Ikuti Blog ini

Ijtima' Tarbawi PAS Kawasan Puchong











Puchong : Pas kawasan Puchong telah berjaya mengadakan Ijtima' Tarbawi pada pagi tadi di dewan Kompleks 3C MPSJ Subang Jaya. Kertas kerja 1 telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Idris Hj. Ahmad Ketua Penerangan Pas Pusat dan Kertas kerja 2 di sampaikan sendiri oleh YDP Pas Puchong Ustaz Muhamad Sufyan Ismail.

Lajnah Tarbiyyah ( Ust Hayazi ) telah merumuskan Resolusi Ijtima' Tarbawi Pas Puchong yang di adakan pada 1 Muharram 1432h/7 Disember 2010. Semoga dapat dikongsikan dengan semua ahli dan pimpinan yang hadir atau tidak hadir.


RESOLUSI IJTIMA’ TARBAWI PAS PUCHONG 2010


1)Ahli dan pimpinan perlu memahami realiti yang dihadapi oleh Pas sekarang yang menuntut ahli sentiasa bersedia dan tidak leka dengan nikmat kemenangan sekarang. Justeru ahli perlu memanfaatkan setiap ruang dan peluang seperti, masjid , ahli majlis, pusat khidmat masyarakat,

2)Pemerkasaan Parti perlu dilakukan secara dua hala kepimpinan dan juga ahli, dengan melihat Tarbiyah sebagai tunjang kekuatan jamaah. Wala’ dan Thiqah tidak berbelah bahagi terhadap pemimpin yang dilantik walaupun terdapat perbezaan pandangan.

3)Setiap ahli perlu meletakkan keutamaan Jamaah mengatasi keutamaan hati dan perasaan dalam melaksanakan gerakerja dan keputusan jamaah.

4)Setiap peringkat organisasi jamaah di Kawasan, Cawangan, Pemuda, Muslimat, , Ahli Majlis, Nazir Masjid ,JKK perlu memberi penekanan terhadap 2 perkara penting berikut:

i - Aktiviti Usrah Cawangan perlu diadakan secara istiqamah, walaupun tanpa kehadiran naqib kerana ianya boleh dilakukan sebagai pertemuan santai yang boleh merapatkan ukhuwwah sesama ahli.

ii - Program penerangan dan dakwah perlu dilakukan oleh kawasan dan juga cawangan dengan memanfaatkan segala wasilah seperti ceramah, tazkirah, risalah, banner, billboard,website, blog, facebook dan sembang-sembang kedai kopi.

5)Ikhlas dalam perjuangan kerana Allah dan tidak taasub kepada mana mana peribadi dan kumpulan serta bersangka baik dengan orang lain.

6)Setiap permasalahan dalaman parti perlulah dirujuk kepada saluran yang betul seperti kawasan atau YDP sama ada mendapatkan maklumat atau penyelesaian kepada masalah.

7)Individu yang dilantik dan diberi kepercayaan oleh ahli perlulah menjalankan amanah dan tanggungjawab secara bersungguh-sungguh mengikut kerangka tugasan yang diberikan jamaah.

8)Janganlah isu calon pilihanraya menyebabkan kerja-kerja jamaah terbantut dan menyebabkan suasana hubungan tidak baik dikalangan ahli pas puchong. Ini kerana penentuan calon adalah diputuskan oleh Majlis Syura Pas .

9)Setiap ahli Pas Puchong berhak memberi pandangan dan teguran dan Pimpinan Pas Puchong sentiasa terbuka terhadap setiap pandangan dan teguran yang baik daripada ahli.

10)Marilah sama-sama kita mantapkan tarbiyah, tingkatkan jihad suburkanlah kasih sayang dan ukhuwwah sesama kita didalam jamaah.

Disediakan oleh: Lajnah Tarbiyyah & Perkaderan Pas Puchong

Lagi gambar Ijtima' dalam facebook Pas Puchong

Tokoh Maal Hijrah?



Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 1432H. Ia diumumkan pada majlis sambutan Ma'al Hijrah 1432H/2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Ahh...pelik, Maal Hijrah adalah berkaitan dengan Islam, tentu kesempurnaan Islam yang ingin ditonjolkan. Betul, Zeti seorang tokoh yang perlu diketengahkan tetapi cacatnya seorang Tokoh Maal Hijrah yang dipilih, auratnya terdedah. Di manakah sempurnanya Islam kalau begitu, janganlah hanya melihat ke satu arah sahaja, Islam itu merangkumi seluruh kehidupan. Kalau tokoh yang terdedah auratnya dipilih, peliklah nampaknya.

Jadi ketokohan Zeti perlu dihargai, jadi pilihlah pada masa yang lain, pada acara lain, Tokoh Tahun Baru pun boleh. Ahh...pening! Malaysia macam-macam pun boleh.

Keutamaan adalah menukar kerajaan BN dahulu – Presiden PAS

http://pinkturtle2.files.wordpress.com/2010/12/20090525134314_hadi20awang.jpg?w=484&h=665

Terlalu banyak penganianyaan dilakukan terhadap rakyat tetapi ramai tidak mengetahuinya ekoran sistem demokrasi tidak sihat di mana media menutup keburukan-keburukan kerajaan atau melaporkan keburukan itu sebagai kebaikan.terlalu banyak penganiayaan dan kezaliman yang berlaku tetapi kita dilekakan dengan hiburan dan sedikit kemudahan. Sedangkan harta kekayaan negara hanya berlegar di kalangan orang tertentu sahaja – Presiden PAS

Jangan berpolemik, tukar kerajaan lebih penting

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Pakatan Rakyat mempunyai pemimpin-pemimpin yang lebih berwibawa untuk mentadbir negara ini berbanding pemimpin Barisan Nasional (BN).

Justeru, beliau yang meminta rakyat bersatu padu untuk membuat perubahan dalam pilihan raya akan datang mengesa semua pihak khususnya penyokong Pakatan Rakyat supaya tidak tenggelam dengan polemik yang cuba ditimbulkan sehingga menyebabkan perpecah belah.

Kata Abdul Hadi, keutamaan adalah menukar kerajaan BN dahulu yang beliau sifatkan tidak melaksanakan amanah dengan baik.

Presiden PAS itu berkata demikian ekoran tercetusnya polemik ‘siapa timbalan perdana menteri’ sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya akan datang.

“Kita jangan jadi seperti dua orang sahabat, seorang mahu merancang untuk memelihara kambing dan seorang lagi mahu menanam sireh…kemudian bergaduh mengenai siapa yang perlu membuat pagar sedangkan kambing dan pakok sireh belum ada lagi,” kata beliau membuat perumpamaan.

Dalam pada itu, beliau juga mengkritik konsep ketuanan yang sering digunakan oleh pemimpin Umno sebaliknya berkata konsep yang betul adalah kepimpinan.

“Kalau ada tuan mesti ada hamba,” katanya menolak konsep itu.

Bagaimanapun beliau melahirkan kekecewaanya apabila pemimpin Umno tidak berjaya menunjukkan kepimpinan yang baik walaupun mereka memilikinya sejak dari negara merdeka lagi.

“Pada asasnya pelbagai kaum dalam negara ini menerima kepimpinan mestilah dari kalangan orang Melayu berdasarkan jumlah orang Melayu yang Islam itu paling ramai (majoriti).

“Tapi malangnya kepimpinan Melayu itu tidak menjalankan amanahnya, tidak bertangungjawab dan tidak menunjukkan wajah kepimpinan yang baik,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Makan Malam Rakyat Marhaen anjuran Lujnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat serta pelancaran Alumni Bekas Pegawai-Pegawai Felda di Stadium Kajang malam tadi.

Mengulas tentang perubahan dijanjikan Pakatan Rakyat ketika menyampaikan ucapan tersebut, Abdul Hadi berkata ia memerlukan kemenangan menyeluruh kerana kemenangan hanya di beberapa buah negeri sahaja amat menyukarkan untuk melakukan perubahan tersebut.

Sedangkan kata beliau, perubahan di negara ini amat perlu kerana kezaliman pemerintahan kerajaan hari ini terhadap rakyat.

Katanya, terlalu banyak penganianyaan dilakukan terhadap rakyat tetapi ramai tidak mengetahuinya ekoran sistem demokrasi tidak sihat di mana media menutup keburukan-keburukan kerajaan atau melaporkan keburukan itu sebagai kebaikan.

Sebaliknya beliau mendakwa terdapat rakyat yang rumah kediaman dan tanaman mereka dimusnahkan, malah ada berjuta-juta rakyat yang masih tiada tanah untuk rumah kediaman.

Sebahagian yang lain pula katanya, terpaksa bercucuk tanam secara haram kerana terlalu sukar untuk mendapatkan tanah daripada kerajaaan.

“Lihat diri kita dan tanah air kita, terlalu banyak penganiayaan dan kezaliman yang berlaku tetapi kita dilekakan dengan hiburan dan sedikit kemudahan. Sedangkan harta kekayaan negara hanya berlegar di kalangan orang tertentu sahaja,” ujarnya.

Justeru beliau menyeru semua pihak supaya sedar dan memperbetulkan semula kepincangan-kepincangan yang berlaku dengan menggunakan hak demokrasi.

Turut berucap dalam majlis tersebut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasation Ismail; Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching; Pengerusi Lujnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman; Naib Presiden SNAP, Dr John Bampar dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah. -Hrkh

Agong: Jangan Runtuhkan Perpaduan Hanya Kerana Penuhi Tunttuhan Pihak Yang Rakus

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini bertitah supaya rakyat Malaysia tidak meruntuhkan perpaduan yang dibina hanya kerana memenuhi tuntutan segelintir pihak yang ekstrem dan rakus meraih keuntungan untuk kelompok sendiri.

"Perancangan pembangunan negara pasti akan terbantut sekiranya perpaduan dan keharmonian rakyat tidak dipertahankan bersama," titah baginda pada sambutan Ma'al Hijrah 1432 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Baginda bertitah, negara akan terdedah kepada kemunduran dan kehancuran sekiranya masyarakat saling curiga mencurigai serta saling bertelagah.

"Adalah menjadi tanggungjawab bersama bagi memastikan negara dalam keadaan aman dan berjaya untuk diwarisi oleh anak-anak kita nanti," titah baginda.

Seri Paduka bertitah, untuk mencapai perpaduan yang diidamkan bukanlah satu yang mudah, dan semua pihak harus memainkan peranan dan membuktikan keikhlasan bagi mencapai tujuan tersebut.

Baginda bertitah, semua kaum haruslah saling memahami dan menghormati serta bertolak ansur demi keharmonian rakyat dan negara.

"Bagi umat Islam, binalah ummah dan negara yang tercinta ini atas dasar iman dan ukhuwah yang erat. Ambillah pengajaran daripada peristiwa hijrah ini dengan penuh keinsafan dan mengharapkan keredaan Allah Subhanahu wata'ala," titah baginda.

Menyentuh mengenai peristiwa Hijrah, Tuanku Mizan bertitah peristiwa itu telah membawa perubahan dan transformasi positif pada sikap dan cara hidup umat Islam dan telah menggambarkan betapa perlunya pengorbanan dan usaha yang gigih dalam mencapai kejayaan sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Umat Islam perlu mengambil contoh golongan Muhajirin dan Ansar yang sanggup mengorbankan kepentingan sendiri demi Islam, titah baginda.

Baginda bertitah, semua pengajaran ini akan tinggal dalam lipatan sejarah sekiranya "kita terus leka dan hanya berbangga dengan pencapaian umat terdahulu sedangkan kita sendiri tidak pernah berubah untuk mencapai kejayaan."

Baginda juga berharap rakyat Malaysia dapat sentiasa berusaha mengekalkan perpaduan di negara ini, dan bagi umat Islam turut menghayati tema sambutan Ma'al Hijrah tahun ini iaitu "1Malaysia, 1Ummah."

Seri Paduka turut menyarankan semua pihak, terutama agensi kerajaan dan sektor swasta supaya meningkatkan lagi program penghayatan nilai berteraskan tuntutan agama bagi melahirkan modal insan berintegriti tinggi. - Bernama

Titah Yang Dipertuan Agong di atas sepastinya setelah baginda menerima memo dari MB Selangor mengenai isu Air SYABAS yang mana SYABAS telah cuba untuk menaikkan kadar tarif air di negeri Selangor hingga menimbulkan keresahan rakyat.

Apa yang dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong itu ada mesej tersirat apatah lagi baginda menitahkan supaya rakyat Malaysia tidak meruntuhkan perpaduan yang dibina hanya kerana memenuhi tuntutan segelintir pihak yang ekstrem dan rakus meraih keuntungan untuk kelompok sendiri.

Persoalan siapakah yang ekstrem dan rakus yang meraih keuntungan untuk kelompok sendiri jika bukan pihak yang berusaha untuk menzalimi rakyat? Menaikkan kadar air sedangkan gaji Pengerusinya sahaja hampir setengah juta sebulan? Kemudian menggunakan asset kerajaan negeri sejumlah RM10.9 billion secara percuma sejak SYABAS ditubuhkan?

Baginda tidak campur hal ehwal politik, tetapi baginda prihatin terhadap nasib rakyat yang ditindas oleh golongan ekstrem dan rakus meraih keuntungan untuk kelompok sendiri tersebut. -GB

Datuk Haron Din Tokoh Maal Hijrah Selangor

SHAH ALAM, 7 Dis: Datuk Dr Haron Din dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor 1432H dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Negeri, di sini malam tadi, sebagai pengiktirafan pada penglibatan beliau dalam bidang dakwah sejak sekian lama.

Anugerah itu disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah AlHaj mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum itu berkenan melancarkan sambutan awal tahun Islam serta meluncurkan sebuah buku bertajuk Solat Rasul terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Ketika ditemui seusai majlis, Dr Haron, 70, berkata, anugerah itu merupakan satu motivasi terhadap dirinya yang terlibat dalam bidang dakwah sejak di bangku sekolah lagi.

"Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih atas pengiktirafan Kerajaan Negeri Selangor ini, meskipun saya tidak pernah impikannya namun bila sudah ditakdirkan, saya menerima dengan sepenuh hati," jelasnya kepada media.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco-Exco Kerajaan Negeri dan Mufti Selangor, Datuk Seri Mohamad Tamyez Abdul Wahid.

Menjelaskan tentang pandangan negatif masyarakat kepada golongan ulamak, Dr Haron menjelaskan, sebenarnya rakyat dan masyarakat awam tidak mengenali siapa dan yang mana satu ulamak kerana tidak banyak pendedahan berlaku di media perdana khasnya.

Membandingkan dirinya sendiri yang banyak diberikan peluang untuk siaran di televisyen sebelum ini, menyebabkan orang ramai termasuk golongan muda tetap mengenali dan memberikan penghormatan sebaiknya.

"Jadi tidak timbul masalah kalangan muda tidak menghormati ulamak kerana yang sebenarnya mereka belum mengenali siapa ulamak itu," ujarnya yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS.

Justeru, tegasnya, peranan ulamak ini mesti diinstitusikan agar mereka dapat menjalankan kewajipan mendidik rakyat dan anggota masyarakat dengan lebih baik lagi.

Menyentuh tentang peranan ulamak muda dan golongan tua, beliau menjelaskan, itu hanya istilah untuk menunjukkan usia dan tempoh mereka mendidik masyarakat sahaja, tidak lebih dari itu dan semua pihak mesti berperanan dalam masyarakat.

Dr Haron memulakan pengajiannya di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali, Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah, Perlis dan Kuliah al-Islamiah, Klang, Selangor seterusnya mengambil Sijil Tertinggi Kolej - Kolej Islam Malaya pada 1962 hingga 1965), lulus dengan cemerlang dan mendapat hadiah biasiswa persekutuan terus ke Mesir.

Menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah - University Al-Azhar (1966-1968), Diploma Pendidikan - ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968) dan Ph.D Syariah - Universiti Darul - Ulum Qahirah (1972-1974).

Antara kerjayanya sebagai Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975–1976), Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985), Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara.

Juga menjadi Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB, Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia, Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti, Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan.

Begitu juga sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd, Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis dan Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting.

Dalam politik, pula sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983), Ketua Penerangan PAS Pusat, sehingga kini sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan Timbalan Mursyidul Am PAS serta pernah bertanding di dalam pilihan raya 2004 di Parlimen Arau mewakili PAS.

Dr Haron Din adalah Pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (DarusSyifa') yang terletak di Bangi. -Hrkh

Pasca Demo: Tindakan Polis Sebabkan Rakyat Menyumpah BN

Hijrah dan Polis Raja Di Malaysia Oleh Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh

Hijrah Itu Pengorbanan, Hijrah Itu Perjuangan, Hijrah Itu Persaudaraan, Hijrah Membentuk Perpaduan - Al Ajiba, Lagu Tema Maal Hijrah

Petikan lirik lagu tema Maal Hijrah bukan semata-mata lirik lagu sahaja. Semangat di sebalik lirik tersebut semalam dizahirkan di hadapan Masjid Negara. 5 Disember 2010, barangkali satu lagi tarikh bersejarah yang menandakan kebangkitan semula anak muda dan rakyat jelata menuntut hak mereka. Umpama suatu kisah Maal Hijrah, suatu kisah peperangan di antara rakyat dan penguat kuasa Negara, kami menyaksikan bagaimana pihak polis yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat, mengancam dan menindas mereka tanpa perasaan.

Bagaikan sudah dirasuk semangat jahat, pihak polis mengejar, memukul dan mengherdik rakyat yang telah berhimpun secara aman untuk melahirkan bantahan terhadap usaha-usaha menswastakan air. Kami bagai tidak percaya melihat polis berbaris rapi di perkarangan Masjid Negara tidak berani untuk menapak di perkarangan tanah suci itu. Bagaikan robot tidak berakal mereka berbaris dan menunggu rakyat untuk menapak keluar supaya boleh dibaham dengan baton-baton FRU dan kasut-kasut polis yang berat.

Di dalam Masjid Negara kelihatan rakyat pelbagai agama dan bangsa mengambil perlindungan daripada kekejaman Polis. Sesungguhnya kami telah meyaksikan apa itu pengorbanan, apa itu perjuangan, apa itu persaudaraan, dan perpaduan di dalam rumah suci itu. Penguatkuasa telah menembak air beracun, dan gas pemedih mata untuk memecahkan perpaduan rakyat berbilang agama dan bangsa, namun mereka hanya mampu sehingga ke perkarangan Masjid Negara. Satu pihak dilindungi Kerajaan Persekutuan (termasuk eksekutif, kehakiman dan legislatif) dan satu lagi pihak berlindung di rumah Tuhan.

Laungan kalimah "Allahhu Akhbar!", "Hidup Rakyat!", "Mahasiswa sudah bangkit!" bergema di perkarangan tanah suci itu. Laungan-laugan yang menerima sambutan daripada satu generasi rakyat Malaysia yang sudah menjangkau jauh daripada sifat perkauman, korupsi dan kezaliman. Mereka bersatu demi Negara, demi masa depan anak cucu-cucu mereka. Pada perhatian kami, tidak ada yang lebih patriotik daripada mereka yang berani bertembung dengan apparatus Negara yang zalim lagi kejam. Terasa seperti satu kisah perjuangan untuk kemerdekaan yang berlaku di hadapan mata.

Pada perkiraan kami, Polis telah melakukan sesuatu yang sangat bertentangan dengan kehendak rakyat dan parti pemerintah akan menanggung akibat kesilapan besar pihak Polis ini. Selama ini kami fikir Barisan Nasional masih mampu untuk memperbetulkan kesilapannya, tetapi semalam kami sendiri menyaksikan rakyat yang langsung tidak menyebut Barisan Nasional, kemudiannya menyumpah-serapah parti yang telah lama berkuasa itu setelah diprovokasi keras oleh pihak Polis.

Ada juga yang menangis dan menyumpah pegawai-pegawai Polis Di-Raja Malaysia yang bagai tidak berakal dan mekanikal. Barangkali sumpahan rakyat sudah berkesan? Adakah pihak Polis sudah tidak boleh bezakan baik dan buruk? Apakah kenaikan harga air tidak akan membebankan pihak Polis? Apakah gaji dan jumlah rasuah yang diperas oleh mereka menyebabkan mereka tidak merasa keperitan kenaikan harga air? Mengapa mereka tidak menyertai rakyat dalam perjuangan? Sanggup mereka mengkhianati sumpah mereka untuk menjaga rakyat.

Apakah Polis Di Raja Malaysia mengharapkan orang ramai menghormatinya sedangkan mereka langsung tidak menghormati rakyat? Menembak sesuka hati, memukul sesuka hati, memeras wang sesuka hati, bagaimana rakyat mahu hormat? Polis harus ingat, mereka milik rakyat, mereka berketuanan rakyat, bukan Perdana Menteri, bukan Ketua Polis, tetapi rakyat. Oleh yang sedemikian mereka harus menghormati rakyat, bukan dengan menembak gas pemedih mata, bukan dengan meriam air, bukan dengan memeras rasuah, tetapi dengan memberi perlindungan kepada rakyat, menjaga keselamatan rakyat, dan bersama perjuangan rakyat.

Kami percaya Polis Di Raja Malaysia bukan Polis Singapura, bukan juga Polis Israel, dan juga bukan Polis Myanmar. Mereka harus menyedari bahawa mereka bukan lawan dalam perjuangan ini, mereka juga mangsa kerakusan pihak-pihak yang korup dan tidak segan merampas hak rakyat. Tempat anda dalah bersama rakyat, jangan jadi tali barut mana-mana pihak yang tidak parwah akan masa depan Negara.

Anda juga minum air, anda juga punyai keluarga, anda juga berakal seperti kami, anda juga merasakan sakit kenaikan harga barang, jangan khianati kami, jangan zalimi kami. Kami mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat meyambut maal hijrah kepada semua muslimin dan selamat menghayati maal hijrah kepada rakan-rakan yang lain.

*Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh ialah penulis bebas. - MR
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .