Assalamualaikum wbt..
Saudara-saudari muslimin muslimat yang dihormati sekalian..
Sempena dengan hari raya korban @ Aidil Adha ini, saya ingin
mengingatkan kepada diri saya dan kepada saudara-saudari sekalian,
bagaimana contoh perjuangan untuk menegakkan hukum Allah, dari kalangan
mereka yang terdahulu daripada kita terutamanya para nabi dan para rasul
a.s.
Dalam peristiwa Aidiladha ini, ada 3 watak yang selalu disebut-sebut,
yang telah menunjukkan betapa komitmennya mereka terhadap perintah
Allah SWT, iaitu Nabi Allah Ibrahim a.s, anaknya Ismail dan isterinya
Siti Hajar.
Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim a.s supaya meninggalkan
anak dan isterinya yang tercinta berduaan di Mekah, tempat yang kering
kontang dan panas terik.
Nabi Ibrahim lantas meninggalkan isteri dan anaknya tanpa
mengendahkan panggilan isterinya. Sehinggalah isterinya bertanyakan
kepadanya: "Adakah ini adalah perintah dari Allah?". Lantas Nabi Ibrahim
berpaling dan menjawab: "Ya". Siti Hajar menjawab dengan tenang:
"Pergilah dengan urusan Tuhanmu itu".
Ini adalah satu pengorbanan demi agama Allah SWT. Maka dengan sebab
itu, kita yang datang selepas dari para anbiya itu, hendaklah mencontohi
mereka dari sudut prinsip dasar dan perjuangan.
Dalam memperjuangkan Islam ini, kita perlu sabar dan tidak perlu
gopoh untuk mendapat kejayaan yang terburu-terburu, tetapi kita
hendaklah berwaspada dalam pergerakan kita ini. Ianya adalah supaya kita
tidak melencong dan terseleweng daripada landasan yang telah digariskan
oleh Allah SWT.
Kita tidak boleh mengatakan bahawa apa yang dilakukan oleh para
anbiya itu adalah perkara-perkara lapuk yang tidak dapat kita
menggunakan pada masa atau zaman ini.
Malahan kitab-kitab Allah dan Hadis-hadis Nabi itu terus berkuatkuasa
selagi mana adanya manusia di atas muka bumi ini. Syariat Islam
berkuatkuasa sepanjang zaman dengan keadaan bahawa ianya dikenali dengan
satu keistemewaan bahawa Islam itu adalah bersifat 'As-Sabat wal
Murunah'. Ianya tetap, tetapi anjal. Tetap itu bermakna, kita tidak
boleh keluar dari landasan Islam walaupun ianya bersifat anjal.
Maka saudara-saudara sekalian, kita hendaklah berpegang teguh kepada
prinsip dan ajaran Islam, sehingga kita berjaya ataupun mati syahid di
dalam perjuangan Islam. Wallahu a'lam.
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, walillahilhamd
Datuk Harun Taib,
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat