(Penulis [tengah] di dataran Tahrir bersama meraikan kemenangan Morsi dengan rakyat Mesir)
Peristiwa besar yang berlaku di luar negara adalah perkembangan
politik yang sedang berlaku di Mesir. Setelah seminggu berada di bumi
Mesir, saya dapat bersama menyaksikan satu era baru yang terukir dalam
sejarah politik dan pemerintahan Mesir.
Bagi saya, sesungguhnya politik Mesir adalah ibarat permainan catur yang penuh dengan debaran kepada banyak kalangan.
Namun
rakyat Mesir sekali lagi melakar sejarah apabila buat pertama kalinya
dalam sejarah, mereka telah berjaya memilih seorang Presiden yang
dipilih terus oleh rakyat setelah berpuluh-puluh tahun di bawah
pemerintahan diktator dan ’kuku besi’.
Lebih
manis lagi apabila yang terpilih adalah Dr. Mohamed Morsi calon dari
Freedom and Justice Party (FJP) parti politik tajaan Ikhwan Muslimin
Mesir.
(Rakyat Mesir meraikan kemenangan mereka di Dataran Tahrir)
Hanya setahun lalu, tidak siapa dapat menjangkakan rejim 'kuku besi’
Hosni Mubarak yang juga merupakan sekutu akrab Amerika Syarikat, Britain
serta Kesatuan Eropah (EU) dalam menentang 'terroris Islam' serta
'menjamin keselamatan Israel’ berjaya digulingkan oleh rakyat Mesir
dengan hanya bersenjatakan 'Kuasa Rakyat’ yang turun secara sukarela
meluahkan perasaan, berdemonstrasi ke jalan-jalanraya di seluruh negara.
Dan
pada minggu ini, sekali lagi kita dapat menyaksikan sejarah terukir
apabila ratusan ribu rakyat Mesir terutamanya dari kalangan golongan
muda membanjiri Dataran Tahrir yang terletak ditengah-tengah kota
Kaherah bagi meraikan kemenangan mutlak calon Ikhwan Muslimin itu
walaupun ada percubaan awal dari pihak tentera SCAF bagi menafikan
kemenangan itu.
Kemenangan rakyat ini adalah amat manis bagi
Ikhwan Muslimin di Mesir. Apa tidaknya. Kalau setahun lalu Ikhwan
Muslimin adalah dianggap sebagai sebuah 'pertubuhan haram’ dan sesiapa
yang didapati menjadi ahli pertubuhan ini akan terus ditangkap.
Sepanjang
pemerintahan 'kuku besi' Anwar Sadat dan Mubarak, Ikhwan Muslimin telah
dinafikan hak bersuara, kebebasan dan keadilan.
Mereka
diharamkan dari bergerak aktif di Mesir dan semua media massa di kawal
ketat dengan tidak dibenarkan sebarang bentuk kritikan terhadapi rejim
ini.
Kekejaman berpuluh-puluh tahun rejim ini sampai kepada
kemuncaknya apabila mereka telah bertindak membunuh serta memenjara
ribuan para ulama dan cendekiawan yang simpati dengan perjuangan Ikhwan
Muslimin.
Namun kemenangan Dr. Morsi sebagai Presiden ini juga berhadapan dengan penuh cabaran besar yang terpaksa terus dihadapi.
Isu
utama yang dianggap paling sensitif adalah hubungan beliau sebagai
Presiden dengan pihak tentera SCAF yang sejak sekian lama telah
mendominasi kuasa dan politik Mesir.
Pada proses pengundian
Pilihanraya Presiden pusingan kedua, ia di cemari oleh keputusan
Mahkamah Perlembagaan Mesir yang telah membatalkan semua keputusan
pilihanraya Parlimen yang telah di adakan beberapa bulan lepas.
Pihak
tentera SCAF serta-merta membubarkan Parlimen dan menghalang ahli-ahli
Parlimen yang majoritinya dari parti FJP dan Parti Nour dari gerakan
Salafi dari memasuki bangunan Parlimen.
Keputusan mahkamah ini
telah menimbulkan kemarahan dari pelbagai pihak di seluruh Mesir. Ia di
anggap sebagai suatu percubaan ‘rampasan kuasa’ dengan menggunakan
keputusan Mahkamah dimana majoriti Hakim-Hakim masih dikuasai oleh
mereka yang setia kepada bekas Preiden Mubarak.
Pimpinan FJP
menggangap keputusan mahkamah ini sebagai satu malapetaka besar kepada
seluruh rakyat Mesir dan adanya usaha untuk merampas kembali Revolusi
rakyat yang di lakukan oleh setiap warga Mesir yang cintakan keadilan.
Lebih
parah lagi dengan menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada calon
FJP, pihak tentera SCAF telah melakukan 8 ‘pindaan kilat’ kepada
perlembagaan Mesir yang dilihat adalah untuk menjamin kuasa yang ada
pada pihak tentera.
(Penulis mengucapkan tahniah kepada jurucakap FJP)
Antara pindaan yang dilaksanakan adalah; memberi kuasa penuh kepada
SCAF bagi menentukan pindaan perlembagaan yang baru, Presiden berkuasa
mengistiharkan Perang hanya dengan ‘kelulusan’ dari SCAF dan sekiranya
berlaku sebarang kekacauan dalam negara, Presiden boleh memanggil pihak
tentera hanya dengan kebenaran SCAF.
Di peringkat antarabangsa
pula, Dr. Morsi berhadapan dengan cabaran menunaikan janji ‘menilai
semula perjanjian Camp David’ dengan Israel yang memberi banyak
kelebihan dan perlindungan berat sebelah kepada rejim Zionis itu.
Persoalan
ini jugalah yang banyak di tumpukan oleh pembuat polisi di ‘White
House’ bagi menilai hubungan Amerika Syarikat dengan Mesir dibawah
seorang Presiden yang berlatar-belakangkan Ikhwan muslimin yang menolak
dasar kekejaman dan apartied negara Zionis Israel.
Perlu diingat
bahawa Mesir adalah sekutu terpenting Amerika Syarikat di rantau Timur
Tengah sejak lebih 4 dekad yang lalu. Amerika Syarikat juga menyalurkan
lebih US3 billion setiap tahun kepada rejim Mubarak terutamanya untuk
persenjataan dan pertahanan.
Atas dasar inilah Mesir dianggap
sebagai 'buffer' atau 'pintu penghalang' bagi menyekat sebarang ancaman
serta menjamin keselamatan dan keamanan Israel.
Begitu juga
dengan 'Terusan Suez’ yang merupakan nadi kepentingan ekonomi Amerika
Syarikat serta sekutunya bagi menyalurkan minyak dan gas.
Sepanjang
kempen pilihanraya Presiden yang dijalankan, Dr. Mohamed Morsi juga
berhadapan dengan konspirasi media barat dan kebanyakan media utama
Mesir bagi memastkan calon Ikhwan Muslimin ini kalah.
Pelbagai
publisiti negatif telah di timbulkan dan beliau telah di serang
habis-habisan dengan pelbagai tuduhan negatif serta kempen menakut-nakut
pengundi terutamanya dari kalangan yang beragama Kristian akan ‘bahaya’
kemenangan parti Islam yang akan membawa Mesir kembali kepada zaman
unta.
Manakala calon pilihan mereka, Ahmed Shafik pula telah diberikan
pelbagai publisiti positif oleh media barat terutamanya BBC dan CNN
serta media utama di Mesir dan dianggap ‘sebagai calon penyelamat’ bagi
membangun semula Mesir selepas kejatuhan rejim Mubarak.
Namun
keputusan resmi yang di umumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Mesir yang
mengesahkan kemenangan berpihak kepada Dr. Mohamed Morsi adalah
kemenangan ‘Kuasa rakyat’.
Seperti ungkapan awal beliau; ‘Saya
adalah Presiden yang dipilih bagi seluruh rakyat Mesir. Semua rakyat
termasuk penganut Kristian adalah rakyat di bawah saya bagi sama-sama
membangunkan Mesir yang baru’.
Ya, apapun yang ada dihadapan
dalam politik Mesir, catur politik antara Dr. Mohamed Morsi sebagai
seorang Presiden dengan pihak tentera SCAF akan terus dibidak bagi
menentu masa hadapan politik Mesir.
Sementara itu Amerika
Syarikat dan sekutunya akan terus menjadi pemerhati yang ‘istemewa’. Ia
juga akan menjadi inspirasi dan semangat baru selepas Arab Spring kepada
seluruh dunia Islam termasuk di Malaysia.
Tahniah Dr. Morsi...
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agung PAS yang berada di Mesir baru-baru ini. Beliau boleh dihubungi melalui Email:
syedazmans@yahoo.co.uk TWITTER: @syedazman