Ikuti Blog ini

Anwar, Kit Siang sertai muktamar PAS

KOTA BHARU, 11 Jun: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang menjadi antara tetamu penting dalam muktamar PAS ke 56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) dekat sini.

Kedua-duanya berjalan masuk bersama para pemimpin utama PAS yang diketuai Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta lain-lain pimpinan utama.

Turut sertai muktamar kali ini adalah para pemimpin kanan gerakan Islam seluruh dunia termasuklah dari Hamas yang sedang berdepan dengan tentera Zionis Israel sekarang.

Sebelum masuk ke dewan, Abdul Hadi telah memeriksa pembarisan Unit Amal dengan diiringi pasukan gendang Rebana Ubi Kelantan.

Dewan Muktamar Putik penuh sesak dengan perwakilan dan pemerhati serta tetamu dari luar negara. Tahun ini, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menghantar wakilnya buat pertama kalinya menyertai muktamar kali ini.

Sembilan wakil Hamas yang di ketuai Dr Munir Syed Garada turut menyertai muktamar ini walau masih lagi bertembung dengan tentera Zionis Israel.

Turut menjadi sebutan Pengerusi Tetap, Haji Abu Kassim Abdullah adalah sebahagian dari wakil NGO Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera Israel ketika mereka menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Majlis menjadi meriah dengan lagu nasyid Kelantan yang dinyanyikan sebaik sahaja pemimpin duduk selepas berdiri menghormati lagu Negaraku dan lagu PAS.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika memberikan ucapan berkata, ini adalah kali ke - 5 Muktamar PAS diadakan di Putik. Sebelum ini muktamar pernah diadakan di Markas PAS Kedah di Kota Sarang Semut, pada tahun 2008 di Stadium Indramulia, Ipoh manakala tahun lepas di Stadium Malawati Shah Alam.

"Langkah ini diambil supaya ahli dan penyokong kita dapat bersama pemimpin dalam majlis sebegini," kata Mustafa.

Muktamar kali ini juga menjadi sejarah kerana buat pertama kalinya disertai oleh DHPP yang baru sahaja dibentuk pada tahun ini.

Mustafa dalam ucapannya juga meminta semua ahli PAS bersedia menghadapi pilihan raya umum ke 13 yang bakal diadakan tahun 2011 iaitu tahun depan secepatnya atau selewatnya tahun 2012 kerana BN takut dengan angka 13 dan ia tidak akan diadakan pada tahun 2013. -Hrkh

PAS: Waspada dengan blog, 'luncai' luar parti

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mahu semua anggotanya memberikan ketaatan dan wala' (kesetiaan) kepada parti dan pemimpinnya yang "menjalankan tugas sepanjang masa, bukannya bermusim".

Katanya, kesemua pemimpin tersebut - yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang termasuk ulama dan profesional - dipilih sendiri oleh ahli-ahli dalam muktamarnya tahun lalu.

"Adunan ini jugalah yang memperkasakan PAS untuk memimpin negara, dengan menolak jahiliyah sekularisma yang meminggirkan Islam dan memisahkan urusan dunia daripada Islam," katanya.

Berucap dalam muktamar ke-56 parti itu di Pengkalan Chepa hari ini, Abdul Hadi juga mengingatkan anggota dan pemimpinnya tidak terpedaya dan "hanyut bersama luncai di luar parti yang berkeliaran dengan labu-labunya".

"Alhamdulillah, walaupun kita berhadapan dengan cabaran sebegini, tidak ada seorang pun di kalangan kita yang terkeluar daripada bahtera perjuangan mengikut telatah luncai-luncai itu, walau pun menghadapi ribut dan gelombang yang datang dari segenap penjuru," katanya di hadapan kira-kra 2,000 perwakilan dan pemerhati.

Beberapa pemimpin kanan Pakatan Rakyat turut hadir dalam muktamar itu, antaranya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh popular DAP Lim Kit Siang, penyelaras Pakatan Datuk Zaid Ibrahim dan wakil-wakil parti Islam daripada luar negara.

Sementara itu, menyentuh soal hubungan dalam Pakatan Rakyat, Abdul Hadi berkata selepas beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini, terutamanya di Sibu, telah menunjukkan kesetiaan dan kebersamaan gerak kerja yang baik.

"Oleh yang demikian, pendekatan fekah politik Islam yang dipegang oleh PAS menerusi amalan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dalam Pakatan, dengan model Islam yang sebenar, akan terus
diperkasakan," kata beliau yang juga ahli parlimen Marang.

Bagaimanapun, tambah Adul Hadi (kanan) lagi, penyertaan parti Islam itu dalam gerakan politik Islam mewajibkannya meneruskan persaudaraan ukhuwah (persaudaraan) dengan semua kumpulan Islam dengan penuh tasamuh.

"Inilah yang mewajibkan semua kumpulan Islam berada dalam saf (barisan) perjuangan Islam bersama PAS.

"Ukhwah yang dibina ini pula, wajar untuk digerakkan ke arah melaksanakan tanggungjawab amal Islami yang syumul (lengkap) di segenap pelusuk negara," katanya. -M'kini

Islam adil untuk semua jadi tema ucapan dasar

KOTA BHARU, 11 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menawarkan kepada semua agar bersama-sama Islam yang dibawa PAS kerana 'Islam Adil Untuk Semua" yang dijadikan beliau sebagai tema Ucapan Dasarnya dalam muktamar PAS ke 56 ini.

Tema ini dipilih kerana mereka yang adil lebih dekat dengan taqwa dan PAS mahu keadilan diberikan kepada semua tanpa mengira siapa mereka, kata Abdul Hadi dalam ucapan dasar yang diberikan beliau dalam muktamar yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) hari ini.

Dewan besar Putik penuh sesak dengan kira-kira 5,000 perwakilan, tetamu dan pemerhati di samping ratusan petugas media dari dalam dan luar negeri mendengar ucapan beliau dengan khusyuk.

Turut menjadi tetamu adalah pemimpin Hamas Palestin walaupun rakan-rakan mereka sedang berdepan dengan tentera regi zionis Israel. Di samping itu, turut serta adalah pemimpin parti Al Adalah Maldives yang kini memerintah negara pelancungan itu.

Selain itu, pemimpin MILF dari Filipina juga turut serta bersama lain-lain tetamu.

Dalam ucapannya, Abdul Hadi berkata, PAS akan memperjuangkan keadilan untuk semua yang diberikan oleh Islam tanpa mengira apa-apa batasan.

Beliau berkata, Umno walaupun berkata akan memperjuangkan Melayu dan Islam tetapi pada hakikatnya sedang menghancurkan Islam dan Melayu juga.

Ini kerana tindak tanduk Umno jelas merosak Melayu dan Islam, katanya.

Tindakan Umno juga merosakkan negara bahkan juga kaum lain di negara ini. Kehilangan blok minyak rugikan negara ratusan bilion ringgit. Umno juga terperangkap dalam retorik perkauman yang jauhkan kaum lain di negara ini. Inilah kecelaruan yang di bawa Umno, kata Abdul Hadi.

"Akhirnya, umat Islam terus ketinggalan dan berlakunya hakisan kesedaran dan kuasa, adalah hasil dari kesilapan kepimpinan negara kita yang tidak memperkasakan kepimpinan umat Islam dengan hanya melahirkan pemimpin yang tidak bermoral ddengan politik wang tanpa kewibawaan," kata Abdul Hadi.

Bagi beliau, Umno telah mengakibatkan malapetaka dahsyat berlaku terhadap masyarakat Melayu Islam apabila menanam kefahaman salah kepada mereka.

"Umno mendabik dada kononnya merekalah penyelamat Melayu dan Islam.

"Hakikatnya mereka telah gagal dan mengundang padah malapetaka.

"Imej Islam begitu murni telah tercalar akibat dari kegagalan dan ketidakadilan Umno," katanya.

Umno juga katanya menjadikan ekonomi negara sebagai modal pusingan di kalangan pemimpin mereka sahaja.

Blok minyak katanya diserah begitu sahaja kepada negara lain sebagai pertukaran.

Sehubungan itu katanya PAS wajib mentafsirkan Islam secara sempurna dan lengkap bagi membebaskan khurafat pemikiran yang dibawa Umno.

"Keadaan ini mewajibkan kita berusaha sedaya upaya supaya orang Melayu yang majoritinya Islam ini dibebaskan daripada kepompong yang rosak itu.

"Di atas kegagalan Umno ini maka kita perlu mendampingi kelompok orang Melayu supaya mereka dapat bersama dengan PAS untuk diberikan kefahaman Islam yang sebenar," katanya. -Hrkh

Edisi Khas Muktamar PAS : ULAMA' PERLU PERLENGKAP THAQAFAH


Ditulis oleh Jabatan IT PAS Pusat

MACHANG, 10 Jun – Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Ahmad Yaakob menekankan agar ulamak perlu teguh serta lengkap dengan thaqafah bagi menghadapi pelbagai cabaran mendatang.

"Sejak lama dulu ulama berhadapan dengan pelbagai cabaran. Namun cabaran ini tidak melemahkan mereka untuk menyebarkan Islam," ujarnya.


Di samping itu jelas beliau, ulamak perlu memperkuat diri mereka dengan memahami fahaman-fahaman baru yang merosakkan masyarakat.

"Seperti yang dilakukan oleh Imam al-Ghazali, beliau bukan sahaja membaca pemikiran Greek dan Yunani, malah beliau berupaya mematahkan pemikiran tersebut dengan hujah yang kukuh dan diterima oleh zamannya," tambahnya.

Peranan ulama adalah sangat penting untuk memimpin masyarakat. Mereka bertangungjawab memberi inzar memandangkan keadaan masyarakat Islam pada hari ini jauh lebih teruk berbanding masyarakat jahiliah dahulu.

"Dahulu, pemikiran umat dirosakkan oleh akidah muktazilah, khawarij, qadariyyah dan jabariyyah dalam keadaan negara Islam masih utuh dan berkuasa,

"Sekarang fahaman liberal, sekular, komunis, sosialis dan nasionalis bukan sahaja mempengaruhi pemikiran masyarakat tetapi menjadi anutan utama masyarakat Islam. Kerajaan juga seolah-olah tidak mementingkan hal ini untuk diatasi,” jelasnya.

Mengakhiri ucapannya, beliau menegaskan agar semua ahli dewan membuat persiapan sewajarnya. “Ulamak juga perlu lebih berani mengeluarkan ijtihad bagi menyelesaikan masalah baru yang membelenggu masyarakat," katanya lagi.

Suasana Ceramah 2 Speaker di perkarangan PUTIK.

Speaker Kelantan YB Nasarudin Daud

Speaker Perak yang sah YB Sivakumar

Tn Hj. Jamaluddin Yayasan Amal Malaysia

Hadirin yang membanjiri di perkarangan PUTIK


Duda Bakar Masjid Akibat Cemburu


KUALA LUMPUR : Seorang lelaki sanggup membakar masjid dan cuba membunuh diri hanya kerana tidak puas hati bekas isterinya mahu berkahwin lain.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, lelaki yang berusia 30-an itu bertindak mematikan bekalan air dan elektrik dan membakar tiga sudut Masjid Jamiurrahman, Kampung Limau Manis sebelum menguncikan dirinya dari dalam.

Kejadian hanya disedari keluarga imam, Shamsudin Md Daud yang tinggal di belakang masjid kira-kira jam 11.35 malam.

Rakan serumah suspek, Mohd Suhairi Wahinordin berkata, rakan serumahnya yang hanya dikenali dengan panggilan ‘Ijat’ mengalami tekanan yang teruk apabila anak perempuannya enggan tinggal bersamanya.

“Kemurungannya semakin bertambah apabila me­ngetahui bekas isterinya akan bernikah tidak lama di masjid ini. Dia keluar dari rumah tanpa memberitahu hala tujunya,” katanya

Suhairi berkata, dia sering kali terdengar rakan serumahnya berbicara seorang diri dan kelihatan begitu tertekan dengan keadaan keluarganya yang tidak bersatu. Kerugian dianggarkan RM200,000

Ucapan Kumutha jadi tumpuan perwakilan

KOTA BHARU : Ucapan Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS, Kumutha a/p Rama, menjadi tumpuan para perwakilan dan pemerhati apabila beliau sering mengaitkan agama dalam ucapannya.

Kerana semangatnya yang melahirkan rasa syukur berada dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam bersama kepimpinan ulama, kedengaran anggota perwakilan bertakbir.

Kumutha dalam ucapan penangguhannya menegur sikap muslimat sewaktu muktamar yang kadang-kadang agak riuh rendah khususnya sewaktu membahaskan usul.

Menurutnya, sebagai seorang muslimat etika perlu dijaga.

“Sebagai seorang muslimat kita kena sabar, bukankah sabar itu separuh daripada imam,”ujarnya sambil disambut takbir oleh para perwakilan.

Sambungnya, agama Islam memang diakui baik dan murni kerana itu nilainya perlu dijaga oleh para ahli.

“Saya tinggal di Johor, saya dapati kaum muslimat ramai menutup aurat berbanding golongan lain yang tidak mengikuti jemaah ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan anggota parti jangan terpengaruh dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana mereka ada udang di sebalik batu.

Katanya, jangan sekali-kali terpedaya dengan Umno yang tidak pernah jujur, berfikir dulu sebelum bertindak.

Beliau turut mempertikaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini membuat slogan Satu Malaysia.

“Sebelum slogan tu Malaysia ada banyak ka? Satu ni je Malaysia,” ujarnya sambil mendapat tepukan gemuruh para perwakilan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam ucapan penggulungan mencadangkan perwakilan dan pemerhati mengekalkan pakaian rasminya hijau putih.

Menurutnya, keseragaman pakaian itu menandakan kesepakatan dalam perjuangan Islam.

“Walaupun warna lebih kurang pelajar Pasti tak apalah, asalkan kita ada identiti kita dan perpaduan dan kesatuan dalam parti,” ujarnya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh ketika menggulung ucapannya, mengharapkan anak bongsu PAS dapat membantu melebarkan perjuangan PAS di seluruh negara.

Sambungnya, untuk itu Dewan Himpunan Penyokong PAS perlu diwujudkan di setiap negeri dan kawasan di seluruh negara.

Katanya, warna hijau lembut menggambarkan keceriaan dan bukannya kanak-kanak Pasti.

“Kumutha pun boleh pakai baju warna ni ya,” ujarnya. -Hrkh

Alahai Hanya Kerana Pembangkang



oleh : shalehudin

Tak dinafikan gelaran dan darjah kebesaran yang diberi oleh istana atas nasihat kerajaan negeri adalah hak mutlak istana. Gelaran dan darjah tadi boleh ditarik balik bila bila masa saja yang istana rasakan perlu.

Sebagai rakyat biasa, aku mungkin tak nampak apa yang orang atas nampak, kena akur dan akui jugak la mungkin pandangan kita berlainan disebabkan kedudukan kita yang ada tinggi dan rendahnya ni. Tapi tak dapat nak dielakkan, kepingin sungguh hati ni nak tau, apa faedah dan untungnya gelaran yang ditarik balik oleh Johor dari Chua Jui Meng.

Sementelahan lagi, Jui Meng ni baru saja menganggotai pakatan pembangkang setelah lama berkecimpung dalam kelompok parti kerajaan. Penarikan gelaran yang seakan merupakan tekanan terhadap mana mana anggota pembangkang akan dilihat sebagai tekanan bersifat politik.

Aku cuba meletak jauh istana dipengaruhi politik kepartian.Tapi persepsi bahawa campurtangan politik dalam penarikan ini tetap akan timbul dibenak rakyat tanpa dipaksa. Chua akan dilihat sebagai mangsa pada ketidak selarian suaranya dengan pemerintahan kerajaan negeri dan pusat sekarang ini. Chua jugak akan dilihat terhukum semata mata kerana dia menjadi pembangkang.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .