KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) semalam mengedarkan risalah kempen kesedaran 3M (Memandu berhemah, Mansuhkan senarai hitam, Mansuhkan saman ekor) kepada pengguna jalan raya.
Ianya diadakan di Plaza Tol Sungai Besi dengan diketuai pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar 10 serta AJK Kase yang lain.
Risalah tersebut antara lain mengandungi maklumat berkaitan panduan keselamatan pengguna jalan raya, maklumat berkaitan saman, saman ekor dan hak mangsa yang disaman.
"Ini adalah usaha berterusan kita selepas kejayaan awal kita menebus hak rakyat untuk memperbaharui cukai jalan mereka yang telahpun disekat akibat disenarai hitam oleh JPJ, akibat saman ekor oleh Polis," katanya.
Ianya juga adalah sebagai merealisasikan hasrat Pakatan Rakyat yang mahu memansuhkan saman ekor jika diberi mandat memerintah negara.
Sebelum ini kerajaan mengumumkan membekukan seketika senarai hitam kenderaan sehingga 28 Februari tahun hadapan selepas mendapat bantahan banyak pihak yang sukar memperbaharui cukai jalan.
Mengulas lanjut Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata, saman ekor yang dikeluarkan pihak polis sewajarnya diserahkan kepada pemandu pada masa beliau melakukan kesalahan tersebut dan bukannya dihantar bertahun-tahun kemudian.
"Dia buat speed trap, tahan orang dan serahkan notis saman tersebut kepada pemandu, bukan kepada pemilik kenderaan yang belum tentu dia yang memandu kenderaan tersebut," katanya.
Sehingga kini dianggarkan lebih 1 juta pemilik kenderaan disenarai hitam akibat saman ekor dan berdepan kesukaran memperbaharui cukai jalan sehingga kerajaan membekukan sementara senarai tersebut.
Dalam pada itu, FaceBook Kempen Anti Saman Ekor dilancarkan secara rasmi malam tadi dalam satu ceramah di Taman Melewar.
Selain memudahkan pengguna mendekati mereka, FaceBook tersebut juga sebagai cara paling cepat berinteraksi dengan mangsa dan menyalurkan maklumat berkaitan kepada mereka.
-Hrkh