Ikuti Blog ini

Jika Rakyat Tidak Hormat Majlis Fatwa Apabila Sudah Jadi Lidah UMNO, Salah Siapa?



JK Fatwa disuap dengan maklumat Umno sahaja

KUALA LUMPUR, 7 Mei: Perbuatan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama mengharamkan perhimpunan yang menuntut pilihan raya bersih dan adil memalukan umat Islam, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Sangat memalukan umat Islam. Pertama, kerana apa yang didakwa fatwa itu dibuat ketika siasatan yang adil dan tidak memihak belum pun dibuat untuk menentukan siapakah yang mencetuskan kerusuhan, keganasan, huru-hara dan kekacauan.

"Adakah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa mahu menconteng arang ke muka umat Islam dengan perbuatannya menghukum tanpa siasat?" katanya.

Mohamad berkata, dari apa yang diberitahu kepadanya, sesuatu fatwa itu dibuat setelah kajian dan siasatan yang menyeluruh dan adil dibuat.

"Sebab itulah saya kata Muzakarah Jawatankuasa Fatwa memalukan umat Islam sebab belum siasat lagi sudah jatuhkan hukum," tegas beliau.

Beliau bimbang perbuatan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa menjatuhkan hukuman tanpa siasat itu akan mengakibatkan orang Islam dituduh sebagai agama yang tidak mementingkan siasatan yang adil dan menyeluruh sebelum membuat sesuatu keputusan dan hukuman.

"Jika selepas ini Islam dituduh sebagai agama yang menghukum secara semberono tanpa siasatan yang adil dan menyeluruh, Muzakarah Jawatankuasa Fatwalah pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan pandangan buruk sedemikian terhadap Islam," tegas beliau.

Mohamad juga menyifatkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa itu berlagak lebih dari Tuhan kerana "Allah pun membicarakan hamba-hamba-Nya di Hari Hisab lengkap dengan saksi dan bukti sebelum menjatuhkan hukuman".

Beliau meminta Muzakarah Jawatankuasa Fatwa mengemukakan nas dan dalil yang mengharamkan perhimpunan aman rakyat menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

"Saya tegaskan lagi dan lagi, perhimpunan aman.

"Soalnya, adakah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa hidup seperti katak di bawah tempurung sehingga tidak tahu dan tidak mempunyai sebarang maklumat bahawa perhimpunan itu adalah perhimpunan aman, tidak ada harta benda awam atau persendirian yang dirosakkan sehinggalah rakyat yang berhimpun itu diserang dan diganasi.

"Satu dunia ada maklumat yang tepat, adakah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa tidak ada maklumat dan hanya mahu disuap dengan maklumat Umno sahaja?" beliau mempersoalkan.

Beliau juga mempersoalkan, di manakah suara Muzakarah Jawatankuasa Fatwa terhadap pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih?

"Mengapa membatu dan membisu terhadap daftar pemilih yang tidak bersih? Mengapa tidak ada suara Muzakarah Jawatankuasa Fatwa terhadap pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih?

"Adakah pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih itu tidak haram, tidak mengakibatkan kemudaratan, keresahan, rusuhan, perpecahan malah pertumpahan darah?" Mohamad mempersoalkan lagi.

Beliau terus mempersoalkan, adakah menuntut pilihan raya yang adil dan bersih tidak baik dan tidak membawa sebarang manfaat kepada masyarakat?

Mohamad tidak menolak kemungkinan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa akan menghadapi masalah imej seperti yang dihadapi oleh pihak polis serta kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN). -HD

Adakah Majlis Fatwa tahu apa itu Bersih 3.0?


KUALA LUMPUR, 8 Mei: “Macam mana satu fatwa dikeluarkan tanpa mengetahui tasawwur (gambaran) sebenar mengenai hukum yang hendak diputuskan?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana suatu fatwa boleh dikeluarkan jika suatu isu tidak dilihat secara menyeluruh.

Misalnya, kata beliau kalau yang bertanya itu apa hukum minum ‘tuak’ oleh orang Kelantan kepada ustaz daripada Selangor.

“Maka sudah tentu ustaz itu akan menjawab haram. Tetapi jika diberi penjelasan bahawa tuak dibuat daripada pokok nipah, jikalau di sebelah utara menyebut nira, maka sudah tentulah hukumnya halal.

“Kerana apa ustaz dari Selangor itu menjawab haram, kerana istilah tuak ialah benda yang memabukkan, tetapi setelah mendapat penjelasan, maka hukum itu berubah,” ujarnya kepada Harakahdaily sebagai respons kepada kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai Bersih 3.0.

Menurutnya, Majlis Fatwa Kebangsaan hanya mendapat maklumat di sebelah pihak sahaja yang sepatutnya perlu bertanya dan bincang dahulu apa itu Bersih 3.0.

“Jangan mereka hanya faham ‘Bersih’ itu hanya air mutlak dalam bab feqah sahaja iaitu air yang suci, lagi menyucikan,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya amat malang rakyat Malaysia apabila kewibawaan Majlis Fatwa yang sepatutnya mempertahankan kredibiliti mereka yang dianggotai oleh 14 mufti dan ulamak di negara ini telah mengeluarkan hukum tanpa mendapat penjelasan daripada pihak kedua.

“Apakah ini disiplin Majlis Fatwa Kebangsaan?” tanya beliau.

Beliau menambah, amat malang sekali fatwa yang dikeluarkan hanya kes yang terpilih.

“Kenapa Majlis Fatwa tidak bincang apa hukum pilihanraya tipu?

“Apakah hukum kerajaan yang membazir wang rakyat?” soalnya.

Beliau juga bertanya apakah hukum demonstrasi yang dibuat oleh penyokong Umno di negeri Pakatan Rakyat seperti demo kepala lembu di Selangor sehingga boleh mencetuskan pergaduhan kaum dan agama.

Baginya, sudah cukuplah banyak institusi kerajaan yang dipertikaikan kewibawaannya seperti badan kehakiman, SPR, PDRM dan SPRM.

“Jangan pula rakyat memandang rendah kepada kewibawaan Majlis Fatwa yang hanya sanggup menjadi alat dan membincang perkara yang menguntungkan pemerintah walaupun tanpa merujuk kepada pihak kedua untuk mendapat penjelasan supaya berlaku adil,” katanya lagi.
-HD

Majlis Fatwa Kebangsaan perlu menanggung akibatnya sendiri dan bertanggungungjawab apabila sebilangan besar umat Islam tidak lagi menghormati institusi tersebut kerana telah secara terang-terangan menjadi lidah UMNO.

Salah sendiri. -GB

TG Nik Aziz Menjawab Berhubung Isu Beliau Digelar Bapa Kafir Dengan Ayat-ayat Al Quran. Sila Baca

http://a1.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-prn1/s720x720/535239_10150782078982592_358919387591_10029381_1956852155_n.jpg


Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. (Al-Qalam 68:7)

Oleh itu (berpegang teguhlah pada ajaran Islam yang sedang engkau amalkan, dan) janganlah engkau menurut kemahuan orang-orang yang mendustakan (agama Allah). (Al-Qalam 68:8)

Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu). (Al-Qalam 68:9)

Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), - (Al-Qalam 68:10)

Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai), - (Al-Qalam 68:11)

Yang sering menghalangi amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum agama, lagi yang amat berdosa, - (Al-Qalam 68:12)

Yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya. (Al-Qalam 68:13)

 Adakah kerana ia seorang hartawan dan ramai anak-pinaknya (maka ia mendustakan agama Kami)? - (Al-Qalam 68:14)

Apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat keterangan Kami, ia berkata: " (Ini ialah) cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala". (Al-Qalam 68:15)

(Orang yang bersifat demikian, akan didedahkan kehinaannya) - Kami akan adakan tanda di atas hidungnya (yang berupa belalai itu). (Al-Qalam 68:16)

“Kita sedang menuju kemenangan,”kata Setiausaha Agung PAS


SETIU - Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali berkata senario politik hari ini menunjukkan PAS dan Pakatan Rakyat sedang menuju kemenangan sama ada di peringkat negeri mahu pun kerajaan pusat

Oleh itu, beliau menggesa semua ahli dan penyokong PAS diingatkan agar bekerja kuat bagi memastikan rakyat dan pengundi menyokong Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan dating.

Menurutnya, kemenangan PAS bukan hanya bergantung kepada calon tetapi lebih kepada sokongan rakyat sebagai pengundi.

“Kita (PAS) sedang menuju kepada kemenangan kita, Insya’Allah. Kemenangan sama ada di peringkat pusat (Putrajaya) atau di peringkat negeri Terengganu.

“Oleh itu, kita (PAS) kena bekerja kuat, bekerja keras sebab apa pun yang menentu kemenangan dengan izin Allah, rakyat yang mengundi itulah menentukan kemenangan.

“Kita (PAS) menang atau kita kalah bergantung kepada sokongan dari pengundi. Walau pun, kita letak calon bertanding sebaik mana sekali pun jika rakyat tidak undi kita tidak akan menang pilihan raya ini.

“Jadi bukan bergantung kepada calon semata-mata untuk beri kemenangan tetapi kekuatan penyokong dan rakyat yang mengundi itu yang akan memberi kemenangan kepada kita (PAS),” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Setiu Kali Ke-34, di Kompleks Tarbiyyah Lukmanul Hakim, PAS Kawasan Setiu, di Kampung Guntong Luar, Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu, 5 Mei lalu.

Dato’ Mustafa yang juga bekas Exco Kerajaan PAS Terengganu berkata pemimpin Umno menyifatkan pilihan raya (PRU) kali ini menentukan ‘survival’ kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Umno-BN beranggapan bahawa PRU13 sebagai ‘ibu segala peperangan’ dalam pilihan raya yang pernah diadakan selama ini.

Maknanya, kata beliau, Umno dan kerajaan BN akan berhadapan dengan pilihan raya paling sengit dan paling teruk bagi mengekalkan kuasa tersebut.

“Pilihan Raya Umum kali ini yang paling sengit dan paling teruk bakal dihadapinya. Dalam Perhimpunan Agung Umno yang lalu dikatakan pilihan raya kali ini akan menentukan ‘survival’ Umno dan Barisan Nasional (BN). Survival hidup-mati Umno-BN.

“Umno-BN bila kalah memang tidak akan hidup lagi sebab tidak ada duit lagi. Sebab dengan ‘kuasa’ itu digunakan untuk cari duit. Bila tidak ada kuasa tidak ada duitlah jawabnya.

“Mereka (Pemimpin Umno) anggap pilihan raya kali ini juga sebagai ‘ibu segala peperangan’ melalui pilihan raya yang pernah dihadapinya (BN),” tegasnya.

Justeru, kata Dato’ Mustafa, PAS dan Pakatan Rakyat boleh menang pilihan raya meski pun berhadapan dengan demokrasi yang tempang di negara ini.

Menurutnya, Umno-BN pula akan melakukan apa sahaja jenis penipuan bagi memastikan kekal berkuasa serta dapat memenangi pilihan raya tersebut.

Beliau mendakwa pemimpin Umno-BN akan menggunakan undang-undang juga bagi melakukan penipuan dalam pilihan raya berkenaan.

“Di Malaysia ini, kita (PAS) boleh menang melalui sistem demokrasi walau pun demokrasi itu masih tempang di Malaysia ini. Tapi kita mampu untuk mencapai kemenangan itu.

“Umno akan buat apa sahaja untuk mencapai kemenangannya (BN) termasuk menggunakan penipuan. Mereka (BN) guna undang-undang juga untuk tipu ini antaranya mereka guna daftar pemilih,” ujarnya.

Katanya, kerajaan PAS Terengganu tumbang pada pilihan raya tahun 2004 adalah hasil dari manipulasi daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Strategi inilah, kata Dato’ Mustafa yang sedang digunapakai modul bagi Umno-BN merampas kembali Selangor pada pilihan raya akan datang.

“Kita (PAS) telah mengalami tahun 2004 tapi baru sekarang ini orang sedar bahawa apa yang dilakukan di Terengganu tahun 2004, sedang digunakan di Selangor pada waktu ini.

“Dia (BN) mendaftarkan ramai-ramai pengundi dalam kawasan yang dia hendak capai kemenangan dengan memasukkan orang yang bukan duduk (menetap) di situ hingga menenggelamkan pengundi asal di kawasan berkenaan.

“Dimasukkan (daftar) pengundi dari Sabah, pendatang asing di Selangor. Ini kerana, Selangor menjadi tumpuan BN yang utama pada waktu ini. Sebagaimana tahun 2004, Terengganu menjadi tumpuan untuk dimenangi oleh BN kerana ada minyak (petroleum),” dakwanya.

Sepatutnya, kata beliau pada tahun 2004 pertambahan pengundi sekitar 20,000 orang sahaja bagi negeri Terengganu tetapi telah bertambah sebanyak 90,000 orang pengundi baru.

Menurutnya, kemerosotan undi PAS pada tahun 2004 sekitar 10,000 orang sahaja berbanding tahun 1999 yang tidak memungkinkan kerajaan PAS boleh tumbang.

Tambahnya, PAS hanya menyedari strategi penipuan BN tersebut selepas pilihan raya tahun 2004 hingga menyebabkan kehilangan negeri ini. -BO

Pengarah Amal Malaysia terima peluru, nota ugutan


KUALA LUMPUR, 8 Mei: Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Juhari Osman menerima peluru yang disertakan bersama surat ugutan bunuh hari ini.

Juhari menerima sebutir peluru yang dihantar bersama sampul surat ke rumahnya di Taman Ayer Molek, kira-kira 11.50 pagi tadi.

"Balik dari mengambil anak saya, saya mendapati ada sekeping surat dalam peti surat lengkap bersetem.

"Bila saya buka, gambar saya dan di bawahnya bertulis 'pu**mak kau Juhari...PENGKHIANAT'.

"Peluru itu dibungkus dalam suratkhabar bertulisan Tamil," katanya kepada Harakahdaily.

Juhari berkata, beliau akan membuat laporan polis petang ini dengan ditemani pimpinan PAS Melaka.

"Saya akan bincang dengan timbalan pesuruhjaya PAS negeri untuk buat laporan polis di mana," katanya.

Beliau dalam pada itu tidak menolak kemungkinan besar ugutan itu diterima kerana penglibatan beliau dalam perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu.

Juhari mengetuai 4,000 anggota Unit Amal berkhidmat pada hari tersebut. -Hrkh

Astarghfirullah… Bekas KPN, Rahim Nor Tuduh Nik Aziz Bapak Kafir

 
 
“FATWA” oleh Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, dalam NST hari ini 8 Mei, halaman 6. Kenyataan yang melampau dan jijik dari beliau….Saya petik dari NST:

Former inspector-general of police Tan Sri Rahim Noor has labelled Pas spiritual leader Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat the “father of kafir (infidels) for misleading Muslims to believe that it is their religious duty to support Bersih 3.o. -KafeSantai
 
Astarghfirullah…
 
 
KOTA BHARU, 8 Mei: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor diberi tempoh 24 jam menarik balik tuduhan terhadap Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggapnya “bapa kafir”.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan, Hisham Fauzi (gambar) berkata, kenyataan bekas ketua polis negara terbabit jelas tidak matang dan bersifat fitnah.

“Oleh itu kami memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

“Sekiranya beliau didapati gagal menarik balik kenyataan fitnah tersebut, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah terhadapnya,” katanya di sini.


Bekas Ketua Polis Negara itu dalam kenyataan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melabelkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai “bapa kafir” kerana dianggap mengelirukan umat Islam ekoran kenyataannya wajib menyokong Bersih 3.0.

Sebelum ini Menteri Besar Kelantan meminta rakyat keluar beramai-ramai pada himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu sebagai tanda membantah ketidakadilan dan kewujudan daftar pemilih yang meragukan.

Hisham berkata, kenyataan Rahim begitu melulu sekali dan langsung tidak mencerminkan seseorang yang memegang jawatan tinggi dalam pasukan polis.

Oleh itu kata beliau tindakan undang-undang akan diambil sekiranya bekas ketua polis terbabit tidak menarik balik kenyataan dan memohon maaf dalam tempoh ditetapkan.

Mengapa Majlis Fatwa Tak Keluarkan ‘Fatwa’ Polis Sepak Peserta, Akhbar Sebar Gambar Lucah?



Tindakan Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan haram umat Islam menyertai perhimpunan hanya berkepentingan politik, kata Pengerusi Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama KEADILAN (Bippa), Ahmad Kassim.

Menurutnya, keputusan majlis itu boleh dicabar dari sudut integriti kerana tidak mendapatkan maklumat sahih dengan mengadakan pertemuan dengan semua pihak terlibat.

“Jika diteliti semula, jelas membuktikan fatwa ini tiada nilai integriti kerana menyebelahi sesebuah pihak sedangkan ianya bertentangan dengan kaedah sebenar yang mesti bebas.

“Maklumat lengkap diperlukan dari pelbagai sudut sebelum diputuskan ianya haram atau tidak.

“Jika fatwa menyebelahi sesebuah pihak, pastinya tidak akan dapat diterima rakyat. Kita minta fatwa ini dikaji semula,” katanya kepada Keadilan Daily.

Ahmad Kassim berkata, Majlis Fatwa juga perlu mengambil kira apa yang diperjuangkan rakyat sama seperti yang berlaku di beberapa negara Asia Barat sebelum ini.

“Ulama terkenal, Syeikh Yusof Al-Qardawi mengeluarkan fatwa bahawa rakyat di Mesir digesa turun ke Dataran Tahrir dan golongan yang mati dikira para syuhada.

“Bermakna menentang kerajaan zalim dan korup merupakan jihad, walaupun dalam konteks negara berlainan namun apa yang diperjuangkan adalah sama,”
katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan tindakan Majlis Fatwa yang hanya mengeluarkan fatwa berhubung perhimpunan sedangkan isu-isu besar yang menjadi perosak umat Islam tidak dibincangkan.

“Berkenaan akhbar Utusan (Malaysia) yang keluarkan gambar lucah tidak pula dibincangkan untuk mengeluarkan fatwa, kenapa tidak membincangkan apa hukumnya polis bertindak zalim dengan memukul, menendang dan menyepak peserta.

“Ini yang saya katakan berat sebelah, mereka hanya mahu menjaga ‘bos-bos’ mereka tanpa memikirkan akibatnya. Cuba lihat dalam pelbagai konteks, bukannya tertumpu kepada sebelah pihak,”
ujarnya.

Dilaporkan, Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.

Walhal, pada Himpunan Bersih 3.0, 28 April lalu, polis menyebabkan keadaan tegang kerana sebelum itu, himpunan berlangsung aman. -KD

Sejarah politik paling kotor sejak merdeka – Kadir


BACHOK: “Sepanjang 56 tahun bersama Umno saya tidak pernah tengok lagi politik yang paling kotor dan tidak adil berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan, berbanding sekarang.

“Sekarang sudah tidak ada negara yang mengamalkan demokrasi menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan dalam kempen pilihan raya,” kata bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Ahmad.

Perkarangan pejabat PAS di Pantai Irama dekat sini penuh sesak dengan orang ramai yang mahu mendengar ceramah sulung bekas veteran Umno terbabit di Kelantan.

Di sebelah jalan utama di hadapan Masjid Bandar Bachok sehingga ke tepi pantai penuh dengan orang ramai tanpa menghiraukan hujan yang turun rintik-rintik.

Hadir sama pada ceramah isu semasa tersebut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Pesuruhjaya, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamad.

Pada sebelah pagi Abdul Kadir menemui Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Kota Darulnaim dan sebelah petang bersembang bersama rakyat di Kedai Kok Lanas.

Abdul Kadir bekas anggota jawatankuasa Pemuda Umno Kampung Air Tawar, Baling pada 1956 juga berkata, suasana begitu berbeza zaman kepemimpinan Umno di bawah Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak berbanding sekarang.

Katanya, masa itu pemimpin Umno benar-benar berjuang secara ikhlas dan jujur untuk rakyat.

“Mereka tiada perangai buruk seperti pemimpin Umno la ni. Sekarang pemimpin Umno tidak perlu susah-susah kempen bagi menarik sokongan rakyat, hanya perlu hulur duit sahaja.

“Politik sekarang we need money. Hendak jadi ketua Umno tidak payah kempen hanya guna duit. Begitu juga hendak menang pilihan raya hanya guna duit.

“Umno letak orang depa dalam semua agensi penting kerajaan seperti SPR, SPRM, polis, mahkamah dan tentera. Sebab itulah depa tidak takut untuk melakukan penyelewengan dan pembaziran kerana semuanya orang kita,” katanya.

Menurutnya tindak tanduk pemimpin Umno sekarang secara jelas mahu merosakkan negara kerana semua benda menggunakan umpan wang. -Hrkh

SURAT TERBUKA BEKAS WARTAWAN UTUSAN MALAYSIA KEPADA UTUSAN MALAYSIA YANG WAJIB KORANG BACA.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi9SOg7eohpimASzwFU1TxXvHTbwLBkyX85ujIRtGRE1AmWXt2OLkX1R5DTiEjHJTS4WeowhoIIA2QiwdiulrgmEKYo4W4JqCLi6xfBatKCurGxVnL1qJAG02LYBJD2CKHgfQc6k9xvEPM/s320/20120119_hatta_wahari_dap_01.JPG
Hata Wahari

Saya telah dipecat dari Utusan Melayu (M) Berhad ketika bertugas di akhbar Utusan Malaysia pada 21 April dan ketika menerima berita pemecatan itu saya melakukan solat sunat memohon kepada hadrat Allah SWT memberi hidayah kepada rakan-rakan saya di Utusan Malaysia agar menjadi seorang mukmin dan muslimin yang mematuhi perintah Allah SWT supaya mereka akan dapat menikmati kelazatan hidup sebagai seorang Islam yang patuh kepada perintah Allah SWT dan suruhan Rasululullah.

Namun selepas setahun dipecat dari Utusan Melayu, nampaknya rakan-rakan saya dan juga Ketua Pengarang Utusan Melayu, Aziz Ishak yang saya anggap sebagai mentor dalam dunia kewartawanan tidak berubah langsung, nampaknya Allah SWT tidak memabulkan doa saya kerana membiarkan rakan-rakan saya terus bergelumang dengan dosa terutama terus membuat fitnah-fitnah yang dilemparkan kepada sesama manusia, ingatlah rakan-rakanku fitnah dunia termasuk bentuk fitnah yang sangat dahsyat yang dikhuatirkan Rasulullah saw.

"Dari Amru bin Auf al-Anshari ra bahwa Rasulullah saw. mengutus Abu Ubaidah bin al-Jarrah ke al-Bahrain untuk mengambil jizyahnya. Kemudian Abu Ubaidah datang dari bahrain dengan membawa harta dan orang-orang Anshar mendengar kedatangan Abu Ubaidah. Mereka berkumpul untuk shalat Subuh dengan Nabi saw. tatkala selesai dan hendak pergi mereka mendatangi Rasul saw., dan beliau tersenyum ketika melihat mereka kemudian bersabda, 'Saya yakin kalian mendengar bahawa Abu Ubaidah datang dari Bahrain dengan membawa sesuatu?' Mereka menjawab, 'Betul wahai Rasulullah'. Rasul saw. bersabda, 'Berikanlah kabar gembira dan harapan apa yang menyenangkan kalian, demi Allah bukanlah kefakiran yang paling aku takutkan padamu tetapi aku takut dibukanya dunia untukmu sebagaimana telah dibuka bagi orang-orang sebelummu dan kalian akan berlomba-lomba mendapatkannya sebagaimana mereka berlomba-lomba, dan akan menghancurkanmu sebagaimana telah menghancurkan mereka." (HR Bukhari danMuslim).

Tindakan rakan-rakan saya di Utusan Malaysia terus menerus menaburkan fitnah kepada sesama manusia, amat memalukan, apakah yang akan menyedarkan mereka agar tidak berterusan mengumpulkan dosa.

Rakan-rakanku sudah-sudahlah tu membuat dosa dengan menyebarkan fitnah, takkanlah kerana gaji RM4,000.00 hingga RM24,000.000 sebulan kita menggadaikan nasib kita di akhirat dengan membuat pelbagai fitnah.

Apa yang disiarkan sejak setahun lepas oleh Utusan Malaysia semakin tidak bertamadun, seks menjadi keutamaan, fitnah menjadi keutamaan, melindungi kerakusan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) menjadi ulam utama dalam setiap berita yang disiarkan.

Bilakah rakan-rakan di Utusan Melayu akan bertaubat, ingatlah rahmat dari Allah SWT itu semakin jauh apabila kita semakin jauh mengingati Allah SWT dan melanggar segala larangannya.

Sudah-sudahlah tu membuat fitnah, berubahlah untuk nasib kita di akhirat nanti, tetapi saya sedar bahawa fitnah memfitnah itu perkara biasa di dalam Utusan Melayu, sesama rakan pun difitnah apatah lagi orang di luar, fitnah itu menjadi makanan dan minuman harian. Cuma harapan saya ingatlah siska kubur dan siksa neraka, azabnya amat pedih sekali.

Yang benar,
Hata Wahari (Bekas Wartawan Utusan Malaysia dan Bekas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia, NUJ Malaysia).
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .