Ikuti Blog ini

Jamil Khir Terkedu..Lihat Pewakilan Umno Bergaduh Dalam Mesyuarat Bahagian.

Persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani yang dirasmikan oleh Dato' Jamil Khir hari ini kecoh apabila sebahagian besar perwakilan tidak membenarkan Ketua Bahagian Ali Yahaya berucap pada majlis perasmian.

Kekecohan hampir 45 minit itu bermula kira-kira pukul 9.30 pagi selepas bacaan doa dan nyanyian Negaraku, apabila seorang anggota jawatankuasa bahagian, Mohd Yusuf Lazim bangun menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap Ali dan mahu beliau melepaskan jawatan.

Keadaan bertambah kecoh apabila lebih ramai perwakilan bangun termasuk anggota Wanita meminta Ali berundur sehingga menyebabkan pertikaman lidah antara perwakilan dengan penyokong Ali.

Menurut Mohd Yusof, Ali tidak layak menjadi Ketua Bahagian kerana menimbulkan pelbagai kesulitan kepada kepimpinan parti termasuk tindakannya tidak disenangi banyak pihak dan agensi kerajaan.

Malah Naib Ketua bahagian, Datuk Firdaus Zakaria dan ketua Puteri Sungai Petani, Shahanim Mohd Yusof yang berada di atas pentas turut turun menyertai perwakilan meminta Ali berundur.

Bekas Setiausaha Umno bahagian Sungai Petani, Mohd Akhir Shafie mendakwa lebih 60 peratus daripada perwakilan yang hadir mahu Ali melepaskan jawatan.

"Kami ingin menyampaikan mesej kepada pucuk pimpinan parti bahawa Ali tidak dikehendaki di Sungai Petani.

"Dia tidak layak jadi Ketua Bahagian. Syukurlah sebahagian besar perwakilan menyuarakan kehendak mereka secara terbuka hari ini. Ini yang penting," kata bekas Timbalan Ketua Bahagian, Abu Bakar Ahmad.

Katanya Ali juga antara punca 10 cawangan tidak dapat mengadakan mesyuarat dan satu cawangan dibubarkan. Bahagian Sungai Petani mempunyai 130 cawangan.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Abd Azeez Abd Rahim yang mewakili Ibu Pejabat UMNO terpaksa bercampur tangan apabila melihat keadaan tidak terkawal lalu meminta perwakilan memberi laluan kepada Ali berucap tetapi mereka tetap mempertahankan tindakan mereka.

Beliau kemudian mencadangkan supaya Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom berucap merasmikan mesyuarat tersebut dan menyambung mesyuarat selepas perasmian dan dipersetujui perwakilan.

Juragan: Saja Allah nak tunjukkan kepada Al-Ustaz Jamil Khir akan budaya dan akhlak ahli parti yang didokongi dan dipujainya selama ini...bercirikan islam atau tidak..??

54% Golongan Muda Selangor Sokong Pakatan Rakyat, 44% Yakin Umno Parti Rasuah

Pada umumnya pengundi muda yang ditemui dalam satu kajiselidik di Selangor berpuashati dengan penyediaan keperluan asas oleh kerajaan negeri seperti pemberian air percuma tetapi masih tidak berpuashati dengan tahap perkhidmatan yang dijalankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu.

Selain itu, kira-kira 42 peratus pengundi muda yang berusia antara 21 hingga 30 tahun yang sepatutnya layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih dalam pilihan raya.

Manakala rata-rata responden yang ditemui turut melahirkan rasa tidak berpuashati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh wakil rakyat mereka samada dari Pakatan Rakyat mahupun Umno-Barisan Nasional.

Itu antara rumusan yang diberikan oleh Dekan Fakulti Dan Sains Sosial Universiti Malaya, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman (gambar) iaitu ketua penyelidik satu kajian yang bertajuk 'Pola Pengundian Pengundi Muda Dalam Pilihanraya Kecil selepas Pilihanraya Umum ke 12, 2008'.

Selain Dr Mohammad Redzuan, dua lagi pembentang kajian berkenaan ialah Amer Saifude Ghazali dari Jabatan Geografi UM dan Dr Zulkarnain Abdul Rahman, pensyarah Jabatan Sejarah universiti berkenaan.

Menurut Dr Mohammad Redzuan, kajian itu dijalankan terhadap 1,410 responden dipilih secara rawak dari seluruh negeri Selangor dengan menyasarkan pekerja swasta, kakitangan kerajaan, pelajar, bekerja sendiri dan suri rumah.

Dalam pembentangan beliau, Dr Mohammad Redzuan menjelaskan pelbagai persepsi di kalangan golongan muda Melayu di Selangor terhadap pencapaian kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Antara yang dinyatakan sebanyak 54 peratus golongan muda menganggap Pakatan Rakyat masih mempertahankan hak-hak Melayu dan kedudukan agama Islam manakala 44 peratus lagi percaya Umno sebuah parti yang mengamalkan rasuah.

Secara kesimpulannya beliau menyatakan golongan muda melayu di Selangor merupakan golongan yang bersimpati dan menyokong dasar Pakatan Rakyat tetapi pembangkang memerlukan pendekatan yang lebih berkesan untuk menarik sokongan mereka.

"Dari segi perspektif kesejahteraan rakyat, umumnya majoriti responden berpuashati dengan penyediaan keperluan asas. Tak timbul umpamanya isu jalan dan sebagainya kerana di sini telah selesai termasuk soal pemberian air yang dianggap menimbulkan.

"Dalam aspek pembangunan sosial ramai responden tidak berpuashati dengan perkhidmatan oleh PBT seperti pengutipan sampah, pembersihan longkang dan perparitan. Ketiga dari aspek politik, kebanyakan responden masih tidak berpuashati dengan prestasi wakil rakyat masing-masing dan umumnya mereka masih belum mengenali wakil rakyat mereka," kata Dr Mohammad Redzuan.

Katanya lagi, kebanyakan pengundi muda tidak mendapat maklumat berkenaan kerajaan Negeri Selangor dan banyak bergantung kepada maklumat yang disiarkan menerusi media arus perdana.

"Bilangan responden 42 peratus tidak mengundi dan sebahagian besar responden berada dalam lingkungan umur 21 tahun hingga 40 tahun yang sepatutnya layak mengundi tetapi masih belum mengundi. Ini adalah satu perkara yang perlu diambil perhatian," ujar beliau lagi. -SK

Akhbar KEADILAN Terbitan Parti Keadilan Rakyat Kini Dalam Pasaran

SHAH ALAM 11 Julai - Seperti yang dijanjikan, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) telah menerbitkan akhbar tidak berkala berjudul 'KEADILAN' setelah permit penerbitan lidah rasminya, Suara Keadilan tidak diperbaharui Kementerian Dalam Negeri apabila ia tamat sah laku 30 Jun lalu.

Akhbar 24 mukasurat yang diterbitksn di bawah Angkatan Muda KEADILAN itu mula diedarkan ke seluruh negara mulai semalam dan dijangka memenuhi hasrat parti untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai aktiviti serta ulasan isu terkini yang mempunyai kepentingan parti, rakyat dan negara.

'KEADILAN' masih berkonsepkan Suara Keadilan dari segi liputan berita dan halatuju artikel yang berteraskan kepada prinsip perjuangan parti.

Pihak KDN sebelum ini telah memberi amaran untuk mengambil tindakan terhadap parti dan pemimpinnya sekiranya KEADILAN berkeras untuk menerbitkan lidah rasmi yang telah digantung itu.

Tindakan KDN menggantung Suara Keadilan mempunyai hubungkait dengan artikel 'Felda Bankrap' yang disiarkan dalam keluaran 237 akhbar tersebut bertarikh 22-29 Jun lalu.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengugut dengan berkata akhbar itu mungkin menghadapi risiko ditutup terus jika berdegil menerbitkannya tanpa permit.

Ketua Penerangan KEADILAN, Latheefa Koya ketika dihubungi Suara Keadilan berkata tindakan menggantung permit Suara Keadilan menunjukkan kerajaan Umno-BN berasa terancam dan terus mengambil langkah drastik.

"Umno-BN memilih cara bacul sedangkan sepatutnya mereka menjawab isu yang dibangkitkan dalam Suara Keadilan.

"Ini menunjukkan walaupun pun negara mempunyai Perdana Menteri baru dengan konsep 1Malaysianya, perlaksanaan undang-undang dan keadilan masih tempang dan menyeleweng," kata Latheefa.

Ekoran tersiarnya artikel tersebut Felda melalui peguamnya telah menghantar surat tuntutan mohon maaf serta ganti rugi sebanyak RM200 juta dalam tempoh seminggu bermula 1 Julai lepas.

Namun amaran dan tindakan undang-undang tersebut tidak sedikit pun mematah semangat KEADILAN untuk menerbitkan akhbar 'KEADILAN'.

Malah Naib Presiden, Azmin Ali berkata tindakan KDN menggantung penerbitan Suara Keadilan bersifat 'mala fide' atau mempunyai niat jahat untuk menyekat pembongkaran lebih banyak kes rasuah dan penyelewengan yang membabitkan pimpinan Umno-Barisan Nasional, kaum klerabat serta kroni mereka.

Pengarah Strategik, Tian Chua menegaskan KEADILAN akan terus menerbitkan akhbar parti dan tidak akan tunduk kepada tekanan KDN.

Beberapa pengedar yang dihubungi Suara Keadilan berkata ahli serta penyokong Pakatan Rakyat khususnya KEADILAN ternanti-nanti akhbar yang diterbitkan parti bagi memenuhi permintaan yang begitu besar.

"Sejak hari Isnin lalu saya telah menerima permintaan untuk lebih daripada 5,000 naskah dan dengan terbitnya 'KEADILAN' ramai ahli serta penyokong KEADILAN berasa lega.

"Ini kerana mereka merasakan maklumat berita yang terdapat di dalam media arus perdana semuanya telah diputar belit untuk mengaburi mata rakyat berhubung isu-isu penting," kata seorang pengedar di Kuala Lumpur. -

Sekali Katak Selamanya Katak

Secara saintifiknya, katak berasal dari gugusan telur hasil dari ‘persenggamaan’ katak jantan dan katak betina. Dari telur/alga, ia berubah menjadi berudu. Dari berudu ia berubah menjadi katak. Sekali menjadi katak, ia akan kekal menjadi katak selamanya. Tidak akan berubah menjadi buaya, ikan mahupun kapal selam meskipun ia mempunyai kebolehan menyelam.

Katak boleh hidup di dua alam, dua-dua alam itu ialah alam yang nyata, bukan alam ghaib dan alam roh. Mereka makan apa yang mereka suka. Air kencing katak sangat bahaya, ia mampu mencederakan sesiapa yg di’kencing’nya. Ini adalah untuk melindungi kemandirian spesis katak.

Sejak zaman pasca-merdeka di Malaysia, amat sukar untuk menemui spesis katak. Kalau ada pun hanya satu dua sahaja. Ini kerana katak sukar membiak disebabkan katak betina sukar ditemui di Malaysia.

Ada seekor katak yang telah lama hidup di Malayia dan kebolehannya diikiraf oleh Buku Rekod Malaysia kerana kekentalan dan ke’perkasa’anya itu. Ia mampu melompat jauh dan mampu untuk tinggal di habitat yang berlainan. Di atas dacing, di atas bulan dan berbagai habitat lagi. Namun masih tidak mampu meneruskan spesisnya yang semakin lama diancam pembangunan rakyat.

Fenomena ini berterusan untuk satu jangka masa yang agak lama sehinggalah dua tahun kebelakangan ini. Pada suatu hari kedengaran bahawa sekumpulan katak behijrah. Bersama-sama mereka terdapat seekor katak betina! Wowww!! Sang raja katak tersangat gembira kerana berpeluang untuk meneruskan zuriat melalui proses saintifik yang telah dijelaskan di atas sebentar tadi.

Maka, semenjak itu, katak-katak membiak dengan pesatnya. Tersangat pesat dalam sejarah moden tanah air. Tersenyum lebar Sang raja melihat anak-anaknya gembira. Tidak rugi dia berjuang. Selepas satu, satu lagi yang lahir, masih banyak lagi telur dan berudu yang belum berevolusi menjadi katak dewasa. Awas!

Sekumpulan pakar yang mengkaji spesis katak baru-baru ini dikejutkan dengan berita bahawa katak mampu berubah lagi! Hasil ujikaji mereka mendapati bahawa katak ‘hybrid’ mampu berubah dari seekor katak menjadi senator! Lalu mereka menamakannya senatak. Ini membuatkan Sang raja menjadi runsing kerana senatak akan mengancam takhtanya.

Pertembungan ini sekali lagi akan menentukan ke mana arah tuju katak-katak di Malaysia untuk beberapa dekad yang mendatang. Walau bagaimanapun, katak selamanya akan menjadi katak. Tidak kira ianya katak hybrid, senatak, katak pekasam, katak pelabuhan, katak padang golf, katak alim dan berbagai lagi. Semuanya akan mati menuju Ilahi.

Seperti kata pepatah Melayu, manusia mati meninggalkan nama, harimau mati meninggalkan belang. Matinya katak? Mati katak. Mudah. ‘Mati katak’ mengikut kamus dewan ialah mati yang sia-sia. Samada digilis kereta, steam-roll, dimakan ular, dibuat sup atau dimakan usia sumuanya sia-sia.

Oleh itu, kita sebagai manusia haruslah mengambil iktibar dari kisah haiwan dua alam ini. Hidup ini hanya sementara. Janganlah kita menggunakan masa hidup kita dengan sia-sia. Aminah yang ada, maaf, amanah yang ada mestilah dijalankan dengan sempurna. Sekian...
sumber

Raja Petra : Saya Sedia Kembali Jika Dijamin Tidak Ditahan ISA

Mengikuti program-program muzik, menikmati makan malam bersama kawan-kawan dari Malaysia sehingga 11 malam dan berucap pada majlis-mjalis awam.

Ini antara akitiviti harian blogger Raja Petra Raja Kamarudin, blogger berkontroversi di sini, yang menurut Polis Diraja Malaysia menjadi buruan mereka sejak setahun lalu.

Pun begitu beliau tidak kelihatan seakan seorang yang melarikan diri kerana mahu mengelak buruan pihak berkuasa.

Ataupun, sebagaimana diperkatakan oleh kebanyakan media — beliau seorang pelarian jenayah.

Kata Raja Petra, penahanan tanpa dibicarakan adalah satu-satunya sebab yang menghalang beliau untuk kembali ke tanah air.

“Mengapa saya dipanggil pelarian jenayah atau cabut lari atau lebih teruk lagi melarikan diri? Seolah-olah menggelapkan wang dan meninggalkan negara,” kata Raja Petra dalam temu bual bersama The Malaysian Insider di sini.

Penulis ruangan “No Holds Barred” dalam portal Malaysia Today ini menegaskan, disebabkan tidak disabitkan kesalahan berhubung apa jua tuduhan jenayah atau adanya sebarang tuduhan ataupun waran tangkap, beliau tidak harus diklasifikasikan sebagai pelarian.

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai “RPK” mendakwa tindakannya meninggalkan negara bukan kerana mahu mengelak tuduhan hasutan dan fitnah jenayah, tetapi sumber-sumbernya memaklumkan perintah tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sedang disediakan ketika itu.

“Kami menang kesemua kes mahkamah. Kami membuat kerajaan kelihatan bodoh. Peguam-peguam saya sehingga kini kesal kerana kami terpaksa meninggalkan (negara),” kata beliau merujuk kepada tuduhan dihadapinya ekoran dakwaan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shariibuu dan urusan pembelian kapal selam yang kini disiasat oleh pihak berkuasa Perancis berhubung bayaran komisyen dipercayai mencecah hampir RM500 juta.

Bagi menyokong dakwaannya, beliau menulis surat terbuka kepada Najib agar memberi jaminan yang beliau tidak akan ditahan di bawah ISA dan melupakan enam pertuduhan yang sedang dimulakan ke atasnya.

“Saya akan balik dan melawan kes-kes hasutan dan fitnah jenayah,” kata beliau memberikan pilihan kepada kerajaan pimpinan Najib.

Raja Petra menghabiskan beberapa bulan yang disifatkan sebagai pembohongan kerajaan.

Apabila kerajaan menegaskan bahawa mereka masih cuba untuk mengesan kedudukannya beliau muncul di khalayak ramai pada Mei lalu dengan mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) tahu di mana beliau berada dan menemui beberapa personaliti Umno di United Kingdom sejak setahun lalu.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider, Raja Petra memberitahu, peguam-peguamnya telah memaklumkan Scotland Yard bahawa beliau boleh dihubungi bila-bila masa jika diperlukan.

Malah beliau juga mencabar kerajaan yang sedang berusaha untuk mendapatkan perintah ekstradisi.

Katanya, tuduhan hasutan dan fitnah jenayah bukan isunya tetapi ekstradisi hanya boleh dibuat jika wujud unsur jenayah di kedua-dua negara.

“Untuk mengekstradisi saya, mereka kena membuktikan adanya jenayah sepadan di kedua-dua negara,” katanya.

Raja Petra menekankan, kes-kes di mahkamah United Kingdom akan berdasarkan tuduhan berbeza, yang perlu dibuktikan sama ada dakwaannya terhadap Najib dan Rosmah adalah benar memandangkan kedua-dua jenayah ini telah dimansuhkan di negara itu awal tahun ini. Bagaimanapun satu perkasa yang menyakitkan Raja Petra selain dilabelkan sebagai pelarian adalah beliau memerlukan pembiayaan orang lain selepas lebih setahun meninggalkan negara.

Kedua-dua Najib dan Datuk Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Raja Petra tidak berwibawa kerana dibiayai oleh pembangkang.

“Anda ingat saya ini sudah pokai? Anda tidak tahu nilai harta yang saya ada, atau saham atau apa-apa maklumat latar belakang kewangan yang lain.

“Anda tidak tahu berapa banyak syarikat yang saya menjadi pengarah ketika 1980-an?” kata beliau dengan ketawa besar.

Raja Petra berkata, beliau pernah diberi surat tuntutan 14 hari untuk mencabar statusnya selaku seorang muflis pada 14 April 2001 ketika baru tiga hari dikenakan tahanan 60 hari di bawah ISA.

Beliau pernah ditahan di bawah ISA dua kali.

“Lelaki yang saya telah menjadi penjamin ialah Datuk Hamzah Zainuddin, yang menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim mengganggu isterinya. Mengapa saya perlu menjamin orang macam ini?” kata beliau sambil menambah, ia satu usaha untuk memerangkapnya.

“Dalam apa jua kes, semua orang tahu bahawa anda boleh meletakkan aset atas nama isteri anda atau anak perempuan anda,” katanya. - MalaysianInsider

Rais, Hishamuddin dan Nazri Terima Nasib Serupa Dengan Syed Hamid Jika Terus Tekan Suara Rakyat

KDN Ikut Rentak Tari Umno-BN Oleh Mak Bonda

Kementerian Dalam Negeri serta Menterinya boleh memberi seribu satu alasan untuk menafikan hak media Pakatan Rakyat seperti Suara Keadilan dan Harakah.

Namun rakyat yang sudah celik minda dapat melihat dengan terang ibarat melihat badut diwaktu siang, disuluh pula dengan ‘spotlight’.

Sepertimana dilaporkan, pihak Suara Keadilan dan Harakah tidak pernah menerima sebarang surat tunjuk seperti yang didakwa KDN. Lawak betul!

Bila mana diminta salinan surat-surat berkenaan dan bukti terimanya pun, KDN membisu seribu bahasa!

Justeru jika kewujudan surat-surat itu dipertikaikan, siapa yang patut dipersalahkan?

Sudah tentu Najib dan sepupunya Hishammuddin.

Begitu juga bila mana KDN dilihat cuba bermain politik soal artikel "Felda Bankrap" yang sepatutnya KDN tidak ‘overacting’, tetapi sebaliknya perlu ‘tenang macam biasa’ ketika mana pemimpin Pakatan Rakyat difitnah dan diputarbelitkan kenyataannya oleh akhbar arus perdana khususnya Utusan Malaysia.

Ada pernah KDN keluarkan surat tunjuk sebab? Ada pernah digantung permitnya? Ada?

Begitu juga dalam kes terbaru melibatkan Suara Perkasa yang mendapat bantahan hangat oleh MCA, sekutu Barisan Nasional sendiri. Kita tidak melihat KDN menunjukkan taringnya kepada media pro Umno-BN! Rakyat yang cerdik tidak pelik melihat rentak tari Menteri KDN itu.

Justeru kita ingin mengingatkan PM 1Malaysia, supaya melihat balik slogan ‘rakyat didahulukan, prestasi diutamakan’ dalam kes KDN dan permit akhbar Suara Keadilan dan Harakah.

Jangan lupa, KEADILAN dan PAS adalah dua buah parti berdaftar yang halal dalam struktur demokrasi Malaysia.

Suara Keadilan dan Harakah pula adalah lidah rasmi, organ parti berkenaan.

Menafikan hak Suara Keadilan dan Harakah daripada mendampingi ahli dan penyokong KEADILAN, PAS dan Pakatan Rakyat menunjukkan pimpinan Najib tidak mengutamakan kehendak dan keperluan rakyat.

Sebaliknya, sekadar tindakan terdesak dan bacul demi survival Umno-BN.

Apalah kecoh sangat soal 8 naskah suratkhabar Suara Keadilan atau Harakah, jika tidak dihantar kepada KDN?

Buktikan KDN memang menghantar surat-surat berkenaan dan bukti penerimaannya.

Buktikan kepada siapa dan alamat mana ianya dihantar.

Buktikan juga jika benar ada surat-surat amaran, dan lain-lain yang dihantar berkait perkara berkenaan.

Jika KDN mesra rakyat atau tidak ‘memusuhi Pakatan Rakyat’, kenapa pihak KDN tidak berusaha menangani isu remeh ini dengan cara lebih mesra pelanggan, bermatlamatkan penyelesaian masalah?

Contohnya, susah sangatkah untuk seorang pegawai KDN membuat panggilan telefon, susulan mengenainya di peringkat awal lagi?

Mengenai artikel berkaitan Felda dan lain-lain yang mungkin tidak memenuhi selera KDN, jika benar ianya fitnah, biarkan saja Felda menyaman dan mengambil tindakan mahkamah terhadap Suara Keadilan.

Memang itu yang selama ini diamalkan dilakukan oleh Ketua Pembangkang dan lain-lain pimpinan Pakatan Rakyat yang menjadi mangsa media arus perdana.

Cukuplah Umno dan BN saja bermain politik. KDN tak perlu mengikut telunjuk dan rentak tari mereka. -SK

KDN tegur, ambil tindakan ke atas 10 akhbar

Sepuluh penerbitan telah diberi teguran dan diambil tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dari Januari hingga Jun tahun ini kerana melanggar syarat dan perutukan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Penerbitan berkenaan ialah Harian Metro, Metro Ahad, Kosmo, Oriental Daily, China Press, Nanyang Siang Pau, Harian Tamil Uthaya Surian, Suara Keadilan, Suara Perkasa dan Harakah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN Datuk Zaitun Ab Samad berkata KDN akan mengambil sikap tegas ke atas mana-mana pemilik permit penerbitan dan lesen mesin cetak yang didapati melakukan pelanggaran syarat dan tidak mematuhi peruntukan-peruntukan mengikut akta tersebut.

Beliau berkata KDN juga akan mengkaji dan meneliti prosedur dan garis panduan untuk memantapkan dan meningkatkan keberkesanan serta keseragaman pengurusan media melalui Jawatankuasa Pengukuhan Strategi Komunikasi Kerajaan yang ditubuhkan.

Jawatankuasa itu dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein. -mk

Jika sebelum ini Datuk Seri Syed Hamid Albar yang menjadi Menteri KDN galak sangat menzalimi rakyat melalui ugutan dan ancamannya untuk menggunakan ISA yang akhirnya dengan doa rakyat beliau tertonggeng dari kerusi kabinet, maka kali ini pastikan Hishamuddin, Nazri dan Rais akan mendapat nasib yang serupa. -GB

TG Nik Aziz: Boikot media pro-BN jika permit tidak diperbaharui

KOTA BHARU : Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat memboikot semua media pro-BN jika permit untuk akhbar pro-Pakatan tidak diperbaharui.

“Saya harap permit Harakah dan Suara Keadilan di perbaharui. Bagaimanapun, jika kedua-dua akhbar yang menjadi suara rasmi Pakatan ini tidak diperbaharui, saya cadangkan arahan rasmi dikeluarkan kepada pemimpin dan penyokong Pakatan agar mula memboikot media pro BN," kata beliau melalui laman komuniti Facebook hari ini.

Beliau dipercayai mengulas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sehingga kini tidak menyambung permit Harakah dan Suara Keadilan yang telah tamat tempoh.

Turut tamat tempoh adalah permit akhbar Rocket versi Bahasa Inggeris yang dimiliki oleh DAP.

Permit akhbar Harakah tamat pada 7 Julai lepas. Pada 5 Julai, Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya telah dipanggil mengadap lapan pegawai KDN di Putrajaya.

Pada 8 Julai lepas, KDN menghantar satu surat tunjuk sebab kepada Harakah kenapa tindakan tidak boleh dikenakan ke atas akhbar itu.

Pada 9 Julai, Taufek sendiri telah ke pejabat KDN di Putrajaya menghantar jawapan Harakah ke atas surat tunjuk sebab itu. Ia dijawab sendiri oleh Pengarah Urusan Harakah yang juga AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin dalam kenyataannya berkata, Harakah akan diterbitkan seperti biasa kerana permohonan penyambungan permit sudah dibuat kepada KDN dan Harakah memang menunggu kelulusan permit itu.

Sementara itu, KDN memberikan amaran kepada PKR agar jangan menerbitkan Suara Keadilan kerana pihaknya tidak berpuashati dengan jawapan PKR ke atas isu 'Felda Bangrap".

Dalam kenyataannya, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta KDN atau kerajaan mengambil pendekatan menyaman Harakah jika ada apa-apa kesalahan yang dibuat bukannya membatal atau menarik permit akhbar itu.

"Jika mereka rasa Harakah salah, mereka boleh saman dan memberikan bukti kesalahan Harakah jika ada," katanya. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .