(Para penal dan moderator Bicara Selebriti - 7)
KOTA BHARU: Biarpun hujan turun dengan lebatnya, namun program Bicara Selebriti siri ke-7 (BS-7) berjaya menghimpunkan lebih 15,000 penonton.
Malah ianya merupakan sejarah kejayaan paling besar sejak program itu dilaksanakan dua tahun lalu bermula di KB Mall.
Aura selebriti dakwah Ustaz Azhar Idrus, pelakon Malaysia Heliza Helmi dan selebriti dari Indonesia filem Ketika Cinta Bertasbih, Meyda Sefira, membuatkan penonton tidak berganjak untuk terus mengikuti program ilmu terutama hujan turun kali kedua dengan lebatnya.
Tikar yang digunakan untuk solat Maghrib dan Isyak berjemaah sebelum ini, akhirnya mereka jadikan tempat berteduh sehingga habis program.
Pengarah Program Ustaz Ahmad Baihaqi ketika ditemui pada majlis itu, memberitahu keistimewaan yang ada pada pesenaliti panelis ini membuatkan program itu diadakan di stadium.
“Andainya kita adakan di dewan biasa sudah tentu ianya tidak akan mencukupi, memandangkan sebelum inipun lebih 6,000 penonton hadir pada satu-satu majlis,”ujarnya.
Katanya, beliau bersyukur kerana walaupun keadaan hujan di saat program bermula dan seterusnya di akhir program, namun penonton tidak berganjak untuk terus mengikuti.
Bagi meneruskan program panelis yang dimodoretorkan oleh personality TV Al Hijrah, Amin Idris, mereka terpaksa dipayungi bagi melicinkan program.
Meyda Sefira ketika ditemui selepas program melahirkan rasa terharu dan terkejut dengan perkembangan itu.
“Memang saya tidak pernah berhadapan dengan penonton yang begitu ramai, malah sebaliknya dalam keadaan hujan mereka tidak mundur,”ujarnya dengan gembira.
Heliza pula mengucapkan tahniah pada penganjur dan mengharapkan program sebegini terus diadakan dari semasa ke semasa.
“Andainya sebelum ini kita pernah mendengar perkaraan ‘segalanya bermula di sini’ (mengambil contoh pengacara pada satu program) , kita juga boleh mengatakan’ segalanya bermula di Kelantan,”ujarnya.
Ustaz Nur Azariza Mohd Alawi sebelum ini menggantikan sementara tugas Amin Idris peringkat awal, berjaya menghidupkan suasana dengan ‘joke’nya membuatkan penonton tidak kering gusi.
Pusingan kedua Amin Idris mengambil alih, kelewatannya kerana masaalah teknikal. -Hrkh