Ikuti Blog ini

Tak terima perbezaan idea punca samseng politik




 
SHAH ALAM: Pencetus kepada wujudnya politik samseng berkemungkinan hasil daripada kongkongan yang dilakukan dalam demokrasi politik negara ini, kata peguam Hanipa Maidin.

Bercakap dalam Wacana Sinar Harian hari ini beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, politik samseng itu juga wujud apabila pemain politik itu tidak mahu menerima kepelbagaian pandangan politik sebagai satu pertembungan sihat.

Malah katanya, ia menjadi lebih parah jika satu pihak itu melihat idea pihak lain sebagai ancaman kepada mereka.

"Mereka selalunya merasakan idea mereka tak diterima, mereka tidak senang dan iri hati dengan idea orang lain, maka timbul politik samseng," katanya.

Wacana Sinar Harian ke-16 hari ini membincangkan tajuk "Politik Samseng, Di Mana Maruah Kita?"

Wacana tersebut dibarisi panel Presiden Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Mohd Tap Salleh, Bekas Ketua Negara, Tan Sri Musa Hassan dan juga Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.

Penganalisis Politik, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar pula bertindak sebagai perantara wacana tersebut.

Menurut Hanipa lagi, politik samseng mungkin boleh dielak jika parti-parti politik melihat pertembungan idea sebagai sesuatu yang boleh diterima oleh semua pihak.

"Bila suasana pertembungan idea yang sihat dapat kita lakukan maka budaya samseng itu tidak akan berlaku dan selepas itu biarlah rakyat yang membuat pilihan siapa yang mereka pilih," jelasnya.

Hanipa juga berpendapat jika wujud kebebasan yang sekata untuk bersuara serta menyampaikan idea, maka suasana politik negara akan terus berlangsung dengan lebih aman.

"Di Malaysia kita lihat suasana samseng itu ditimbulkan oleh pemimpin itu sendiri yang tidak dapat menerima pendapat yang baru.

"Untuk menghapuskan suasana tersebut kita perlu lakukan perubahan terhadap kepimpinan yang ada, bila ini dilakukan saya pasti suasana itu kembali aman," jelas beliau. -Hrkh

Kes Pembunuhan Altantuya: Pengakuan Deepak Bukti Akuan Sumpah Kedua PI Bala Tak Sah



Merujuk kepada laporan Harakah mengenai pengakuan Deepak Jaikishan yang membantu keluarga Datuk Seri Najib Razak untuk memujuk penyiasat bebas P Balasubramaniam (PI Bala) menukar akuan bersumpahnya, menjadi bukti bahawa akuan bersumpah kedua PI Bala jatuh tidak sah.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu dibuka semula dengan mengambil kira akuan bersumpah pertama PI Bala, setelah akuan bersumpah kedua PI Bala didapati telah dipengaruhi oleh keluarga Najib Razak.

Berikutan tindakan PI Bala mengubah pengakuan bersumpah, Deepak sendiri mengaku ia dilakukan demi menolong keluarga Najib.Ini bukti yang cukup untuk memanggil Najib ke kandang saksi. Pengakuan bersumpah PI Bala yang pertama yang menyebut keterlibatan Najib dalam kes pembunuhan Altantuya wajib dirujuk.

SAMM melihat kes pembunuhan Altantuya menerbitkan sudut persoalan yang pelbagai, apatah lagi ia berkait rapat dengan skandal Scorpene yang disifatkan sebagai ‘bapak’ kepada semua kes jenayah di Malaysia. Skandal pembunuhan Altantuya dan skandal pembelian kapal selam Scorpene yang terkait ini harus dirungkai dan rakyat harus tahu.

Demi memastikan rakyat celik dalam isu ini, pelbagai usaha dilakukan oleh SAMM termasuklah jelajah sesi taklimat penerangan di setiap negeri, ceramah pencerahan dan SAMM juga akan melancarkan buku bertajuk ‘Antara Dua Razak, Dua Scorpene dan Satu Mongolia’ pada bulan hadapan.

Akhir sekali, SAMM seru supaya rakyat menolak kepimpinan Najib Razak yang tercalit skandal Altantuya dan Scorpene, dan hanya selepas Bn ditumbangkan barulah kebenaran akan terungkai kerana ketika itu tiada lagi imuniti undang-undang terhadap VIP dan VVIP negara.

