Ikuti Blog ini

Usul Royalti minyak dibentang pd DUN sebelum ke mahkamah

NONE
petronas petrol oil facility in terengganu kerteh 141108 01
Satu usul berhubung isu tuntutan royalti minyak mungkin dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan esok bagi membawa isu tuntutan itu ke mahkamah, kata Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan, Datuk Husam Musa.

"Saya tidak tahu apa yang akan Adun bincangkan esok. Mungkin mereka akan membawa satu usul mengenai itu. Ini akan menguatkan lagi langkah kerajaan negeri untuk membawa isu itu ke mahkamah kerana ia mendapat mandat daripada DUN negeri," katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Bharu, hari ini.

Hari ini, kerajaan negeri menjemput semua Adun termasuk dari Barisan Nasional (BN) untuk mendengar taklimat berhubung royalti minyak Kelantan yang diberikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, dan bekas Ketua Jabatan Undang-Undang Petronas, Nik Saghir Mohd Noor.

Husam yang juga Exco Kanan kerajaan Negeri Kelantan, berharap semua Adun itu mendapat penjelasan lebih nyata dan membincangkan isu tuntutan royalti minyak Kelantan pada sidang dewan esok.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu mendapatkan sokongan daripada DUN kerana sewaktu perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri pada 1975, perkara itu dibawa di dalam sidang DUN untuk dipersetujui bahawa lima peratus hasil keuntungan minyak di Kelantan diberikan kepada negeri dan lima peratus lagi diberikan kepada Kerajaan Pusat.

Kerajaan Kelantan bertegas mahukan Kerajaan Pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri itu tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Dua telaga minyak berkenaan terletak 150 batu nautika dari perairan Kelantan dan Kerajaan Pusat bersetuju memberi RM20 juta wang ihsan kepada penduduk Kelantan, yang juga adalah bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada hasil dua telaga minyak pada 2008.

Perkara itu seperti yang termaktub dalam perjanjian Akta Peroleum 1974, iaitu bayaran lima peratus daripada hasil keuntungan minyak dan gas kepada kerajaan negeri.

Husam berkata, kedua-dua tokoh itu dijemput untuk memberikan taklimat kerana mereka adalah antara tokoh terbabit dalam perjanjian Akta Petroleum 1975.

Mengulas kesediaan kerajaan negeri menyertai Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan yang diketuai Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin,

Husam berkata:"Kita tidak terima. Jawatankuasa itu adalah jawatankuasa haram."
- Bernama

Pemuda perlu berani berubah, lakar sejarah baru

SHAH ALAM : Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyeru Pemuda PAS supaya berani membuat perubahan dan melakar sejarah baru dalam suasana politik negara yang penuh mencabar.

"Pemuda pasti berjiwa besar, membuka luas minda, tidak terjebak dalam emosi dan sentimen yang menyempitkan perjuangan.

"Pemuda juga mesti berani berubah, berani untuk melakar sejarah kerana itulah sifat pemuda" katanya yang merupakan mantan Ketua Pemuda PAS pada sesi lepas.

Beliau tidak bimbang soal aqidah dan daya juang yang ada dalam diri pemuda selagi sistem tarbiyyah PAS dipandu dan terus diperjuangkan oleh kepimpinan ulamak yang sedia ada pada hari ini.

Jati diri pemuda juga katanya tidak boleh dibina di atas emosi dan sentimen bagi berhadapan dengan suasana politik yang semakin mencabar.

"Apa yang penting bagi pemuda ialah terus maju ke hadapan, kerana cabaran hari ini tidak sama dengan cabaran 30 tahun yang lalu.

"Hari itu telah berlalu, hari ini era yang baru, politik yang memerlukan pemikiran baru, pemikiran yang lebih bijaksana dalam mengharungi bahtera perjuangan ini.

"Hari ini mesti ada nilai tambah, diri kita mesti terus belajar dan terus belajar" katanya.

Beliau merasmikan majlis penerangan dan pelancaran Polisi Latihan Kompetensi Bersepadu Pemuda PAS di sebuah hotel, di sini semalam.

Program selama dua hari itu dianjurkan oleh Akademi Kepimpinan Pemuda di bawah dewan Pemuda PAS Pusat.

Pengarah Program, Ahmad Sabki Yusuf menyatakan bahawa latihan ini bertujuan untuk menyediakan barisan kepimpinan di dalam PAS.

Menurutnya, setiap pemuda PAS mesti menjadi seorang yang kompiten, melaksanakan tugas dengan sempurna dan berkesan selain menjadi orang yang beramanah dan berintegriti.

"Kita tidak boleh menjadi orang yang baik semata-mata tetapi tidak boleh melaksanakan tugas dengan baik.

"Adalah menjadi suatu fitnah pada agama kita, sekiranya kita mendokong perjuangan agama ini tetapi diri kita tidak diterapkan dengan 'al-qawiyy' dan 'al-amin'." kata beliau yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Program tersebut dihadiri oleh 200 Pemuda PAS yang merupakan pelapis kepimpinan pemuda yang mewakili setiap negeri.

Turut hadir dalam program semalam, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani, bersama exconya Kamaruzaman Mohamad, Adram Musa, Ir Hj Mohd Khairil Nizam dan Zuraidin Abdullah.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .