Ikuti Blog ini

Pakatan Rakyat tawar belanjawan alternatif

KUALA LUMPUR, 24 Okt - Pakatan Rakyat semalam telah mengemukakan beberapa cadangan kepada Dewan Rakyat ketika ahli-ahli Parlimen masih lagi meneruskan perbahasan Bajet 2009 yang telah dibentangkan pada 29 Ogos lalu.

Cadangan tersebut dikemukan berdasarkan realiti terkini krisis ekonomi dan kewangan global, kejatuhan teruk pasaran komoditi serta kesan faktor lain terhadap Malaysia.

Dalam satu taklimat khas yang diadakan di Parlimen pagi semalam, Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan beberapa cadangan untuk mengemudi negara bagi mengharungi badai kemelesetan ekonomi global yang dijangka berpanjangan hingga ke tahun 2009.

“Kepimpinan negara seolah-olah tidak mempunyai arah tuju dan seperti tidak menyedari kemunculan cabaran dalam bentuk inflasi, peningkatan pengangguran dan pengucupan kemasukan dana asing,” kata Anwar.

Yang lebih menakutkan, kata Anwar, sikap tidak mahu mengakui ramalan kemuraman ekonomi oleh pemimpin kerajaan.

Beliau menjelaskan kebanyakan negara maju yang menjadi rakan niaga Malaysia sedang bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi terburuk semenjak dari seteangah abad yang lalu.

“Tapi pemimpin BN masih belum atau tidak langsung membuat kenyataan atau merangka polisi yang menunjukkan pemahaman mereka terhadap realiti ini,” kata beliau.

Anwar turut menjelaskan terdapat keperluan mendesak bagi ahli-ahli Dewan dari kedua-dua belah pihak untuk bertukar-tukar fikiran bagi merangka bajet yang lebih dipercayai serta rancangan yang lebih bertanggungjawab untuk mengurus dan membelanjakan perbendaharaan negara.

“Pakatan Rakyat percaya kepada proses demokrasi dan berpegang teguh dengan janji kami kepada rakyat Malaysia,” tegas Anwar.

Selain beliau, taklimat khas tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamaruddin Jaffar, Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Ramli, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad.

Selain itu wakil dari KeADILan terdiri dari Naib Presidennya, Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah, Pengarah Strategiknya, Saifuddin Nasution, Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul. Wakil DAP pula terdiri dari Penasihatnya, Lim Kit Siang dan ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.




Anwar: Lagi hadiah Deepavali Umno-BN buat masyarakat India


Membantah Penahanan Reman Aktivis Hindraf

Entah apa pertimbangan dan percaturan pimpinan Umno-BN tatkala saban tahun mereka melakukan penindasan ke atas masyarakat India. Tahun lepas kita menyaksikan perobohan Kuil Rimba Jaya menjadi 'hadiah' Deepavali Umno-BN buat masyarakat India, tahun ini, dalam keadaan beberapa hari saja lagi masyarakat India akan menyambut Deepavali, 11 individu ditahan - termasuk seorang anak kecil berusia 6 tahun - di saat mereka mahu menyerahkan memorandum secara aman di Pejabat Perdana Menteri semalam.

Hari ini Mahkamah Majistret Kajang menetapkan supaya 10 daripada mereka direman selama 3 hari sebermula hari ini. Sekali gus keputusan mahkamah ini menafikan hak mereka untuk merayakan Deepavali sebagaimana masyarakat India lainnya.

Saya berasa kesal dengan tindakan dangkal yang diambil oleh penguasa untuk menahan kumpulan 11 individu semalam. Hujahnya masih samar dan tidak jelas. Adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memberikan justifikasi dari konteks perundangan dan hak asasi, bukan mengambil tindakan cacamarba yang hanya memburukkan keadaan.

Kenyataan terdahulu Menteri Dalam Negeri bahawa Hindraf diharamkan atas alasan penganjuran demonstrasi yang menganjurkan keganasan adalah tidak munasabah.

Waima ada pelanggaran undang-undang sekalipun, wajar bagi beliau membuktikan setiap butir katanya dengan fakta dan pembuktian jelas, bukan mengadu domba tanpa hala!

Saya menyeru agar Kementerian Dalam Negeri khususnya Menteri yang berkenaan tidak bersikap selektif terhadap berpuluh lagi gabungan dan pertubuhan yang acapkali berselindung di sebalik sentimen perkauman sempit, sekiranya mereka mahu membuktikan mereka adil di mata rakyat.

Kita tidak boleh terus berkompromi dengan slogan anti-keganasan dan anti-sentimen perkauman untuk terus menghalalkan kezaliman! _ Anwar Ibrahim

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .