Ikuti Blog ini

DS Nizar cabar Zambry tamatkan krisis Perak

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Nizar Jamaluddin menganggap kenyataan Menteri Besar BN Perak, Zambry Kadir yang mahu menyelesaikan isu Perak sebagai kenyataan retorik yang sering diucapkan oleh pemimpin-pemimpin BN.

"Saya amat mengalu-alukan kalau benar Zambry mahu menyelesaikan krisis Perak secara berhemah supaya pembangunan serta pertumbuhan ekonomi Perak dapat dilakukan.

"Dan saya tidak nampak apa-apa jalan penyelesaian selain dari DUN di bubarkan dan pilihanraya kecil negeri Perak dapat dijalankan. Biarlah rakyat Perak sendiri tentukan siapakah yang layak memimpin mereka.

"Kewujudan kerajaan haram di Perak amat memalukan malah pelabur juga takut untuk datang melabur dan mangsanya adalah rakyat Perak," jelas Nizar sejurus selepas merasmikan Pelancaran buku 'Perak Darul Kartun' di Hulu Klang baru-baru ini.

Menurut Nizar, kalaulah benar Zambry mahu menyelesaikan krisis Perak, Zambry boleh menyelesaikannya dengan mengadap sultan dan membubarkan DUN.

"Inilah yang saya katakan bahawa Zambry ini hanya retorik dan mengabui mata penuntut kita di luar negeri seolah-olah pelajar-pelajar kita disana tidak tahu apakah keadaan sebenar di Perak.

"Berdasarkan pengalaman bersama pemimpin BN selama hampir sepuluh bulan selepas merampas Perak dari PR, kita dapati pelbagai kenyataan retorik dibuat untuk pemimpin-pemimpin ini yang bertujuan untuk menghalalkan cara.

"Walhal bukan sahaja rakyat malah seluruh dunia mengetahui bahawa kewujudan kerajaan haram Perak sehing tidak ada langsung pelaburan luar berani untuk melabur di Perak,"ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Katanya,"Pelabur dan rakyat Perak tidak perlu lagi dibohongi dengan pelbagai retorik dan cukuplah dengan apa yang telah berlaku.

"Mengapa Zambry bimbang dan takut untuk membiarkan rakyat membuat pilihan.

"Inilah retorik 1 Malaysia yang menyebut rakyat di dahulukan sedangkan kehendak rakyat Perak supaya sebuah kerajaan berdaulat yang mendapat sokongan rakyat dinafikan.

"Inilah babak retorik demi retorik Zambry dan pemimpin-pemimpin BN terhadap rakyat Perak sedangkan realitinya mereka amat takut kepada rakyat kerana mereka sedar rakyat tidak bersama mereka.

Kenyataan Nizar tersebut ekoran laporan media yang melaporkan kenyataan Zambry di London yang mengharapkan semua pihak di Perak supaya menyelesaikan krisis di negeri itu bagi membolehkan pembangunan ekonomi negeri dapat di teruskan.

Sementara itu ketika merasmikan pelancaran buku 'Perak Darul Kartun' yang dikelolakan kartunis Zunar, Nizar berkata negeri Perak telah dilebel dengan pelbagai nama kerana ditadbir oleh kerajaan yang tidak mendapat restu rakyat.

"Perak ini dah jadi lebih dari kartun. Watak-watak yang merampas kuasa dari PR telah mencemarkan seluruh institusi kedaulatan Perak sehingga menjadikan Perak lebih teruk dari kartun.

"Kartun pun boleh gelak dengan kartun-kartun yang merampas kuasa di Perak. Buat jambatan gantung dua minggu runtuh. Siapa yang membuat dan dari sumber kewangan mana pun tak di ketahui serta tak dapat di kesan hingga saat ini, " jelas Nizar yang disambut ketawa sinis hadirin.

Turut serta dalam majlis tersebut ialah, Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali dan Adun Ulu Klang, Shaari Sungip.

Kaji semula ucapan 'Salam 1Malaysia' - ulama


Selepas Islam Hadhari tenggelam bersama Tun Abdullah Ahmad Badawi, kini rakyat digalakkan melakukan perbuatan bidaah (tidak menjadi amalan Nabi Muhammad saw) apabila dipaksa melafazkan ucapan 'Salam 1Malaysia’.

Ulama menjelaskan ucapan seperti itu merupakan satu perbuatan bidaah dan tidak ada dalam Islam.

Malah, kata mereka ucapan itu seperti mempersendakan Islam yang menganjur umatnya melafaz ucapan 'assalamu alaikum warahmatullahi wabarakaatuh'.

Sehubungan itu, ia perlu dikaji semula dan pandangan dari para ulama yang adil perlu diambil untuk menilainya.

Bekas Yang Dipertua Abim Kelantan, Mohamad Mustafa berkata, ucapan Salam 1Malaysia adalah salam nasionalisme yang berpangkal kepada tuntutan agama.

"Rasulullah saw tidak pernah mengajar 'Salam 1Madinah ketika baginda mula-mula menegakkan kerajaan Islam selepas diusirkan kafir Quraisy dari Mekah.

“Sekiranya mahu melaksanakan Islam dan bukan menjadi penghancur kepada amalan Islam berilah salam yang sempurna. Ini sesuatu yang cukup memalukan umat Islam di negara ini," katanya.

Ucapan Salam 1Malaysia kini seperti menjadi peraturan yang diwajibkan pembaca berita di media elektronik di negara ini. Ucapan itu dilafazkan ketika awal dan akhir membaca berita.

Bagaimanapun ramai ulama yang mencari makan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menegur perbuatan tersebut biar pun ia jelas bercanggah dengan Islam.

Begitu juga Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria membisu. Beliau sebelum ini dilihat lebih cepat mengkriitik dan mempersendakan pemimpin PAS.

Mohamad yang juga Adun Demit turut meluahkan rasa curiga terhadap slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kerana dalam ajaran Islam mestilah Allah swt didahulukan dalam segala hal.

Katanya juga, tauhid amali tidak dilaksanakan kerajaan BN sejak menerajui negara ini pada 1957.

“Dari segi dasar pemerintahan negara, Islam tidak dimartabatkan sebab Allah swt tidak didahulukan, bahkan Islam kerana hak Allah swt tidak ditunaikan.

“Mereka telah mensyirikkan Allah SWT dengan menduakan sistem dalam melaksanakan undang-undang. Inilah yang dinamakan sebagai syirik nasional,” katanya di sini.

Beliau juga berkata, konsep 1Malaysia yang dilaungkan perdana menteri sekarang sekadar mengajak rakyat bersatu di atas dasar seperti diamalkan di United State America.

Sedangkan kata beliau penyatuan sebenar bagi umat Islam berdasarkan kepada tauhid.cni

Vokalis Mellisa dan gitaris Samudera bersatu untuk Islam

PERMATANG PAUH, 14 Dis: Keaktifan dua bekas anggota kumpulan rock tanahair penghujung 90 an Melissa dan Samudera menyampaikan dakwah menerusi lagu bertemakan Islam wajar dihargai kerana cara tersebut boleh membantu meningkatkan kefahaman Islam di kalangan golongan muda.

Bagi Vokalis Melissa yang terkenal dengan lagu 'Cinta Untuk Nabila', Mohd Rodzi Abdul Hamid dan bekas gitaris kumpulan Samudera, Syed Anuar Syed Yusof yang top dengan lagu 'Salam Sejahtera' kini boleh terus berbangga.

(Gambar: Mohd Rodzi kini berubah wajah)

Ini kerana, kalau dulunya mereka menjadi idola remaja yang tergilakan muzik slow rock, kini bertekad akan membawa lagu-lagu berunsur nasihat pula semata-mata ingin melihat perubahan pada masyarakat.

Ini kerana diri mereka pernah disanjung setinggi langit dan tahu betapa agungnya di saat itu namun kini semuanya telah berubah kerana ingin mencari kelainan setelah menyedari kekosongan pada diri sendiri.

Kegelisahan jiwa terutamanya, menjadi kusut walaupun di saat-saat kegemilangan dan hanya dapat menemui titik ketenangan bila berhasrat meninggalkan terus lapangan yang diminati sejak kecil.

Maklumlah kata mereka, zaman itu pergilah ke mana sahaja samada pesta, karnival, konsert dan sebagainya pasti mendapat pujian, tambahan lagi di kelilingi peminat wanita.

"Dulu saya pernah di atas mendapat sanjungan ramai tapi kini saya terus berbangga walaupun tidak lagi sehebat dulu. Sekarang ini terdapat ketenangan yang tidak ada pada zaman muda," ujarnya sebelum mendendangkan lagi top Melissa 'Cinta Untuk Nabila'.

"Saya pula walaupun tidak menjadi penyanyi utama Samudera dan hanya pemain gitar utama turut terasa bahang kemasyhuran apabila gambar sering terpampang di dada akhbar. Namun itu hanya sementara dan sekarang jiwa saya benar-benar tenang, " jelasnya yang kini berhasrat mahu muncul dengan Samudera semula tetapi berlainan imej dan penyampaian jika usahanya perbincangan dengan syarikat rakaman membuahkan hasil.

(Gambar: Syed Anwar di malam kesenian Islam)

Penonton walaupun tidak seramai malam konsert rock tetapi kehadiran mereka benar-benar membuktikan kesungguhan untuk memberi semangat baru kepada dua bekas anggota rock berkenaan setelah kembali dengan imej baru di mana Radzi nampak macam ala kumpulan Al-Arqam manakala Syed Anuar macam ala Jemaah Tabligh.

Semalam mereka mengadakan persembahan sempena Malam Kesenian dan Kebudayaan Islam di Dataran Pusat Bimbingan Islam Darul Huda, Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Selain menjemput artis yang terkenal dengan irama rock, kumpulan Nasyid sebaris dengan Raihan, Hijjaz dan Rabbani iaitu Kumpulan Rusdan turut mengadakan persembahan pertama setelah tidak bersama 11 tahun lalu.

Turut disajikan dalam program tersebut ialah bacaan sajak, bercerita dalam Bahasa Mandarin dan pantomen bertajuk 'Tidak hargai jasa bapa'.

Siapa sentuh Tok Guru Nik Aziz akan dapat tentangan - Anwar


KULIM : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang cuba menyentuh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mendapat tentangan hebat daripada ratusan ribu rakyat yang menyokong beliau.

Menurut Anwar lagi dalam isu yang menyentuh kedudukan Nik Aziz sebagai Menteri Besar dan keupayaan beliau mentadbir negeri Kelantan tidak harus dipertikaikan oleh Umno dan Barisan Nasional.

"Saya ingatkan kepada semua sekiranya Tuan Guru, Datuk Nik Aziz disentuh oleh mereka kita tidak akan teragak-agak untuk bangun bukan saja daripada Kelantan malah Kedah dan seluruh negara akan turut sama mempertahankan Tuan Guru kita.

"Jika isu royalti minyak yang sememangnya perlu diberikan kepada Kelantan mereka nafikan. Kemudian isu untuk mengerjakan haji ke Baitullah untuk beribadat pun mereka pertikaikan terhadap Menteri Besar Kelantan.

"Apakah kita mahu biarkan lagi mereka yang tidak tahu menilai dan membezakan antara rasuah dan ibadah ini berterusan mencelarukan masyarakat.

"Sudah pasti tidak. Oleh kerana itu kita tunjukkan sokongan kita dengan memberi pengajaran kepada Umno dan Barisan Nasional dengan menolak kepimpinan mereka," katanya.

Kenyataan Anwar itu disambut dengan tepukan gemuruh daripada ribuan hadirin yang membanjiri Stadium Mini Keladi tersebut.

Dalam ucapan tersebut Anwar juga membidas tindakan media arus perdana yang sengaja memutarbelitkan fakta dengan tidak menceritakan keadaan sebenar yang berlaku.

"Apa yang berlaku tidak dinyatakan dengan benar oleh media mereka.Bagi mereka berita yang sememangnya benar tetapi tidak menyebelahi mereka tidak akan menjadi laporan utama.

"Tetapi sekiranya berita tersebut walaupun kecil tetapi dapat mereka sensasikan maka itu akan menjadi tajuk utama mereka."

Anwar berkata demikian semasa melancarkan ceramah tanpa henti selama 40 hari seluruh negara anjuran PKR yang telah diadakan di Stadium Mini Keladi, Klang Lama, Kulim.

Turut hadir ialah Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Tian Chua, Ahli Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan, Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves, Amiruddin Shaari. Ahli Parlimen Kulim- Bandar Bharu, Zulkifly Noordin dan kepimpinan Pakatan Rakyat Kedah dan Pulau Pinang.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .