Pengguna Kalimah Allah oleh Non Muslim .
Akhir - akhir ini isu penggunaan kalimah Allah semakin sensasi dan mencetus kontraversi malah turut mendapat ruang perbahasan di dalam parlimen . Hari ini pun , sejurus saya selesai menyampaikan kuliah Hadis di Akademi Ar Rasyidin , soalan yang sama ditimbulkan oleh salah seorang pelajar saya .
Bagi saya dan sesiapa sahaja yang pernah tinggal di negara arab seperti Mesir , Syria dan Jordan tentunya menjadi perkara biasa mendengar penganut agama kristian menyebut kalimah Allah swt . Bahkan mereka turut bersumpah dengan menggunakan kalimah Allah swt . Maksud saya penggunaan istilah atau kalimah Allah tidaklah menjadi polemik dikalangan ummat Islam di sana .
Mungkin kelihatan ganjil apabila ada beberapa pihak non muslim di negara ini mahu menggunakan kalimah Allah swt dalam penerbitan mereka , katalog mahupun signboard .
Saya pernah memasuki sebuah restoran di Tanta Mesir yang tertulis di dinding kedainya perkataan Allahu Yarhamuk atau maknanya Semoga Allah merahmatimu . Pada mulanya mati - mati saya sangka itu kedai muslim sehinggalah saya dimaklumkan oleh seorang sahabat arab yang belajar sekelas dengan saya bahawa kedai tempat saya makan itu adalah kedai milik seorang nasrani [ kristian ] .
Sepanjang masa saya berada di Mesir , tidak pula saya perasan wujud perbahasan mengenai penggunaan kalimah Allah dikalangan kristian meskipun Mesir adalah antara negara yang mempunyai ramai ulama' yang hebat dan tersohor .
Hukum Menggunakan Kalimah Allah oleh Non Muslim
Bagi menjelaskan perkara ini , saya melihat isu ini dari 2 sudut . Pertama dari sudut hukumnya secara tekstual sementara sudut kedua ialah dari aspek kemaslahatan yang perlu dilihat dari implikasi kepenggunaan kalimah Allah oleh Non Muslim dalam negara kita Malaysia .
Sudut pertama : Prinsip Hukum
Allah swt adalah Tuhan sekelian Alam . Tuhan kepada semua makhluk malah dialah Tuhan yang Mencipta segala suatu . Tuhan yang Maha Esa dan Memelihara makhluknya . Saya percaya perkara ini turut diyakini oleh mereka non muslim dalam negara ini terutama bekas agama samawi seperti kristian .
Malah hal ini diakui oleh al Quran apabila Allah swt berfirman dengan maksudnya :
Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid)
(Surah al-Ankabut ayat 63).
Dilihat daripada ayat di atas , jelas mereka juga mengaku bahawa Allah swt adalah Tuhan yang mencipta dan memelihara alam ini dengan segala isinya . Bahkan Allah swt tidak melarang atau membantah golongan non muslim ini menggunakan kalimah Allah swt sebaliknya menyuruh Nabi Muhammad saw bersyukur ekoran pengakuan tersebut .
Lalu saya berpendapat bahawa menggunakan Kalimah Allah swt sebagai tuhan yang mencipta oleh golongan non muslim tidaklah menjadi kesalahan .
Sebenarnya yang menjadi perbahasan sejak dulu oleh para ulamak bukan terhenti di atas penggunaan kalimah Allah swt tetapi bagaimana mereka menanggapi Allah swt . Ertinya yang dilarang ialah perbuatan mereka mensyirikkan Allah swt .
Menyebut dan menggunakan nama Allah swt pada tempat dan perkara yang tidak wajar dan tidak layak bagi Allah seperti mensyirikkannya maka ianya diharamkan . Sebagai contoh , Firman Allah swt yang bermaksud :
“Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..
(Surah al-Maidah ayat 73).
Perkara yang terlarang berkait penggunaan kalimah Allah swt ialah perbuatan atau perkataan yang mensyirikkan Allah swt . Jika mereka menggunakan nama atau kalimah Allah dengan mengakui bahawa Allah adalah Tuhan yang berkuasa maka tiada salahnya meskipun dia seorang non - muslim .
Samalah isunya seperti Gobala Krishnan dan beberapa pemimpin cina DAP yang membaca ayat al Quran dalam ucapan mereka . Jika mereka membacanya dengan niat ingin memetik kebenaran yang terkandung di dalam ayat tersebut , kenapa kita mesti melarang atau menolak ? kecualilah dibaca dengan maksud menghina atau mempersenda . Jelas hukumnya haram dan kita wajib menegah siapa sahaja yang berbuat demikian meskipun ia seorang muslim , justeru menghina itu adalah salah [ dosa ] dan ditegah [ haram ] .
Sudut Kedua : Maslahah
Perkara yang berkait dengan kemaslahatan adalah suatu yang perlu disiasat oleh pihak berkuasa agama seperti Majlis Agama Islam , JAKIM , IKIM , Majlis Fatwa dan lain - lain badan berauthority . Sejauh mana penggunaan kalimah Allah itu mencetus keresahan dan mengundang polemik dikalangan rakyat yang berbilang kaum agar tidak tercetus perang yang tidak diingini .
Juga perlu dilihat kepada kesesuaian dan keperluan menggunakan kalimah Allah tersebut sebelum kita menjatuhkan hukum , apakah ia membawa maksud yang berbeza dari prinsip tauhid sehingga membawa maksud atau nilai yang salah terhadap KeEsaan Allah swt dan segala kesuciaannya .
Jika hasil siasatan memperlihatkan bahawa kepenggunaan nama Allah swt adalah kerana mahu turut sama menyebut bahawa Allah swt adalah tuhan yang sebenar dan Tuhan yang layak disembah maka tidak mengapa mereka menggunakannya . Namun jika hasil kajian dan siasatannya menunjukkan sikap yang jelas ingin mencetuskan kegelisahan atau keresahan dikalangan ummat Islam maka saya kira ianya wajar dihentikan . Apatah lagi membawa maksud mahu menghina agama Islam.
Kesimpulan
Hukum penggunaan kalimah Allah dilihat kepada bagaimana ia digunakan . Jika penggunaannya hanya bertujuan untuk merendah dan mempersenda agama Islam , maka ianya haram dan wajib ditentang habis - habisan sekalipun dilakukan oleh seorang muslim .
Sementara penggunaan yang positif untuk memberi pengiktirafan bahawa Allah adalah tuhan yang mencipta sebagaimana yang disebut oleh Allah swt di dalam al Quran maka ia dibenarkan oleh syara' sekalipun digunakan oleh non muslim .
- Ustaz Nasrudin Tantawi