Ikuti Blog ini

Sekatan PTPTN Ke Atas Unisel Ditarik Balik, Sahkan Balas Dendam Kenyataan Anwar



PTPTN tarik balik pembekuan pinjaman siswa Unisel, KUIS

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengambil keputusan untuk menarik balik pembekuan pemberian pinjamannya kepada siswa Universiti Selangor dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Sebelum ini, PTPTN telah membekukan pinjaman kepada Unisel dan KUIS - kedua-duanya di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor - sehingga mencetuskan pelbagai reaksi bantahan pelbagai pihak terhadap tindakan tersebut.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata tindakan pembekuan pinjaman PTPTN itu dibuat untuk memberi peluang kepada kerajaan Selangor yang mahu pendidikan di negara ini, termasuk di peringkat tinggi, diberi secara percuma.

Tindakan itu juga diambil ekoran kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pelajar supaya jangan membayar balik pinjaman PTPTN dan berjanji ianya akan dimansukan jika Pakatan menawan Putrajaya dalan pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, seorang pegawai tinggi PTPTN ketika menjawab SMS daripada wartawan Malaysiakini, mengesahkan keputusan menarik balik pembekuan pinjaman kepada Unisel dan KUIS.

"Pejabat menteri pagi ini telah mengeluarkan surat (supaya) pinjaman PTPTN diteruskan kepada Unisel dan KUIS," katanya yang tidak mahu namanya disebut.

"Eloknya hubungi pejabat YB menteri," katanya dalam SMS tersebut.

Khaled seterusnya mengesahkan tindakan menarik balik pembekuan pinjaman siswa Unisel.

Beliau dilaporkan Utusan Online sebagai berkata, tindakan terbaru itu diambil ekoran "rayuan dan penjelasan Unisel bahawa ia tidak berniat untuk memberi pendidikan percuma kepada pelajar."

"Unisel juga mengakui bahawa PTPTN penting untuk pelajar justeru mengambil kira penjelasan dan keseriusan Unisel mengenai perkara ini saya telah meminta PTPTN menarik balik pembekuan itu pagi ini,’’ katanya seperti dipetik laman itu.

Perkara itu turut disahkan seorang pegawai kanan kerajaan Selangor yang dihubungi Malaysiakini hari ini.

Pegawai yang enggan namanya didedahkan itu berkata siswa berkenaan boleh membuat permohonan pinjaman tersebut bermula malam ini. -mk

Sekat PTPTN, Mahasiswa mahu undi BN lagi?


KUALA LUMPUR: Biarpun pembekuan pinjaman PTPTN terhadap pelajar baru Universiti Industri Selangor (Unisel) ditarik balik, namun anak muda kini kenal siapa itu BN, kata Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) berkata, tindakan PTPTN yang direstui Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu hanya mendedahkan perangai kebudak-budakan kerajaan.

Pembekuan itu juga katanya menjelaskan bahawa slogan transformasi politik dan rakyat diutamakan, hanyalah kata-kata kosong yang tidak mempunyai nilai selain dendam politik murahan.


"Dengan bertindak seperti itu, generasi muda pasti akan mengenal dasar hipokrit BN.

"Apabila Menteri KPT mengarahkan supaya PTPTN dibekukan untuk pelajar yang akan mendaftar di Unisel, bermakna kerajaan pusat telah melaksanakan dasar penindasan bersifat apartheid kepada pelajar dan ibubapa di negeri Selangor," katanya.

Menurut Azmi, menteri KPT ternyata tidak dapat membezakan antara dasar memberi pendidikan percuma diperingkat persekutuan dengan hak mendapat pembiayaan diperingkat negeri.

Menghentikan pinjaman PTPTN dengan cara selektif dan diskriminatif begini ujarnya lagi, membuktikan slogan 1 Malaysia bukan kesaksamaan untuk semua tetapi keistimewaan untuk rakyat dan negeri yang pro BN dan menafikan hak negeri Pakatan Rakyat.

Ini juga bererti konsep persekutuan (federalisme) sudah dibatal oleh BN sendiri, katanya lagi.

"Tindakan membeku pinjaman kepada anak warga rakyat sendiri untuk melanjutkan pelajaran atas sebab politik adalah tindakan tidak bertamadun.

"Negara fahaman komunis sendiri tidak mengambil tindakan seperti itu," tegasnya lagi.

Tindakan sebegitu ujar Azmi, bukan baru dilakukan Umno BN.

Isu menafikan hak royalti minyak untuk Trengganu bila PAS memerintah, menghentikan bantuan per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat dan mewujudkan agensi khas iaitu JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan) bagi Negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang adalah antara angkara 'gila kuasa' yang tersemat dalam sanubari pemimpin negara kini.

"Rakyat harus terima hakikat bahawa yang dipentingkan (BN) bukan lagi kebajikan rakyat tetapi kuasa yang ingin dipertahankan termasuk menafikan hak rakyat.

"Tindakan itu bukan sahaja menyalahguna kuasa malah ia juga adalah pemangsaan masa depan anak bangsa sendiri. Generasi muda yang menjadi mangsa harus tahu bersikap terhadap kerajaan ini," katanya.
-HD


Unisel: Politik dendam sebelum Umno BN dikuburkan

KUALA LUMPUR: Pendekatan politik dendam yang terus 'diperkukuhkan' oleh Umno dan BN pada hari ini menggambarkan Umno semakin terdesak untuk mempertahankan pemerintahan parti tersebut menjelang PRU13 yang akan datang.

Demikian tegas Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din ketika mengulas tindakan politik dendam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kerajaan Pusat terhadap para pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel).

Katanya, tindakan dendam PTPTN yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Umno terhadap Selangor sungguh memalukan dan memualkan seluruh rakyat Malaysia.

Sebenarnya, ujar beliau politik dendam Umno bukanlah suatu perkara yang baru di Malaysia dan ianya semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

“Rakyat Malaysia amat mengetahui perkara ini dan insya Allah rakyat Malaysia akan menguburkan politik dendam Umno BN dalam PRU yang akan datang.

"Kita juga turut meminta agar para ulamak yang sebelum ini mengeluarkan hukum tentang haramnya Bersih turut menyuarakan pandangan berkenaan tindakan zalim ini," t
egas beliau lagi.

Tambahnya, Dewan Ulamak PAS juga berharap mereka bersifat adil dalam mengeluarkan hukum hakam Islam dan jangan hanya mengeluarkan hukum apabila berkaitan dengan kepentingan kerajaan tetapi mereka juga hendaklah turut prihatin dalam mengeluarkan hukum apabila mana-mana rakyat Malaysia dizalimi.
-HD

Pemuda PAS gesa Malaysia tutup kedutaan Syiria


KUALA LUMPUR: Hampir 100 orang menyertai demonstrasi di hadapan bangunan Kedutaan Syiria hari ini bagi membantah tindakan kejam regim Bashar Assad melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyatnya.

Himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat itu bermula dari Masjid Tabung Haji sejurus selesai solat Jumaat sebelum berarak ke bangunan kedutaan itu di Jalan U-Tant.

Mereka melaungkan slogan 'Hancur Bashar', 'Selamatkan Syiria', 'tutup Kedutaan Syiria'.

Mereka turut membawa poster dan kain rentang bertulis 'Stop children killer now' dan 'Assad=hitler' serta mengibarkan bendera Syiria.

Minggu lalu, di Houla menyaksikan pembunuhan beramai-ramai membabitkan kematian lebih 100 penduduk, hampir separuh daripadanya adalah kanak-kanak.

Biarpun pembunuhan itu dinafiakan Bashar Assad, namun Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) dan pembangkang negara itu mempunyai sangkaan kuat bahawa pembunuhan itu dilakukan tentera pro kerajaan.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika menyampaikan ucapan pada himpunan itu hari ini mendesak agar Kerajaan Malaysia menutup dengan segera Kedutaan Syiria dan menghalau mereka dari bumi Malaysia.

"Kita berkumpul ini adalah tanda sokongan kita sebagai umat Islam yang menentang kekejaman Bashar, yang mana telah memalukan umat Islam di seluruh dunia.

"Kerajaan Malaysia perlu bertindak tegas dalam hal ini, sepatutnya kerajaan jangan lepas tangan dan mesti menutup kedutaan dengan segera," jelasnya.

Tambahnya lagi, tindakan penutupan kedutaan ini adalah sebagai tanda bahawa kita menentang kekejaman yang dilakukan oleh Bashar.

Menurutnya lagi, demo bantahan ini akan terus dilakukan jika suara rakyat Malaysia dan umat Islam tidak didengari oleh kerajaan.

"Ini merupakan perhimpunan kali kelima dilakukan terhadap bantahan kekejaman tersebut dan jika kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan kita akan meneruskan perhimpunan ini pada masa akan datang.

Pada perhimpunan kali ini tiada memorandum diserahkan kepada pihak kedutaan, kerana sehingga sekarang tidak ada jawapan langsung diperoleh terhadap memorandum yang diserahkan sebelum ini.

Himpunan aman yang turut disertai rakyat Syiria itu berakhir kira-kira jam 3 petang.

Turut menyertai perhimpunan tersebut adalah Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor dan juga Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohammad. -Hrkh


Berbeza Dengan PAS, Perjuangan Umno Terhenti Hanya Setakat Lubang Kubur



Umno semakin resah dan gelisah. Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan perdana menteri juga semakin resah dan gelisah.

Kebanjiran lebih 100,000 penyokong PAS pada Himpunan Hijau ke Putrajaya di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 1 Jun lalu membuat Umno dan Dr Mahathir semakin resah dan gelisah.

Hingga terpantul dari mulut Dr Mahathir mendakwa peserta Himpunan Hijau diupah untuk hadir di himpunan tersebut dan ini menunjukkan reaksi spontan mereka yang membayangkan keresahan dan kegelisahan.

Kebangkitan rakyat seramai itu memang tidak diduga, bukan sahaja oleh Dr Mahathir dan pemimpin-pemimpin Umno terutama di Kedah tetapi oleh PAS sendiri.

Kesilapan Dr Mahathir kerana beliau menyangka penyokong dan ahli PAS boleh diupah, dibeli dengan wang ringgit seperti yang berlaku secara berleluasa dalam Umno.

Beliau menyangka ahli PAS boleh dibeli, disogok dengan wang ringgit. Kesilapan beliau kerana menganggap PAS seperti Umno. Beliau sendiri akui Umno sudah rosak kerana bergelumang dengan rasuah hingga menjadi budaya, cara hidup dan darah daging.


Malang sekali kerana Dr Mahathir tidak dapat membezakan di antara parti sekular dan parti teologi, di antara Umno dan PAS. Umno ialah sebuah parti sekular lagi perkauman manakala PAS sebuah parti yang mendokong perjuangan Islam berdasarkan Al Quran dan As- Sunnah.

Manusia berfikiran sekular tidak akan dapat memahami dan membezakan di antara perjuangan sebuah parti yang berasaskan Islam dan perjuangan parti yang berasaskan sekular dan kebangsaan.

Perjuangan PAS mengadunkan aktiviti dakwah dan politik. Perjuangan Umno mengambil kebangsaan dan menolak agama (Islam).

Barangkali beliau tidak sedar bahawa penyokong PAS yang hadir di Himpunan Hijau terpaksa membayar RM60 sebagai tambang bas menggunakan wang poket sendiri untuk menyertai Himpunan Hijau di Alor Setar.

Ini tidak termasuk lagi makan minum dan tempat tinggal yang kesemuanya ditanggung sendiri oleh penyokong PAS dengan penuh kerelaan.


Berbeza dengan ahli Umno, seperti yang Dr Mahathir sendiri menyedarinya, semuanya dibayar. Makan minum, tambang pengangkutan, tempat tinggal semuanya dibayar.

Ahli PAS sudah ditarbiyyah

Semua ahli PAS ditarbiyyah untuk bekerja untuk parti dengan ikhlas, kerana Allah SWT semata-mata, jauh sekali dari matlamat untuk mendapatkan habuan dan harta benda.

Perjuangan PAS adalah berdasarkan ayat 10 dan 11, Surah As-Saff.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?

“Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengah harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”


Mana mungkin manusia sekular seperti Dr Mahathir yang mempunyai pemikiran yang keliru dan salah menurut pandangan Al Quran memahami ayat-ayat ini.

Perjuangan yang berasaskan sekular dan kebangsaan terhenti setakat di lubang kubur sahaja manakala perjuangan berasakan Islam sampai di akhirat.

Kebimbangan Dr Mahathir ini juga mungkin tercetus ekoran kebangkitan parti Islam, Ikwanul Muslimun di Mesir yang diambang mencapai kemenangan pada pilihan raya presiden yang sedang berlangsung selepas kejatuhan Hosni Mubarak.

Mubarak, 84 yang hampir sebaya dengan Dr Mahathir, dikenakan hukuman penjara seumur hidup di atas kesalahan menyebabkan kematian ratusan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir awal tahun ini.

Kebangkitan Arab Spring inilah yang dibimbangi oleh pemimpin-pemimpin Umno, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menuduh parti pembangkang mahu mengguling kerajaan.

Pemimpin-pemimpin Umno di Kedah juga turut resah dan gelisah apabila menyaksikan kebangkitan rakyat, penyokong PAS lebih dari 100,000 orang hadir, membanjiri stadium itu sehingga melimpah ruah.

Kenyataan Setiausaha Umno Kubang Pasu, Samsuddin Ahmad yang meremeh-temehkan Himpunan Hijau ini dalam satu wawancara dengan FMT semalam, juga mencerminkan rasa resah dan gelisah yang selama ini tertanam di lubuk hati. -FMT

Khabar Gembira Menuju Kejayaan PRU-13

  • PDF
SETIU – Walaupun PAS tidak menjanjikan apa-apa habuan dunia dan pada masa yang sama Umno terus menawarkan rakyat dengan pelbagai janji kebendaan dan wang ringgit, namun semakin ramai yang nampak ‘kebenaran’ yang dibawa oleh PAS.

Menurut Anggota Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim, kerja-kerja penerangan dan dakwah yang dilakukan secara berterusan oleh ahli-ahli dan penyokong PAS memberikan kesedaran dan membuahkan ‘hidayah’ dari Allah.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan DUN Jabi berkata, semakin ramai yang menyertai PAS termasuk ahli-ahli Umno dalam kawasan DUN Jabi.

“….ada sedikit khabar gembira untuk kita pejuang-pejuang Islam di Dun Jabi ini, semalam kita mengadakan pertemuan dengan kira-kira 15 orang lebih bekas (ahli) penyokong tegar Umno,

“yang menyatakan kesediaan mereka untuk mari bersama-sama dengan kita untuk memperjuangkan Islam,”ujarnya ketika berucap pada Majlis ceramah Isu Semasa di Kampung Padang Lengkuas dekat sini, Rabu malam 6 Jun.

Beliau berkata, bekas-bekas ahli Umno itu datang dari cawangan Kampung Kerandang, cawangan Kampung Gong Pasir dan lain-lain.

Katanya, mereka datang dengan kerelaan hati untuk bersama-sama dalam perjuangan Islam, walaupun mereka tahu kita tak menjanjikan apa-apa habuan dan keindahan dari segi atas dunia.

“Saya rasa ini rahmat yang besar dari perjuangan Islam….sebab usaha kita nak bagi penerangan, nak jelas, nak sampai(kan) maklumat.

“Ini kerja kita. Tapi hak bagi petunjuk, buka  hati, bagi hidayah. Yang ni hak mutlak Allah. Takdok manusia boleh campur. Bila Allah buka hati sahabat-sahabat yang berada di luar dari kelompok kita, pergi bersama-sama dengan kita,”jelasnya.

Beliau yang ditemui selepas Majlis ceramah itu berkata, satu majlis besar-besaran akan dianjurkan bagi menyambut kedatangan ahli-ahli Umno yang akan menyertai PAS itu.

Menurutnya, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Kelantan, Dato’ Ustaz Nasaruddin Daud telah mengesahkan akan bersama dalam majlis tersebut ayang akan diadakan pada 30 Jun ini.

“InsyaAllah, kita akan sambut sahabat-sahabat kita, satu majlis akan diadakan pada 30 Jun depan, (Dato’) Ustaz Nasaruddin Daud sudah ‘comfirm’ akan datang,”katanya.

Turut menyampaikan ceramah bersama beliau adalah YB Ustaz Wan Hassan Ramli ADUN Sura dan Ahli Jawatankuasa PAS Bachok, Ustaz Mohd Nasi. -BO 

Nombor plat WWW1...

Berkenaan nombor plat WWW1
Oleh Subky Latif

DULU plat motokar nombor MCA1 dibida hingga RM300,000. Untuk plat nombor WWW1 ia dibida setinggi RM520,000.

Siapa yang berjaya membidanya tidak penting, tetapi ia menggambarkan bahawa negara dan bangsa kita sudah masuk ke alam seperti itu dan ada orang yang sedia membida setinggi itu malah mungkin lebih tinggi dari itu hanya untuk satu nombor motokar.

Ia terjadi begitu ialah sistem yang terpakai di negara ini oleh orang-orang yang membenarkan sistem itu begitu.

Ia halal dan dibenarkan oleh undang-undang. Tetapi adakah ia benda yang betul dan bijaksana?

Sistem menjual nombor plat yang elok dengan harga yang setinggi itu tentulah disebabkan JPJ merasa sukar untuk memberi nombor yang elok-elok oleh disebabkan ramai orang yang mahukannya.

Kalau yang mahukan nombor yang elok itu adalah orang awam biasa, maka mudah kepada pemberi nombor memberi kepada siapa yang dia suka. Kalau yang memohon itu orang bernama, maka payah bagi memberinya, apa lagi kalau ia adalah raja-raja.

Kalau seorang raja yang memohon maka ia mudah diperkenankan, tetapi kalau serentak sekalian Sultan memohonnya, maka kepada raja yang hendak diberi.

Maka diadakan sistem membida. Siapa yang boleh memberi tender yang tertinggi, maka orang lain tidak boleh takwil. Jika ia diberi percuma, maka ditakuti ada orang dalam bermain kayu tiga secara gelap atau pintu belakang, mengambil harga untuk diri sendiri. Siapa yang boleh menyogok sekian banyak, maka dia boleh dapat nombor itu.

Bagi mengelakkan berlaku bentuk rasuah yang demikian, maka ia tawarkan kepada semua di pasaran terbuka untuk membida. Gara-garanya ada bida sampai setengah juta.

Orang seperti Robert Kuok, Ananda Krishnan, Tony Farnandez, Vincent Tan dan Syed Mokhtar tak terasa apa sekali pun membida pada harga sejuta atau lebih. Duit mereka tidak luak.

Tetapi adakah bijak dan waras membida setinggi itu sedang dalam masyarakat kita penuh dengan serba ketempangan. Orang yang memerlukan duit, makanan, pakaian dan lain-lain begitu ramai sedang duit yang banyak digunakan untuk membeli satu nombor motokar.

Dari mana duit itu diperolehi tidak penting. Adakah dari duit loteri, menang judi, atau keuntungan perniagaan dan sebagainya, tetapi apakah ia satu amalan yang wajar?

Jika dengan setengah juta digunakan untuk menghantar orang yang belum pernah haji menunaikan haji, besar mana ganjaran pahala yang diperolehi. Seorang haji perlu RM10 ribu, dengan bida itu boleh hantar 50 jamaah. Segala ibadat dan pahala wajib haji setiap orang itu akan diperolehi oleh orang yang menghantarnya.

Setiap hamba Allah akan ditanya dari mana hartanya diperolehi dan bagaimana ia digunakan. Seorang kaya yang soleh setengah hari lewat masuk syurga dibandingkan dengan orang miskin yang soleh. Sebab Allah tanya cara dia berbelanja atas hartanya.

Nabi Sulaiman a.s. adalah maksum, kerana baginda adalah orang terkaya di dunia, baginda ditanya setiap kekayaannya digunakan, maka baginda menunggu 40 tahun masuk syurga selepas nabi-nabi lain.

Bagaimana sekalian membida nombor itu berbelas dan berpuluh ribu hendak menjawab apakah masing-masing telah menggunakan wang secara betul?

Kerajaan dan JPJ yang membenarkan amalan itu telah menyebabkan begitu ramai orang yang terlibat dalam perkembangan yang tidak sihat itu.

Kalau raja-raja terlibat membida, maka yang pertama dipersoal bukan raja-raja, tetapi ialah pihak yang menyediakan sistem hingga kejadian yang tidak sederhana berlaku. Islam yang sederhana tetapi yang melampaui tahap kesederhanaan.

Kita telah tercebur dalam amal kapitalisme yang parah.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .