Ikuti Blog ini
Nizar VS Zambri - Tinjauan Mstar - Nizar mendahului ,Ahad, Mei 17, 2009 at 17.5.09,
Segalanya 2 di Perak, 1 halal dan 1 haram - Sivakumar , at 17.5.09,
KOTA BHARU - Aneh lagi luar biasa. Mungkin juga boleh menjadi tarikan pelancong. Ini kerana segalanya ada dua di Perak sekarang. Bermula dua kerajaan, dua Menteri Besar dan dua Speaker.
Selain itu ada dua setiausaha kerajaan negeri dan dua setiausaha Dewan Undangan Negeri (Dun). Namun harus diingatkan satu daripadanya haram dan satu lagi halal.
Speaker Dun Perak, V Sivakumar berkata, semua perkara yang tidak berlaku di negara-negara lain ada di Perak sekarang.
"Ketika saya masih lagi speaker yang sah, Adun Barisan Nasional melantik pula speaker baru. Speaker tersebut diibaratkan duri dalam daging.
"Apa yang lebih menggelirukan lagi apabila setiausaha kerajaan negeri pula cuba bertindak bagi pihak speaker dengan melarang media yang tidak pro Umno membuat liputan pada persidangan Dun 7 Mei lalu.
"Sedangkan kuasa bagi menentukan seseorang boleh atau tidak masuk dewan negeri adalah di bawah bidang kuasa Speaker," katanya pada ceramah menjelaskan isu terbaru di Perak di Putik malam tadi.
Ceramah itu mempertemukan dua Speaker iaitu Sivakumar dan Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud di satu pentas. Turut hadir Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Menurutnya apa yang berlaku pada 7 Mei lalu adalah satu penghinaan terhadapnya kerana yang menentukan segala urusan dalam dewan negeri adalah di bawah bidang kuasa Speaker.
Begitu juga katanya bagi menentukan kedudukan ahli Dewan sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang ditentukan speaker.
Katanya pada peringkat awal persidangan 7 Mei lalu beliau mengarah Penasihat Undang-Undang Negeri supaya duduk di bahagian kerajaan (kanan).
"Namun selepas dua kali diarah pindah pegawai terbabit tidak mengendahkan menyebabkan saya menyebut kepadanya kalau tidak mahu ikut speaker boleh keluar dewan.
"Saya dari awal lagi sudah menjangka satu konspirasi dilakukan kerana ada pakatan di kalangan pegawai kerajaan dan Adun BN supaya tidak mengikut arahan Speaker," katanya.
Menurutnya beliau juga mengarahkan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exconya yang dilantik serta tiga wakil rakyat Bebas keluar dewan bagi membolehkan persidangan dimulakan.
Bagaimanapun katanya, keputusan beliau sebagai Speaker tidak diendahkan sehingga Timbalan Speaker, Hee Yit Foong cuba mengambil alih tugasnya.
"Saya hairan dia menggunakan kuasa mana mengambil alih tugas Speaker. Sedangkan mengikut Perintah Tetap Dewan selagi Speaker ada di kerusinya timbalan speaker tidak ada kuasa," katanya.
Beliau juga berkata, Umno gagal menggugurnya sebagai speaker memandangkan beliau tetap mempertahankan kerusi sejak bermula persidangan jam 8.45 pagi hingga 2 petang tanpa keluar minum atau ke bilik air.
Bagaimanapun tambahnya, Umno menggunakan kekerasan dengan bantuan anggota polis mengusungnya keluar dan mengurung dalam bilik pegawal selama lebih sejam.
Oleh itu katanya, perjumpaan anggota dewan hari itu tidak boleh dikatakan sebagai persidangan biasa kerana ia tidak menepati peraturan dewan.
Nusuruddin pula mencadangkan kerusi Speaker di Perak menggunakan tali pinggang keledar pada masa akan datang bagi mengelakkan ada lagi orang yang mengusung keluar Speaker.
Beliau juga berkata, Perkara 4 Peraturan Tetap Dewan menyebut Speaker berkuasa penuh bagi menentukan perjalanan mesyuarat anggota dewan.
Katanya, jawatan seseorang speaker hanya boleh gugur apabila dia berhenti secara sukarela atau meletak jawatan sebagai Adun.
Wawancara Bersama Nizar , at 17.5.09,
Kemelut di Perak ini berpunca daripada tiga orang wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) yang disembunyikan atau dibawa lari oleh Umno dan saya hanya mengetahui daripada berita jam 6 pada 4 Februari lalu. Sebelum itu pada 2 Februari, saya diberikan dua surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang dan Changkat Jering oleh Speaker, V Sivakumar.
Secara biasanya, akan ada pilihan raya kecil di kedua-dua tempat itu. Speaker juga ada menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tetapi SPR menafikan hak Speaker yang menyebabkan kemelut itu terus terjadi.
Saya berpendirian kalaulah SPR ketika itu tidak mengikut telunjuk Barisan Nasional (BN), barangkali kita tidak ada krisis di Perak kerana kita akan ada pilihan raya kecil di Changkat Jering, Behrang dan Jelapang. Maka, Adun baru akan dilantik sebab ketiga-tiga itu sudah meletak jawatan. Tetapi, apa dikhabarkan ketiga-tiga mereka sudah menghantar surat menarik peletakan jawatan itu yang menyebabkan berlaku satu krisis.
Saya sebagai Menteri Besar (MB) kemudian berjumpa dengan Tuanku (Sultan Perak) untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Itulah tanggungjawab dan amanah yang saya kena buat. Tetapi, pada 5 Februari, baginda bertitah menyuruh saya meletak jawatan dan saya mohon keampunan daripada Tuanku yang saya tidak boleh buat macam itu. Berlakulah krisis ini. Ia berlaku berpanjangan sampailah kemuncaknya apabila saya mengambil tindakan mahkamah. Kami ambil tindakan berdasarkan lunas undang-undang, bukannya nak merebut kuasa itu sangat.
Ada perbezaan tafsiran antara BN dan Pakatan Rakyat terhadap beberapa keputusan mahkamah seperti tindakan Speaker terhadap Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, enam Exco dan tiga Adun bebas sedangkan BN menyatakan Mahkamah Persekutuan menolak keputusan Speaker itu sehingga menimbulkan krisis dan kekecohan pada sidang DUN 7 Mei lalu.
Di sinilah silap BN kerana perisytiharan oleh Mahkamah Persekutuan itu menyatakan keputusan untuk menggantung itu tidak sah, tetapi ia tidak menyatakan dalam penghakiman mahkamah bahawa mereka boleh masuk Dewan, itu hak Speaker. Umno telah menyatakan Zambry bebas boleh keluar masuk sidang DUN, mahkamah menyatakan keputusan dibuat Speaker tidak sah, tetapi Speaker masih ada kuasa bahawa mereka ini digantung mengikut Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Mahkamah Persekutuan cuma menyatakan Speaker. Jadi, di sini nampak tidak konsisten kerana keputusan itu dibuat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, bukan Speaker seorang, Speaker hanya pengerusi. Kedua, Speaker masih berkuasa atas sebab-sebab menghina DUN, jadi Speaker berhak menafikan mereka masuk ke dalam DUN pada pagi 7 Mei itu. Ini menunjukkan hak dan kuasa Speaker mesti dipatuhi.
Pakatan Rakyat melihat apa yang berlaku sebagai rampasan kuasa, tetapi bagi BN apa yang berlaku sebenarnya Pakatan Rakyat tidak dapat menerima hakikat mereka sudah kehilangan majoriti di Perak.
Kita tidak hilang majoriti sebab bagaimana hakim boleh buat keputusan bahawa Zambry dan kerajaan BN tidak sah. Macam mana boleh hilang majoriti sebab kita nak nyatakan Pakatan Rakyat ada 28 kerusi dan BN ada 28 kerusi. Ia bukan hilang majoriti, itu seri. Untuk itu, saya sebagai Menteri Besar, elok diadakan pilihan raya kecil sebab ia seri. Seri itu bermakna kita tidak tahu sama ada yang tiga (Adun bebas) itu menyokong PR atau BN. Itulah sebabnya kita mohon dibubarkan, bukan kerana hilang majoriti, tetapi mengatakan ada kebuntuan dalam suasana di Perak ini. Kebuntuan itu hanya boleh diselesaikan dibuat pilihan raya semula jika kerajaan yang dipilih oleh rakyat jauh lebih mantap, jauh lebih kuat, jadi tidak ada hilang majoriti.
Datuk Seri menyatakan hanya dengan pembubaran DUN dan diadakan pilihan raya semula sebagai jalan penyelesaian terbaik.
Bukan hanya saya saja yang mengatakan. Sebagai MB, itulah sifat dan amanah tanggungjawab saya. Tetapi hari ini, kita lihat Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; pemimpin Gerakan; Speaker Dewan Negara; Tengku Razaleigh Hamzah, pengamal undang-undang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Suhakam dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan juga menyatakan pembubaran DUN jalan terbaik. Jadi, kenapa Umno takut berjumpa dengan rakyat. Di mana kewibawaan Umno, dalam kes ini, kenapa tidak mahu kembali kepada rakyat. Ini menunjukkan mereka ada niat lain, mereka tidak yakin bahawa mereka akan menang. Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi tamparan hebat kepada Umno. Apa saja mereka tuduh saya tidak ada majoriti dan mereka ada majoriti, semuanya dinafikan dan ditolak oleh Mahkamah Tinggi yang menerima hujah saya.
Ada kalangan pihak dalam kerajaan mengatakan mengadakan pilihan raya membabitkan kos tinggi dan tidak sesuai dalam keadaan ekonomi sekarang.
Sejak bila Umno mengajar kita berjimat. Di manakah kewibawaan Umno...sebab ada krisis kewangan, maka kita (buat pilihan raya) membazir. Sejak bila dia (Umno) belajar cakap macam tu. Yang dia membazir hantar satu orang pergi angkasawan, habis RM100 juta, itu tidak membazir? (Pilihan raya) ini untuk kestabilan politik. Jadi, jauh lebih berat daripada itu pun Umno boleh belanja, macam-macam projek yang dia buat, tetapi tergendala, itu tidak membazir? Jadi, usah cerita mengenai membazir ini, dia tidak ada hak untuk bercakap mengenai pembaziran, merekalah yang menghabiskan kewangan negara.
Mungkin ada jalan penyelesaian lain seperti mewujudkan kerajaan perpaduan atau Pakatan Rakyat bertolak ansur dan berusaha mengambil semula kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, selain membubarkan DUN sekarang.
Tidak ada. Tidak ada jalan lain sebabnya pembubaran DUN ini adalah 'remedy' atau penyembuh yang paling mujarab sebab kes macam di Perak ini banyak berlaku walaupun tidak sama faktornya seperti di Nigeria, Sarawak, Sabah dan India. Setiap kali berlaku macam di Perak ini, maka ketetapan mahkamah ketika itu serahkan balik kepada rakyat. Jadi, untuk mengelakkan diserah kepada rakyat kerana takut kalah barangkali...sekarang ni dah tiga bulan, berapa banyak wang dah habis, berapa banyak masa habis, bukan saja itu, kerosakan dan tercemarnya institusi-institusi. Ini tidak membazir? Lagi membazir, pelabur tak masuk negeri Perak sebab Dr Zambry tidak boleh tandatangan apa-apa. Tak laku sekarang ni. Beliau juga tidak sepatutnya masuk pejabat MB. Ini muka orang tidak malu. Dia tidak ada hak untuk masuk pejabat MB kerana semua dia buat tidak laku. Buat mesyuarat Exco, ini tidak kena. Ini menunjukkan dia tidak faham undang-undang.
Bagaimana jika keputusan pilihan raya menyaksikan pihak yang menang dengan majoriti terlalu kecil seperti hanya kelebihan satu kerusi saja, bukankah ia masih tidak menyelesaikan krisis politik terutama jika ada Adun yang sanggup melompat.
Jika pilihan raya semula, sudah tentu kami akan mencari calon yang lebih berwibawa. Kita kena ingat yang dua Exco melompat itu adalah bekas Umno, mereka pernah jadi ahli Umno dan ditarbiah oleh Umno, sebab itu mereka mudah dipengaruhi. Jadi, apabila ada pilihan raya, kami akan mencari calon yang tidak mudah melompat.
Bagaimana jika BN berjaya memenangi pilihan raya di Perak walaupun dengan majoriti kecil, adakah PR sanggup menerima keadaan itu.
Kita boleh terima. Kita dalam demokrasi dah kalah dalam 12 pilihan raya umum, ada kita lawan? Rakyat pilih BN, silakan. Ini demokrasi. Tetapi saya tidak yakinlah BN boleh menang. BN akan kalah teruk.
Diandaikan dalam tempoh terdekat ini, BN akan memanggil sidang DUN tergempar untuk buat undi tidak percaya kepada Datuk Seri.
Mana boleh BN nak buat persidangan kerana Speakernya tidak sah. Macam mana nak panggil persidangan? Sekarang ada penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi oleh Mahkamah Rayuan, jadi apa haknya dan dari mana kuasa dia nak panggil persidangan khas itu.
Bagaimana jika Sultan Perak memberi perkenan terhadap persidangan DUN tergempar itu.
Jika Sultan beri perkenan pun, Speaker masih lagi tidak sah. Mesyuarat pada 7 Mei lalu itu bukan persidangan yang sah. Macam mana mereka boleh lantik Speaker, semua ini berlaku sebelum titah (perasmian) Tuanku. Ini tidak sah. Apakah autoriti dan kuasa yang menyebabkan mereka boleh panggil persidangan untuk mengadakan undi tidak percaya. Jadi, masih lagi akan membuka ruang, adakah akan ada kekecohan seperti pada 7 Mei. Adakah negeri kita mahu melihat semula suasana seperti itu. Saya tidak dapat beri jaminan sekiranya ada hari persidangan yang akan datang, barangkali suasananya mungkin jauh lebih buruk dari 7 Mei itu. Kenapa kita hendak mendedahkan risiko sedemikian.
Sekarang tumpuan kepada Sultan Perak, jadi bagaimana Datuk Seri melihat peranan Sultan dalam hal ini.
Itu hak Tuanku. Apabila saya disahkan (sebagai MB oleh Mahkamah Tinggi) pada 11 Mei, saya beritahu awal-awal ingin menghadap Tuanku untuk pembubaran dan pada pagi 12 Mei, saya hantar surat. Jadi, saya sebagai MB yang sah (ketika itu), saya gunakan suasana itu.
BN mengatakan mempunyai majoriti iaitu 31 kerusi berbanding 28 oleh Pakatan Rakyat.
Tiga Adun Bebas hanya boleh dikatakan sokong BN jika mereka menjadi ahli BN. Mereka hanya Bebas. Mengapa tak boleh mereka (kembali) menyokong PR balik. Di manakah kekuatan dan wibawa kerajaan itu kerana ia akan tumbang semula, lebih-lebih lagi Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi ada kes rasuah. Macam mana kalau mereka sangkut (bersalah). Jika mereka ini lekat (dikenakan hukuman) kesudahannya tidakkah kerajaan baru ini goyang. Sebab itu pembubaran adalah cara penyelesaian yang baik.
Harapan Datuk Seri bagi menyelesaikan kemelut ini.
Secara kesimpulan, saya melihat keputusan Mahkamah Tinggi memberi keabsahan saya MB yang sah dan BN kena terima hakikat itu. Apa yang mereka ambil hari ini penangguhan hukuman itu adalah sementara. Tangguh tangguh ini sekejap, tidak lama, tetapi ia tidak menukar keputusan Mahkamah Tinggi. - beritaharian
Wanita PR Kumpul Sejuta Tandatangan Desak Bubar DUN Perak , at 17.5.09,
Ini bertujuan memlangkan kembali mandat kepada rakyat bagi menentukan kerajaan negeri pilihan mereka.
Sehubungan itu Wanita Pakatan Rakyat akan turun padang untuk bertemu rakyat bagi mengumpul tandatangan sebagai gambaran suara hati sebenar mereka berhubung desakan pembubaran DUN Perak.
Kempen tersebut dilancarkan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta, petang semalam.
Turut hadir pada pelancaran kempen mengumpul tandatangan ini ialah Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat, Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita DAP, Chong Eng dan Ketua Muslimat PAS Ustazah Nuridah Mohd Salleh serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat Perak.
Dalam ucapannya Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, kempen untuk mendesak pembubaran Dewan akan menjadi kenyataan jika semua pihak terutama golongan wanita di negeri ini memainkan peranan masing-masing.
Tambah beliau golongan wanita merupakan 52% daripada jumlah pengundi berdaftar di negeri Perak dan mampu menjadi satu kuasa pendesak yang berkesan untuk mencapai objektif pembubaran DUN dalam masa terdekat.
"Kempen untuk mendesak agar DUN Perak dibubar memerlukan peranan wanita kerana mereka memainkan peranan penting dalam kempen ini," kata Zuraida
Zuraida juga berkata kesangsian rakyat Perak terhadap kerajaan Umno-BN sudah semakin menebal disebabkan tindakan rakus mereka merampas kuasa daripada kerajaan Pakatan Rakyat Februari lalu.
Jelas beliau bertolak dari situlah tercetusnya krisis politik yang melanda negeri ini yang menyaksikan amalan demokrasi diperkotak-katikkan.
Jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut ini ialah dengan membubarkan DUN secepat mungkin bagi memgembalikan kuasa kepada rakyat.
Sementara itu Chong Eng yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata sudah sampai masanya golongan wanita tampil ke depan untuk meniupkan semangat juang agar kempen mendesak pembubaran DUN menjadi kenyataan.
Kata beliau lagi kempen mengumpul tandatangan yang dianjurkan adalah salah satu penggerak utama untuk mencapai matlamat ini.
Chong Eng juga berkata kempen mensasarkan sejuta tandatangan dalam tempoh seminggu sebagai lambang suara hati rakyat Perak yang mahukan pembubaran DUN dilakukan segera.
"Saya berasa kempen ini sangat bermakna kerana ianya pertama kali diadakan yang diterajui oleh wanita. Sudah sampai masa untuk wanita bangkit dan mengambil bahagian dalam perkara yang penting seperti ini," tegas beliau.
Sehubungan itu satu memorandum akan dipersembahkan kepada Sultan Perak secepat mungkin bersama sejuta tandatangan rakyat Perak yang melambangkan kesungguhan Pakatan Rakyat untuk melihat pilihan raya diadakan bagi mengatasi kemelut politik.
Kempen ini juga akan mendapatkan kerjasama ketua kampung di seluruh negeri Perak bagi mendapatkan tandatangan penduduk kampung yang kemudiannya akan diserahkan kepada wakil rakyat masing-masing. -TVA
Husam Musa: PAS jalin kerjasama dengan pihak pro-bubar DUN Perak , at 17.5.09,
Tidak kira walau berbeza parti, asalkan dapat menamatkan krisis negeri Perak
Malaysiakini: Kemelut Perak: Husam jumpa Ku Li
DUN Perak Bubar Isnin Ini… , at 17.5.09,
DUN Perak Bubar Isnin?
Satu pengumuman besar dijangka dibuat pihak istana Perak Isnin depan yang mungkin mampu memecahkan kebuntuan politik yang melanda negeri itu dan seterusnya mengakhiri kemelut politik yang berpanjangan sejak tiga bulan lalu.
Menurut sumber pengumuman itu ada kena mengena dengan desakan rakyat Perak yang mahukan mandat mereka dikembalikan untuk memilih kerajaan pilihan mereka semula setelah Barisan Nasional mendalangi rampasan kuasa terhadap kerajaan sah Pakatan Rakyat 5 Februari lalu.
“Kemungkinan pihak istana mengumumkan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak adalah besar memandangkan situasi kemelut politki di anatara Pakatan Rakyat dan BN nampaknya tidak ada jalan keluar.
“Desakan rakyat supaya DUN dibubarkan dan pilihan raya negeri diadakan mungkin sudah dipertimbangkan semasak-masaknya oleh pihak istana dan demi kebaikan, kemakmuran dan kestabilan negeri Perak langkah ini sajalah yang terbaik bagi mengatasi krisis tersebut,” sumber memberitahu TV Antara.
Sekiranya ini berlaku Perak akan menyaksikan pilihan raya negeri pertama setelah pilihan raya umum tahun lalu.
Pada PRU ke 12, Pakatan Rakyat memenangi 31 kerusi sementara BN pula mendapat 28 kerusi.
Perbuatan BN memujuk 3 Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat keluar daripada gagasan itu dan mengisytiharkan diri mereka sebagai ADUN bebas telah mencetuskan krisis politik yang paling buruk dalam sejarah moden Perak yang turut mengheret institusi raja, badan-badan kehakiman dan legislatif.
Beberapa perkembangan yang berlaku kebelakangani ini juga mungkin mempengaruhi pihak istana untuk memperkenankan pembubaran DUN.
Antara yang paling penting ialah senario persefahaman yang telah wujud di antara Pakatan Rakyat dan BN berkaitan jalan penyelesaian krisis politik Perak.
Beliau juga berkata isu sama ada DUN Perak akan dibubarkan atau tidak kini terletak ditangan Sultan.
Walaupun Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini berkeras tidak mahu mengadakan pilihan raya baru negeri melalui pembubaran DUN namun kini beliau dilihat sudah berlembut dan mahu berdialog dengan Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat pula atas dasar mahu melihat penyelesaian kemelut politik tersebut diatasi secara aman bersetuju untuk mengadakan perbincangan dengan BN tetapi prinsip pembubaran DUN tetap dipertahankan.
Ini kerana menurut Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim hak rakyat perlu dikembalikan semula jika amalan demokrasi sihat mahu diwujudkan di negera ini serta menolak budaya kedurjanaan politik.
Walaupun menurut perlembagaan pembubaran DUN adalah di atas nasihat Menteri Besar namum pensyarah undang-undang Universiti Islam Antaranbangsa Malaysia, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata Sultan mempunyai kuasa khas yang jarang digunakan yang membolehkan baginda membubarkan DUN selaku kedudukan sebagai Sultan.
“Dalam keadaan di mana sesuatu keadaan itu tidak lagi boleh diselesaikan melalui kompromi politik dan juga proses perundangan baginda Sultan boleh menggunakan “reserve power” baginda untuk membubarkan Dewan tanpa merujuk kepada Menteri Besar apatah lagi dalam keadaan di Perak sekarang yang mempunyai dua penyandang jawatan,” Prof Aziz berkata.
http://www.tvantara.com
Lebih Ramai Pemimpin UMNO BN Yang Tunjukkan Kedayusan Mereka hadapi Pilihanraya , at 17.5.09,
"Pilihan raya kecil baru sahaja berlangsung di Bukit Gantang. Jika Nazri gagal membuktikan wujudnya polarisasi kaum akibat pilihan raya kecil itu, beliau terdedah kepada tuduhan cuba melakukan provokasi ketegangan kaum secara halus.
"Jika beliau berniat melakukan perkara itu, eloklah segera memohon maaf kepada rakyat Perak malah seluruh rakyat Malaysia. Nazri sudah tua, eloklah memohon maaf sebelum terlambat," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Beliau berkata, dalam pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan di Bukit Selambau, rakyat dari pelbagai kaum bersatu dalam satu suara yang begitu padu untuk menolak Barisan Nasional.
"Di Bukit Gantang misalnya, rakyat membuktikan perpaduan yang luar biasa erat apabila sama-sama bangkit menolak Barisan Nasional.
"Gelombang sokongan kepada calon PAS dalam pilihan raya itu berlaku serentak tidak kira dari pengundi beragama Islam atau bukan Islam. Adakah itu polarisasi kaum?" katanya.
Mahfuz menyifatkan kenyataan Nazri itu mendedahkan dirinya sendiri kepada tuduhan buta sejarah, buta fakta, buta istilah, buta politik malah pelbagai kebutaan yang lain.
"Kenyataan Nazri itu hakikatnya adalah penerusan kempen berbau perkauman yang dilakukan oleh Umno sejak selepas pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu.
"Kemuncaknya kita lihat dalam pilihan raya Bukit Gantang apabila Umno membangkitkan keresahan rakyat dengan mendakwa orang-orang Melayu kini tergugat dan berada dalam darurat.
"Orang Melayu tidak tergugat dan tidak berada dalam darurat, Umnolah yang sebenarnya tergugat dan berada dalam darurat terutama selepas pesta rasuah menjelang dan pada pemilihan parti itu baru-baru ini," kata beliau.
Amat malang, katanya lagi, apabila Umno cuba mendapat talian hayat dengan mengapi-apikan sentimen perkauman.
"Umno enggan menerima hakikat bahawa arus perdana rakyat Malaysia hari ini ialah menolak Barisan Nasional.
"Perkara itu jelas apabila bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yakin Barisan Nasional akan kalah jika pilihan raya diadakan semula di Perak.
"Sebab itulah pemimpin-pemimpin Umno menggeletar ketakutan apabila diminta mempersetujui pilihan raya itu," katanya.
Bernama melaporkan Nazri berkata, desakan supaya diadakan pilihan raya negeri Perak bagi menyelesaikan krisis politik di negeri itu hanya akan mewujudkan polarisasi kaum.
Beliau berkata dalam keadaan politik sekarang, sentimen perkauman begitu menonjol dan dikhuatiri para pengundi akan memilih calon daripada kalangan bangsa sendiri.
"Buat apa kita adakan pilihan raya sekiranya memecah-belahkan rakyat," katanya.
Anifah Niat Jahat Terhadap DSAI, Saman Menyusul Jika Tidak Memohon Maaf , at 17.5.09,
Anifah Niat Jahat Terhadap Anwar
………………………………………………………………………………………………………………………..
Anwar akan saman, jika Anifah tidak mohon maaf
KUALA LUMPUR - Menteri Luar, Dato’ Anifah Aman akan menghadapi tindakan saman oleh Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim jika beliau tidak memohon maaf secara terbuka atas tuduhan Anwar menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri apabila beliau berjaya mengambil alih kuasa Kerajaan Malaysia.
Peguam Sangkara Nair dan rakan-rakan yang bertindak bagi pihak Anwar akan mengfailkan saman terhadap keyataan Anifah jika beliau tidak memohon maaf dalam masa 24 jam dari semalam.
“Klien kami, Anwar menafikan bahawa beliau pernah menawarkan jawatan tersebut kepada Anifah dan menafikan sekeras-kerasnya pertuduhan sedemikian oleh Anifah.
“Pertuduhan demikian langsung tidak berasas, berbaur fitnah dan mahu menjatuhkan imej Anwar di mata dunia,”jelasnya dalam satu kenyataannya.
Anifah yang dipetik The Star hari ini berkata, “Dia (Anwar) cuba memujuk ahli-ahli Parlimen dan saya sendiri ditawarkan untuk melompat kepada pembangkang dengan jawatan amat lumayan dan dia juga beritahu seperti (jawatan) Timbalan Perdana Menteri.”
Sementara,tajuk berita The Star hari ini berbunyi: “Anwar offered me the DPM�s post, says Anifah.”
Dalam pada itu, tajuk berita Mstar Online pula berbunyi, “Anifah: Anwar pernah tawar jawatan TPM bentuk Kerajaan Persekutuan.”
Anifah berkata demikian ketika menjawab soalan yang diajukan kepada beliau dalam satu sidang akhbar bersama dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, di Washington, Amerika Syarikat.
Menteri Luar itu juga berkata bahawa Anwar tidak menceritakan keadaan sebenar mengenai Malaysia.
“Anda tahu, kami mempunyai kepercayaan teguh terhadap sistem kehakiman kami. Mengenai Anwar Ibrahim, kita amat mengenalinya. Lebih atau kurang, apa yang dia (Anwar) telah nyatakan khususnya di luar negara, banyak perkara yang diperkatakan adalah tidak benar.