Badrul Hisham Shaharin
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia



PI Bala gembira kebenaran akhirnya terserlah

Lelaki yang mendakwa telah dipaksa untuk mengubah akuan bersumpahnya yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu, berkata beliau gembira bahawa kebenaran akhirnya terserlah juga.

Penyiasat persendirian P Balasubramaniam berkata ahli perniagaan permaidani, Deepak Jaikishan, yang terlibat untuk mendapatkannya mengubah akuan berkanun (SD) itu, telah melakukan "perkara yang betul".

Dalam responnya melalui emel kepada Malaysiakini, Balasubramaniam menggesa Deepak supaya mendedahkan segala-galanya yang diketahui mengenai perkara itu.

Katanya, beliau mahu Deepak mengesahkan siapa sebenarnya individu yang terlibat dari awal hingga akhir.


Balasubramaniam kini hidup dalam buangan bersama keluarganya di India selama tiga tahun sejak beliau melarikan diri negara selepas menandatangani SD kedua.

Deepak, dalam satu wawancara dengan Malaysiakini awal minggu ini, berkata pembabitannya dalam konspirasi itu adalah ekoran permintaan dari seorang "rakan wanita" yang dikaitkan dengan pihak-pihak yang akan terjejas oleh SD pertama Balasubramaniam.

Sementara itu, Balasubramania berkata beliau mahu tahu siapa peguam yang didakwa merangka SD kedua, yang menurutnya, telah disediakan tanpa "pengetahuan atau input" daripadanya.

"Persoalannya ialah siapa yang melakukannya? Tiada siapa yang interviu saya sebelum menyediakan SD kedua. Ia disediakan tanpa pengetahuan atau input saya. Saya ingin mengetahui siapa peguam ini".
-mk

GOOLLL!! Satim Diman Berjaya Rembat 80 Ekar Tanah Rakyat Negeri Selangor Bernilai RM19.9 Juta




KUALA LUMPUR 6 Dis: Pengerusi KEADILAN Selangor, Mohamed Azmin Ali mendedahkan, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman mendapat RM19.9 juta hasil daripada penjualan 80 ekar tanah kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Katanya, urusniaga itu berlaku semasa Selangor di bawah pemerintahan Umno BN.

Menurut Azmin, tanah tersebut pada mulanya dibeli oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Serdang itu dengan harga RM1 sekaki persegi melalui dua syarikat – Nikmat Inai dan Supreme Precious Sdn Bhd.

“Satim memiliki kepentingan sebanyak 30 peratus dalam Nikmat Inai dan beliau juga mempunyai saham dalam Supreme Precious Sdn Bhd,” kata Timbalan Presiden KEADILAN itu ketika membacakan dokumen berkaitan di hadapan 4,000 penduduk pada Ceramah Merdeka Rakyat di Gombak malam semalam.

Azmin yang merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah PKNS meletak jawatan tersebut pada 23 Jun 2010 kerana mahu memberi laluan kepada tokoh lain dalam memberi sumbangan kepada anak syarikat kerajaan negeri itu.

Sambung Ahli Parlimen Gombak itu pada ceramah tersebut, beliau berkata, rakyat perlu pastikan Umno BN tumbang pada Pilihan Raya Umum kali ini bagi memastikan kezaliman dihapuskan.

“Kami tekad jika diberi mandat sebagai kerajaan, tidak akan ambil tanah walau seincipun kerana tanah adalah milik rakyat, bukan hak pemimpin.

“Bukti ini anda boleh lihat di Selangor di mana kita bukan sahaja tidak mengambil tanah, malah masalah tanah rakyat yang diabai Umno BN sekian lama kita selesaikan sebaik diberi mandat mentadbir negeri,” kata Azmin lagi.

Oleh Masdar Wahid

Keganasan UMNO di Gombak : Ini catatan dari orang Gombak..

Sepanjang ingatan aku yang bermastautin kat area sini, sudah beberapa kali Pakatan buat ceramah kat masjid Zakaria tu, takde hal pun..

Cawangan Umno yang depan masjid Zakaria pun adalah sekali dua buat ceramah kelompok panggil tokoh-tokoh sendu ex-Pakatan, tapi biasalah kerusi lagi ramai dari pendengar.

Semuanya berlaku tanpa sebarang kekecohan..yang terdekat, kat Sungai Chinchin pun Pakatan biasa buat ceramah, takde kecoh pun..

Punca kecohnya satu je, sebab first time Anwar turun situ..tu yang habis menggeletar jadi paranoid..sebab kalau nak kira Anwar turun Gombak, kat area Gombak ni banyak kali dah Anwar turun, kat AU, kat Pinggiran, tapi tak kecoh pun..

Kenapa bila Anwar turun kat kawasan kampung (benteng pertahanan terakhir Umno), Umno jadi takut? Sebab kawasan kampung ni jelah harapan terakhir Umno untuk spin orang2 kampung..

Tapi PAS/PKR pun pandai, ceramah kat kampung dah pakai power point dah, terkedu orang kampung..

Kalau Pakatan berceramah mestilah isinya menentang Umno, takkan nak bagi puji-pujian kat Umno pulak, kenapa paranoid?

Dan yang hadir semalam pun bukan orang kampung je, orang-orang UIA, UniKl pun ramai, diorang boleh tengok macam mana hodohnya perangai Umno..

Ada ke "kami tak provok cuma kami buat bantahan aman", tapi ko tau ceramah tengah berjalan, yang ko berdiri tepi jalan sambil menjerit apa pasal? Itu provoklah namanya.

Sepanjang pemerhatian aku, Umno Gombak khususnya DUN Gombak Setia sudah tidak ada apa-apa yang nak ditawarkan kepada rakyat, mereka tiada kekuatan..nak harap BR1M sekali hari tu jelah, lepas tu orang lupa (ni tahun depan ni start baliklah).

Kalau nak kira Umno DUN Hulu Kelang dah lama bungkus sebab orang sana cerdik-cerdik belaka, Umno DUN Batu Caves pulak macam tak berfungsi sebab kat situ MIC yang bertanding.

Kot nak mengharap kat Gombak Setia ni ialah saki-baki Melayu perkampungan dari Batu 6 sampai ke batu entah berapa belas sampai ke perkampungan Orang Asli tu..itu pun tak ramai, sebab orang-orang cerdik pun ramai kat sini..

Umno Gombak Setia cuma bernafas sekejap bila Hasan Ali kata "saya ada phd kena pecat dari PAS", yang tu siap semua banner Hasan Ali digantung kat pejabat Umno..tapi sekejap jela.

Ni dah masuk setahun kena pecat muka Hasan Ali pun dah tak nampak kat Gombak Setia..dan orang Gombak Setia pun tak rasa kehilangan dia sebab selama ni pun dia sibuk kat Shah Alam, maklumlah, bak kata dia "sultan nak jumpa, mufti nak jumpa"

Bab banjir, sepanjang ingatan aku jugak, kawasan area masjid Zakaria tu mana pernah banjir, walau selebat mana pun hujan..yg pernah banjir pun kawasan Batu 10 dekat apartmen UIA, tapi tak kena penempatan penduduk.

Itu berpunca dari mereka yg mendirikan gerai betul-betul kat tebing sungai (kalau ikutkan, tebing sungai ialah tanah rizab yg tak boleh diusik), tapi kalau sodok kesianlah pulak.

Mungkin aku silap, tapi sebagai pemastautin kat area-area situ, nak jugaklah tau, banjirnya celah mana?

Satu lagi anak Omardin ni, toksah nak menipu la..dia ada kat tempat kejadian tapi dia tak nak bertanggungjawab atas apa yang juak-juak dia buat..bosanlah Pemuda Umno macam ni, macam mana aku nak sokong?

Buat ceramah tak laku, orang ceramah ko nak ganggu..

Catatan oleh Mohamed Hadi Al-Majwi, 06 Dis 2012

Panas!! Konspirasi Terbaru Najib Terbarai..

KUALA LUMPUR: Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) didakwa sedang berada dalam bahaya jika benar wujud konspirasi peringkat tertinggi yang mahu menyenaraikan KPF ke dalam Felda Global Ventures Berhad (FGVH).

Presiden Persatuan Anak peneroka Felda Kebangasaan (Anak), Mazlan Aliman mendedahkan, konspirasi ini melibatkan seorang menteri dan mendapat restu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, menteri berkenaan telah mengarahkan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Md Yusof Samsudin mengeluarkan surat menyatakan Mesyuarat Agung perwakilan (AGM) KPF pada 20 jun lalu tidak sah.

Pembatalan AGM ini katanya dipercayai sebagai jalan membolehkan AGM diadakan semula bagi melantik Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad sebagai Penegrusi KPF dan Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad sebagai setiausaha.

Pada 20 Jun lalu, ahli KPF yang memiliki 51 peratus saham dalam Felda Holdings Berhad mengadakan mesyuarat agung untuk mengambil alih semula pengurusan itu.

Beberapa perwakilan kemudian meminta mesyuarat itu dibatalkan atas sebab laporan audit kewangan KPF lambat dihantar kepada mereka.

"Untuk bawa masuk KPF adalah sukar dengan peraturan sedia ada melainkan satu konspirasi dibuat antaranya adalah membatalkan mesyuarat agung KPF dan memastikan dua orang, Tan Sri Isa Samad dan Faizoull Ahmad berada dalam KPF.

"Jadi AGM akan diadakan semula pada 27 Disember ini dan akan dikendalikan sepenuhnya oleh SKM. Lobi dan sogokan melalui Pengurus Felda kepada perwakilan telah mula dilakukan agar menurunkan tandatangan untuk suatu memorandum yang dihantar kepada SKM agar Isa Samad menerajui KPF," Katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, semalam,

Mazlan menjelaskan, apabila KPF disenaraikan ke dalam FGVH, ekuiti KPF dalam Felda Holdings dikurangkan sebanyak 22 peratus dan diambil alih oleh Felda.

Hal ini menyebabkan KPF yang menguasai 51 peratus kepentingan dalam Felda Holdings, hanya tinggal 29% sahaja dan Felda akan memindahkan syer 22 peratus kepada FGVH, menjadikan FGVH sebagai pemegang saham majoriti.

"Sebagai balasan, KPF ditawarkan pegangan saham 10 peratus, itupun melalui pegangan Felda Asset Holding yang juga diterajui Isa Samad.

"KPF akan hilang kuasa atas Felda Holding. Perkembangan pelaburan dan perancangan KPF akan terencat. Semua ditentukan oleh Isa Samad dari A sampai Z. 1.6 juta warga Felda hanya jadi penonton apa pun yang dibuat oleh Isa Samad dan konco-konconya.

"Kesan terbesar, operasi KPF akan menguncup. Dividen tinggi antara 12 hingga 15 peratus tidak akan dirasai lagi. Teramat buruk, kemasukan KPF dalam FGVH jika gagal menaikkan saham FGVH membawa isyarat KPF akan lingkup bersama FGVH," tegas Mazlan.

Siti dengan imej baru

wajah nya memang ayu
alhamdulillah jika siti terus bertudong, cantik dan ayu, manis serta menampakkan kewanitaan nya, kami berdoa agar siti kekal dengan imej ini, bukan masa untuk promosi saja.
rujuk - mstar

Insiden Gombak Bayangan 13 Mei Yang Disebut Shahrizat?


Insiden berdarah Gombak, Umno ulangi tragedi 13 Mei – Shamsul

KUALA LUMPUR 5 Dis: Serangan samseng Umno terhadap ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak malam tadi yang menyebabkan sekurang-kurangnya dua penyokong Pakatan Rakyat (Pakatan) cedera berdarah membuktikan peristiwa 13 Mei akan diulangi Umno, kata Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau merujuk ucapan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil pada Perhimpuann Agung Umno (PAU) tempohari yang menyatakan peristiwa 13 Mei bakal berulang jika Pakatan memerintah.

“Baru saja Shahrizat mengingatkan kononnya jika Umno tidak lagi memerintah, suasana tegang akan bermula dan peristiwa 13 Mei akan berulang,” kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) itu ketika dihubungi.

“Inilah bukti kebenaran kata-kata beliau bahawa peristiwa itu memang akan berulang kerana dicetuskan samseng Umno yang mengamalkan politik ganas,” tempelak Shamsul.

Dalam teks ucapan Shahrizat, antaranya menyatakan bahawa:

“... Saya bimbang dan khuatir ini mungkin akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969. Mahukah kita melihat keadaan jijik tersebut berlaku lagi di negara kita…” Shamsul turut mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang baru meminta maaf kepada rakyat dalam PAU.

“Najib baru saja minta maaf kepada rakyat dalam Perhimpunan Umno atas segala kesilapan. Hanya beberapa hari, perkara begini (serangan) terjadi. Apakah Najib tak ada kuasa untuk halang sayap pemudanya?” tegasnya.

“Apa pula pendirian Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang kononnya sering melontarkan idea bernas? Kenapa biar politik ganas menjalar? Mustahil beliau tak tahu isu ini,” katanya.

Tegas Shamsul, polis perlu ambil tindakan segera dan mengheret pihak bersalah yang menyebabkan kecederaan terhadap penyokong Pakatan ke mahkamah.

Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengajak Shahrizat berdebat berhubung isu ‘Tragedi 13 Mei 1969 dan Perpaduan Nasional’.

Timbalan Ketua Muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, cadangan debat ini menunjukkan kesediaan DMPP menjawab segala tuduhan dan kenyataan Shahrizat di PAU, 28 November lalu.

DMPP mahu Shahrizat sendiri berdebat dengan Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yusof yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

“Kenyataan tersebut boleh mendatangkan rasa takut, cemas, rasa tidak selamat, tidak tenteram, berunsur ugutan, menghasut dan seterusnya upaya dan cenderung mendatangkan khianat awam kepada ketenteraman masyarakat awam pelbagai kaum di negara ini,” katanya dalam kenyataan.


Bukti SMS Umno arah provokasi ceramah Gombak

KUALA LUMPUR 5 Dis: Serangan sekumpulan samseng terhadap ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak malam tadi didahului dengan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berupa ‘arahan’ beberapa hari sebelumnya.

SMS itu menyatakan arahan supaya membantah kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program yang diadakan di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2 di Gombak.

SMS itu didedahkan Ketua Cawangan PAS Kampung Gombak Utara, Haider Samsudin kepada Keadilan Daily malam tadi.

Katanya, beliau menerima SMS itu beberapa hari sebelum ceramah berlangsung.

“SMS ini disebarkan kepada orang ramai khususnya pemimpin PAS dan anggota supaya tidak turun ke ceramah. Ia juga mengandungi bukti arahan supaya rakyat turun beramai-ramai buat provokasi pada ceramah,” jelasnya.

Pada program itu, Haider cedera di kepala akibat dibaling objek keras dipercayai pasu oleh samseng Umno.

Berikut SMS tersebut:



1. Adalah dimaklumkan pada tarikh 4.12.2012 hari selasa malam, ketua pembangkang anuar ibrahim akan datang ke gombak utara bt 8, diharapkan tuan tuan dapat menurunkan seberapa ramai pemuda cawangan bagi menghalang kehadiran beliau ke gombak utara. Tuan tuan! Gombak Utara adalah maruah kita, sama samalah kita turun beramai ramai pada malam tersebut.

2. A.kum & slm perjuagan.. diseru semua ketua 4 sayap caw2 (Cawangan-cawangan). PDM (Pusat Dun Mengundi) Bt (batu) 9 Gbk (gombak) dpt (dapat) menurunkan seberapa ramai ahli caw.ke perkarangan pjb (pejabat) Dun Simpang bt 8 gbk (gombak) mlm (malam) ini jam 8mlm (malam) bg (bagi) menyokong BANTAHAN kehadiran KETUA PENGKHIANAT BANGSA ke kg kita gbk (gombak) utara.. moga kita sama2 dpt (dapat) membela kg kita & mempertahankan kubu kuat kita dr (dari) dikhianati oleh egen ZIONIS ini… su (setiausaha) pdm (Pusat Dun Mengundi) bt (batu) 9 gbk (gombak)
.


Penyebaran SMS itu turut disahkan Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Gombak, Amirudin Shari dalam kenyataan pagi ini.

“Beberapa hari sebelum program, pimpinan Pakatan Rakyat Gombak telah dimaklumkan bahawa terdapat pesanan ringkas (SMS) yang berlegar untuk menggesa Pemuda Umno Gombak turun untuk menghalang program yang akan berlangsung,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves itu.

Ekoran itu, sebagai langkah keselamatan, kepimpinan Pakatan Rakyat Gombak membuat satu laporan polis Isnin lalu di Balai Polis Gombak bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. -KD


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .