentang tawaran jawatan menteri besar dan exco kepada PAS dalam kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu.

Sebaliknya, kata beliau, tawaran tersebut hanya dibuat oleh seorang wakil rakyat yang mewakili ketua badan perhubungan Umno Perak ketika itu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, beberapa hari selepas Pakatan Rakyat menang pilihan raya umum tersebut.

Ahmad juga berkata, dalam perbualan telefon itu, beliau membidas mufti Perak yang banyak menyentuh dalam ceramahnnya mengenai gejala murtad di kalangan orang Melayu yang menganut Kristian.

"Saya cakap kepadanya bahawa beliau mengenali (perdana menteri ketika itu) Tun Abdullah (Ahmad Badawi), dan pernah menghantar memorandum (mengenai gejala murtad), tapi kerajaan tak buat apa-apa pun.

"Jadi kita tak boleh harap dengan Umno. Macam mana nak berpakat," katanya.

Ekoran bidasannya itu, Ahmad berkata Harussani "mati akal" untuk menjawab hujahnya dan seterusnya menamatkan perbuatan mereka.
- malaysiakini


Dari Blog Ust Ahmad Awang
entri bertarikh 19 Jun 2009


Pengalaman Saya Di Perak

Di Perak, UMNO mengajak PAS membentuk kerajaan bersama UMNO/BN. Alasannya ialah alasan yang sama dijadikan hujah apatah lagi UMNO/BN yang memenangi 28 kerusi hanya seorang sahaja ADUN bukan Melayu. Ini bermakna jika PAS menyertai UMNO/BN, kononnya terbentuklah kerajaan yang didukung oleh 97% Melayu Islam. Dengan ini berlakulah satu sejarah dalam masa 50 tahun merdeka tertubuh Kerajaan Melayu Islam di negeri Perak. Kononnya kukuhlah kedaulatan Melayu Islam di Perak. Namun kepada saya dan rakan pimpinan PAS Perak, alasan tersebut dapat kami ketepikan dengan hanya satu hujahan iaitu UMNO/BN selama ini tidak pernah mengangkat Islam bahkan sebaliknya menghakis Islam di Negara ini. Kami ambil kenyataan Mufti Perak sendiri, Dato’ Seri Haji Harussani yang menyatakan bahawa orang Melayu ratusan ribu menjadi murtad dan kerajaan UMNO/BN tidak berbuat apa-apa untuk menanganinya.

UMNO Perak yang didukung oleh pimpinan UMNO Pusat berusaha bersungguh-sungguh dengan segala tipu dayanya memujuk kami untuk membentuk kerajaan bersama UMNO/BN dengan menawarkan jawatan Menteri Besar dan 5 EXCO kepada 5 orang lagi ADUN PAS. Jawatan speaker juga ditawarkan kepada pimpinan PAS. Sehingga hari upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak (Dato’ Seri Haji Nizar Jamaluddin) agen UMNO masih lagi datang menemui saya di perkarangan Istana Iskandariah. Sehari sebelumnya Dato’ Zahid Hamidi mengejar saya untuk pertemuan 4 mata dengannya tetapi beliau gagal berbuat demikian apabila saya meminta pihak polis mengawal rumah saya (rujuk posting berkenaan tahun lepas).

Bayangkanlah bagaimana perasaan saya atau sesiapa juga seperti yang saya alami tiba-tiba mendapat tahu kemudian Pimpinan Tertinggi PAS berunding dengan UMNO untuk membentuk kerajaan PAS bersama UMNO/BN. Walaupun saya hanya mengetahuinya selepas kira-kira 2 bulan kemudian, saya tetap terasa amat pelik dan tersentuh dengan tindakan pimpinan itu. Apahal pun saya menerimanya kerana ia sudah menjadi perkara akademik dan sejarah sahaja. Namun begitu ia tidak boleh padam dari ingatan dan tetap tersimpan dalam hati kecil saya. Saya percaya perasaan seperti inilah yang tersimpan mendalam dalam hati TGNA dan boleh timbul pada bila-bila masa apabila wujud situasi seperti isu Kerajaan Perpaduan. Apatah lagi UMNO itulah yang telah melakukan rampasan kuasa ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang diketuai oleh Dato’ Seri Najib dengan mendapat restu dari Pak Lah sendiri.

Kini kelihatan perbezaan pendapat di antara TGNA dengan pimpinan tertinggi PAS. Akibat perkara-perkara yang berlaku selepas isu Kerajaan Perpaduan ini menjadi topik politik nasional. Kenyataan-kenyataan pimpinan bahawa PAS tidak akan berpakat membentuk kerajaan dengan UMNO/BN seperti tidak diendahkan oleh sebahagian penyokong dan pendukung parti. Keadaan seperti ini boleh meletakkan parti di peringkat amaran bahaya maka perlulah pimpinan tertinggi dari peringkat syura dan kepimpinan organisasi peringkat pusat dan negeri mengadakan perhimpunan khas bagi membincangkan cara-cara yang terbaik untuk menangani isu ini berlandaskan kaedah dan cara terbaik mengikut lunas-lunas Islam.


Pendedahan Ustaz Ahmad Awang Semasa Muktamar 55






Doa Dan Harapan TGNA Termakbul, Anuar Manan Lakar Sejarah LTdL

Doa dan harapan serta sentuhan Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang berharap peserta Malaysia dapat meraih kejayaan cemerlang dalam perlumbaan tahunan itu supaya ia dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa, termakbul hari ini apabila Anuar Manan melakar sejarah selepas menjadi pelumba Malaysia pertama muncul juara perlumbaan peringkat pada peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL), hari ini sejak ia dimulakan 15 tahun lalu.

Anuar yang mewakili pasukan South Korean Guemsan Ginseng Asia memenangi perlumbaan sejuh 111.5 kilometer dari bandar Muar ke Port Dickson. Beliau juga memenangi jersi hijau dan biru.

Datuk Nik Abdul Aziz sebelum ini telah melahirkan kesyukuran kerana Kelantan menjadi pusat pelepasan acara perlumbaan jelajah basikal paling berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010. Petikan berita 28 Feb lalu:

Beliau juga berharap peserta Malaysia dapat meraih kejayaan cemerlang dalam perlumbaan tahunan itu supaya ia dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Beliau telah turut meraikan pelumba-pelumba basikal LtLD pada majlis makan malam sebelum hari perlumbaan malah telah turut serta di hari pertama perlumbaan sekalipun acara "flag-off" sepatutnya dilakukan oleh Datuk Nik Abdul Aziz telah dirampas tanpa rasa malu oleh Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Awang Adek Hussin.

Anuar, 24, yang mewakili pasukan Geumsan Ginseng Asia, menjuarai peringkat kelima sejauh 111.5km itu setelah mengetepikan tentangan sengit lawan sehingga ke garisan penamat.

Keputusan iu menjadikan beliau pelumba Asia ketujuh yang memenangi peringkat perlumbaan LTdL sejak ia mula dipertandingkan pada 1996 serta merupakan pelumba kedua dari Asia Tenggara yang menang peringkat selepas pelumba Indonesia, Samai Amari, dari pasukan Le Tua pada tahun lepas.

Selain itu, jersi hijau (raja pecut) yang dirampas oleh Michael Matthews dari pasukan Jayco-Skins pada peringkat keempat berjaya diambilnya kembali hasil kemenangan hari ini yang termasuk satu zon pecutan di Umbai, Melaka.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini kerana telah mencapai sasaran untuk memenangi satu peringkat perlumbaan LTdL malah berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan hari ini.

Anuar, yang turut mengekalkan jersi biru selaku pelumba terbaik Asia, berkata pada peringkat kelima ini, rakan-rakan dari pasukan Malaysia dan Marco Polo Cycling telah membantunya untuk mengatasi Matthews.

Jadi secara tidak langsung saya serta rakan sepasukan (Geumsan Ginseng Asia) dapat menyimpan tenaga untuk mengatur strategi bagi pecutan terakhir di garisan penamat,” katanya.

Anuar berkata beliau turut menggunakan taktik baru pada peringkat kelima ini dengan menumpukan usaha untuk memenangi peringkat perlumbaan yang turut menawarkan mata untuk jersi hijau selain daripada tiga zon pecutan.

Pada empat peringkat awal, saya menumpukan usaha untuk mengambil mata di zon pecutan manakala Matthews menggunakan rakan-rakan senegaranya dari Australia dari pelbagai pasukan untuk mengacau saya daripada mengutip mata.

“Matthews sendiri pula menumpukan perhatian untuk mencuri mata dengan memenangi peringkat perlumbaan seperti yang dilakukannya dengan memenangi peringkat pertama dan ketiga,” katanya.

“Anuar turut menjelaskan semua rakan sepasukannya telah memainkan peranan terutamanya dua rakan sepasukannya, Takeshi Igarashi dan Kim Yeong Uk, yang membuka ruang yang baik kepadanya untuk memecut ke garisan penamat.

Mengenai peringkat keenam esok yang mempertandingkan tiga zon pecutan dan pendakian ke puncak Genting Highlands, Anuar berkata beliau telah bersedia untuk mengutip sebanyak mata yang termampu.

“Malah saya yakin akan dapat menamatkan perlumbaan di puncak Genting Highlands mengikut masa yang ditetapkan berdasarkan prestasi semasa saya ketika ini,” katanya.

Jersi kuning selaku pendahulu individu keseluruhan kekal milik pelumba kelahiran Jerman, Tobias Erler yang beraksi untuk pasukan dari Iran, Tabriz Petrochemical Cycling, dengan masa keseluruhan 17 jam 59 minit 23 saat.

Jersi polka dot selaku raja bukit turut kekal dimiliki pelumba pasukan Drapac Porsche, Peter McDonald, yang mengumpul 11 mata walaupun tidak mengutip sebarang mata pada satu zon pendakian hari ini.

Pelumbaan peringkat keenam esok akan bermula di Putrajaya dan tamat di Genting Highlands, sejauh 102.8km. Perlumbaan melibatkan 112 pelumba daripada 20 pasukan.




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .