Ikuti Blog ini

Tragedi Perak dicetus pemimpin berfikiran 'gangster' - Nik Aziz












KOTA BHARU - Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan pihak tertentu berusaha menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang diketuai Menteri Besar Dato' Seri Ir. Mohammadd Nizar Jamaluddin sebagai berfikiran 'gangster'.


"Ini kerana Kerajaan Perak dahulu dipilih oleh rakyat, tetapi kerajaan Perak sekarang dipilih oleh dua tiga orang.


"Tindakan mereka menjatuhkan Kerajaan Nizar itu tidak pun terasa bersalah, namun apabila tindakan yang serupa berlaku ke atasnya dianggap satu kesalahan.


"Jahat. Inilah fikiran gangster," katanya ketika bercakap kepada pemberita di sini pagi ini.


"Nilaikan, mana lebih baik menyerahkan kepada rakyat memilih kerajaan yang disukainya berbanding kerajaan yang dipilih oleh "gangster-gangster" itu?


"Dan taraf gangster berbanding dengan kerajaan adalah serupa, sama ada presidennya, peraturan atau polisnya.


"Cuma yang berbeza ialah gangster itu haram, manakala kerajaan itu halal, namun dari segi peraturannya adalah serupa, katanya.


Beliau mengulas banyak pihak mengecam tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V Sivakumar yang menggantung kealian Menteri Besar Dato' Dr Zambry Abdul Kadir serta enam Exco daripada menghadiri sidang dewan, sebagai tidak mengikut peraturan.


Selain dari itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengulangi pendiriannya supaya pilihan raya semula di Perak diadakan.


"Saya masih bertegas bahawa pilihan raya semula hendaklah diadakan di Perak.


"Menteri Besar Ir Nizar sudah pun menyembahkan perkara itu kepada Tuanku (Sultan Perak) supaya Dewan Undangan Negeri dibubarkan,"katanya.


Mengenai tercetusnya banyak isu yang menimbulkan kontroversi dalam negara kini termasuk krisis Perlembagan di Perak, beliau menggesa Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya jangan melepaskan jawatannya.


"Pak Lah dipilih menjadi Presiden (Umno) dan Perdana Menteri Malaysia untuk lima tahun, kenapa dia sanggup berhenti.


"Kalau Pak Lah (mahu) berhenti kerana bersalah, tidak usaha tangguh hingga Mac, berhentilah segera.


"Tapi kalau dia merasa tidak bersalah, kenapa hendak berhenti juga.Di situlah terletaknya kesilapan Pak Lah.


"Adalah tidak betul apabila sejak awal lagi dia tunduk kepada pihak yang menyuruhnya berhenti, katanya.


Beliau turut mengulas tindak-tanduk pemimpin Umno-BN yang kini seolah-olah cemas berdepan dengan Pakatan Rakyat apabila banyak isu tercetus dalam negara, Mursyidul Am PAS itu mendakwa keadaan itu menjadi puncanya.


"Itulah puncanya oleh kerana mereka tidak menjaga undang-undang sedangkan undang-undang itu sendiri merupakan titik pertemuan di antara segala kebaikan dan kejahatan.


"Yang jahat tidak boleh memberi peluang kepada kejahatannya, manakala yang baik pula tidak boleh ditindas.


"Titik pertemuannya ialah undang-undang.


"Apabila undang-undang itu sendiri dipijak, maka akhirnya menjadi huru-haralah," katanya.


KENYATAAN MEDIA DSAI

Kenyataan Media DSAI Berhubung Laporan Polis Ke Atas Gani Patail dan Musa Hassan

—KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—
20 Februari 2009.

1. Saya telahpun membuat laporan polis ke atas Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Gani Patail pada 1hb Julai 2008 berhubung pembabitan mereka di dalam memalsukan bukti/keterangan penyiasatan kes serangan Rahim Noor ke atas saya.

2. Saya kesal kerana tiada sebarang tindakan diambil oleh Badan Pencegah Rasuah yang kini dikenal sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, walaupun sudah 8 bulan berlalu.

3. Kita diberitahu oleh Menteri di JPM Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, bahawa kertas siasatan tersebut sudah pun berada di Kamar Peguam Negara. Kita merasa ragu akan kebebasan siasatan tersebut kerana Peguam Negara sendiri terbabit sebagai mereka yang berkonspirasi memalsukan bukti.

4. Maklumat terperinci pembabitan Gani Patail berhubung penyiasatan polis itu telah didedahkan dalam penyata tuntutan yang difailkan oleh Dato Mat Zain(pegawai penyiasat di dalam kes saya) dalam satu tuntutan sivil beliau ke atas saya. Penyata tuntutan tersebut mengesahkan peranan Gani Patail dan Musa Hassan dalam episod tersebut.

5. Maklumat tersebut bersama analisis penjalanan prosiding Suruhanjaya Di Raja menjelaskan segala-galanya pembabitan Gani Patail dan Musa Hassan di dalam memalsukan bukti dalam kes yang lain.

6. Fakta/ Maklumat tersebut juga menunjukkan pembabitan mereka bersama pegawai polis kanan di dalam memalsukan satu laporan polis (Laporan Travers 3977/98) berhubung penahanan saya oleh ACP Koh, pegawai yang bertanggungjawab menahan saya, pada jam 2 pagi, 21hb September 1998. Laporan tersebut menyatakan saya ditahan di bawah ISA, bukannya kerana kes tuduhan liwat seperti yang dinyatakan oleh Koh beberapa jam sebelumnya di rumah saya. Ini dilakukan kerana mereka bertujuan menyembunyikan kecederaan saya dari diketahui umum, serta memastikan saya tidak perlu dihadapkan ke mahkamah sesegera mungkin.

7. Gani Patail dan Musa Hassan adalah mereka yang terlibat dan masih diberi kepercayaan mengetuai institusi penting di negara ini.

8. Hari ini saya membuat laporan polis berhubung pembabitan mereka di dalam konspirasi yang menyebabkan Koh membuat satu laporan palsu ke atas saya pada 21hb September 1998. Ini mengesahkan peranan mereka dalam konspirasi di sebalik laporan polis palsu yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun 2008.

9. Saya meminta satu tindakan segera diambil berhubung laporan polis yang dibuat oleh saya pada 1hb Julai 2008.

ANWAR IBRAHIM
20 Februari 2009

PM ajar rakyat Malaysia tidak hormati undang-undang.



Sehingga pagi ini kita menyaksikan dalam media bercetak dan elektronik yang dikuasai oleh BN dan UMNO memutar belit semaksima mungkin Isu pegantungan 7 ADUN Perak dari mengikuti Sidang DUN Perak.

Saya yakin tanpa mendapat nasihat yang betul, Perdana menteri, Abdullah Ahmad Badawi menjadi guru kepada kelompok yang berselindung dari media yang bersekongkol menyiarkan putar belit mereka.Ternyata Abdullah hanya PM untuk BN sahaja bukannya untuk Rakyat malaysia, dia mengajar rakyat Malaysia supaya tidak menghormati undang-undang.

Bermula dengan tindakan Najib merampas kuasa sehinggalah kepada episod yang berlaku sekarang sebetulnya sangat mengajar kepada kita bahawa UMNO sangat kemaruk kuasa dan gilakan kuasa.

Dalam keadaan BN hendak bercakap soal menghormati undang-undang, dialah yang terlebih awal melanggar Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Bercakap siapa derhaka kepada raja, dialah yang menjadi pelopor dulu, kini dan selamanya.

bayangkan inilah kenyataan Pak Lah seperti disiarkan dalam Utusan malaysia hari ini:-

PUTRAJAYA 19 Feb. – Peduli kan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar yang ternyata amat teruk dan tidak masuk akal.

Demikian reaksi spontan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas tindakan Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bersama enam anggota Exconya daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri berkuat kuasa serta-merta.

Tegas Perdana Menteri, apa yang harus dilakukan oleh Zambry sekarang adalah terus menjalankan fungsi pentadbiran negeri sebagai kerajaan sah seperti mana dikehendaki rakyat.

Malah, beliau menyelar perlakuan Sivakumar yang juga ADUN DAP kawasan Tronoh itu sebagai tidak menghormati keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang berkenan melantik Zambry dan barisan Exconya mengetuai kerajaan negeri.

‘‘Ini merupakan usaha terakhir pakatan pembangkang mahu menggulingkan kerajaan BN yang sah di Perak."

Inilah kenyataan Pak Lah yang paling tidak bermaruah dan bertanggung jawab.

Teruskanlah kerja jahat itu kerana rakyat sudah muak dan tidak percaya lagi kepada pemberitaan yang berat sebelah itu.

Pimpinan Tertinggi pakatan Rakyat dan Semua ADUN dalam mesyuarat yang diadakan malam tadi. Kesimpulan dari mesyuarat itu kami dimaklumkan betapa keputusan Speaker menetapi dan tidak bercanggah dengan undang-undang yang ada.

SIDANG MEDIA SPEAKER DUN PERAK 11pm malam tadi.



Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, YB V Sivakumar telah mengadakan sidang media di kediaman Menteri Besar Perak pada jam 11.00 malam tadi. Berikut adalah sebahagian daripada kenyataan tersebut:


Salam sejahtera. Pada malam ini saya ingin menerangkan kedudukan saya selaku Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan kenapa saya terpaksa mengambil keputusan sepertimana yang telah saya buat semalam.


Perkara asasnya adalah berkaitan dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak iaitu berkaitan dengan Fasal 16(6). Pentafsiran Fasal ini telah menjadi satu pertikaian pada perkataan atau ayat “sekiranya Menteri Besar itu terhenti daripada mendapat kepercayaan …”. Jika kita perhatikan dengan teliti, perkataan “Menteri Besar” dalam Fasal ini sebenarnya merujuk kepada Menteri Besar “pada masa itu”. Ketika Dato' Seri Nizar mengadap DYMM Tuanku Sultan, dia adalah seorang Menteri Besar yang telah mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Perhimpunan Undangan atau Dewan Undangan Negeri selepas pilihanraya ke 12.


Fasal itu juga memperuntukkan “hendaklah ia” yang dengan jelas merujuk kepada Menteri Besar yang ada pada masa itu iaitu Dato' Seri Nizar. Oleh itu, yang layak untuk mengadap DYMM Tuanku Sultan ialah Dato' Seri Nizar. Selain daripada Menteri Besar yang sedang dalam perkhidmatannya, tiada sesiapa pun yang mempunyai hak untuk mengadap DYMM Tuanku Sultan bagi maksud Fasal itu.


Sekarang timbul satu lagi masalah atau krisis perlembagaan. Saya adalah ketua legislative iaitu ketua badan perundangan negeri Perak. Persoalan mengenai hak seperti yang saya nyatakan tadi telah dirujuk kepada saya. Maka apa yang perlu saya lakukan? Saya telah menerima aduan bersurat daripada YB Wong Kah Woh iaitu ADUN Canning Garden. Surat itu menyatakan bahawa masalah yang telah berlaku adalah in house problem, state assembly problem. Ia perlu diselesaikan di peringkat kuasa Dewan Undangan Negeri itu sendiri. Oleh itu saya sebagai Ketua Dewan Undangan Negeri bertanggungjawab untuk menyelesaikannya. Ini adalah beban yang perlu saya pikul. Ini adalah kewajiban saya. Rakyat telah bertanya, dan banyak pihak lagi yang akan mempersoalkan saya sebagai ketua legislative. Apakah tindakan yang telah saya ambil? Maka saya tidak ada pilihan lain. Saya terpaksa mengikut peraturan.


Apabila saya terima surat aduan daripada YB Wong Kah Woh, saya terpaksa bertindak. Saya telah membawa surat itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN. Jawatankuasa ini telah berbincang dan kami dapati memang wujud kes prima facie dalam isu yang dibangkitkan. Maka jawatankuasa itu telah membuat keputusan untuk memanggil YB Dato' Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam orang YB yang lain untuk berjumpa dengan jawatankuasa tersebut. Dalam perjumpaan yang berlangsung semalam, memang jelas bahawa tujuh ADUN itu telah melakukan kesalahan mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Mesyuarat bertanggungjawab membuat satu keputusan, kerana kes ini merupakan isu yang amat serius. Demi mempertahankan badan perundangan negeri ini, kami tidak ada pilihan lain kecuali membuat satu keputusan yang terbaik untuk menegakkan keadilan dan kedaulatan badan perundangan di negara kita, terutamanya negeri Perak yang kita cintai ini.


Masalah yang dibangkitkan oleh banyak pihak kepada saya ialah persoalan peruntukan manakah di dalam Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang menyatakan “orang atau pihak yang tiba-tiba mendapat majoriti di Dewan Undangan Negeri, boleh atau hendaklah mengadap DYMM Tuanku Sultan untuk mohon membentuk kerajaan”? Sebenarnya tidak ada mana-mana peruntukan yang menyatakan begitu. Undang-Undang Tubuh Negeri Perak menyatakan Menteri Besar yang sedang dalam mandat pada satu-satu masa itu, jika mendapati majoritinya dalam Dewan Undangan Negeri telah hilang, maka adalah tanggungjawabnya (Menteri Besar yang sedang dalam mandat itu) untuk mengadap DYMM Tuanku Sultan dan boleh memohon supaya dewan dibubarkan.


Saya tidak mempertikaikan bahawa Tuanku mempunyai kuasa untuk tidak memperkenankan pembubaran DUN sekiranya sidang DUN telah meluluskan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar. Tetapi oleh kerana perkara ini tidak dibincangkan dalam sidang DUN maka ia menjadi isu. Sekarang masalah itu terbeban ke atas saya selaku Speaker DUN apabila ada ADUN yang merujuk kepada saya. Orang ramai pun bertanya dan merujuk kepada saya. Apakah tindakan Speaker?


Kes ini adalah soal dalaman Dewan Undangan Negeri. Seperti masalah dalaman rumahtangga, ketua keluarga perlu menyelesaikannya. Lebih-lebih lagi apabila ini adalah hal ehwal badan perundangan negeri yang melibatkan kepentingan seluruh rakyat negeri ini. Sebagai ketua legislative, saya perlu memberi perhatian dan menjalankan tanggungjawab saya supaya keadilan dapat ditegakkan dan kedaulatan undang-undang terjamin. Itu adalah tugas saya. Itu juga adalah tanggungjawab saya. Saya tidak bertindak melebihi bidang kuasa saya seperti termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Saya hanya menjalankan tugas supaya kedaulatan badan perundangan negeri Perak tidak dicabuli. Itu saja.


Saya tidak berniat untuk menderhaka. Isu itu sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu kerana kepentingan politik. Ia juga diputarbelit oleh media perdana dan kumpulan tertentu yang mahukan rakyat menghukum saya sebagai penderhaka kepada DYMM Tuanku. Tuduhan itu adalah tidak benar. Mereka cuba mempolitikkan isu ini. Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya tidak mempunyai sebarang intention untuk menderhaka. Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai Speaker setelah mendapati perkara ini adalah perkara yang serius dan saya mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikannya.


Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN bukannya menggantung YB Ahli-Ahli DUN tersebut daripada menjadi ADUN. Tidak begitu. Saya bersama Jawatankuasa itu hanya menggantung mereka daripada menghadiri sidang DUN. Itu saja.


Mengenai kelayakan mereka sebagai ADUN, saya tidak sentuh langsung. Tiada kenyataan saya berkenan status mereka sebagai wakil rakyat atau ADUN bagi kawasan masing-masing. Itu saja yang perlu saya beritahu kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Negeri Perak. Apa yang saya lakukan ini adalah mengikut Fasal 16(6) Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan ianya dilakukan demi kedaulatan undang-undang supaya institusi dan badan perundangan ini tidak dicemari oleh mana-mana pihak.


Sekian terima kasih.




Derhaka: Umno ada sejarahnya

KUALA LUMPUR, 20 Feb : - Para pemimpin Umno-BN dan para penyokong fanatiknya mendakwa para pemimpin serta para penyokong Pakatan Rakyat (PR) menghina Sultan Azlan Muhibbuddin Shah kerana enggan menerima pembentukan kerajaan negeri Perak yang baru pada 4 Februari lalu.

Apatah lagi, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin enggan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar walaupun telah dinasihatkan berbuat demikian oleh Sultan Perak. Pengerusi DAP, Karpal Singh pula mahu menyaman Sultan Azlan Shah (walaupun tidak dipersetujui pemimpin PR yang lain) dan BN.

Ekoran itu, demonstrasi demi demonstrasi diadakan oleh Umno-BN dan penyokongnya di seluruh negara dengan pelbagai sepanduk mengecam Nizar dan Karpal. Karpal sendiri menghadapi 84 laporan polis terhadapnya. Beliau segera dipanggil oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk memberi keterangan.


Cepat sungguh Polis Diraja Malaysia bertindak atas laporan polis terhadap pemimpin pembangkang sebaliknya para pemimpin BN yang memang 'penjenayah' dan 'perompak' harta rakyat, laporan polis itu entah ke mana lesapnya!

Sikap hipokrit dan 'double-standard' Umno terserlah apabila mereka turut turun ke jalan raya berdemonstrasi membantah ketegasan pemimpin Pakatan Rakyat dalam isu di Perak walaupun mereka juga yang mengatakan demonstrasi bukan budaya kita.

Nampaknya, jika dilakukan oleh mereka, demonstrasi jalanan tersebut tidak menjadi satu kesalahan. Karpal sendiri mempertikaikan perkara ini. Katanya, demonstrasi Pakatan Rakyat dihalang, tetapi demonstrasi Umno-BN dibenarkan walaupun tanpa permit.

Menantu kesayangan Dato? Seri Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaluddin juga kini mahu menjadi jaguh dengan mengecam Nizar dan Karpal dalam demonstrasi jalanan yang ditajanya. Beliau turut meminta penderhaka dihalau dari bumi Perak.

Nampaknya, Khairy mudah lupa kerana dahulu beliau juga yang menganggap para demonstrator jalanan adalah monyet. Tetapi, sekarang kerana mempertahankan kerajaan haram di Perak, beliau sanggup menjadi monyet.

Semua orang tahu ini hanyalah sandiwara Khairy sahaja untuk meraih sokongan dalam pertandingan memilih Ketua Pemuda Umno dalam Perhimpunan Agung Umno pada 24 hingga 28 Mac nanti.

Demonstrasi bukan budaya kita. Bagaimanapun, ia menjadi budaya murni dan halal jika menyokong kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN!

Bandingkan dengan demonstrasi di Masjid Ubudiah dan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 6 Februari lalu. Tiada satu pun kain rentang oleh penunjuk perasaan berbunyi kasar serta menghina Sultan Perak dan Raja Muda.

Apa yang terpampang hanyalah ayat "Daulat Tuanku Rakyat Pohon Tuanku Bubarkan DUN Perak" dan "Menuntut Bubarkan DUN, Kembalikan Kuasa Rakyat".

Nizar menderhaka? Beliau tidak bersetuju dengan tindakan Sultan Azlan. Tetapi, tidak menggunakan perkataan tidak bersetuju. Sebaliknya, beliau menggunakan perkataan "Sembah patik sembah derhaka."

Bukannya beliau menderhaka seperti yang ditafsirkan oleh akhbar arus perdana kroni kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN. "Sembah derhaka" itu telah dijadikan isu, sedangkan selama ini pemimpin Umno yang kerap menderhaka kepada Sultan. Kepada Allah SWT pun mereka menderhaka, apatah lagi kepada Sultan yang juga manusia ciptaan Allah.

Nizar enggan meletakkan jawatan kerana jawatan dan kerajaan pimpinannya dirampas secara tidak bertamadun oleh pemimpin kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN. Beliau dan kerajaan tidak dikalahkan, tetapi dinafikan secara haram menerusi rampasan kuasa yang sebenarnya memalukan Umno-BN.

Mana mungkin seorang yang bermaruah dan dipilih oleh rakyat mahu tunduk pada perbuatan tidak bermaruah dan penuh kehinaan? Siapa sahaja yang bermaruah akan mempertahankan diri jika dianiayai.

Berkaitan dengan isu di Perak ini, Umno-BN cuba menggambarkan imej buruk Pakatan Rakyat, iaitu tidak mendengar titah raja. Sejak bila pula Umno-BN begitu taat setia kepada raja dan menjadi pembela berani mati?

Umno biadap pada Raja-raja Melayu

Ingin ditanya, siapakah yang terlebih dahulu derhaka kepada raja? Kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN sudah lupa siapa yang menentang dan menghina Sultan Terengganu (yang juga Yang di-Pertuan Agong) dalam pemilihan Dato? Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu pada bulan Mac tahun lalu?

Cepatnya Umno-BN lupa pada demonstrasi oleh penentang pelantikan Ahmad itu? Ia adalah atas arahan Abdullah sendiri. Sehingga kini, langsung tiada siasatan dan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang terlibat.

Dalam demonstrasi di pekarangan rasmi Menteri Besar Sri Iman, Kuala Terengganu pada 23 Mac tahun lalu itu, para pemimpin Umno negeri dan Pusat menderhaka terhadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin apabila secara terbuka berdemonstrasi yang jelas menghina kemuliaan institusi raja dalam isu pelantikan menteri besar.

Penyokong Umno/BN mahu Idris Jusoh kekal sebagai Menteri Besar Terengganu.Mereka menyanggah pihak istana yang diwakili Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) kerana melantik Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.Tindakan biadap Umno itu memang mengundang kemarahan pelbagai pihak serta menimbulkan reaksi kurang senang di kalangan rakyat umum, termasuk Istana Tuanku.

Antara slogan pada kain rentang yang menimbulkan ?ketegangan? itu adalah seperti ?Kami Nak Idris, Natang? (binatang) yang disiarkan secara meluas oleh beberapa buah stesen TV negara kita.

Perkataan ?Natang? itu adalah dialek Terengganu yang bermaksud 'Binatang?. Ia ditujukan kepada siapa? Adakah kepada pihak Istana Terengganu atau Raja-raja Melayu yang menjadi sasaran emosi pemimpin serta penyokong tegar Umno/BN Terengganu? Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor membuat kenyataan terbuka untuk memecat Ahmad Said yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal.

Umno Terengganu yang diketuai Idris dan Rosol Wahid memprotes secara terang-terangan watikah yang diperkenan oleh Pemangku Sultan Terengganu melalui MPPR. Sehingga kini, Abdullah tidak dibicarakan, apatah lagi dijatuhi hukuman setimpal. Bagaimanapun, seluruh rakyat Malaysia sudah menyedari bahawa Umno-BN yang sebenarnya adalah ?penderhaka? bertopengkan agenda perjuangan orang Melayu.

Annuar Musa (sekarang Tan Sri) sudah lupa atau berpura-pura lupa bahawa pada tahun 1993 beliau sanggup berarak dari Kuala Lumpur membawa Tengku Ibrahim dan menabalkannya di bawah pohon janggus sebagai Sultan Kelantan, sedangkan Sultan sebenar masih ada.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Muhammad Mohd Taib (juga sekarang Tan Sri) ketika menjadi Menteri Besar Selangor juga lupa beliau pernah melarikan puteri Sultan Selangor, Sultan Salahuddin, yang lebih dikenali sebagai Ku Yah.

Lupakah bahawa Umno juga pernah mewujudkan krisis Perlembagaan pada tahun 1983. Kerakusan mahu terus berkuasa telah mendorong Umno mencadangkan satu pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk meminda peruntukan yang berkaitan dengan kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja serta kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Pindaan yang dikemukakan pada pertengahan tahun 1983 itu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong enggan menandatangani rang undang-undang Perlembagaan (Pindaan 1983) itu setelah baginda berbincang dengan raja-raja lain.

Pindaan Perlembagaan 1983 tersebut bukan sahaja mewujudkan krisis perlembagaan, malah buat kali pertama selepas kemerdekaan, pemimpin kerajaan yang dikuasai Umno mengadakan rapat umum untuk menghentam raja-raja. Rapat umum anjuran Umno itu telah menyebabkan raja dipandang hina oleh masyarakat awam.

Pada tahun 1990, Umno sekali lagi bertembung dengan raja-raja selepas ia kalah teruk di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-8. Dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 1991, Umno telah melemparkan kritikan yang pedas, tajam, kurang ajar dan tidak beradab terhadap raja-raja Melayu.

Istana Kelantan dibidas secara terbuka dan dituduh bertanggungjawab terhadap kekalahan calon-calon BN di tangan calon-calon Angkatan Perpaduan Ummah.Bukan sahaja Sultan Kelantan dibidas dengan kata-kata tajam dan pedas, raja-raja lain turut menjadi bahan kritikan dengan pelbagai tuduhan seperti menyalahgunakan kedudukan untuk mendapat kelebihan dan peluang perniagaan serta mencampuri hal ehwal pentadbiran dan sebagainya.

Seterusnya, pindaan Perlembagaan tahun 1993 menunjukkan percubaan Umno untuk menghapuskan kekebalan raja-raja. Keputusan Majlis Raja-Raja yang meminta masa untuk mengkaji cadangan pindaan tersebut tidak disenangi Umno.

Akibatnya, media massa yang dikawal oleh Umno menyiarkan kenyataan tidak bersopan dan beradab beberapa orang menteri mendedahkan apa yang didakwa sebagai salah laku raja-raja serta anggota kerabat diraja tertentu.

Jadi, sekali lagi Umno mengulangi taktik mengaibkan raja-raja seperti yang dilakukan semasa krisis Perlembagaan tahun 1983. Pada tahun 1978, Menteri Besar Perak, Tan Sri Ghazali Jawi enggan meletakkan jawatan sehingga mendorong Sultan Perak, Sultan Idris Shah menyimpan janggut dan jambang. Baginda bernazar akan mencukurnya setelah Ghazali meletakkan jawatan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato? Mahfuz Omar membantah keras rampasan kuasa di Perak ini walaupun tidak hairan jika ada rasuah RM50 juta untuk membeli ADUN PR kerana rasuah memang sudah menjadi amalan pemimpin Umno/BN.

Oleh kerana Umno-BN merampas kuasa secara yang disifatkan oleh pakar undang-undang dan Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai ?rompakan di siang hari yang terang-benderang', Mahfuz tegas mengatakan ada dua buah kerajaan haram di dunia sekarang. Pertama, katanya, kerajaan haram laknatullah Israel dan kedua, kerajaan haram BN di Perak.

Adun 'lompat' tidak berani pulang ke kawasan

Oleh kerana berkuasa secara haram, menurut Setiausaha Politik Nizar, Misbahul Munir Masduki, maka Adun Behrang, Changkat Jering dan Jelapang tidak berani menjenguk kawasan masing-masing.

"Bagaimana mereka boleh berkata mahu berkhidmat kepada pengundi sedangkan langsung tidak berani pulang ke kawasan masing-masing? Mereka tahu mereka telah mengkhianati pengundi,"tambah Misbahul.

?Sebab itulah mereka takut untuk menjenguk kawasan. Para pengundi mereka juga sedang menunggu dengan kasut,? jelas beliau secara berseloroh dalam satu ceramah di Kuala Lumpur baharu-baharu ini.

Tambah beliau, jika hasrat mengadakan pilihan raya semula dan tandatangan referendum rakyat Perak gagal, krisis yang berlaku diharap akan berterusan sehingga tiga kerusi Dun terbabit dikosongkan dan pilihan raya kecil diadakan.

Dilaporkan bahawa Speaker Dun Perak, V Sivakumar enggan menerima Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar dan enam orang Exco baharu kerana pelantikan mereka tidak mengikut Perlembagaan. Dalam perkataan lain, mereka adalah pemimpin kerajaan haram!

Namun, sikap 'double-standard' serta tidak tahu malu pemimpin Umno terserlah apabila Dr Zambry membantah tindakan Sivakumar itu. Katanya, perkara itu perlu dibawa ke mesyuarat Dun terlebih dahulu.

Tahu pula mahu membawa ke mesyuarat Dun. Semasa mahu merampas Perak pada 4 Februari lalu, tidak pula mahu menunggu mesyuarat DUN untuk mendapat undi tidak percaya terhadap Nizar. Inilah sikap Umno yang tidak bertamadun seperti lanun!

Walaupun akhirnya bersetuju keluar dari kediaman rasmi Menteri Besar dan menyerahkan semula kenderaan rasmi, Nizar dan barisan Exconya akan menjelajah seluruh negeri Perak (setiap Dun) untuk memberi penjelasan.

Menurut Misbahul lagi, Sultan Azlan dikhabarkan berdukacita atas kemarahan rakyat baginda. Sepatutnya baginda bergembira ketika menyambut perayaan Jubli Perak memerintah negeri Perak.

Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .