Senator Ezam Mohd Noor mendakwa kekuatan Umno kini semakin lemah dan dapat dilihat secara jelas yang kepentingan parti teras Barisan Nasional ini boleh terancam disebabkan sikap kaum itu sendiri.
Menurut Ezam, walaupun Umno merupakan parti yang cukup lama memerintah negara ini, perpecahan kecil akan memberi impak besar.
"Apa yang saya dapat lihat, Umno sekarang semakin lemah.
Perpaduan dalam parti juga semakin menurun dan ini boleh menyebabkan parti veteran negara ini berada di ambang perpecahan," katanya pada Majlis Himpunan Ke Arah Penyatuan Ummah bertajuk “Dakwah Menjana Kesatuan Ummah", hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel sesi "Agenda Penyatuan Ummah Fakta atau Auta?". Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan PKR ini berkata, kaum Melayu negara ini tiada pilihan lain melainkan mesti bersatu bagi memastikan kuasa Melayu tidak terlepas kepada kaum lain.
"Kita mesti bersatu atas nama perpaduan ummah bagi memastikan demokrasi yang kita nikmati sekarang mampu dikekalkan dan diwarisi kepada generasi akan datang," tegasnya yang telah menyertai Umno lebih tiga tahun lalu.
Tambah beliau, rakyat mesti melihat suatu gagasan besar yang mampu memimpin negara dan wajar melakukan pilihan bijak pada Pilihan Raya Umum ini.
"Penyatuan ummah ini mesti digalas oleh pemimpin-pemimpin yang berjiwa besar bagi memastikan setiap objektif dapat digapai secara bersama.
"Jika pemimpin berjiwa kecil, bakal berlaku pemimpin yang hanya berfokuskan pada parti semata-mata, bukan kepada kebajikan rakyat," tegasnya.
Tambah beliau, pemimpin yang mampu mendominasi tampuk kepimpinan negara juga tidak boleh mementingkan diri semata-mata. "Jika pemimpin negara pentingkan diri, bagaimana mahu capai kemajuan negara?" katanya