Ikuti Blog ini

Rakyat Selangor mencipta sejarah


ULASAN Saya terasa teringin untuk menulis sesuatu hari ini. Agak lama tidak menyatakan pandangan, mungkin kerana terpaksa menahan diri dari melakukannya kerana ada tugas penting yang perlu diselesaikan tanpa memberi peluang kepada mana-mana pihak mentelaah secara negatif. Hari ini setelah semuanya selesai maka sementara duduk di rumah elok dituliskan sesuatu agar mampu memberi sedikit pencerahan.

Ramai melihat agenda melantik menteri besar di Selangor dan barisan Exco dengan kanta pandang dekat. Ramai mungkin yang mahu memberi pandangan walaupun dalam banyak masa mereka tidak mempunyai sebarang maklumat tepat untuk membuat komen. Maka wujudlah beberapa siri perbincangan panas antaranya Istana campurtangan dalam pemilihan Exco, politik kuno berpaksikan kaum, politik order lama yang tidak sensitif gender dan bermacam lagi.
 
Bila ada ura-ura kononnya istana atau lebih khusus lagi DYMM Sultan cuba memberi nasihat dan pandangan dalam pelantikan Exco maka terus sahaja kita membuat kesimpulan bahawa Tuanku mahu campurtangan dalam pentadbiran negeri, baginda seorang yang rasis dan hanya memihak kepada orang Melayu.
Tidak sedikit yang menyatakan rasa marah dan tersinggung serta kesedihan mereka dengan berita tersebut. Ramai kita terlupa bahawa politik Pakatan Rakyat yang kita bawa adalah politik baru dengan semangat politik inklusif, yakni ruang bersuara dan memberi pandangan terbuka luas kepada semua pihak dan saya berpandangan ianya tidak terkecuali kepada pihak istana.

Lebih malang apabila timbul cerita bahawa pihak istana mahu formula 6:4 (Melayu: Bukan Melayu) digunapakai dan isu kaum terus dimainkan tanpa cuba melihat mungkin ada sudut lain yang lebih positif dan membina yang boleh dilihat. Bila kita lihat keputusan 15:15:14 PAS DAP dan PKR, ini bermakna keputusan tersebut telah melonjakkan kerusi PAS yang dahulunya hanya lapan kepada 15 kerusi.
Sedar atau tidak dengan lonjakan tersebut telah sekaligus membenamkan tohmahan Umno-Najib bahawa PRU 3 adalah Tsunami Cina hingga membawa kepada keceluparan melampau apabila mereka mengatakan “Apa Lagi Cina Mahu”. Kawasan majoriti Melayu di Sepang dan Sabak yang dimenangi oleh PAS telah memusnahkan ego Najib dan kuncu utamanya Md Zin.

Justeru, dengan memperolehi 15 kerusi amat wajar PAS diberikan penghargaan kerana bukan sahaja memang mereka telah melonjakkan kerusi Pakatan Rakyat hingga mendapat 3/4 majoriti di dalam Dewan, malahan telah menafikan jolokan Tsunami Cina yang cuba dimainkan oleh Umno. Ianya saya lihat telah menggagalkan usaha Umno untuk memalukan masyarakat Melayu di Selangor hingga boleh mewujudkan ketegangan kaum.
 
Saya berpendapat inilah yang cuba dibayangkan oleh Tuanku semasa membuat keputusan untuk tetap memberi pandangan kepada MB bahawa rayuan MB di saat akhir dengan tujuan memberi 4 kerusi Exco kepada DAP tidak boleh dirai. Namun, benar percakapan umum bahawa politik terbaca atas persepsi dan bukan dari niat sebenar. Maka persepsi menggambarkan Tuanku seperti anti-Cina dan hanya mementingkan politik orang Melayu.

Bagaimana pula hari ini? Setelah melihat pentadbiran PR Selangor dengan berani mencipta sejarah melantik YB Puan Hannah Yeoh sebagai Speaker lantas menjadi Wanita (Cina) pertama yang menduduki kerusi tersebut adakah persepsi di atas masih terpakai? Terbukti hari ini politik Selangor telah menjangkau ke hadapan - meninggalkan politik rasis dan gender ke belakang. Tidak terfikirkah kita bahawa DYMM Tuanku juga memainkan peranan besar di dalam sejarah yang kita cipta ini?
Sejarah mampu dicipta di Selangor ekoran dari proses konsultasi, tawar menawar, tikaman lidah hingga mewujudkan kerjasama erat dan kebijaksanaan Menteri Besar, pemimpin Pakatan Rakyat hatta dari keperihatinan DYMM Tuanku sendiri.
 
Sebenarnya saya tidak hadir pada majlis angkat sumpah Exco yang penuh istidat dan bersejarah hari ini kerana khuatir kokokan batuk yang saya alami sejak PRU dahulu akan mengganggu keharmonian upacara. Meskipun saya dijemput sendiri oleh Dato Pengelola Istana tapi saya terpaksa menolaknya walau dengan hati yang berat.
Biarlah acara gemilang berlangsung cemerlang tanpa ada bunyi atau suara sumbang-garau yang mencemar majlis. Cukup sekadar menyediakan teks sembah ucapan Dato Menteri Besar kepada Tuanku menjadikan saya seolah-olah berada di sana merai hari bahagia rakyat Selangor.

Memandangkan saya ada kelapangan berada di rumah, saya mengambil kesempatan membuat catatan ini dengan hasrat mahu mengimbangi keghairahan kita memberi pendapat dengan harapan dapat mengecapi politik ideal. Ghairah mengetengahkan harapan agar tiada campurtangan istana dalam pentadbiran negeri.
Harapan agar politik tidak diukur dengan ras dan kaum. Harapan agar politik kita terkeluar dari kekangan gender. Saya akui semua harapan itu memang baik dan ideal;  tidak keterlaluan jika saya katakana itulah suasana politik yang didambakan oleh kebanyakan rakyat Malaysia.
 
Namun pada saya, apa yang lebih penting ialah natijah dan hasil dari proses yang kita ambil dalam berpolitik. Maksud saya, apa yang kita lihat di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang. Pentadbiran Selangor membariskan barisan Exco yang mempunyai cukup representasi dari Melayu, Cina dan India. Selangor lengkap dengan reprentasi Wanita dalam Exco yakni sebanyak 40 peratus.
elangor mencipta sejarah apabila buat julung-julung kalinya melantik seorang Speaker wanita berbangsa Cina dan timbalan speaker termuda di dalam sejarah politik negara. Pakatan Rakyat Selangor berjaya membariskan barisan Exco profesional pelbagai bidang dan jurusan; Peguam, doktor, arkitek, dentis hatta seorang ilmuan agama seperti Ustaz Solehin Muhyi.

Rakyat Selangor pula semuanya berbangga menjadi rakyat di negeri Selangor yang telah memilih pimpinan mereka yang pelbagai bidang. Cuma satu perkara yang ingin saya ketengahkan, di sebalik kegembiraan dan kebanggaan yang kita semua rasai ketika ini, harus diketahui juga ianya bukan datang dengan sendiri.
Bukan juga dengan campurtangan mana-mana pihak. Ianya adalah hasil dari proses bertikam lidah, konsultasi, perbincangan serta tawar menawar yang dilakukan semua pihak; parti-parti politik, pegawai eksekutif di pejabat Menteri Besar dan pegawai di istana.
Malah yang lebih besar lagi apabila DYMM Tuanku sendiri yang ada ketika pada siri menghasilkan barisan Exco dan speaker,  telah sanggup mencemar duli. Pada saya, sejarah hari ini telah dicipta semua orang baik dari keturunan raja hinggalah pacal rakyat marhaen dan budak suruhan pejabat serta para bentara di istana.

Syabas rakyat Selangor dan tahniah kepada pimpinan yang dilantik menerajui pentadbiran negeri. Selamat menjalankan tugas - bekerja demi rakyat tanpa memihak kepada sesiapa dan tanpa rasa takut kepada manusia. Sesungguhnya rakyat hakim negara dan Allah pemilik sekalian alam. 
FAEKAH HUSIN setiausaha politik kepada menteri besar Selangor.

Khir Toyo Selangkah Lagi Ke Penjara, Mengadu Dikambinghitamkan Najib



Khir Toyo dakwa dijadikan ‘kambing hitam’ dalam perang anti-rasuah Najib

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa dirinya menjadi mangsa “kambing hitam” dimanipulasi untuk kepentingan politik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Semalam Mahkamah Rayuan menolak rayuan Dr Mohamad Khir dan mengekalkan hukuman penjara 12 bulan berhubung kes rasuahnya.

“Saya sudah tidak peduli lagi jika keputusan telah dibuat untuk memenjarakan saya sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ini telus dan mahu membanteras rasuah,” kata beliau dalam tulisan di blognya www.drkhir.com.

“Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya,” tambah beliau lagi.

Menurut Dr Mohamad Khir, beliau didakwa melakukan Criminal Breach Trust (CBT) atau pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan bukannya kesalahan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Sepanjang perbicaraan, keterangan pegawai PKNS jelas menunjukkan saya menyokong puluhan surat cadangan memajukan tanah PKNS secara usahasama. Ada sokongan saya yang diluluskan dan yang ditolak oleh jawatan kuasa teknikal.

“Sebab tu saya dituduh melakukan Criminal Breach Trust (CBT) atau pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan bukannya kesalahan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Namun SPRM dengan bangganya menyatakan bahawa kejayaan pendakwaan ke atas saya merupakan bukti kerajaan serius membanteras rasuah,” katanya.

Semalam panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan hakim perbicaraan tidak membuat apa-apa kesilapan dalam membuat keputusan berhubung kes rasuah bekas menteri besar Selangor itu.

Tiga panel hakim yang diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin bagaimanapun membenarkan peguam perayu Datuk Seri Mohamad Shafee Abdullah agar menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menantikan keputusan rayuan Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Azahar Mohamed yang membacakan penghakimannya selama hampir dua jam berkata panel tiga hakim yang turut dianggotai Datuk Aziah Ali telah sebulat suara berpendapat bahawa tiada sebab untuk Mahkamah Rayuan mengganggu dapatan fakta serta penyabitan yang dibuat oleh hakim mahkamah tinggi pada 23 Disember, 2011.

Beliau berkata setelah meneliti semua rekod rayuan, serta hujah daripada kedua-dua pihak, panel bersetuju bahawa hakim perbicaran telah membuat keputusan yang tepat dan tidak terkhilaf dalam menyabitkan Dr Mohamad Khir dengan pertuduhan itu.

Dr Mohamad Khir didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember, 2011 kerana dikatakan membeli dua bidang tanah dan rumah banglo di Seksyen 7, Shah Alam lebih murah dari harga sebenar di pasaran.

Beliau didapati bersalah menggunakan pengaruhnya sebagai menteri besar untuk membeli kediaman mewah dan tanah sehingga potongan sebanyak RM3 juta lapan tahun lalu.

Peguamnya, Muhammad Shafee memberitahu pemberita semalam beliau akan memfailkan satu notis rayuan di pejabat pendaftaran Mahkamah Rayuan hari ini. TMI

Mahasiswa tunjuk perasaan desak Zahid letak jawatan


PUTRAJAYA: Sekumpulan mahasiswa berhimpun di depan pejabat Kementerian Dalam Negeri bagi mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan, ekoran penahanan aktivis yang bermotifkan politik.

Kira-kira 30 mahasiswa berkumpul berhampiran pintu masuk utama KDN, dengan membawa kain rentang bagi menunjuk perasaan secara aman selepas solat Jumaat.

Ketua Solidariti Mahasiswa Malaysia, Mohammad Safwan Anang yang baru dibebaskan dengan ikat jamin hari ini turut turun padang dan dengan lantang mendesak Zahid letak jawatan kerana mencemar profesionalisma Kementerian Dalam Negeri.

Beliau ditahan Rabu lepas dan disiasat dibawah Akta Hasutan 1948 berhubung ucapannya pada program Malam Anak Bangsa Malaysia di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) 13 Mei lalu, yang didakwa berbaur hasutan.

“Kita rasa Datuk Seri Zahid Hamidi perlu berundur, letak jawatan sekiranya beliau masih gagal untuk menangani isu ini.

“Yang kedua, yang cukup jelas dan terang beliau juga telah menyalahgunakuasa apabila mengarahkan polis untuk membuat tuduhan secara berpilih dan itu yang kita rasa beliau telah menggunakan jentera kerajaan untuk motif politik,” kata Safwan.

Mahasiswa juga menuntut KDN dan polis dibebaskan dari campurtangan politik yang bagi mereka telah menyebabkan dua badan tersebut bersikap berat-sebelah.

Selain Safwan, aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim juga ditahan dan disiasat dibawah akta yang sama kerana kenyataan beliau di forum yang sama.

Turut ditahan dan didakwa di bawah akta dan sebab yang sama adalah, Naib Presiden PKR Tian Chua, aktivis PAS Tamrin Ghafar dan pemimpin NGO anti-Umno Haris Ibrahim. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .