Ikuti Blog ini

Menitis Air Mata Ku Kerana Bangga Membaca Ucapan TG Hj Abd Hadi Awang di Parlimen

Maha Suci Allah...
Inilah Jalan kita.... Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang telah menunjukkan Jalan Lurus (Sira thalmustaqim) kepada kita semua pemuda dan pemudi ku.


Ucapan selama satu jam yang disampaikan oleh beliau di Parlimen baru-baru ini.
Transkrip penuh Ucapan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang

Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang]: Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat, seluruh pegawai kerajaan dan para pemerhati, hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen PAS Marang

Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen PAS Marang

Pertamanya, saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk sama-sama ikut serta dalam perbahasan Belanjawan Bajet Tahun 2009, satu perkara yang penting dan menjadi perhatian di seluruh negara. Insya-Allah saya akan tumpukan kepada perkara prinsip dan konsep serta akan menyebut contoh-contoh yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan dan penekanan supaya pihak kerajaan dapat menunaikan tanggungjawab dengan tepat dan berjaya dan kita sama-sama bertanggungjawab di dalam menunaikan amanah memimpin negara.

Bukan sahaja kerajaan termasuk pembangkang kerana sebarang kesan daripada kegagalan akan menimpa semua. Faedah kejayaan akan dapat kepada semua. Kita tidak dapat menafikan bahawa ketika belanjawan dibentangkan, kita menghadapi situasi krisis ekonomi dunia yang gawat dan menjadi ancaman besar kepada negara walaupun ada pemimpin-pemimpin kerajaan membuat kenyataan seolah-olah kita tidak ada apa-apa kesan kerana ekonomi kita kukuh dan kuat.

Namun demikian, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam ucapannya menyatakan bahawa supaya kita berjaga-jaga kerana akan menerima kesan dan tempiasnya. Ini kerana kita Malaysia berada di dalam dunia, bukan di angkasa lepas. Apa yang berlaku di dalam dunia, kita akan menerima kesan-kesannya kecuali kita sebuah negeri yang duduknya di angkasa lepas.

Negara akan menghadapi cabaran besar apabila bajet dibentangkan dalam suasana krisis ekonomi. Bermula daripada sebab krisis harga minyak dan diikuti dengan krisis kewangan
Keadaan ini sudah tentu mewajibkan kerajaan supaya lebih berhati-hati sama ada dalam mengkaji semula dasar yang lemah dan polisi yang masih dibebani oleh unsur-unsur negatif yang boleh menggagalkan perancangan yang diatur dengan sebegitu rupa.

Kita tidak dapat menafikan walaupun kerajaan tidak bersedia untuk membaiki atau membentang semula bajet ini. Walau apa pun, kerajaan hendaklah bersedia dan menangani masalah-masalah yang akan berlaku. Sudah tentu kita akan membincangkan semula peruntukan-peruntukan tambahan yang akan menjadi bebanan yang besar kepada negara.

Sebenarnya apa yang berlaku ketika menghadapi kesan keruntuhan sistem liberal kapitalisme barat setelah di abad yang lalu kita menyaksikan keruntuhan komunisme yang menghancur leburkan negara besar Soviet Union. Sehingga negara-negara komunis terpaksa melakukan reformasi yang mengubah dasar dan polisi daripada ajaran komunisme yang sebenarnya walaupun selama ini mereka memaksa negara-negara lain supaya mengikut mereka.

Berlakunya peperangan dan pemberontakan yang mengorbankan berjuta-juta manusia termasuk di Negara kita ini pun kerana mahu menegakkan teori komunisme, tiba-tiba ternyata agak meleset.

Hari ini kita melihat tanda-tanda jelas dan besar, kegagalan liberal kapitalisme ditunjukkan oleh sendiri oleh Amerika yang menjadi ‘Ah Long’ kepada dunia yang rakus dan memaksa negara-negara dunia supaya mengikut cara-cara, amalan-amalan dan polisi mereka dan menyerang negara-negara yang tertentu untuk kepentingan ekonomi mereka walaupun mengorbankan ratusan ribu dan berjuta rakyat.

Pada hari ini, kita melihat ‘Ah Long’ gergasi itu sedang menunjukkan tanda-tanda untuk tersungkur. Walau apa pun, kita wajib mengambil iktibar dan pelajaran daripada peristiwa lama
dan baru. Kepada umat Islam yang membaca Al-Quran, Al-Quran memaparkan sejarah kuasakuasa besar dunia yang terdahulu. Punca kejatuhannya ialah kerana kezaliman, kejahatan dan penyelewengan walau bagaimana kaya dan kuat sekalipun kuasa-kuasa besar itu. Kaum Aad, kaum Samud, kaum Luth, kaum Firaun dan kaum-kaum yang lain.

[Membaca sepotong ayat Al-Quran]. “Adakah kamu tidak lihat, tidak faham, tidak mengerti apa yang telah berlaku kepada kaum Aad, kaum Samud, kaum Firaun? Begitulah kaum-kaum yang lain yang hebat tamadunnya. Bangunan-bangunan yang hebat, tinggi mencakar langit, tiang-tiang yang besar menggunakan tiang-tiang balak batu, bukan balak kayu. Semuanya musnah bila berlakunya penyelewengan kejahatan sama ada aqidah, politik, ekonomi, akhlak dan lain-lain”.

Semuanya itu sepatutnya menjadi iktibar kepada kita semua, termasuk kerajaan yang memerintah, kita hendaklah mengambil iktibar daripada apa yang berlaku. Keruntuhan liberal kapitalisme menunjukkan kebebasan yang mencetuskan perlumbaan dan persaingan yang diuaruarkan boleh memajukan ekonomi tetapi mengikut hawa nafsu tanpa batas.

Berlakunya penindasan dan membawa keruntuhan kepada diri sendiri. Di antara aspek penting yang menjadi amalan mereka ialah riba yang menjadi dosa besar di dalam ajaran Islam. Riba ada dua aspek yang menjadi kebanggaan ekonomi barat dan itulah yang meruntuhkan ekonomi itu sebenarnya.

Allah Taala telah menyatakan, “[Membaca sepotong ayat al-Quran]”. “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan riba itu, tidaklah mereka bangun daripada kubur mereka bila mereka dibangkitkan, mereka bangun laksana orang gila yang dirasuk oleh syaitan.” Mereka berlagak macam syaitan dalam kehidupan dunia ini, dengan kerakusan untuk mengejar kemajuan ekonomi tanpa mengira orang lain. Mereka berkata riba macam jual beli juga, padahal Allah mengharamkan riba dan menghalalkan jual beli.

Pernah berlaku Bank Bumiputra yang tinggal nama, barang kali generasi yang akan datang akan lupa nama Bank Bumiputera ini. Hilangnya nama Bank Bumiputera dan terpaksa bertongkat dengan bank lain digabung, dihilangkan namanya tidak lain da tidak bukan kerana pinjaman-pinjaman yang berasaskan riba yang dianggap boleh membawa keuntungan, akhirnya terlalu ramai tidak bayar.

Yang pinjam ialah pemimpin-pemimpin, orang-orang kenamaan. Inilah yang berlaku dalam ekonomi Amerika. Didedahkan sejak tahun 60-an lagi. Belanjawan Amerika mengalami defisit yang begitu parah. Pada zaman Johnson 1964 hingga 1968 ialah USD44.8 bilion; zaman Nixon1969 hingga 1974 ialah USD70 bilion; zaman Ford USD1.79 bilion; zaman Carter USD226.9 bilion; zaman Regan USD1.3 trilion; zaman Bush, USD 1.4 trilion; dan selepasnya 3.7
trilion; dan trilion, trilion lagi.

Kerajaan boleh menyediakan wang dengan banyak trilion, kalau tak cukup pinjam dengan bank. Bukan sahaja kerajaan pinjam, tokoh-tokoh kerajaan pun pinjam, kroni-kroni dia pinjam, akhirnya kewangan menjadi merudum. Ini yang berlaku, yang kita perlu mengambil iktibar.

Oleh kerana itu, saya mengalu-alukan pihak kerajaan yang meneruskan usaha perbankan Islam dan muamalah Islam tetapi ianya hendaklah dilakukan dengan cara yang bersungguhsungguh, menggalakkan mudarabah, qirat, Al- QardhulHasan pinjaman yang ada faedahnya tetapi bertimbang rasa antara peminjam dan yang memberi pinjam.

Keuntungan sama-sama adil, kerugian sama-sama ditanggung. Biar ada tanggungjawab dan semangat tanggungjawab ini melahirkan hasil kerja yang bertanggungjawab dan tidak melepas tangan yang boleh memajukan perjalanan kewangan dan memajukan muamalah itu sendiri. Ini hikmah daripada amalan Islam. Saya berbalik kepada belanjawan yang dikemukakan dalam merealisasikan Bajet 2009 kerajaan jangan lupa teras Rancangan Malaysia Kesembilan.

Walaupun terdapat konsep penekanan yang sama dalam bajet 2009 ini dengan 2008 pembasmian kemiskinan, peningkatan taraf hidup rakyat, kesaksamaan sosioekonomi dan modal insan.

Menunjukkan bahawa semua konsep ini masih belum berjaya yang perlu diteruskan dalam pembasmian kemiskinan jangan hanya mengemukakan peruntukan-peruntukan jangka pendek dan saya lihat seolah-olah pembentangannya adalah secara jangka pendek sahaja, tidak melihat jangka panjang. Saya minta…pepatah yang ‘mengatakan lebih baik bagi pancing daripada bagi ikan’ kalau bagi ikan lepas habis ikan dia minta ikan lagi, bagi pancing dia boleh cari ikan sendiri lepas itu.

Dalam menangani masalah kemiskinan kerajaan jangan hanya menyediakan data jumlah kemiskinan yang diminta dalam Dewan di akhir tahun. Sediakan wang dahulu lepas itu baru cari kemiskinan. Kadang-kadang sumbangan yang diberi tersasar, tidak sampai ke matlamat orang-orang miskin itu sendiri. Kerajaan mesti membuat kajian yang terperinci berapa jumlah orang miskin yang dapat dipulihkan, berapa jumlah orang miskin yang tidak ada harapan untuk dipulihkan, Orang kurang upaya, orang cacat ada harapan untuk dipulihkan berapa jumlah.

Jangan semuanya tak dapat dipulihkan, sepanjang masa boleh subsidi, seolah-olah kita mahu orang ini wujud supaya senang dapat undi dalam masa pilihan raya, ini tidak bertanggungjawab…

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: [Bangun]
Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang]: Kita mesti menunaikan tanggungjawab, mesti ada angka berapa ramai yang boleh dipulihkan…

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Marang. Adakah Yang Berhormat Marang bersetuju kalau disebut tentang mentaliti subsidi sejak daripada 50 tahun BN memerintah menyebabkan kemiskinan bertambah teruk terutamanya. Bukan sahaja berlaku di Sabah dan Sarawak tetapi di peringkat negeri Kedah di Padang Terap, Sik, Baling ini semua apa yang kita lihat mentaliti yang mahukan subsidi menyebabkan mereka terus miskin. Adakah Yang Berhormat Marang bersetuju?

Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang]: Saya bersetuju dengan huraian-huraian. Ada mereka yang mesti diberi subsidi sepanjang masa, yang tidak ada harapan untuk dipulihkan, Orang kurang upaya, ibu tunggal, yang tidak ada tempat bergantungan, yang sudah tua, dan lain-lain. Dalam keadaan-keadaan darurat ketika menghadapi inflasi, mereka yang tinggal di kawasan-kawasan bandar, setinggan, yang miskin ada insentif daripada kerajaan sementara waktu bukan selama-lama dan ada yang selama-lama dan mestilah diperincikan.

Dalam masa yang sama kita mesti ada angka berapa orang miskin yang sudah dibebaskan, tidak perlu lagi bantuan. Kadang-kadang yang sudah dibebaskan juga ada buat bantuan, dan bantuan ini menjadi masalah. Kalau bagi duit hari raya, datang dengan kereta letak jauh-jauh. Ini berlaku di kawasan saya, di negeri Terengganu, di negeri lain pun ada berlaku macam ini. Oleh kerana itu, mesti terperinci jumlah ini baru diperuntukkan dulu baru cari.

Mereka yang menjadi sasaran ini ialah petani, nelayan, buruh, penganggur dan berlakunya ketirisan dalam menyampaikan bantuan-bantuan ini. Seperti yang saya sebut tadi bantuan yang diberi kepada yang tidak berhak, penyalahgunaan bantuan, contohnya subsidi diesel, petrol yang diberi baru-baru ini bukan dapat kepada nelayan tetapi lintah-lintah darat, tauke-tauke, jual di laut, nelayan menjadi pekerja untuk menjual diesel yang dijual di laut, ini berlaku. Walaupun ada tindakan-tindakan tetapi amalan ini berterusan, dalam masa yang sama kerajaan mesti mendidik masyarakat untuk membantu.

Bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan, kalangan-kalangan swasta mesti dilibatkan dalam membantu menangani masalah kemiskinan. Cuba menjadi tanggungjawab bersama, tanggungjawab sosial, tanggungjawab masyarakat.

Kerajaan jangan hanya memberi kontrak, memberi projek, memberi itu sahaja tetapi galakan-galakan kepada mereka yang melakukan kerja-kerja kebajikan, yang berjaya dalam projeknya, yang berjaya dalam khidmat kepada masyarakat.

Yang kedua, penekanan dalam peningkatan taraf hidup rakyat dan kuasa beli. Kita dilanda oleh keadaan inflasi yang begitu rupa. Kita melihat negara lain, negara Barat, Singapura yang dekat dengan kita walaupun berlaku inflasi tetapi kadar gaji yang sekurang-kurangnya boleh menghadapi masalah kehidupan. Apa yang berlaku di negara kita ini, kadang-kadang pendapatan tidak mencukupi. Ini melahirkan gejala-gejala sosial.

Kerajaan mesti bersungguh dalam menangani masalah ini dan mesti melihat supaya gaji kakitangan rendah, buruh dan sebagainya supaya pendapatan di kalangan orang miskin dipastikan mampu sara hidup. Saya faham mungkin ada perbezaan di antara kawasan Bandar seperti Kuala Lumpur dengan bandar yang jauh.

Kerajaan boleh memberi insentif, memberi sumbangan untuk mereka yang dihimpit oleh kawasan-kawasan yang tertentu dan kerajaan mesti membuat kajian dalam sistem gaji dengan cara yang tepat bukan dengan cara yang tidak tepat supaya hilangnya masalah taraf hidup yang tidak seimbang dengan inflasi.

Masalah pengangguran, walaupun di sana ada program modal insan untuk melahirkan tenaga mahir di kalangan terpelajar tetapi berlakunya pengangguran. Pengangguran ini berlaku sama ada tidak ada peluang pekerjaan ataupun tidak ada semangat, semangat tidak ada. Keduadua aspek ini hendaklah diberi perhatian, yang tidak ada peluang pekerjaan mesti diberi peluang pekerjaan, mewujudkan suasana yang memberi peluang pekerjaan, yang tidak ada semangat dipulihkan semangatnya termasuklah penjenayah, penagih dadah.

Saya mencadangkan supaya mereka bukan sahaja dihukum dengan hukuman sebegitu rupa sahaja. Penagih dadah, penjenayah ini dihukum dan dididik dengan pekerjaan-pekerjaan ataupun dalam masa mereka dihukum memberi hasil dan sumbangan kepada negara.

Masalah pekerja asing hendaklah dengan cara yang sistematik jangan dengan cara yang tidak teratur. Kerana cara yang tidak teratur, kedatangan pekerja asing yang tidak perlu yang menyebabkan hilangnya pekerjaan kepada rakyat. Kadang-kadang kerana adanya kalangan yang melihat upah yang murah, kerana mahu upah yang murah keuntungan yang besar ambil pekerja asing tanpa mengambil kira penduduk tempatan sendiri.

Jangan kita jadi seperti kera di hutan disusukan, anak diriba dilemparkan. Kerajaan mesti mengambil perhatian juga, begitu juga pekerja asing yang membawa gejala social hendaklah ditapis dengan sebaik-baiknya dan yang ketiga dalam konteks belanjawan ini ialah kesaksamaan sosioekonomi.

Kita jangan terus-menerus dengan sistem yang diamalkan di zaman penjajahan dahulu. Negeri-negeri di Pantai Timur sebagai contoh diabaikan. Negeri-negeri di Malaysia Timur diabaikan. Banyak industri, pembangunan-pembangunan yang memberi pulangan yang lumayan, yang mengukuhkan ekonomi di negeri Pantai Barat, kemudahan-kemudahan pelabuhan dan lainlain Pantai Timur dan Malaysia Timur ditinggalkan.

Kita melihat sendiri bagaimana amalan projek-projek hanya digalakkan dalam masa pilihan raya. Apabila ada pilihan raya kecil berebut-rebut hendak buat jalan. Kadang-kadang rakyat bercita-cita supaya wakil rakyat itu mati cepat apabila dapat projek. Ini malang, dia tidak bertanggungjawab.

Di Malaysia Timur, di Sabah, di Sarawak saya melawat beberapa kali. Walaupun kita telah mencapai kemerdekaan 50 tahun, Malaysia Timur hampir 50 tahun, masih banyak kawasan yang tidak ada infrastruktur. Melalui sungai tidak ada jalan raya, tunjuk muka apabila ada pilihanraya, selepas pilihan raya dilupakan. Apa yang berlaku adalah aktif di dalam menebang balakbalak sahaja, mengambil hasil bumi sahaja tetapi rakyat dibiarkan.

Penduduk-penduduk asli, jangan jadikan penduduk asli ini barang warisan untuk dipelihara selama-lamanya. Seolah-olah kita bangga menjadi barang warisan. Orang Iban, orang Kadazan, orang yang asal duduk di kawasan ini, biar pelancong datang tengok. Kita mesti ada tanggungjawab, memasyarakatkan mereka, majukan mereka, jangan dibiarkan begitu.

Dalam menangani masalah pengagihan pendapatan ini kita tidak menafikan kaum bumiputera adalah majoriti kalangan miskin, oleh kerana itu mereka diutamakan di peringkat ini. Kaum bumiputera dengan jumlah yang besar tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh mengabaikan kaum yang lain, yang juga menjadi sebahagian daripada kita, rakyat negeri ini.

Kaum Cina yang tinggal di kampung-kampung baru, kaum India di estet, mereka adalah rakyat kita, jangan duduk berbalah siapa yang asal duduk di sini dahulu, hilangkan perbalahan itu. Kita hendaklah menerima hakikat, ini semua adalah rakyat negara kita… [Tepuk] Jangan duduk bertengkar. Kita terima hakikat ini. Ini cara kesaksamaan sosioekonomi yang perlu dilaksanakan.

Mengeratkan perhubungan kaum, mewujudkan perpaduan rakyat, hendak menyatukan manusia bukan macam hendak menyatukan batu bata, bangunan rumah. Manusia bukan batu, manusia bukan kayu. Manusia ada perasaan, ada hati nurani. Hendak menyatukan mereka bukan diambil kira isi perut termasuklah isi hati dan perasaan, bukan perlu dilayan perut dan kemahuan perut sahaja. Perasaan hati juga dengan keadilan yang sebenarnya, ini yang menyatukan rakyat… [Tepuk]

Modal insan, insan adalah manusia. Manusia mempunyai naluri dan fitrah yang tersendiri. Untuk membangun manusia mestilah membangun fitrahnya, membangun sifat-sifat semula jadinya. Manusia ada roh, manusia ada jasad, manusia ada perasaan individualistik, manusia hidup bermasyarakat. Islam memberi perhatian kepada semua aspek ini. Islam berbeza dengan ajaran yang lain, yang memberi penekanan kepuasan jasad sahaja.

Ada yang memberi penekanan kepuasan roh sahaja tanpa mengira jasad, hendak menjadikan manusia macam malaikat. Ada yang memelihara kepentingan masyarakat sehingga menghapuskan hak-hak individu macam komunisme. Ada yang memelihara kepentingan individu tanpa masyarakat. Aspek-aspek kemanusiaan ini perlu diambil kira dalam semuanya dalam membangun modal insan.

Bukan sahaja dibangunkan kesihatannya, mesti dibangunkan akalnya dengan ilmu, ilmu pengetahuan mematangkan akal dan ilmu pengetahuan yang memahirkan kehidupan diri. Dalam masa yang sama, ilmu yang membuahkan akhlak yang mulia, ilmu yang melahirkan semangat patriotik. Ini perlu diambil kira atau kita hanya memberi penekanan dalam ilmu-ilmu pengetahuan akal sahaja, tanpa akhlak dan tanpa semangat patriotik, manakan mendatangkan hasil yang sebenarnya.

Walaupun ramai mereka yang lulus universiti, tapi ramai yang menunggu kerja kerajaan sahaja, tak sanggup nak bekerja sendiri. Yang bekerja, menyeleweng pula, jadi penipu. Cerdik tak boleh tumpang, bodoh tak boleh harap. Ini berlaku dalam masyarakat, mendidik akhlaknya tahu dosa dan pahala, kena dan sabar, adil dan zalim, jangan kita didik rakyat menjadi rakyat, menjadi rakyat mengukur benda yang salah, yang diukur siapa bagi duit?

Sehingga minda kita nak berpolitik pun dipengaruhi politik wang, bukan politik memilih siapa yang layak. Dalam pilihan raya pun sama, memilih pemimpin yang dapat bagi wang, bagi benda, bukan pemimpin yang bertanggung jawab. Ini kerana kita tidak mendidik manusia membangun manusia dengan akhlak. Dengan ilmu saja tidak boleh, mesti dengan akhlaknya. Dengan semangat patriotik, sangat malang, kita mengajar anak-anak kita seolah-olah wira kita hanya tahun 1946.

Padahal kita menentang penjajah sejak kedatangan Portugis dan Belanda. Di mana pejuang-pejuang kemerdekaan yang menentang penjajah sejak zaman itu hilang, seolah-olah keperkasaan kita, hanya tahun 1946 selepas mencapai kemerdekaan dihilangkan.

Sejarah-sejarah silam yang sepatutnya membangkitkan semangat, dalam menangani modal insan ini, melahirkan semangat patriotisme. Kita belum belajar dari Jepun yang ranap dalam perang dunia yang kedua. Jerman yang roboh dalam perang dunia kedua bangkit menjadi kuasa besar ekonomi dan politik.

Taiwan, China bangkit dengan cara mereka sendiri, di samping mereka mendidik rakyat dengan ilmu dan semangat, untuk menimba ilmu dari mana sahaja datangnya. Ini kerana di nyatakan oleh Nabi s.a.w… [Membaca sepotong ayat Al-Quran] “Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan orang yang beriman” di mana saja dia jumpa, dia mesti ambil. Tamadun Islam, belajar dulu Tamadun Cina, Tamadun India, Tamadun Rom, Tamadun Parsi, Tamadun Mesir, diambil semua yang menjadi manfaat, diterjemahkan dalam bahasa Arab. Untuk mempelajari tamadun lain dengan bahasa masing-masing, untuk membanyakkan tenaga mahir yang melahirkan tamadun bangsa itu mestilah bangsa ibunda sendiri.

Jepun meramaikan manusia-manusia yang di bangun yang dibina dengan bahasa Jepun. Taiwan dengan bahasa Cina, kita belajar Taiwan dengan kemajuan dia, bukan dengan bertumbuk dalam Parlimen. China bangkit dengan bahasa Cina, dia nak pergi luar, dia belajar dengan bahasa Inggeris, bahasa Perancis. Begitu juga negara kita, mestilah kita memperkasakan bahasa kebangsaan supaya menjadi bahasa ilmu, bahasa ibunda. Jangan dihalang belajar bahasa ibunda masing-masing. Ini kerana masing-masing bangsa ada bahasa dia sendiri, dia selesa dengan bahasa dia,dan kita telah berjaya menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantaraan.

Akhir-akhir ini saya melihat bahasa kebangsaan tidak diperkasakan, dilekehkan. Kita lihat bagaimana pemimpin Jepun buat perjanjian dengan bahasa Jepun terjemah dengan bahasa lain, kalau silap, mesti balik dengan bahasa asal dia. Dia boleh kelentong ikut bahasa dia. Inggeris dengan bahasa Inggeris, Perancis dengan bahasa Perancis. Kita dengan bahasa orang, orang kelentong kita, ini yang berlaku. Tidak menjadi salah kita banyak belajar bahasa asing, tapi dalam masa yang sama nak memperkasakan bangsa kita sendiri mestilah dengan bahasa kita sendiri.

Dalam memantapkan ekonomi rakyat dan negara, pembangunan sektor sokongan dan pembangunan industri logistik amat penting. Kita melihat sebagai contoh, saya orang kampung, melihat sendiri bagaimana petani nak bertanam, menghadapi masalah harga baja yang mahal. Penternak nak pelihara binatang, harga makanan binatang ternakan mahal.

Orang yang tinggal di Pantai Timur sebagai contoh, terpaksa beli dari Johor, dari Pantai Barat. Mengapa tidak dibina di Pantai Timur, di Malaysia timur, dibanyakkan? Begitulah juga kemudahan dalam bangunan kilang besi, kilang simen, teknologi macam PERWAJA yang dah
diambil tindakan, dah meninggal dunia, tak tahulah apa jadi. Kita mahu kilang besi, kilang simen yang benar-benar memberi kemudahan kepada industri-industri yang lain untuk memantapkan
ekonomi kita.

Industri Kecil Sederhana atau IKS perlunya ada sokongan dan hiliran. Kerajaan perlu mempelajari lebih kesilapan-kesilapan yang lalu. Sebagi contoh, rakyat digalakkan menceburi industri pertanian di pasarannya tidak mencukupi menyebabkan berhenti di tengah jalan. Di Pantai Timur, sebagai contoh pertanian industri rozel ditanam begitu banyak, oleh sebab pasarannya tidak ada, akhirnya petani menjadi mangsa, pengusaha kecil menjadi mangsa.

Saya harap yang kena ini juga jangan jadi begitu, saya dah beri peringatan dalam ucapan saya yang lalu. Mestilah projek hilirannya, pasarannya disusun dengan baik, dengan bertanggung jawab dengan berjaya, dan kerajaan wajib memanfaatkan semua hasil bumi. Kurnia Allah SWT, Allah SWT bagi kita sumber hasil bumi yang banyak, sumber petroleum, sebagai contoh, dengan Petronas hendaklah ditingkatkan dan dilaksanakan dengan betul. Sumber hasil galian ini dipelihara dengan sebaik-baiknya dengan cara yang ekonomik, jangan rakus dengan mengeluarkan dengan sebanyak-banyak, mesti ada simpanan kita dengan sebaiknya.

Dalam masa yang sama, hasil daripada itu hendaklah diagih kepada program-program yang lain yang akan membantu negara bila sumber ini tidak ada lagi.

Saya menghargai Petronas melaksanakan projek-projek sehingga peringkat antarabangsa hingga di luar negara. Akan tetapi mestilah berhati-hati, saya dapat satu berita ada projek di Mauritania. Satu kompeni dibeli oleh Petronas, saya tak tahu betul ke salah, biar kerajaan jawab. Dikatakan kompeni ini sakit, tenat, kita beli yang tenat ini, orang lain tidak mahu beli. Walaupun penasihat-penasihat yang pakar dalam Petronas menasihatkan jangan beli, tapi yang lebih atas, suruh beli juga. Mungkin ada lagi tempat-tempat lain, kita tak mahu hal-hal seperti ini berlaku. Komoditi, pertanian, penternakan hendaklah ditingkatkan dengan cara sebaikbaik.

Kita mempunyai tanah yang luas terutama dalam menghadapi krisis makanan, hendaklah diselaraskan dengan Dasar Jaminan Makanan Negara dengan bergantung import. Kita melihat negara-negara mahu dalam dunia, negara industri besar, mereka memberi perhatian kepada makanan yang cukup. Di Amerika, di England, Jerman, di Perancis, kalau kita melawat di sana, kita melihat sendiri mereka mempunyai sumber-sumber pertanian yang cukup untuk sara hidup negeri mereka sendiri sekiranya berlaku apa-apa hal, berlaku apa-apa perkara darurat.

Saya pernah menyebut perkara ini dalam Dewan ini dalam tahun 90-an tetapi Menteri Pertanian di masa itu mengatakan tidak ekonomik. Lebih baik kita beli daripada luar, import. Lebih baik kita buat program pertanian di luar, bawa balik ke negara kita. Dipandang lekeh begitu saja.

Hari ini baru tahu bila kita menghadapi krisis makanan. Tak apalah, kita boleh perbetul balik dalam perkara ini. Jepun sebagai contoh, memberi subsidi 99% kepada petani. Kerajaan sanggup menghabiskan wang untuk menyediakan jaminan makanan negara. Ini sebagai satu contoh. Tanah di negara kita luas, tanah terbiar masih banyak. Dalam masa yang sama untuk menghadapi krisis ekonomi, diharap kerajaan supaya mengalih pergantungan kepada dunia Barat.

Alihkan pergantungan kita kepada tolong-menolong di kalangan sesama sendiri, di kalangan negara Islam dan negara serantau. Sudah tiba masanya kita menamatkan pergantungan dalam tukaran antarabangsa kita dengan dolar. Patutnya negara yang sedang membangun, negara serantau dan negara Islam ada asas sendiri. Mata wang sendiri menjadi pergantungan kepada mereka supaya kita tidak terikut-ikut dengan gejala ekonomi yang berlaku pada kuasa-kuasa yang lain.

Seterusnya saya ingin menarik perhatian, semua perkara-perkara ini dapat dilaksanakan dengan jaya sekiranya kita dapat membangun insan dalam erti kata yang sebenar. Dengan caracara yang saya sebut yang kita mengubati penyakit-penyakit yang sedang berlaku dalam diri kita.

Di antaranya ialah krisis keyakinan, kita sedang menghadapi krisis keyakinan dalam diri kita sendiri. Tak percaya pada diri kita sendiri, tak percaya pada kekuatan dan sumber yang ada pada kita sendiri. Krisis keyakinan perlu diselesaikan.

Maka pendidikan, pelajaran, penerangan perlu memainkan peranan dalam mengubati krisis keyakinan ini. Di antara yang menimbulkan krisis keyakinan ialah tidak percaya kepada pentadbiran kerana banyaknya rasuah, tidak percaya kepada badan kehakiman kerana berlakunya kelakuan-kelakuan tidak senonoh, tak percaya kepada BPR kerana tindakan-tindakan yang tidak berkesan yang tidak boleh mengatasi masalah rasuah. Sepatutnya kadar rasuah makin kurang tapi makin bertambah. Ini semua menghilangkan keyakinan.

SUHAKAM dalam Laporan SUHAKAM supaya kerajaan melakukan reformasi terhadap kehakiman, BPR, media, SPR, undang-undang yang dianggap tidak sesuai seperti ISA, undang-undang pada zaman penjajah kita masih amal lagi. Ini perlu diubah, dipinda pada undang-undang yang adil, yang baik.

Undang-undang hukum gantung sampai mati. Baru-baru ini di peringkat antarabangsa golongan hak asasi manusia menimbulkan hukuman gantung sampai mati, ini hukuman zaman kuno. Masih diamalkan. Undang-undang yang seperti ini hendaklah dihapuskan, ditukar pada yang lain. Bukan tak ada undang-undang langsung. Bukan bermakna kita minta hapuskan ISA bermakna tak ada undang-undang, ada undang-undang.

Buat undang-undang yang lain, yang baik, yang adil, yang sesuai dengan perkembangan masa, yang sesuai dengan kita sudah merdeka. Undang-undang yang menimbulkan rasa tanggungjawab yang tidak menghilangkan kasih sayang antara kerajaan dan rakyat, antara satu sama lain… [Tepuk]

Saya yakin dan percaya sekiranya kita sedia untuk membuat perubahan-perubahan ini, kita berada di negara yang selamat. Kalau kita masih lagi berkeras, tak mahu mengakui kesilapan, kesalahan, tak sanggup nak kembali ke pangkal jalan, maka kita akan menerima akibat malang di samping saya menerima hakikat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri nak mengundurkan diri. Saya berharap Perdana Menteri akan dapat melaksanakan ikrar sebelum berundur. Nak memulihkan kehakiman, nak memulihkan BPR, nak memulihkan banyak perkara lagi.

Mudah-mudahan beliau meninggalkan peninggalan yang baik sebelum mengundurkan diri dan kita sokong sekiranya Perdana Menteri ingin buat perubahan yang sungguh-sungguh… [Tepuk] untuk menyelamatkan negara. Saya rasa itulah ucapan saya. Sekian, terima kasih.




ROBOH RUMAH, 200 AHLI UMNO SERTAI PAS DI MASAI


JOHOR BAHRU, 19 Okt -Tidak puas hati dengan layanan dan sikap diskriminasi Umno yang berkuasa lebih 50 tahun, pagi tadi beratus ahli Umno telah istihar keluar daripada parti itu dan sertai PAS

Kira-kira 200 daripada 500 ahli Umno termasuk lapan ahli jawatankuasa cawangan Umno Kampung Baru Plentong Tengah, Masai telah mengisytiharkan keluar daripada parti itu dan menyertai PAS pagi tadi.

Mantan Ketua Pemuda Cawangan Umno kampung tersebut, Mohd Daud Mohd Isa telah menyerahkan borang keahlian kepada Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada satu pertemuan yang diadakan di kampung tersebut pagi tadi.

Tindakan tersebut tercetus, ekoran insiden perobohan rumah penduduk pada 16 Oktober lalu yang tidak mendapat simpati daripada Umno.

Sementara itu, Ketua Cawangan Umno yang sama, Sahari Mohd Sham telah serah memorandum kepada Presiden PAS untuk membawa isu perobohan rumah tersebut ke parlimen.


Apakah Pak Lah Bakal Sertai Pakatan Rakyat

Mungkin atas desakan, Pak Lah akan melakukan apa sahaja. Melihat kedudukannya itu dan juga pengaruh Khairy yang sudah semakin terpinggir dikalangan pemuda , sudah pasti Pak Lah akan bertindak. Jika tidak beliau sudah pasti akan ditertawakan oleh Mahathir suatu hari nanti. Jika 5 tahun Mahathir terhina dan dipinggirkan, mungkin Pak Lah akan lebih lama dari itu. Tambahan pula Mukhriz, anak Mahathir dijangkan lebih berpeluang menjadi nombor satu selepas ini daripada Khairy. Jika ini berlaku, Pak Lah pasti akan lebih lelah dibuatnya. Maka mahu tidak mahu, jalan terbaik ialah Pak Lah berkompromi dengan Pakatan Rakyat bagi menggagalkan usaha "Team Mahathir" itu.

Mungkinkah Pak Lah bersedia untuk bersama Anwar membentuk kerajaan perpaduan seperti yang diperkatakan oleh Ku Li baru-baru ini. Jika ini berlaku, pasti Ku Li juga akan bersama Pak Lah sertai Pakatan Rakyat membentuk kerajaan Perpaduan. Maka Mahathir-Najib pula yang akan "kempunan". Apapun, sama-samalah kita berdoa agar mereka ini akan dibukakan hati dan diberikan petunjuk oleh Allah SWT agar kembali ke pangkal jalan. Sejarah tercipta bahawa Pak Lah sebenarnya adalah anak salah seorang ulamak terkenal di negara kita bahkan dirantau ini. Justeru itu rakyat tidak hairan jika Pak Lah tiba-tiba memakai serban dan menyertai perjuangan PAS dalam usaha menegakkan syiar Islam yang diperjuangankan oleh nenek moyangnya dulu. Status sebagai "Cucu Ulamak" tersohor bakal memungkinkan ke arah itu.

Siapa tidak kenal Syeikh Abdulllah Fahim seorang ulamak yang begitu pakar dalam ilmu Falak. Di antara anak Syeikh Abdullah Fahim ialah Datuk Haji Ahmad Badawi. Beliau adalah seorang alim yang bertanggungjawab menangani sekolah agama yang didirikan oleh ayahnya. Di antara anak Datuk Haji Ahmad Badawi pula ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu Pak Lah yang secara rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat, 31 Oktober 2003 Masihi bersamaan 5 Ramadan 1424 Hijrah. (Baca tentang Syeikh Abdullah Fahim disini). Berlinangan airmata tatkala membaca sejarah keturunan Pak Lah ini. Maka itu semoga beliau diberikan taufik dan hidayah untuk melihat kebenaran dan tidak dibutakan hati lagi dengan hanya untuk melihat kekuasan sebagai matlamat perjuangannya.



Siapa Orang Abdullah Yang Mahathir Suruh Buang?


BAKAL Perdana Menteri yang akan bersara Abdullah Ahmad Badawi marah benar dengan bekas Perdana Menteri yang masih aktif berpolitik Mahathir Mohamad. Abdullah seperti sedih, kecil hati dan geram dengan Mahathir apabila bekas ahli Umno itu mencampuri urusan pemilihan Umno dengan bertindak menjadi Pengarah Pemilihan Umno.

Tindak tanduk Mahathir itu disifatkan Abdullah sebagai menimbulkan perkelahian dalam Umno dan berkata Mahathir tidak berhak untuk mencampuri urusan Umno kerana beliau orang luar, bukan ahli Umno lagi.

Kata Abdullah, Mahathir pandai-pandai menentukan sesiapa yang patut dipilih dan dibuang. Apa yang menyebabkan Abdullah seakan berang apabila Mahathir meminta agar membuang orang-orangnya.

Sebelum ini Mahathir pernah menyebut berberapa nama yang layak menjadi Perdana Menteri sebagai mengganti Abdullah. Apabila Mohd Najib Razak bersikap mendiamkan diri Mahathir menempelak Najib dengan menamakan atau menyebut nama Muhyiddin Yassin, Rais Yatim sebagai mereka yang layak menggantikan Abdullah.

Mahathir tidak sesekali menyebut nama Tengku Razaleigh Hamzah sebagai orang sesuai atau layak walaupun hakikinya Tengku Razaleigh lebih layak berbanding Muhyiddin dan sudah lama menyatakan hajat untuk merebut jawatan presiden.

Siapakah orang-orang Abdullah yang disebut Mahathir itu? Jika dirujuk kepada nama-nama itu mereka dalam jemaah menteri, dari 19 jemaah menteri Melayu, 11 orang menteri yang dilihat orang Abdullah dengan mengambil kira mereka ini menjadi menteri selepas Abdullah menjadi Perdana Menteri.

Sementara lapan orang menteri pula dilihat sebagai berpihak kepada Mohd Najib Razak memandangkan mereka pernah berkhidmat dengan Najib ataupun seangkatan dengan bakal Perdana Menteri yang diraikan itu. Mereka ini juga dianggap sebagai talam dua muka atau biantang dua alam kerana boleh hidup di kedua kem, Najib atau Abdullah.

Meteri yang dikatakan orang Abdullah dan disuruh pecat oleh Mahathir ialah;

1. Amirsham A Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri),
2. Syed Hamid Albar (Menteri Dalam Negeri),
3. Nor Mohamed Yaacob (Menteri Kewangan II),
4. Shaziman A Mansor (Menteri Tenaga, Sumber dan Komunakasi),
5. Ahmad Shabery Chik (Menteri Penerangan),
6. Dr Rais Yatim (Menteri Luar),
7.Ismail Sbari Yaacob (Menteri Belia dan Sukan),
8. Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi),
9. Azlina Othman Said (Menteri Pelancungan),
10. Zulhasnah Rafique (Menteri Wilayah Persekutuan),
11. Khalid Nordin (Menteri Pengajian Tinggi).


Mereka ini dikatakan tidak selamat sekiranya Najib menjadi Perdana Menteri ataupun akan ditukar ke kementerian yang tidak glamour.

Bagaimana pun nama-nama seperti Syed Hamid Albar, Khalid Nordin dan Ahmad Shabery Chik mungkin akan dikekalkan Najib memandagnkan pengalaman dan bakat mereka.

Manakala lapan menteri yang dikira selamat dan bersikap macam haiwan dualam pula ialah;

1. Mohamad Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri),
2. Ahmad Zahid Hamidi (Menteri di Jabatan Perdana Menteri),
3. Zain Mohamad (Menteri Jabatan Kerjaraya),
4. Muhyiddin Yassin (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, selaku Ketua),
5. Mustapa Mohamed (Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani),
6. Shahrir Abdul Samad (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehawal Pengguna),
7. Hishamuddin Hussein (Menteri Pelajaran),
8. Shafei Afdal (Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan - selaku Tim Ketua).

Nama-nama seperti Awang Adek Hussein, Rafidah Aziz, Tengku Adnan Mansor dan Mkhriz Mahathir mungkin akan dipertimbangkan balik oleh Najib untuk dibawa ke dalam Kabinet atas Nasihat Mahathir.

Keikhlasan Tok guru Cerminkan Ketelusan Islam



Satu kenyataan menarik daripada Tok Guru Nik Abdul Aziz yang disasarkan Ikhlas buat kaum Cina baru-baru ini.

Kenyataan Tok Guru Nik Abdul Aziz bahawa orang Cina boleh jadi MB Kelantan sekiranya dia Islam, warak dan berpelajaran.

Kenyataan di atas jelas dan tiada niat terselindung.Bahkan itulah sebenarnya sikap dan polisi Islam. Dalam perkara ini Tok Guru membuktikan bahawa beliau yang menjadi Mursyidul Am Pas bukan bercakap kosong tetapi ada benda yang telah dibuktikan.

BuktinyaPAS memiliki ahli jawatankuasa peringkat pusat dari kaum Cina, Dato’ Anuar Tan dan beliau juga adalah exco Kerajaan Negeri Kelantan. Di Perak juga ada Yang Berhormat PAS dari kaum Cina iaitu Drs. Khalili Idham Lim Abdullah, Adun Titi Serong.

Keadaan ini bukan benda baru dalam PAS. PAS dari dahulu lagi berusaha mendekati rakyat bukan Islam untuk menyampaikan Keindahan dan keadilan Islam. Usaha secara giat bermula pada zaman Tuan Haji Yusuf Rawa, diperkasakan di zaman Al Marhum Ustaz Fadzil Noor sehinggalah berkembangnya kelab-kelab penyokong PAS dari pelbagai kaum di zaman Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Terkini Tok Guru Nik Abdul Aziz menegaskan sekali lagi hasrat murni Islam dan jaminan Islam dengan harapan suatu hari nanti golongan bukan Islam memahami bahawa Islam tidak pernah ada hasrat terselindung terhadap mana-mana penganut agama lain bahkan Islam ada dasar yang jelas terhadap masyarakat bukan Islam.

Faham Tok Guru itu jelas hingga Tok Guru Nik Abdul Aziz selalu berkata di mana-mana " Kita semua ini anak cucu adam dan hawa, tak kira cina, melayu, siam atau apa jua bangsa atas muka dunia ni".

Biar pun pelbagai telahan yang mengatakan ia hanya kenyataan politik dan mengandungi niat terselindung demi menarik sokongan kaum bukan Melayu kepada PAS, tetapi hakikatnya ia keluar dari seorang Menteri Besar yang terkenal bersih, ikhlas dan tiada kepentingan peribadi bahkan berautoriti dalam Islam. Semua ini membuatkan kenyataannya amat menarik untuk dinilai oleh setiap masyarakat pelbagai bangsa dan agama.

Hakikatnya luahan yang dibuat oleh tok guru bukanlah kenyataan politik , bukanlah sensasi peribadi, bukan juga "ada udang di sebalik batu" dan sesekali tidak berkongsi apa-apa niat selain menyatakan hasrat Islam dan itulah hakikat Islam sebenarnya.

Tok guru hanya menyampaikan apa yang telah ditetapkan oleh Allah dalam Kitabnya dan apa yang diarahkan oleh nabi. Beliau bukan pandai-pandai nak tawarkan sesuatu yang tidak kena dengan dasar Islam sebagai Addin yang syumul.

Islam agama yang jelas dasarnya dan polisinya terhadap hak, keperluan, dan kepentingan mana-mana makhluk yang bernyawa.Islam penuh tanggung jawab menyatakan hak, hatta bagi sebiji benih pepohon sekalipun ia perlu ditanam sebagai menunaikan haknya untuk menumbuh, Islam jelas menyatakan hak bagi binatang ialah tidak disakiti , dan yang paling penting Islam menjamin hak setiap perkara di dunia dengan sistemnya yang syumul.Ia bukan sahaja meliputi polisi,dasar dan undang-undang terhadap umat Islam semata-mata bahkan bahkan dasar dan polisi Islam adalah bersifat universal mencakupi semua bangsa dan agama.Ia jelas termaktub di dalam perlembagaan tertinggi ummat Islam iaitu Al Quran dan pimpinan hadis daripada utusan Allah Nabi Muhammad SAW.

Islam adalah hak semua manusia, Islam bukan milik mana -mana bangsa di dunia ini. Islam bukanlah alat mana-mana kelompok manusia menggunakannya demi mencapai hasrat yang bersifat kelompok atau kepentingan bangsa. Islam mengiktiraf semua bangsa dan Islam adalah milik semua tidak kira apa jua bangsanya.Sesungguhnya penilaian Islam terhadap manusia ialah tahap ketaqwaannya.

Seorang Cina muslim tidak ada apa-apa perbezaan berbanding India muslim atau Melayu muslim.Bahkan semua bangsa di dunia akan menjadi satu ummah dengan kepelbagaian yang menyatukan di bawah keadilan Islam.Dalam Soal ini juga Islam tegas menyatakan hak bagi rakyat yang bukan Islam dengan jaminan yang sama rata dengan hak ummat Islam. Tiada sebarang perbezaan hak dan penindasan agama dan diskriminasi warna kulit.

Antara hak rakyat bukan Islam

Hak beragama

Islam menjamin hak beragama dan kebebasan beragama bagi rakyat bukan Islam .Bahkan Saidina Umar Al Khattab sendiri semasa membuka kota Al Quds memberikan pilihan kepada penduduknya samada untuk memeluk Islam atau kekal dengan anutan lama. Mereka juga dibenarkan mewarisi dan mengamalkannya sesama mereka.

Hak jaminan keselamatan khusus

Islam mewujudkan sistem jaminan khusus bagi setiap nyawa peribadi rakyat yang bukan Islam dengan pelaksaanaan kharaj. Iaitu sejumlah wang yang dikenakan bagi bagi setiap rakyat bukan Islam wajib disimpan dan ia adalah amanah kepada kerajaan Islam. Ia sama sekali tidak boleh disalurkan untuk mana-mana tujuan lain. Sekiranya kerajaan tidak mampu menjamin keselamatan rakyat bukan Islam maka wang tersebut perlu diserahkan kembali kepada pemiliknya.

Hak memilih undang-undang

Rakyat bukan Islam diberi hak untuk memilih samaada untuk mengamalkan undang-undang Islam,undang-undang yang termaktub dalam agama mereka atau mana-mana undang-undang pilihan mereka.

Hak berekonomi

Islam memiliki sistem ekonomi yang sejahtera dan adil.Islam mengamalkan dasar terbuka dan tiada monopoli dalam ekonomi. Tiada riba yang menyusahkan, tiada konsep jual beli yang mengelirukan, jaminan hak pennguna, hak pembeli, undang-undang dan peraturan berekonomi yang tetap bahkan sesuai untuk semua bangsa, agama dan status sosial. Sekiranya mana-mana golongan, bangsa ,individu atau sesiapa jua yang mematuhi peraturan sistem ekonomi yang ditetapkan Islam maka tiada apa-apa lagi untuk diragukan walaupun kejayaan dalam ekonomi dicapai oleh rakyat bukan Islam sekali pun. Sesiapa yang berusaha lebih dan mematuhi nilai-nilai dan peraturan berekonomi secara Islam maka Islam adalah jaminan buat mereka.

Hak bukan Islam sebagai pemimpin

Islam jelas dalam hak kepimpinan bagi rakyat yang bukan Islam. Namun dalam pendekatan pilitik semasa ada perkara yang perlu kepada pengawalan kepada asas majmuk dan kepelbagaian ragam manusia.Islam tidak sesekali meletakkan bangsa sebagai syarat kepimpinan. Sesiapa sahaja, apa jua bangsa ataupun peringkat rakyat yang beriman dan muslim berhak menjadi kepimpinan tertinggi dalam sesebuah negara Islam. Islam amat prihatin, adil dan telus dalam soal kepimpinan. Rakyat yang bukan Islam juga berhak mendapat hak kepimpinan tertentu dalam pentadbiran negara Islam.

Semoga Keikhlasan dan hasrat Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi cerminan keindahan dan kesyumulan Islam.

Pengundi Pasir Mas jangan Salahkan Tok Guru


 Rakyat dan pengundi-pengundi di Parlimen Pasir Mas kini telah melihat dengan mata kepala mereka sendiri apa yang dilakukan oleh wakil mereka di Parlimen. Saya tidak mempersalahkan pengundi-pengundi di Pasir Mas yang memilih calon yang tidak berparti itu, dalam masa yang sama saya juga tidak mempersalahkan pimpinan PAS Kelantan yang men`sedekah'kan kerusi milik PAS itu kepada Ibrahim Ali. Semua tahu, pimpinan PAS terutamanya Tuan Guru Hj Nik Aziz bukan lah seorang yang pendendam atau suka berburuk sangka, atas sebab itulah PAS memberi peluang kepada Ibrahim Ali untuk mewakilkan rakyat di Pasir Mas.

Meskipun secara peribadi, saya sejak awal lagi tidak bersetuju dengan pemilihan Ibrahim Ali sebagai calon di Parlimen Pasir Mas semasa Pilihanraya Umum Ke 12 yang lalu. Tetapi, sebagaimana yang lain demi menunjukkan kesetiaan kepada pimpinan maka saya hilangkan syak wasangka dan buruk sangka terhadap Ibrahim Ali.

Akhirnya, telahan ramai rakyat di Pasir Mas terbukti benar dan mereka telah saksikan sendiri bagaimana Ibrahim Ali menggunakan kerusi yang di `sedekah'kan oleh PAS ini untuk menghentam PR, lebih-lebih lagi peribadi DS Anwar. Ibrahim Ali juga telah memalukan Tuan Guru Hj Nik Aziz apabila beliau berhujah di Parlimen dengan menyokong Akta ISA meskipun kununnya akta ini hendaklah dipinda sedikit. Tidakkah beliau tahu Nik Adli anak kepada Tok Guru pernah dizalimi oleh akta ini? Akta ISA terang-terang akta yang haram dan zalim di sisi Islam walaupun dipinda banyak mana pun kerana dasar kepada akta ini adalah hak menahan seseorang tanpa bicara dan membela diri itu adalah jelas bertentangan dengan Islam. Meminda akta ini umpama `menyembelih babi' untuk menyatakan ianya boleh dimakan dan halal.

Semua manusia tentu punyai kesilapan dan dosa-dosa terdahulu yang boleh mengajarnya untuk berubah. Saya tidak mahu mengingatkan kembali kisah-kisah Ibrahim Ali sewaktu di dalam UMNO terutamanya kata-kata beliau menghina peribadi seseorang lawan politiknya. Sikap bermuka-muka beliau telah lama diketahui semenjak dalam UMNO lagi, kemudian semasa di dalam S46, kemudian kembali kepada UMNO semula sehinggalah setelah diterajang dari UMNO, sikap beliau tidak pernah berubah. Penentangan atau kritikan beliau terhadap kerajaan kini adalah semata-mata untuk mengkaburi mata rakyat kununnya beliau pejuang rakyat, tetapi dalam masa yang sama beliau menikam kawannya dari belakang termasuk yang memberinya tempat sekarang. Siapa yang tidak pernah dihina oleh Ibrahim Ali? Untuk lebih senang kita mengenalinya, sesiapa sahaja musuh politik Mahathir itulah juga musuh ketat Ibrahim Ali.

DS Anwar adalah orang yang paling sinonim dengan mulut celupar Ibrahim Ali. Kalau dahulu, Almarhum Ustaz Fadzil Noor dihina dan dikeji oleh beliau sehinggakan beliau menggelarnya `Moshi Daya' (bekas PM Israel bermata satu) kerana mata Almarhum Ustaz Fadzil Noor sepet sebelah. Beliau juga pernah menghina Tn Guru Nik Aziz dengan menyatakan beliaulah yang mengajar Tn Guru Nik Aziz memakai `semutar' atau serban. Kita tidak akan mengungkit kisah-kisah buruk beliau kerana seperti dikatakan awal tadi semua manusia punyai kesilapan dan dosa. Tetapi, Ibrahim Ali tidak pernah insaf dan menyesal bahkan semakin ego dan sombong.

Saya tidak kisah sekiranya Ibrahim Ali memusuhi peribadi DS Anwar kerana ianya tidak memberikan kesan sedikit pun kepada Wira Rakyat ini. Tetapi, apa yang dikesalkan sangat adalah Ibrahim Ali ini telah `menggigit' tangan Tuan Guru Nik Aziz serta berkongsi tenaga bersama musuh-musuh PR untuk menghancurkan PR. Saya amat bersetuju sekiranya ada kumpulan atau pertubuhan-pertubuhan tertentu untuk menjalankan gerakan agar Ibrahim Ali meletakkan jawatan beliau sebagai MP Pasir Mas.

Jika tidak, Ibrahim Ali harus sedar bahawa beliau tidak akan merasa selesa dengan gaji atau elaun MP nya yang diterima sekiranya rakyat di Pasir Mas tidak lagi redha kepada beliau.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .