SHAH ALAM:
Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Pakatan
Rakyat telah membuktikan perpaduan dan muafakat yang erat walaupun
kadang-kadang berbeza pendapat.
"Kita buktikan perpaduan walaupun
bertelingkah, berdebat, boleh berbalah, tetapi kacau gula, kopi dan teh
tidak memecahkan cawan itu," katanya yang diikuti tepukan gemuruh lebih
1,500 perwakilan yang memenuhi dewan SACC.
Bagaimanapun beliau
mengingatkan agar Pakatan Rakyat memelihara perpaduan yang dibina selama
ini kerana parti lawan sedia untuk mengambil kesempatan.
"PAS, DAP dan PKR bergaduh, yang kenyang BN," katanya.
Abdul Hadi juga, turut menegaskan lima perkara yang menjadi harapan rakyat di mana Pakatan Rakyat mesti melaksanakannya.
Lima
perkara tersebut, perpaduan masyarakat majmuk, adil terhadap semua,
demokrasi hak rakyat sebenar, kehebatan perlembagaan dan undang-undang
yang adil dan kerajaan yang bersih.
"Inilah harapan rakyat, kita
perlu sedar dan faham lima perkara ini yang menjadi harapan rakyat,"
katanya ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Rakyat.
Jelas
Abdul Hadi, semua kaum yang ada di Malaysia telah menerima hakikat
masyarakat majmuk melalui Pakatan Rakyat yang telah diterjemahkan
melalui PRU-12 pada 2008 lalu.
"Apabila orang Melayu Islam yang
kuat PAS boleh mengundi calon DAP dan PKR dari kalangan bukan Islam.
Apabila orang kuat DAP dan berbagai kaum dan agama boleh undi calon PAS
dan PKR dari kalangan Melayu Islam. Mereka sedia mengalahkan calon dari
bangsa mereka sendiri," katanya.
Senario ini, katanya, Pakatan
Rakyat telah berjaya memecahkan fanatik perkauman yang dihidupkan oleh
BN selama ini, sudah dianggap tidak relevan lagi.
"Kita terima
berbagai kaum satu adunan yang baik, pelbagai budaya dan pengalaman
disatukan. Kita boleh bina kekuatan Pakatan Rakyat dengan satukan
berbagai kaum di atas konsep dalam perlembagaan yang tak mampu dibuat
oleh BN,"katanya.
-Hrkh