Ikuti Blog ini
Kenapa Putera Sultan Kelantan Ditangkap Oleh UTK-Polis ??? ,Rabu, Mei 05, 2010 at 5.5.10,
Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai polis dipercayai dari Unit Tindakan Khas (UTK) yang memakai topeng di luar Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kota Bharu, malam semalam.
Menurut Kosmo, Tengku Fakhry (kanan) ditahan bersama dua orang doktor dan beberapa orang pengawal peribadi Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.
Akhbar tabloid itu yang memetik sumber istana memberitahu, putera Sultan Kelantan itu ditahan ketika beliau bersama dua orang doktor dan sekumpulan pengawal peribadi sultan menaiki beberapa buah kenderaan.
Mereka dikatakan baru keluar kira-kira 50 meter dari Istana Mahkota.
Kejadian itu berlaku pada jam 7.30 malam.
Semasa kejadian, turut berada dalam sebuah daripada kenderaan rombongan itu ialah Pemangku Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dan Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
PAC Tolong Siasat Zambry Kadiaq sekali !! , at 5.5.10,
yang mendapat agihan dari kudeta di Pangkor
Kerajaan negeri Perak bersetuju memberi peruntukan berjumlah RM 50,000 pada tahun ini kepada setiap bahagian MCA di negeri Perak. Ia meliputi 24 Bahagian MCA di Perak,bererti sebanyak RM 1.2 juta duit rakyat telah dibangsat oleh Zambri kepada MCA.
Apa hak MCA mendapat bantuan dari Kerajaan Mahkamah Perak ? jika MCA boleh mendapat perutukan ini wajar parti pembangkang seperti Pas atau Keadilan turut bersama merasa bantuan kewangan seperti mana parti MCA dapat.
Kerana ini wang rakyat , ini wang kerajaan, ini bukan duit umno dan ini bukan wang Parti Barisan Nasional, ini adalah wang pembayar cukai jadi kami pembangkang sebagai rakyat Perak ada hak keatas bantuan seperti mana yang MCA dapat .
Persoalannya bukan Pas , Keadilan atau DAP kemaruk sangat wang ini cuma kenapa begitu mudah wang rakyat diparaid oleh Zambri kepada MCA seperti duit harta emak bapak BN punya?
Dan di sini kita boleh lebelkan Zambri ini boneka MCA kerana hanya memperuntukan bantuan kepada MCA sahaja ,bagaimana dengan MIC takan tiada kut !!
Dulu semasa era Kerajaan Hj Nizar riuh rendah media gila umno mencanangkan Nizar boneka cina kerana konunnya memberi tanah dan bantuan kepada orang cina , tetapi hujah ini mudah dijawap kerana bezanya Hj Nizar memberi batuan kepada rakyat Perak berketurunan cina.
Sebaliknya Zambri memberi peruntukan duit Rakyat Perak dan pembayar cukai kepada Parti Komponen BN iaitu MCA , jadi Zambri menyalah gunakan wang Rakyat demi kepentingan politik sempit umno yang terdesak untuk meraih kembali sokongan orang cina kepada parti MCA dan BN ,jadi memang sah Umno yang dipimpin oleh Zamry boneka kepada MCA .
Sementara itu Semalam kecoh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) mahu mengambil tindakan berhubung laporan agensi dan jabatan kerajaan membelanjakan lebih RM1 juta wang Negeri Perak untuk beberapa perasmian majlis. Klik Sini.
Jadi disini kita tuntut PAC wajar menyiasat juga peruntukan RM 50ribu dari wang kerajaan negeri yang akan diagih kepada setiap bahagian MCA Perak , kerana wang rakyat diguna sewenang - wenangnya oleh kerajaan kundeta untuk kepentingan parti, dan bukan untuk kepentingan rakyat.- wallahualam
Kempen di Sibu bermula dengan pembohongan , at 5.5.10,
KUALA LUMPUR, 5 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kempen pilihan raya kecil Sibu bermula dengan pembohongan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa bahawa Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang mahu bertemu dengan beliau, dan bukan sebaliknya.
"Kenyataan Najib bertentangan dengan dengan jawapan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri) Nazri Aziz di Dewan Rakyat yang memuji perkhidmatan dan lobi firma Yahudi Zionis, APCO Worldwide yang menggasak wang rakyat negara ini hampir RM77 juta sehingga Najib mendapat peluang yang diidam-idamkannya untuk mengadap Obama.
"Walaupun Nazri berusaha memperbaiki kenyataannya yang memuji jasa APCO yang membolehkan Najib mencapai idamannya untuk bertemu Obama, tetapi di kalangan pemimpin Umno, kenyataan pertamalah yang biasanya benar.
"Kenyataan susulan untuk memperbaiki kenyataan pertama hanyalah untuk mengawal kerosakan (damage control) akibat kenyataan pertama," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Bagi Mahfuz, jika benar dakwaan kononnya Obama yang mahu berjumpa Najib, "ia tidak ubah seperti guru besar memanggil pelajar bermasalah untuk berjumpanya".
"Kalau pelajar bermasalah dipanggil berjumpa guru besar, biasanya dia dipanggil untuk dirotan.
"Kalau pemimpin negara angkuh seperti Amerika Syarikat memanggil pemimpin negara kecil mengadapnya, biasanya pemimpin negara kecil itu dileteri dan diberi amaran mengenai pelbagai perkara antaranya mengenai perbuatan memperdagangkan manusia (human trafficking)," katanya.
Beliau juga kesal dengan dakwaan Najib yang dianggapnya cuba memperbodoh-bodohkan rakyat Malaysia.
"Perdana Menteri juga cuba menggambarkan kononnya Obama mahu berjumpa dengannya supaya beliau memberi penjelasan mengenai Model Ekonomi Baru (MEB).
"Najib jangan ingat rakyat negara ini bodoh sangat untuk mempercayai dakwaannya itu. Kalaupun Obama mahu bersikap diplomatik atau mengambil hati tetamu, adakah sehingga ke peringkat meminta Perdana Menteri menjelaskan mengenai MEB?
"Kerja mencari maklumat mengenai MEB hanya kerja pegawai Amerika yang berpangkat rendah sahaja," kata Mahfuz.
Ketika berkempen di di majlis pemimpin bersama rakyat di SK Bandaran Sibu No 3 di Kampung Bandong, Sibu baru-baru ini, Najib mendakwa bukan beliau yang mahu berjumpa Obama tetapi Obamalah yang mahu berjumpa beliau.
"Hakikatnya, Presiden Obama mahu berjumpa saya. Dalam pertemuan kami, beliau meminta saya menjelaskan mengenai Model Ekonomi Baru negara," dakwa beliau. -Hrkh
Serah kepada SPRM , at 5.5.10,
KOTA BHARU - Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohamed Amar Nik Abdullah menyerahkan kepa-da Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dakwaan blogger kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul aziz berhubung individu yang terlibat memberikan peruntukkan sebanyak RM4 juta untuk operasi gerak saraf bagi mewujudkan persepsi buruk terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan mengekalkan pentadbiran Pas di negeri ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, pendedahan yang dibuat semalam oleh blogger berkenaan lebih bersifat dakwaan dan pihak SPRM telah menjalankan siasatan mereka.
“Pas Kelantan menyerahkan kepada pihak SPRM untuk menyiasatnya sama ada benar atau sebaliknya pendedahan yang dibuat oleh Syed Azidi.
“Kebenaran belum dibuktikan lagi. Memang betullah dia bagi nama orang itu, orang ini, tapi betul ke orang tu terlibat? Jadi ini kita serahlah kepada proses perundangan.
“Kalau dia kata dia sudah lapor kepada SPRM, jadi biarlah SPRM siasat dengan adil dan telus. Kalau betul maknanya kita terimalah, tetapi kaedah undang-undang dia tu (individu terbabit) bersalah apabila dibuktikan. Jadi kita biar undang-undang tu berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan yang dibuat oleh Syed Azidi berhubung nama individu yang menyalurkan dana untuk sebuah syarikat Global Media Channel Sdn Bhd.
Syed Azidi menyenaraikan lima individu terbabit termasuk seorang Exco Kerajaan Negeri dan bekas wakil rakyat dikatakan penyumbang bagi syarikat berkenaan yang menjalankan operasi gerak saraf.
Petroleum & Gas: Saman Awam Warganegara Ke Atas Kerajaan Malaysia , at 5.5.10,
Tidak kira betapa berkuasanya seseorang Perdana Menteri itu, namun Perlembagaan Persekutuan tidak sekali-kali membenarkan seseorang Perdana Menteri Malaysia menyerahkan sesuatu wilayah Malaysia kepada negara lain samada di daratan atau lautan.
Perbuatan demikian adalah sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan hanya dengan persetujuan Parlimen melalui rang undang-undang yang dibentang dan diluluskan oleh Parlimen sahaja sempadan negara boleh diubah.
Bertolak dari peristiwa penyerahan sempadan laut Malaysia kepada Brunei, kami menuntut tindakan berikut ini dari Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib:
- Mendedahkan kepada awam semua perhubungan antara Putrajaya dan Brunei, Sabah, Sarawak dan Petronas sehingga berlakunya penyerahan ini.
- Mendedahkan semua keputusan Kabinet mengenai perkara ini atau.
- Menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja yang bebas dan telus untuk menyiasat isu ini.
Tindakan mengeluarkan sempadan negara, kemudian mengeluarkannya tanpa mengikut tatacara berperlembagaan dan bersifat unilateral dari Kerajaan Pusat, akan mengakibatkan terlalu banyak implikasi kepada negara kita. Satu darinya ialah integriti dan kedudukan Petronas sendiri sebagai badan multinasional yang terpaksa membatalkan kontraknya dengan pihak lain yang akan menunjukkan kontrak-kontrak dengan Petronas adalah tidak terjamin sekaligus akan melemahkan Petronas.
Selepas satu tempoh yang memuaskan berlalu tanpa sebarang tindakan seperti yang saya cadangkan di atas, saya mencadangkan sebilangan rakyat Malaysia memfailkan saman awam warga negara Malaysia (citizen civil suit) ke atas Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan pengisytiharan penyerahan ini adalah tidak sah dan bertentangan dengan kehendak Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan seperti yang saya sebutkan.
Saya berharap ahli-ahli Parlimen, para peguam, NGO, dan orang perseorangan termasuk dari Sabah dan Sarawak, boleh bersama saya nanti memfailkan kes ini di mahkamah.
Saya juga akan menulis surat kepada semua ADUN Sabah dan Sarawak untuk mencadangkan kepada mereka agar menyatakan pendirian mereka dalam isu ini dan memanggil satu sidang DUN khas untuk membahaskan isu ini.
Sesiapa yang berasakan bertanggungjawab ke atas keputusan-keputusan sewenang-wenangnya menggadai wilayah negara ini, boleh menghubungi saya atau pembantu saya menerusi alamat email gadailautmalaysia@gmail.com.
YB Dato’ Haji Husam Haji Musa
20 Jamadilawal 1431
5 Mei 2010
SPR Mahu MAFREL Jadi Sepertinya, Ikut Telunjuk UMNO BN , at 5.5.10,
Mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang dipetik sebagai berkata Mafrel tidak diperlukan sebagai pemerhati di pilihan raya kecil Sibu dengan alasan kononnya SPR sudah melantik enam pasukan penguatkuasaan untuk tujuan itu.
Syed Ibrahim berkata dasar sama ada badan pemantau diperlukan atau tidak bukan menjadi persoalannya kerana Mafrel adalah badan yang bebas.
"Banyak lagi keraguan yang timbul seperti daftar pemilih, kempen, ceramah dan semua ini akan di pantau bagi memastikan proses pilihanraya berjalan secara telus dan adil,
"SPR sepatutnya memberi dan meraikan ruang demokrasi yang diisi Mafrel dan kita tidak perlu kebenaran daripada SPR kerana Mafrel adalah satu badan yang bebas,
"Walaupun tidak mempunyai sumber dana yang terhad, Mafrel akan tetap menghantar petugas untuk memantau keadaan daripada hari penamaan sehinggalah hari membuang undi," tegas Syed Ibrahim kepada Suara Keadilan.
SPR telah menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Sibu akan diadakan pada 8 Mei manakala hari pengundian pula pada 16 Mei. -SK
Najib Tabur Janji Di Sibu, Mafrel Tegur Sikap SPR
SHAH ALAM 4 MEI: Badan Pemantau Bebas Pilihan Raya (Mafrel) meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menutup mata terhadap gelagat pimpinan kerajaan pemerintah yang menabur pelbagai janji peruntukan kepada pengundi Sibu.
Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh berkata perbuatan menabur janji itu boleh ditafsir sebagai kempen pilihan raya dan tidak wajar berikutan proses penamaan belum pun bermula.
Beliau mengingatkan SPR, mereka perlu bebas bertindak mengikut lunas undang-undang tanpa perlu mematuhi telunjuk pimpinan Umno Barisan Nasional.
Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjanjikan puluhan ribu ringgit kepada rakyat sibu atas kapasitinya sebagai perdana menteri sedangkan ia tak ubah seperti kempen pilihan raya.
Sekalipun mendakwa peruntukan berkenaan dibuat mengikut jadual tetapi anehnya, janji berkenaan hanya dibuat menjelang pilihan raya kecil yang bakal bermula 8 mei ini.
“Pilihan raya Sibu tak lama, sudah tentulah ia menjurus kearah itu. Minta SPR ambil perhatian," katanya yang menyifatkan janji peruntukan Najib sebenarnya lebih cenderung kepada umpan kepada rakyat untuk mendapatkan undi mereka semata- mata.
“Kita tidak menafikan perkara itu boleh dilihat sebagai satu bentuk gula-gula sebab ia berlaku dalam tempoh dekat dengan pilihan raya kecil," katanya lagi.
Mafrel menyatakan tidak salah untuk Najib turun padang bertemu rakyat tetapi perdana menteri ini perlu telus dalam tindakannya dan tidak memanipulasikan lawatan untuk berkempen.
“Apa-apa usaha berunsur kempen sebelum waktu kempen tidak sepatutnya berlaku.
Bukan bermakna Najib tidak boleh jumpa rakyat tetapi bergantung kepada kenyataan yang dibuat, Adakah bersifat kempen atau tidak. Ini memerlukan pemantauan dari SPR,” katanya. -TVS
Semalam juga, Timbalan Pengerusi SPR menyatakan SPR tidak memerlukan MAFREL sebagai pemantau pilihanraya di Sibu.
Demikianlah SPR yang jelas menampakkan ia menjadi kuda tunggangan UMNO BN. Apabila MAFREL menjalankan tugasnya dengan amanah dengan membuat teguran terhadap sikap bisu dan berdiam diri SPR terhadap perbuatan salah laku pemimpin UMNO BN, terus saja SPR menamatkan pengiktirafannya terhadap MAFREL.
SPR hanya mahu MAFREL menjadi pak angguk, menjadi kuda tungangan UMNO BN seperti dirinya dan sebarang tindakan MAFREL yang boleh menjejaskan UMNO BN akan akan dilihat sebagai tidak menjalankan tanggungjawab.
SPR boleh saja mengambil sikap tidak mengiktirafkan peranan MAFREL, namun satu hari peranan SPR nanti tidak diiktiraf oleh rakyat apabila semakin hari semakin jelas mereka mengikut telunjuk pemimpin UMNO BN atau mereka sendiri memainkan peranan seolah-olah mereka komponen BN.- GB
PAS harap panel siasatan setaraf suruhanjaya diraja , at 5.5.10,
KUALA LUMPUR, 5 April: PAS mahu panel khas yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden kematian remaja 15 tahun, Aminulrasyid Amzah akibat ditembak polis 26 April lepas menjalankan siasatan dengan penuh ketelusan, setaraf dengan suruhanjaya diraja.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali (kiri) berkata, meskipun PAS mangalu-alukan penubuhan panel khas itu namun sedikit kecewa kerana permintaan untuk penubuhan suruhanjaya diraja tidak dipenuhi.
"Kita mengalu-alukan penubuhan panel tersebut walaupun yang kita mintak sebenarnya suruhanjaya diraja supaya siasatan lebih telus dapat dijalankan.
"Sebelum ini melihat kepada track record, suruhanjaya diraja ini lebih berjaya dalam mendedahkan apa juga kebenaran seperti kes mata lebam (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan juga beberapa kes lain. Kita mengharapkan ketelusan dalam panel khas ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Lo' Lo' yang juga ahli Parlimen Titiwangsa juga menegaskan, ketelusan dalam siasatan kes tersebut amat penting kerana insiden yang berlaku itu menggambarkan integriti dan kewibawaan pasukan polis dalam menjalankan tugas mereka.
"Ini bukan masalah kematian seorang manusia sahaja tetapi sekarang rakyat tertunggu-tunggu hasil siasatan yang sebenarnya. Bukan masalah satu keluarga bersedih kerana kematian seorang anak tetapi ini adalah gambaran kepada integriti dan kewibawaan pasukan polis itu sendiri dan juga kerisauan rakyat.
"Sepatutnya rakyat meletakkan harapan pada polis tetapi sekarang ini rakyat menjadi takut dan gerun dengan polis kerana orang yang tidak bersalah pun boleh menjadi mangsa kepada kecuaian polis.
"Kita bercakap kepada sebahagian anggota polis, bukan kita kata semua anggota polis. Kita juga tahu risiko yang terpaksa ditanggung polis ketika menjalankan tugas," tegasnya.
Panel khas itu dipengerusikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan dianggotai bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Haniff Omar, tiga anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), pensyarah dan penganalisis jenayah.
Tiga anggota Suhakam itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) Datuk Dr Michael Yeoh, Datuk Seri Muhammad Shafee (peguam) dan Datuk Dr Denison Jayasooria (aktivis).
Lain-lain anggota panel ialah pensyarah Universiti Teknologi Mara, Profesor Madya Datuk Abd Halim Sidek dan penganalisis jenayah, Kamal Affandi.
Panel khas itu memulakan tugaa mereka dengan melawat tempat kejadian malam semalam.
Mengulas mengenai keputusan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang semalam menolak usul bagi membincangkan perkara itu, Lo' Lo' mempersoalkan keputusan itu kerana katanya alasan yang diberikan Abu Zahar bahawa ianya tidak perlu disegerakan kerana masih dalam siasatan polis adalah tidak munasabah.
"Memang tak hairanlah apabila usul itu ditolak. Apabila sudah dibawa ke mahkamah, mereka kata tidak boleh dibincangkan sebab kes mahkamah. Dalam siasatan pun tidak boleh bincang juga.
“Kalau dalam siasatan sepatutnya boleh dibincangkan. Bila sudah dibawa ke mahkamah memanglah tidak boleh bincang. Jadi, bila masa kita boleh bincang isu yang begitu mengejutkan negara ini?" soalnya.
Kira-kira jam 2 pagi 26 April lepas, Aminulrasyid yang merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, mati selepas terkena tembakan anggota polis peronda di Jalan Makyong 11/2G, Seksyen 11. -Hrkh
BN Hilang Stamina, Perlu Rehat atau Digantikan , at 5.5.10,
Ketua Penerangan PAS Terengganu, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, BN sudah hilang stamina mengukuhkan menggerakkan kerajaan sedia ada untuk bersaing dengan negara lain supaya lebih maju.
Oleh itu, keadaan itu memerlukan kebangkitan rakyat dengan menyokong Pakatan Rakyat dan BN perlu direhatkan atau digantikan, bagi memastikan perubahan menyeluruh.
“Negara memerlukan kepimpinan dan parti baru bagi membuat perubahan kerana pembangkang mempunyai kepakaran berbeza berbanding parti sedia ada,” katanya
Pada masa sama, Nik Muhammad Zawawi berkata, pihaknya akan terus berjuang bagi memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi badan yang benar-benar bebas, selain memastikan pilihan raya akan datang dijalankan dengan lebih telus.
Menurutnya, PAS akan memberi penjelasan dari masa ke masa kepada rakyat mengenai ketidaktelusan di pihak BN setiap kali pilihan raya yang banyak menggunakan kekuatan dan kekuasaan kerajaan.
“Proses ini mengambil masa, sebab itulah jika kita lihat generasi baru yang faham perkara ini menolak BN, begitu juga kaum Cina dan India yang memahami turut melakukan perkara sama,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.
Mengulas pilihan raya kecil di Parlimen Hulu Selangor, Nik Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat berkata, undi rakyat menunjukkan peningkatan berbanding sebelumnya.
Menurutnya, walaupun tewas, pembangkang menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding kekalahan di semua kerusi pada pilihan raya umum lalu, selain jumlah undi bertambah dan sokongan pengundi bukan Melayu meningkat.
“Jika mereka kata ia adalah kebangkitan sokongan kepada BN, ia hanya ucapan politik. Mereka perlu semak betul-betul barulah mereka tahu perkara sebenar,” katanya.
Krisis Istana Kelantan: Tengku Temenggong ‘dibawa’ ke IPK , at 5.5.10,
Sementara itu, Sultan Kelantan pula, yang pulang dari rawatan di Singapura awal Mac lalu, dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Pegawai-pegawai Istana Kelantan berada di pekarangan HUSM tetapi enggan mengulas.
Baginda dikatakan dibawa ke HUSM kira-kira 7.30 petang, lebih kurang 10 minit selepas Tengku Muhammad Fakhry dibawa ke IPK.
The Malaysian Insider difahamkan Tengku Muhammad Fakhry berada di IPK untuk diambil keterangan berhubung sidang media semalam.
Tengku Muhammad Fakhry dibawa ke IPK di pekarangan Istana Mahkota.
Kira-kira 6 petang smlm, Tengku Muhammad Fakhry berkata pesawat khas yang dibawa khas untuk membawa Sultan Kelantan dilarang daripada mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.
Menurut Tengku Muhammad Fakhry, arahan tersebut telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa lapangan terbang.
Tuanku Ismail Petra dijadual akan berangkat ke Singapura pukul 11.30 pagi untuk mendapat rawatan susulan kesihatannya di Hospital Mount Elizabeth.
Sumber memberitahu The Malaysian Insider, Tengku Muhammad Fakhry ditahan oleh anggota polis dari Unit Tindakan khas kira-kira 100 meter dari Istana Mahkota semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk berangkat ke Singapura.
Sehingga 11.30 malam tadi beliau masih berada di IPK.
Difahamkan, setelah gagal untuk membawa Sultan Kelantan dengan pesawat khas pagi smlm, maka usaha diteruskan dengan pesawat Penerbangan Malaysia pada 7.50 malam tadi.
“Masa itu Tuanku dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk ke Singapura.
“Sebaik sahaja Tengku Temenggong dibawa ke Ibu Pejabat Polis, Tuanku Sultan langsung dibawa ke hospital,” kata satu sumber.
Ditanya sama ada motif penahanan itu ada kaitan dengan kes tembak ke atas seorang pengawal keselamatan istana baru-baru ini atau sidang medianya petang tadi, sumber itu enggan mengulas.
Sementara itu kekanda kepada Sultan Kelantan, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra semasa bercakap kepada pemberita melahirkan rasa dukacita atas konflik yang berlaku.
“Sedih, tak sangka sanggup buat gini kepada Tuanku Sultan.
“Kalau tak silap, tadi empat lima orang juga yang bertindak menahan Tengku Temenggong.
“Ada yang memakai topeng dan bersenjata,” katanya.
Tengku Muhammad Fakhry dibawa ke IPK bersama dua orang doktor peribadi Sultan Kelantan.
Dalam perkembangan yang sama difahamkan lima pengawal peribadi Tengku Muhammad Fakhry termasuk pengawal Sultan Kelantan turut ditahan secara berasingan.
“Tengku Temenggong dulu diambil baru pengawal-pengawal itu,” kata sumber tersebut.
Sementara itu, sumber memberitahu The Malaysian Insider dua orang doktor dan kira-kira lima pengawal peribadi istana juga ditahan. Bagaimanapun tidak pasti sebab mereka ditahan.
Hujung minggu lalu seorang pengawal keselamatan istana ditembak ketika perjalanan ke rumahnya selepas selesai bertugas. Dia masih dirawat di hospital.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra malam tadi dimasukkan ke HUSM untuk menjalani rawatan susulan masalah jantung.
Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad mengesahkan perkara itu dengan berkata kepada Bernama: “Ya Sultan (Kelantan) kini di HUSM.”
Difahamkan baginda dimasukkan ke hospital itu atas pilihan pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra untuk menjalani rawatan susulan.
Karpal tuntut tuduhan bunuh ke atas polis , at 5.5.10,
Menurut Karpal, peguam negara perlu membuat pendakwaan atas tuduhan bunuh, berdasarkan keterangan daripada saksi utama kejadian itu, Azamuddin Omar.
Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah melawat lokasi kejadian di Seksyen 11 Shah Alam hari ini.
"Saya akan menulis surat kepada peguam negara untuk mendapatkan apakah pendirian beliau, dan menggesa beliau, berdasarkan keterangan saksi utama, supaya pendakwaan perlu dibuat atas tuduhan bunuh," katanya.
Menurut Karpal, polis yang terlibat dalam kejadian itu juga berhak untuk menyampaikan cerita mereka, tetapi hak keluarga mangsa tidak boleh diketepikan.
Beliau menyifatkan kes tersebut sebagai kes prima facie berikutan tindakan polis dalam kejadian berkenaan.
"Saya rasa polis bertindak melampaui batas yang ditetapkan ke atas mereka.
"Sekiranya (benar) apa yang saya diberitahu dan apa yang saya dapati, saya rasa ini jelas merupakan satu kes pembunuhan.
"Saya difahamkan (siasatan) kes ini telahpun diklasifikasikan sebagai (kes) bunuh," katanya lagi.
Tambahnya, beliau juga akan meminta supaya diberikan salinan rakaman kenyataan oleh saksi.
"Saya difahamkan ada dua kenyataan," kata Karpal.
Ujarnya, mahkamah yang mengendalikan kes ini juga perlu diberikan garis panduan yang membolehkan polis melepaskan tembakan.
"Malangnya, standing order oleh ketua polis negara ini diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi.
"Namun dalam apa-apa keadaan, apabila kes ini ke mahkamah, kami perlu dapatkan ruling atas keadaan-keadaan yang perlu oleh polis untuk melepaskan tembakan," katanya lagi.
Karpal sebelum itu meluangkan masa kira-kira lima minit bersama saksi, Azamuddin Omar, untuk bertanyakan beberapa butiran mengenai kes tersebut.
Karpal antara lainnya menanyakan berapakah jumlah kereta polis yang mengejarnya pada malam kejadian.
Azamuddin turut disoal, bilakah polis mula melepaskan tembakan dan bilakah tembakan itu mengenai Aminulrasyid.
Karpal turut menyoal saksi tersebut bagaimanakah beliau keluar daripada kenderaan berkenaan dan sama ada beliau terus pulang ke rumah selepas keluar daripada kereta yang dipandu mangsa.
Azamuddin yang kelihatan tenang ketika menjawab soalan-soalan itu berkata, terdapat dua atau tiga buah kereta polis yang mengejar mereka ketika kejadian.
Katanya lagi, polis mula melepaskan tembakan ketika mereka memasuki Jalan Tarian, kira-kira 300 meter daripada tempat kereta yang dipandu Aminulrashid itu berhenti.
tambahnya, ketika kereta masih bergerak, polis masih melepaskan tembakan walaupun mangsa sudahpun meninggal dunia.
"(Aminulrashid) sudah meninggal tapi kaki dia masih lagi tekan minyak," kata Aminuddin ketika ditemubual Karpal Singh.
"(Cermin) tingkap sudah retak pada masa itu... Saya terjun keluar," katanya lagi.
-M'kini