Ikuti Blog ini

Inilah Dapur Ketua Menteri Pulau Pinang


Bagaimanakah caranya untuk Barisan Nasional (BN) menang di Pulau Pinang? Soalan ini susah. Banyak jawapan sudah diberikan, tidak kurang juga cadangan yang dilaksanakan untuk mengambil semula Pulau Pinang yang bagi kebanyakan penganalisis politik adalah kawasan putih bagi Pakatan Rakyat, terutamanya DAP.

BN melalui Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah mengakui bahawa adalah tidak mustahil untuk parti pemerintah itu mentadbir semula negeri berkenaan. Cuma yang tinggal ialah apa strategi yang perlu dan patut untuk memenangi kembali hati pengundi Pulau Pinang yang menolak parti komponen BN dalam tsunami politik Mac 2008 lalu?

Sebagai sebuah koalisi politik yang sudah lama memerintah negara dan mendapat manfaat banyak daripada hasil negara sepanjang pemerintahan, BN adalah sebuah koalisi politik yang kaya. Bukan setakat kaya yang boleh beli kereta mahal dan rumah besar, tetapi kaya yang boleh beli jiwa raga dan maruah manusia.

Politik wang Barisan Nasional

Baru sahaja beberapa hari sudah Perdana Menteri, Najib Razak turun ke Ampang dan melancarkan kempen politik wangnya yang popular diberi nama BR1M 2.0. Berbanding yang sebelumnya, kali ini bantuan kewangan RM500 itu dipohon oleh lebih ramai orang. Sekaligus membuatkan Najib Razak kembang dan bangga sambil merasakan pendekatan dan kempennya mendapat sambutan ramai. Konon rakyat sudah semakin sayang dan menyokongnya kembali.

Ada beberapa pertimbangan yang dapat kita buat daripada perihal BR1M 2.0 ini. Pertamanya ialah mengapa mesti Najib Razak melalui kerajaan dan jentera politiknya mengeluarkan wang tunai sebanyak itu untuk diagihkan kepada rakyat? Adakah rakyat sedang berada dalam kesempitan wang dan menjadi mangsa ekonomi? Adakah rakyat begitu susah sampai tidak ada duit untuk hantar anak ke sekolah dan memastikan tempayan beras sentiasa berisi?

Apa sebabnya bagi duit kepada rakyat? Ya, mungkin sebab rakyat tak ada duit. Tapi sebab apa rakyat tak ada duit? Adakah rakyat malas bekerja? Adakah sebab gaji tak naik? Adakah sebab harga barang melambung tinggi?

Pertimbangan seterusnya ialah mengenai naik turun sokongan rakyat terhadap Najib Razak dengan pemberian wang tunai. Ini jelas nyata adalah politik wang. Tidak semestinya disebut rasuah, tetapi lebih kurang begitulah keadaannya. Politik wang yang dilakukan oleh Najib ini adalah langkah paling mudah untuk meraih sokongan. Hanya kerana bangsa ini begitu mudah termakan dan rasa terhutang budi.

Makcik, pakcik; saya nak bagi tahu. Duit yang makcik dapat itu ialah sebahagian daripada duit makcik sendiri yang kerajaan kutip selama ini. Itu bukan duit daripada poket Najib Razak, makcik. Najib Razak tidak berhempas pulas jual pisang goreng dan cucur kodok untuk kaut untung dan beri zakat kepada kita semua, tidak. Najib Razak dan Rosmah Mansor tidak juga turun ke bendang membanting padi untuk kumpul duit dan berikan kepada pakcik. Tidak sama sekali.

Itu duit makcik lah yang mereka ambil. Sekarang dia bagi balik. Nanti bila makcik guna duit itu untuk beli barang dapur, dapat ke dia balik duit tu makcik.

Inilah dia politik wang. Rakyat tidak harus tertipu dengan politik wang yang menjadi kekuatan pemerintah yang telah gemuk menelan hasil kekayaan negara setelah puluhan tahun memerintah. Sudah berapa juta dia makan, hampas dan sisanya yang dibagi ke kita.

Orang Pulau Pinang tahu ini. Sebab itu orang Pulau Pinang dengan manis muka boleh selamba ambil duit BR1M, tetapi hatinya tetap tekad akan mengundi Pakatan Rakyat pada pilihan raya akan datang.

Disebabkan kekayaan BN ini, mereka juga mampu membawa artis antarabangsa untuk menghiburkan kita semua. Pakatan Rakyat tidak begitu kaya. Yalah, tiada pengalaman makan rasuah atau rompak harta negara. Tidak macam BN. Mereka kaya. Apalah sangat DAP ini sekadar mampu buat parodi Gangnam Style. BN mahu bawa penyanyinya datang sendiri untuk menyanyi dan menari sambil menghibur hati rakyat demi memujuk sokongan terhadap mereka.

Pakatan Rakyat tidak mampu buat begini. Kami tidak kaya macam mereka. Kami tidak rompak harta negara.

Gong-xi-fa-PSY

Semenjak artis Korea, PSY yang popular dengan tarian Gangnam Style-nya diumum akan mencemar duli membuat persembahan di Pulau Pinang, meloncatlah sekalian yang patut meloncat. Paling kuat meloncat pasti lah pendokong BN Pulau Pinang yang begitu gembira dengan kedatangan artis berkenaan.

PSY sebenarnya telah dijadualkan untuk membuat persembahan di Future Music Festival Asia pertengahan Mac nanti; pastinya dengan dukungan Tourism Malaysia memandangkan (entah bagaimana) festival itu adalah sebahagian daripada program transformasi ekonomi. Kehadiran beliau untuk meraikan perayaan Tahun Baru Cina ini pastinya tidak termasuk dalam program, dan bayarannya juga pasti berbeza.

Apa yang kita tahu ialah sebagai artis bertaraf antarabangsa, PSY tidak akan melayan jemputan yang menjanjikan bayaran kurang daripada sejuta Dolar Amerika. Ya lah, artis popular. Takkan nak bayar guna Ringgit Malaysia. Satu juta Dolar Amerika (ini minimum ya) samalah dengan 3.098 juta Ringgit Malaysia; untuk satu lagu, daripada seorang penyanyi demi memikat hati pengundi Cina (katanya).

Hatta ada yang mencemuh kononnya DAP hanya mampu membuat parodi, dan BN juga yang hebat sehingga mampu membawa penyanyi asalnya ke mari. Inilah dia kesan pembodohan terancang oleh media yang dikawal pihak pemerintah pimpinan United Malays National Organisation sehingga tidak dapat meletakkan nilai kepada wang dan kemampuan sehingga boleh mengukur kebolehan memimpin dengan membandingkan artis mana yang dibawa masuk.

Ya benar, Pakatan Rakyat adalah koalisi yang sederhana gayanya. Ia tidak mampu berbelanja besar dan menabur wang untuk membeli undi orang ramai. Tidak ada bayaran untuk datang berhimpun dan merelakan diri disepak terajang oleh pihak polis. Tidak ada bayaran untuk bawa sepanduk dan angkat bendera. Tiada bayaran untuk letakkan pelekat kempen pada kereta.

Tidak macam UMNO. Selagi tak ada yang ‘masyuk’ tidak jalan lah kerja.

Dapur Guan Eng

Cuba kita perhati sekeping gambar yang dimuatnaik oleh Puan Betty Chew, isteri kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang memperlihatkan Lim Guan Eng sedang memasak di dapur. Mungkin apa yang orang hanya pandang ialah perbuatan Guan Eng memasak di rumah. Santai di dapur dengan rambutnya juga yang tidak diminyak.

Tetapi cuba pandang sedikit ke belakang dan lihat ruang dapurnya yang serba sederhana itu. Rak plastik yang bersepah dijual di pasar borong. Kain lap yang selalunya dijual lima helai sepuluh ringgit di pasar malam. Siap ada lesung batu yang terceruk. Pemimpin yang rendah hati dan baik budi inilah yang ditohmah siang malam dengan fitnah yang akhirnya dibuktikan tidak benar di mahkamah.

Bayangkan pula dapur pemimpin BN. Bayangkan Najib Razak menumbuk sambal belacan. Bayangkan isterinya sedang potong bawang. Mampu?

Benar, perjuangan ini adalah perjuangan kelas. Yang kaya semakin kaya, yang miskin dibaginya RM500 sudah mahu tunduk sujud menggadai masa depan. Yang kaya rompak harta negara, yang miskin dapat tengok PSY menari sudah melompat-lompat sayang ke Perdana Menteri. Pembodohan dan kebuntuan begini yang mesti kita lawan.

Tidak BN, undi kami orang Pulau Pinang tidak boleh dibeli dengan ang pau dan tarian Korea. Harga diri kami lebih tinggi daripada itu. Teruskanlah merancang bagaimana caranya untuk menawan kembali Pulau Pinang. Pergilah tidur dan bermimpi. Mudah-mudahan kalian mendapat ilham. ~roketkini.com

NST Disaman Kerana Siarkan Artikel Memfitnah BERSIH


Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini memfailkan saman ke atas News Straits Times Press (Malaysia) Berhad kerana didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah tahun lalu.

Andrew Khoo, ahli jawatankuasa bertindak Bersih 2.0, hari ini berkata saman tersebut difailkan ke atas artikel yang ditulis dalam akhbar berbahasa Inggeris News Straits Times pada 21 September, 2012, bertajuk “Plot to destabilise government” (Plot untuk menjatuhkan kerajaan).

“Kita mengkaji artikel tersebut dan kita dapati artikel tersebut banyak melakukan tuduhan palsu ke atas Bersih dan aktivitinya,” katanya apabila bertemu wartawan di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Jadi kita perlu betulkan fakta, dan supaya tidak berlaku lagi laporan palsu, kita tidak ada pilihan selain memfailkan saman,” katanya lagi.

“Saya ingin jelaskan di sini kita juga menuntut maaf dan menarik semula laporan tersebut tetapi tidak ada sebarang tindakan dari NST,” kata Khoo.

Peguam Bersih Daniel J. Albert berkata surat mengenai perkara tersebut ditulis pada 2 dan 3 Oktober tahun lalu.

Plaintif dalam kes ini ialah 15 orang ahli jawatankuasa bertindak Bersih 2.0, manakala NSTP (M) Berhad dan penulis artikel tersebut sebagai defendan.

Bersih berkata mereka mencari ganti rugi berdasarkan amaun yang ditentukan mahkamah serta injuksi untuk menghalang defendan dari, antaranya menerbitkan artikel atau fitnah.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .