Sehingga ini sekurang-kurangnya dua menteri yang
tidak bertanggungjawab yang hanya memikirkan manfaat politik di
sebalik keselamatan dan kedaulatan negara serta kehilangan nyawa orang
lain iaitu, Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan dan Hishammuddin
Hussein, Menteri Dalam Negeri, dilihat wajar diberi pengajaran oleh
pengundi di kawasan masing-masing dalam pilihanraya ini.
Sebagai rakyat dan pembayar cukai, ramai yang kecewa dengan kenyataan
mereka sehari dua ini yang seolah-olah tidak dapat membezakan tugas
antara pemimpin politik dengan menteri yang bertanggungjawab terhadap
kedaulatan serta keselamatan negara serta rakyat seluruhnya.
Dan cara terbaik untuk mengelakkan mereka ini tiada lagi di persada
politik negara ialah dengan pengundi Bagan Datoh dan Semberong menolak
mereka dalam pilihanraya ini.
Zahid bukan saja mengeluarkan
kenyataan mengenai kematian 35 penceroboh Sulu yang kononnya ditembak
mati oleh tentera Filipina tetapi juga mengeluarkan kenyataan mengenai 3
pemimpin pembangkang Malaysia yang didakwanya menjadi dalang dalam
kejadian pencerobohan di Lahad Datu.
Mengenai kematian 35
penceroboh itu, ia bukan saja tidak dapat disahkan oleh tentera
Filipina tetapi jika benar pun kejadian itu betul sebagaimana yang
didakwa Zahid diperolehinya melalui maklumat risikan, biarlah pihak
Filipina atau Menteri Pertahanan Filipina yang mengeluarkan kenyataan
mengenainya, bukannya beliau.
Zahid juga mendakwa 35 yang
ditembak mati itu kerana mahu menimbulkan kekacauan dalam pilihanraya
di negara ini. Soalnya, sejauh mana tepatnya maklumat ini dan bolehkah
dipercayai dengan jumlah 35 orang itu mampu menimbulkan kekacauan dalam
pilihanraya Malaysia?
Ternampak bahawa Zahid cuba menjadikan
isu keselamatan dan kedaulatan negara sebagai modal politik untuk
kepentingan UMNO dan BN. Sebagai menteri pertahanan, tindakan ini amat
tidak matang dan diluar perilaku yang berwibawa sebagai seorang
pemimpin yang bertanggungjawab mengenai pertahanan dan kedaulatan
negara.
Zahid juga kemudiannya mendedahkan tiga orang pemimpin
pembangkang negara ini yang didakwanya terlibat sebagai dalang dalam
isu pencerobohan di Lahad Datu tetapi berkata hanya akan mendedahkan
dan mengambil tindakan selepas pilihanraya untuk mengelakkan dituduh
sebagai bermain politik.
Hello! Menteri Pertahanan, sekali
lagi soal keselamatan dan kedaulatan negara tidak harus dikaitkan
dengan politik dan pilihanraya dan jika benar cukup bukti mereka yang
terlibat, tindakan harus diambil tidak kira sebelum atau selepas
pilihanraya.
Dengan membuat tuduhan 3 pemimpin pembangkang
menjadi dalang dan membayang tindakan hanya akan diambil selepas
pilihanraya, jelas Zahid cuba bermain politik dan mahu rakyat menolak
pembangkang dalam pilihanraya 5 Mei depan ini.
Sambil berkata tidak mahu dituduh bermain politik, Zahidlah yang sedang bermain politik sebenarnya.
Hishammuddin pula, ketika mengulas pelbagai kejadian jenayah yang
sedang berlaku sekarang dan yang terbaru melibatkan kejadian seorang
timbalan pengarah kastam ditembak mati, berkata lebih banyak usaha
akan dilakukan oleh kerajaan untuk memerangi jenayah jika BN terus
diberi mandat dalam pilihanraya ini.
Nampaknya sama seperti
Zahid, Hishamuddin juga cuba bermain dan mengaut keuntungan politik
disebalik isu keselamatan dan kehilangan nyawa orang lain. Soal
keselamatan dan membanteras jenayah tiada kena-mengenai dengan
pilihanraya dan mandat baru kerana ia sepatutnya merupakan usaha
berterusan yang harus dilakukan oleh belkau sebagai menteri yang
bertanggungjawab mengenai perkara itu.
Lagi pula, bukankah
rakyat sudah memberi mandat selama 56 tahun kepada BN dan apakah
relevannya kaitan mandat baru dengan peningkatan kadar jenayah. Apakah
hanya setelah menang pilihanraya, baru usaha mencegah jenayah mahu
dilakukan?
Sebagai Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin juga
nampaknya keliru antara tugasnya sebagai menteri dan pemimpin UMNO.
Jawatan menteri inginkan diUMNOkannya dan UMNO pula ingin
dimenterikannya.
Hishamuddin juga dipertikaikan banyak pihak
dalam beberapa isu keselamatan sebelum ini dan dilihat sebagai menteri
yang kurang berwibawa serta lebih gemar memberi amaran saja. Beliau
tidak saja dipertikaikan rakyat, malah pemimpin UMNO sendiri tidak
segan-segan melabelnya dengan pelbagai gelaran yang tidak baik.
Kedua-dua menteri ini terlihat tidak cukup wibawa menguruskan soal
keselamatan, pertahanan dan kedaulatan negara, sebaliknya hanya ingin
mempolitikkan semua perkara.
Jika sebelum ini ramai yang
gembira bila Rais Yatim digugurkan sebagai calon dan bakal mengakhiri
tugas menterinya tidak lama lagi, rakyat juga pastinya gembira jika
tidak lagi mempunyai menteri seperti Zahid Hamidi dan Hishamuddin
selepas ini. Kedua mereka ini sering memperlekeh jawatan menteri yang
disandang yang seharusnya untuk manfaat seluruh rakyat, sebaliknya
lebih ghairah mencari laba politik disebaliknya.
Sebagaimana
era BN harus diakhiri untuk digantikan dengan kerajaan baru yang lebih
diyakini, kedua-dua menteri ini juga tidak seharusnya dipanjangkan lagi
nyawa politiknya. Seperti BN yang perlu diakhiri dengan menewaskannya
di peti undi pada 5 Mei ini, kedua mereka ini juga perlu ditumbangkan
di kawasan masing-masing iaitu Bagan Datoh dan Semberong..
Zahid dengan kemenangan hanya 2000 lebih undi dalam pilihanraya lalu,
manakala Hishamuddin pula lebih 11,000 undi tetapi dalam suasana
penolakan rakyat sekarang, menumbangkan mereka bukanlah sesuatu yang
mustahil. Jika BN pun diusahakan untuk ditumbangkan, apalah sangat dua
pemimpin itu. Tambahan pula dengan kegagalan sebagai menteri yang
sedangkan disandang sekarang, menewaskan mereka ini merupakan sumbangan
yang tidak ternilai kepada negara. Dan mudah-mudahan juga ada pahala.