Ikuti Blog ini

Cahaya Islam Bersinar Di Selangor



Islam mula memancarkan cahayanya di negeri Selangor, jika diukur dari prestasi PAS mencatat kejayaan memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) baru-baru ini.

Kerusi DUN yang dimenangi PAS ialah Sabak, Taman Templer, Gombak Setia, Hulu Kelang, Lembah Jaya, Chempaka, Dusun Tua, Bangi, Seri Serdang, Paya Jaras, Meru, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Tanjung Sepat.

Keupayaan PAS memenangi tambahan tujuh kerusi lagi menjadikan lima belas berbanding lapan kerusi DUN sahaja pada 2008, peningkatan hampir 100 peratus, merupakan satu lonjakan dan kemenangan yang besar bagi PAS, satu-satunya parti yang menggabungkan perjuangan politik dan aktiviti dakwah.

Pada PRU-13, rakyat Selangor yang terdiri dari golongan teknokrat, kelas menengah dan miskin bandar serta celik internet dan kaya maklumat dengan bebas dan berani menyatakan sokongan kuat kepada PAS.

Jika trend ini berterusan maka suatu hari nanti, kita tidak harus terperanjat jika Selangor, negeri termaju dan terkaya di negara ini, akan mengikut jejak langkah Kelantan, negeri yang terkenal dengan gelaran “Serambi Mekah”.

Analisa keputusan PRU-13 di negeri Selangor khususnya, menunjukkan para pengundi tidak takut dengan dakyah Umno mempermainkan isu pelaksanaan hukum hudud jika PAS berkuasa, baik di peringkat negeri lebih-lebih lagi di peringkat persekutuan.

Walaupun hampir 100 peratus ahli Umno terdiri daripada orang Melayu dan beragama Islam, mereka bersembunyai sebalik tabir MCA, untuk cuba menakut-nakutkan rakyat dengan menghina hudud, hukum yang jelas disebut dalam Al Quran.

Kalaupun ada segolongan rakyat yang termakan dengan suntikan racun Umno-Barisan Nasional (BN) ini, mereka ini adalah orang-orang Melayu yang kurang berpendidikan yang kebanyakannya menetap di kampung-kampung.

Rakyat di bandar dan pinggir bandar, baik orang Melayu, Cina atau India terutamanya di Selangor tidak mudah terpedaya dengan taktik jahat Umno-BN ini dan ini terbukti dengan jumlah undi yang dipungut oleh calon-calon PAS berdasarkan demografi pengundi.

Masyarakat Cina di Selangor jelas mengundi calon PAS di kawasan-kawasan di mana tidak terdapat calon DAP dan nampaknya orang Melayu di kampung lebih takut kepada hudud berbanding masyarakat Cina dan India di bandar.

Pelik tapi benar

Senario yang pelik tetapi benar. Ini adalah kesan daripada indoktrinasi Umno dan Biro Tata Negara yang menanam fahaman perkauman yang sempit, dasar ‘pecah dan perintah’ yang diwarisi daripada penjajah Inggeris serta fahaman sekular yang memisahkan agama dan politik.

Masihkah kau ingat? Lebih 30 tahun yang lalu, ahli-ahli PAS yang komited dengan perjuangan Islam susah hendak bergerak ke sana ke mari kerana takut dicap sebagai anggota parti yang menyeleweng dari ajaran Islam.

Masihkah kau ingat? Parti PAS pada suatu ketika dahulu hanya disertai oleh orang kampung, pak-pak lebai, ustaz dan guru agama yang berketayap dan berserban putih.

Masihkah kau ingat? Imej ahli-ahli PAS digambarkan sebagai mempunyai watak yang jumud, kolot dan kurang berpelajaran serta mempunyai pandangan yang melampau, fanatik dan sebagai pengganas.

Masihkah kau ingat? Ahli-ahli PAS membentuk kumpulan-kumpulan kecil yang dinamakan Usrah dengan bergerak dari rumah ke rumah untuk menyebarkan fahaman politik Islam (siyasah syar’iyyah) sambil berdakwah.

Masihkah kau ingat? Ahli-ahli PAS menganjurkan pelbagai program seperti Tamrin, Halaqah, serta kuliah dan pengajian agama untuk memantapkan kefahaman ahli-ahli lama dan untuk menarik ahli-ahli baru.

Masihkah kau ingat? Ahli-ahli PAS bergerak dalam kumpulan yang lebih besar dengan menganjurkan mesyuarat agung tahunan di peringkat cawangan dan kawasan di mana kehadirannya boleh dibilang dengan jari.

Masihkah kau ingat? Ahli-ahli PAS merekrut ahli-ahli baru dengan cara menyebarkan borang keahlian PAS secara sembunyi-sembunyi dan kadang-kadang dimarahi oleh golongan Umno tegar.


Tetapi kini tidak lagi kerana PAS di Selangor adalah anggota gabungan Pakatan Rakyat (termasuk DAP dan PKR) yang kembali memerintah negeri Selangor untuk penggal kedua.

Kini mesej dakwah Islam disampaikan kepada anggota masyarakat secara terbuka dan meluas serta markas (tempat di adakan mesyuarat parti, program kuliah dan latihan) semakin banyak ditubuhkan dan diimarahkan.

Hijrah Rasulullah

Mengimbau kembali sejarah kedatangan Islam lebih 1,400 tahun yang lalu, maka kita dapati Islam mula berkembang di kota Madinah dan bukannya dikampung atau di desa.

Hijrahnya Rasulullah saw ke Madinah atas perintah Allah yang diberitahu melalui malaikat Jibril adalah kerana warga Madinah menyambut baik Islam yang dibawa oleh baginda. Nama Madinah sendiri membawa makna kota atau bandaraya yang bercahaya.

Sejarah juga memperlihatkan betapa para penduduk Madinah yang digelar golongan Ansar lebih kuat keimanan mereka dan lebih dahulu menerima Islam berbanding golongan Muhajirin, mereka yang ikut berhijrah ke Madinah dari Mekah.

Oleh pancaran cahaya Ilahi, mereka menjadi sangat kasih dan sayang kepada Rasulullah saw dan menyediakan segala keperluan baginda dan para sahabat baginda yang ikut serta berhijrah.

Seruan untuk ‘Ubah’ dan hijrah adalah seruan Allah. Hijrah Rasulullah adalah perintah Allah, pergi ke kota Madinah dengan meninggalkan bangsa Arab jahiliyyah dan orang-orang musyrikin Mekah.

Dengan meninggalkan Umno-BN juga satu bentuk penghijrahan; berhijrah dari parti ‘asobiyyah’ yang sempit, di mana para pemimpinnya sudah tercemar dengan akhlak yang buruk, amalan rasuah dan kronisme serta salah guna kuasa yang bermaharajalela.

Untuk menyekat pengaruh Umno dari terus meracuni pemikiran rakyat, kerajaan negeri perlu menyediakan persiapan dengan lebih intensif seperti menambah peruntukan untuk Hal Ehwal Islam.

Pembinaan sekolah agama rakyat perlu diperbanyakkan terutama di kawasan kubu kuat Umno, bantuan kewangan kepada sekolah agama rakyat dan swasta ditambah, gaji dan elaun guru-guru agama dinaikkan.

Kelas-kelas fardhu ain, termasuk kelas tafsir Al Quran, harfiah, bahasa Arab, tajwid, program ceramah di masjid dan surau harus dipertingkatkan di seluruh negeri supaya Selangor dapat melahirkan masyarakat madani dan celek Al Quran.

Para pegawai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang membantut dan menentang perkembangan Islam harus ditukar dan digantikan dengan penjawat-penjawat awam negeri yang beriltizam dan beristiqamah dengan perjuangan Islam.

Kerajaan Selangor harus memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap pengwujudan sekolah-sekolah agama ala pengajian pondok seperti di Kelantan, agar dapat melahirkan lebih ramai kader-kader Islam hingga memantapkan pentadbiran kerajaan negeri dengan roh Islam.

Memang ada program untuk menarik anak muda ke masjid tetapi aktiviti serta program seumpama ini harus dipergiat dan ditingkatkan lagi agar anak-anak muda tidak lagha dengan program hiburan yang sengaja dijaja oleh Umno-BN.

Ini adalah sekadar beberapa cadangan yang harus dilakukan oleh kerajaan negeri dengan segera, sambil mengharapkan pertolongan daripada Allah swt dan agar segala usaha kita mendapat keberkatan daripadaNya. -Zainal Abdidin Nor/FMT

Anwar: 'Zahid, kamu ingat negara ini bapa kamu yang punya?'


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa gesaan agar rakyat yang tidak gembira dengan sistem pilihan raya supaya berpindah keluar dari negara ini adalah satu kenyataan sombong yang menghina rakyat.

"Kamu ingat negara ini bapa kamu punya? Ini cara menghina rakyat," kata Anwar dalam pidatonya di perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat edisi Negeri Sembilan malam tadi yang dibanjiri kira-kira 30,000 orang.

Beliau mengulas kenyataan itu yang dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam rencananya yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Mei 2013.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebelum ini turut membidas tulisan itu yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal.

black 505 rally seremban crowdMenteri Belia dan Sukan yang baru dilantik, Khairy Jamaluddin sebaliknya dilihat cuba meredakan reaksi orang ramai berhubung kenyataan itu.

Menurutnya, kenyataan Zahid itu mewakili pandangan peribadi Zahid dan bukan seluruh jemaah menteri.

Menegaskan gesaan tersebut sebagai 'bodoh', Anwar dalam pidatonya turut membidas rencana tulisan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan tentang undi popular yang disiarkan akhbar sama, sehari selepas tulisan Zahid Hamidi diterbitkan.

Menurut Anwar, tindakan Ahmad menggunakan perkataan 'liwat' dalam tulisannya untuk membincangkan undi popular, adalah lucah dan tidak menghormati kebijaksanaan rakyat.

"Seorang lagi menteri Umno kata (pembangkang) jangan 'meliwat' fikiran rakyat.

"(Ini) cara yg paling lucah untuk menghina fikiran rakyat," kata Anwar.

Ahmad Maslan dalam tulisannya mengingatkan pembangkang yang harus faham undang-undang negara ini dan tidak harus 'meliwat' pengetahuan dan akal sendiri apabila mendakwa layak memerintah berdasarkan peratusan undi popular yang diperoleh mereka.

Menurutnya, undang-undang Malaysia menetapkan pemenang pilihan raya adalah berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi, dan bukan jumlah undi popular. -M'kini

Hadiah Untuk Rakyat: BN Menang, GST Pun Dilaksanakan!



Nasibmulah rakyat! BN menang PRU13 walaupun dengan cara yang paling tidak bermaruah

Namun yang lebih mengecewakan, GST dikenakan setelah ditangguhkan sebelum pilihanraya diadakan semata-mata untuk mengelak rakyat daripada melahirkan undi protes. Dan kini ia dilaksanakan sebaik saja Pilihanraya selesai. Begitu mudah rakyat tertipu dan ditipu.

Kata Idris Jala, perlaksanaan GST akan meningkatkan pendapatan negara. Namun ditutupnya fakta bahawa GST akan menurunkan pendapatan rakyat!

Beliau berkata cukai perkhidmatan sebanyak tujuh peratus juga dilaksanakan di negara jiran, Singapura. Tetapi beliau mengabaikan fakta bagaimana Singapura menaikkan pendapatan rakyatnya sehingga pendapatan perkapita rakyatnya USD 60500.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .