Ikuti Blog ini

TG Nik Aziz Ikon Keluarga Mawaddah Kelantan.


http://a2.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc7/429253_10150536726021743_138063856742_9481211_1181222697_n.jpg

Najib ‘Gadai Akidah’ demi undi masyarakat India..

Demi mengekalkan kuasa dan demi meraih undi dari masyarakat India yang merakakan perayaan Thaipusam baru-baru ini.. Najib telah menggadai Akidah nya... bukan aku kata tapi Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang kata..


Sepatutnya beliau dinasihati oleh Menteri Hal Ehwal Agama Islam atau penasihat agama sepatutnya tidak hadir dalam perayaan itu..

Menteri Hal Ehwal Agama Islam sibuk renovate rumah kot...

Najib ‘gadai akidah’ hadir upacara Thaipusam di Batu Caves, tegas HarussaniOleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang “menggadai akidah” apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.

Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.

“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.

“Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.



Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.

Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.

“Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan khufur yang boleh merosakkan akidah.

“Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan. -TMI

PAS minta Ahmad Said tarik balik tuduhan 'PAS Parti Ajaran Sesat' Dalam Masa 3 Hari

KUALA TERENGGANU - PAS memberi tempoh tiga hari kepada Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Ahmad Said supaya menarik balik kenyataan dan tuduhannya, bahawa PAS adalah merupakan "parti ajaran sesat".

Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Ustaz Abu Bakar Chik berkata jika dalam tempoh berkenaan Ahmad tidak menarik balik kenyataan yang dilaporkan oleh sebuah akhbar arus perdana itu, maka tindakan akan diambil terhadap beliau.

“sebagai salah seorang ahli PAS dan pimpinan PAS pada malam ini saya nak respons kepada kenyataan Dato’ Ahmad Said yang sangat menghina PAS, saya nak sebut pada malam ini saya nak minta dia tarik balik (kenyataannya) dalam masa tiga hari ini,

“dan InsyaAllah saya akan berunding, dengan Tuan Haji wahid dan pimpinan,  dan lusa ada mesyuarat (PAS) Pusat, saya akan berunding dengan pihak pusat, apa yang sepatutnya, selepas daripada tiga hari sekiranya, dia tidak tarik balik dalam masa tiga hari,”tegasnya kepada pemberita di sini hari ini pada majlis Mesra Media bersama Pesuruhjaya dan Pemimpin Pas negeri Terengganu

Menurutnya, tuduhan yang dibuat oleh Ahmad Said adalah amat berat selaku pemimpin kerajaan dan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, dan tidak ada tuduhan yang lebih berat daripada itu.

Ahmad Said dilaporkan  ketika berucap pada majlis menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia di Kijal pada Rabu lepas berkata, perjuangan PAS kini tersasar jauh daripada perjuangan Islam sebenar dan menyifatkan PAS sebagai "parti ajaran sesat".-BO

Panass..Sebenarnya Umno Yang "Tersesat" Jauh - Bekas MT Umno..

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini membidas tindakan pemimpin Umno yang mahu merujuknya ke Jawatankuasa Disiplin parti itu ekoran beberapa kritikannya.

"Saya tak ada masalah apa, saya pun tak bergantung hidup pada parti, cuma saya kesianlah kerana Umno sudah menyimpang jauh," katanya.
Presiden Umno, Datuk Seri Najib 27 Januari lalu memaklumkan, Tan Sri Kadir akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin Umno berikutan beberapa kenyataan yang dibuat oleh beliau.

Tindakan diambil Umno berikutan beberapa siri temubualnya dengan media alternatif khususnya dengan TVPAS (Harakahdaily), MobTV dan Malaysiakini.tv yang menyentuh isu pembelian undi pilihan raya yang sedang berjalan dan kegagalan BN melaksanakan agenda bumiputra yang ditafsir sebagai menghentam parti.

"Pandangan yang saya beri dalam rakaman ini tidak sampaipun 10 peratus dari apa yang kami Pemuda Umno dan yang lain-lain pada tahun 60an dan 70an dahulu pernah berhujah, mengkritik dan memberi pandangan termasuk yang pedih terhadap pimpinan parti.

"Kepada Jawatankuasa Disiplin pula tidaklah perlu bersusah payah untuk menyiasat saya kerana saya akan menghantar kepada mereka rakaman-rakaman ini yang penuh dan tidak diedit," katanya pada sidang media di pejabatnya di Mines Waterfront di sini.

Salinan rakaman temubual itu menurutnya akan dihantar kepada pejabat Umno selewat-lewatnya minggu depan.

Pada temubualnya dengan TVPAS dan Harakahdaily Januari lalu, Abdul Kadir mendedahkan jentera BN sekarang sedang masuk ke kampung-kampung mengedarkan wang tunai yang juga disebutnya sebagai strategi "bom" untuk tujuan membeli undi pada pilihan raya.

Dalam isu agenda bumiputra pula, dalam temubual itu beliau mendakwa kerajaan BN telah gagal meletakkan kedudukan sosio ekonomi bumiputra di tahap sepatutnya sedangkan BN sudah diberi tempoh 50 tahun memerintah.

Ianya termasuk kemudahan pinjaman 30 peratus kepada syarikat kecil bumiputera yang kini sudah dihentikan.

"Kalau benda macam ini pun saya tak boleh bagi pandangan, apa dah jadi dengan Umno. Saya ni orang lama, kaji la dulu apa yang orang kritik.

"Datuk (Sri) Najib pernah buat lawak kata wujud dilema dalam Umno 'jika beri salah, tak beri kalah', maknanya ini (politik wang) sudah jadi tabiat yang diterima dalam Umno," katanya yang juga bekas Menteri Penerangan dan Komunikasi.

Menyifatkan rasuah politik oleh Umno itu sebagai perbuatan hodoh dan ketinggalan zaman, Abdul Kadir juga mendakwa wujud keadaan di mana mereka perlu membayar wang kepada rakan-rakan seperjuangan untuk mendapat tempat dalam parti termasuk jawatan tertinggi.

Selain itu, beliau juga menasihatkan pemimpin Umno agar tidak menuding jari kepada pihak lain berhubung kegagalan perlaksanaan agenda bumiputera.

"Jangan persalahkan orang Cina atau parti-parti politik Cina di atas kegagalan pimpinan kita (Umno) sendiri untuk meletakkan kedudukan sosio-ekonomi bumiputera ditempat yang adil dan sepatutnya," katanya lagi.

Beliau yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) juga mendakwa, tindakan Umno ke atasnya itu hanya mengesahkan pandangan rakyat selama ini bahawa Umno sekarang bukan sebuah parti demokratik.

Menurutnya, ia berbeza dengan Umno zaman penubuhannya oleh Datuk Onn Jaafar dahulu yang benar-benar demokratik dan mendengar pandangan semua pihak.

Ditanya jika Umno akan mengambil tindakan terhadapnya, beliau berkata ianya bukan masalah baginya.

Shahrizat mula hilang akal


Shahrizat mula hilang akal: Jadi kurang ajar panggi Rafizi ‘jambu’ tapi takut bidas Rafidah Shahrizat mula hilang akal: Jadi kurang ajar panggi Rafizi ‘jambu’ tapi takut bidas Rafidah

Shahrizat yang semakin hilang kewarasan itu mula menunjukkan taringnya terhadap Rafizi Ramli, Pengarah Stategik PKR tetapi tidak berani membidas senior-senior beliau dalam parti, begitu juga timbalam beliau dalam Umno yang mahukan beliau berundur sebelum beliau memusnahkan parti.

“Ia satu komen yang agak murahan dan saya faham beliau semestinya merasa tertekan sekarang. Tetapi kita haruslah bersikap professional. Jika beliau dan keluarga beliau tidak bersalah, beliau seharusnya menyambut baik peluang untuk membuktikan mereka tidak bersalah,” beritahu Rafizi kepada Malaysia Chronicle.

Apabila tertekan, Shahrizat menjadi tidak waras dan kasar

Setelah secara terang-terangan diberitahu oleh bekas Ketua Wanita Umno, Rafidah Aziz untuk pergi sahaja dan tinggalkan Umno dan sebelum itu oleh Mahathir untuk berundur sebelum dihalau serta sehari yang lalu timbalan beliau membuat kenyataan agar beliau jangan membebankan Umno – Shahrizat kelihatan gagah menunjukkan wajah yang selamba.

Dengan melupakan maruah beliau, beliau telah mengutarakan perkara-perkara yang tidak masuk akal dan kurang ajar. Beliau menyalahkan Rafizi kerana mendedahkan penyalahgunaan dana kerajaan dalam skandal RM250 juta NFC untuk projek ternakan lembu.

Shahrizat yang juga menteri Wanita memanggil Rafizi pondan kerana sangat memberi perhatian terhadap skandal NFC dan juga menawarkan baju kurung merah putihnya kepada Rafizi.

“Dia akan kelihatan cantik dalam baju kurung merah putih saya kerana dia seorang pondan. Nanti wanita Umno akan kirimkan baju tersebut kepada ‘stalker’ saya,” Malaysia Insider melaporkan Shahrizat sebagai berkata.

“Sebab saya rasa dia ni bercita-cita jadi ketua Wanita Umno, mungkin dia memang mahu jadi pemimpin tetapi parti beliau tidak begitu ramai ahli. Wanita Umno ada 1.3 juta ahli jadi beliau boleh rasakan kekuatannya.”

Bila dengan Rafidah dan Dr M, jadi penakut pula..


Sebelum ini, beliau telah menunjukkan sifat penakut beliau dalam berhadapan dengan orang dalam Umno sendiri. Beliau tidak berani menjawap komen Rafidah yang terang-terangan menyuruh beliau berambus dari Umno sebelum merosakkan parti itu.

“Saya tidak mahu menyerang orang yang lebih tua daripada saya. Ibu bapa saya mengajar saya untuk jangan bersikap kurang ajar dengan orang lain apa lagi orang yang lebih tua daripada saya, jadi, ada baiknya saya tutup mulut sahaja,” ujar Shahrizat.

Wanita Malaysia adalah lebih baik daripada itu


Menurut pengkritik, daripada cara beliau menyerang Rafizi, Shahrizat tidaklah sebaik yang beliau canangkan. Bermuka-muka dan menipu diri sendiri adalah sebab kepada kenyataan biadapnya terhadap Rafizi.

Tidak hairanlah Shahrizat menghina Rafizi dengan mempersoalkan kemaskulinan beliau tetapi pada masa yang sama menhancurkan sifat femininnya – yang semestinya adalah tonggak kepada kelembutan dan maruah beliau sebagai seorang wanita.

“Seperti yang sudah dimaklumkan sebelum ini, PKR tidak akan tertekan dengan serangan peribadi demi membongkar salahlaku Shahrizat dan keluarganya. Sebaliknya, kita akan menjadi lebih fokus dalam memastikan agar tuduhan kami ini berasas dan sukar untuk beliau dan keluarga beliau melepaskan diri daripadanya. Ini bukan balas dendam. Tiada siapa yang kisah sangat pasal Shahrizat dan keluarganya tetapi semua orang berminat mengetahui di mana perginya RM250 juta itu,” beritahu Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin kepada Malaysia Chronicle.

“Sebagai pemimpin wanita, saya berasa amat malu dengan komen Shahrizat. Bukan sahaja ia tidak sepatutnya dan biadap, ia juga memalukan kaum wanita. Wanita harus bermaruah dan bertenang dalam menghadapi saat-saat getir dalam hidup mereka. Wanita adalah asas kepada sebuah keluarga dan negara. Tetapi Shahrizat sudah menjadi seperti Ummi Hafilda, yang cakap apa sahaja mereka mahu dengan tidak menghiraukan sekiranya ia seperti cakap-cakap orang gila. I saya rasa mungkin beliau sudah terlalu tertekan dan mungkin ada baiknya beliau ambil nasihat bukan sahaja daripada Pakatan Rakyat tetapi juga senior beliau dalam Umno- berundur dengan penuh maruah sebelum beliau dihalau keluar. Juga jangan terus memalukan wanita di Malaysia dengan komen-komen bodoh beliau. Wanita di Malaysia adalah lebih tinggi maruah daripada itu.”

Malaysia Chronicle

PAS Kelantan imbau kembali dekad suram 1978


KOTA BHARU, 10 Feb: Julung kali dalam sejarah, PAS Kelantan mengadakan seminar tiga dekad bagi mengimbau kembali sejarah panjang sehingga mampu bangkit semula selepas melalui zaman suram pada 1978.

Pondok Pasir Tumbuh merupakan institusi pengajian pondok tradisional terbesar di Kelantan menjadi lokasi seminar tersebut.

Orang ramai mulai memenuhi persekitaran pondok sejak pagi lagi. Jalan menghala ke pondok tersebut mulai sendat kira-kira 8 pagi sehingga anggota Unit Amal terpaksa bekerja keras.

Ketibaan Pesuruhjaya PAS negeri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 9 pagi dengan menaiki beca sejauh kira-kira 300 meter ke Pondok Pasir Tumbuh, ketika orang ramai mulai memenuhi masjid tiga tingkat yang tersergam indah.

Timbalan Pesuruhjaya I, Ustaz Ahmad Yakob berkata, kebangkitan PAS Kelantan sebenarnya bermula di Pondok Pasir Tumbuh sehingga mencapai tahap cemerlang hari ini.

“Pengalaman yang kita lalui dalam perjuangan ini penuh berliku. Akhirnya kita merasakan bahawa penglibatan dalam perjuangan Islam bersama PAS merupakan satu nikmat dan indah dalam hidup kita,” katanya pada ucapan aluan.

Menurutnya juga program-program penerangan diadakan sejak awal lagi bagi membolehkan orang ramai faham mengenai perjuangan PAS, di mana ia  bermula di madrasah dan surau-surau.

Kata beliau umat Islam pada akhir zaman ini meneruskan risalah yang dirintis ulama terdahulu sehingga Kelantan berjaya dikuasai PAS pada 1959 dan berterusan sehingga sekarang.

Bagaimanapun kata beliau sejarahnya begitu gentir sehingga ramai keluarga ulama dan pejuang dikenakan tahanan di bawah ISA pada 1960-an.

“Ulama-ulama kita ditahan tanpa bicara di Kemunting kerana mereka mempertahankan perjuangan Islam,” ujarnya.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS, Zulkefli Mamat berkata, orang ramai yang hadir pada seminar hari ini boleh mengambil kesempatan melawat pondok-pondok yang terdapat di sini untuk melihat lebih dekat kehidupan harian mereka.

Katanya juga hasil sokongan semua pihak membolehkan kita mengadakan seminar bagi mengingatkan kembali sejarah jatuh bangun PAS di Kelantan. -Hrkh

Hadiah Tudung Percuma Sempena Hari Kekasih

NGO Islam Lancar Kempen Menutup Aurat

KUALA LUMPUR – Gerakan Menutup Aurat Antarabangsa (Gemar) yang dianggotai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam akan mengedarkan tudung percuma dan mengedarkan risalah menutup aurat kepada orang ramai pada 11, 12 dan 14 Februari ini di Pulau Pinang.

Gemar melalui satu kenyataan media memberitahu, aktiviti itu antara program yang terkandung dalam `Operasi Sayangi Remaja’ yang akan diadakan oleh gerakan itu bersempena sambutan Valentine’ s Day pada 14 Februari ini.

“Gemar akan turun beraksi di lapangan pada 11 dan 12 Februari ini. Kawasan yang dipilih adalah di Pantai Jerjak, Queensbay dan Hentian Rehat Pantai Bersih, Bagan Ajam. Kemuncak acara ini adalah pada 14 Februari 2012 iaitu majlis pelancaran Gemar di Masjid At-Taqwa Bertam Pulau Pinang,” kata kenyataan itu hari ini.



Menurut kenyataan itu, NGO yang menyatakan komitmen untuk menyertai Gemar adalah IKRAM, NISA’ Pulau Pinang, Kelab Remaja Lestari, Ikatan Persaudaraan Muslimah Pulau Pinang (Salimah), Aktivis Pengupayaan Insan (API), Komuniti Suara Kehidupan dan Qaryah Masjid At-Taqwa Bertam.

Jelas kenyataan itu, Valentine’s Day tidak selari dengan syariah Islam dan dicemari dengan konsep yang mengajar orang ramai untuk memuja kekasih secara berlebihan dan Gemar diwujudkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat Islam khususnya. – mynewshub


Tukar sambutan 'Valentine' kepada Hari Suami Isteri

KOTA BAHARU - Kerajaan Pas Kelantan bercadang menggantikan hari mengingati kekasih `Valentine's Day' yang disambut pada setiap 14 Februari kepada sambutan Hari Suami Isteri sebagai acara tahunan.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata adalah lebih elok jika Hari Valentine, yang dipuja dan diilhamkan pengikut agama Kristian, diganti dengan sambutan Hari Suami Isteri untuk melahirkan keluarga bahagia mengikut acuan Islam.

"Untuk masa akan datang, kita bersetuju untuk menukar Valentine's Day kepada sambutan Hari Suami Isteri setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Suami Isteri dan Pelancaran Buku Panduan Keluarga Mawaddah Negeri Kelantan di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Wan Ubaidah Wan Omar.

Beliau berkata tujuan kerajaan menjadikan sambutan Hari Suami Isteri sebagai acara tahunan bagi menggalakkan umat Islam menghayati kehidupan keluarga bahagia mengikut acuan Islam sebenar.

Ini selaras dengan matlamat kerajaan melancarkan kempen menggalakkan remaja melangsungkan perkahwinan melalui program Gerbang Az-ziwaj yang diperkenalkan dua tahun lepas melibatkan 100 pasangan mengadakan perkahwinan secara berkelompok, katanya.

Melalui program itu, katanya kerajaan negeri menyediakan bantuan RM1,000 bagi setiap pasangan yang kurang mampu untuk membiayai mas kahwin dan majlis perkahwinan yang dilangsungkan.

Nik Abdul Aziz melahirkan kebimbangan gejala sosial yang berlaku di seluruh negara akibat pergaulan bebas dan perkahwinan tidak sah menyebabkan kadar kelahiran anak luar nikah atau anak zina mencecah lebih 234,00 di seluruh negara dalam tempoh 2006 hingga 2010.

Menurutnya lebih membimbangkan lagi apabila kira-kira 81,000 daripada jumlah itu melibatkan orang Melayu atau umat Islam dari seluruh negara.

Untuk tujuan itu, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri mewujudkan Pusat Perlindungan Wanita untuk menempatkan wanita yang menjadi mangsa yang terlibat dengan gejala sosial akibat pergaulan bebas dan penganiayaan suami yang tidak bertanggung jawab.

Sementara itu, Wan Ubaidah berkata pusat itu di Pengkalan Chepa mula menerima penghuni terdiri daripada ibu tunggal dan wanita yang merupakan mangsa gejala sosial.
- Bernama

Menjawab komen Fuad Zakarshi


Merujuk kepada komen Fuad Zakarshi (UM & BH 8 Februari 2012) yang mencadangkan agar saya ditarbiyah semula atas sebab enggan memberi komen terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas isu negara Israel. Ia sesuatu yang jelas tersesat.

Saya amat kesal atas pemikiran sekular seorang timbalan menteri juga bekas seorang guru Yayasan Anda di bawah bumbung ABIM yang dikatakan pernah menyokong kepimpinan Anwar Ibrahim kelihatan begitu dungu dalam menilai mana satu yang benar dan mana pula yang salah.

Sepatutnya sebagai seorang yang pernah mengagumi Anwar Ibrahim dan pernah duduk sebumbung Yayasan Anda/Markaz ABIM sepatutnya sudah tahu permainan kotor media tajaan Barat (WSJ) itu yang kerjanya untuk menjatuh kredibliti seorang yang tidak sebulu dengan Israel.

Begitu juga akhbar Barat dan pro-Barat juga yang acapkali mengulang-ulang kes liwat (menuduh Anwar) atas sebab untuk memalukan hamba Allah ini.

Apakah hak Fuad Zakarshi mencadang saya ditarbiyah semula? Sedang beliau sendiri sudah dilihat gagal memahami prinsip tarbiyah. Kalau benar dia memahami tarbiyah, masakan boleh membuat respon atas fakta yang diputar oleh WSJ, hantu media Barat yang sentiasa bertindak untuk memecah belah umat Islam. Logikkah saya mengulas atas fakta yang belum pasti benar kerana ia bukan dari sumber pertama.

Sebaiknya Fuad dapat berjumpa sendiri Anwar jika benar ingin mencari pencerahan. Kerana Anwar pernah jadi ketuanya.

Justeru adalah sesuai kalau dia ingin mencari kebenaran, baik sahaja pergi beribadat di masjid. Tapi bagi seorang yang mendokong ideologi kebangsaan sekular, sudah tentu tidak sesuai mencari kebenaran di masjid.

Saya cadangkan lebih baik mencari kebenaran di bilik tandas. Kerana dalam tandas sudah tentu sesuai––banyak syaitan dan iblis yang boleh merangsang fikirannya––menjadi waras selari dengan otak sekular.

Maka, tak payahlah asak dan menyibuk untuk mentarbiyah semula orang lain. Kerana asas tarbiyah itu hendaklah dipaksikan dengan keredahaan Allah.

Mana ada hak bagi manusia seumpama Fuad Zakarshi untuk mentarbiyah orang lain, sedangkan dia sendiri sedang menganut ideologi yang bercanggah dengan keredhaan Allah SWT. -Hrkh

Surat Terbuka Kepada Dato' Dr Hasan Ali

Assalamualaykom w.b.t.

YB Dato’ Dr Hasan Ali yang saya hormati,

Saya kira tidak perlulah saya perkenalkan diri saya memandangkan Dato merupakan tokoh dan sahabat yang saya kagumi. Saya kira, Dato’ juga tetap menganggap saya sebagai kenalan rapat Dato’ sekeluarga. Secara ikhlas, saya mula mengkagumi Dato’ sebagai motivator semenjak saya di bangku sekolah lagi, sehinggalah Dato’ menceburkan diri ke dalam bidang politik. Walau bagaimanapun kekaguman saya tidaklah menjadi penghalang untuk saya menyatakan sedikit pandangan terhadap pendirian Dato’ mutakhir ini berdasarkan neraca ilmu dan keadilan. Kesedaran bahawa apa yang telah Dato’ lemparkan kepada mantan parti Dato’ sendiri, iaitu PAS, di dalam kenyataan-kenyataan Dato’ di media dan juga lewat ceramah-ceramah Dato’ yang bercanggah dari amanah keilmuan dan kebenaran, maka saya terdorong untuk menulis surat terbuka ini.

Sebagai ahli akademik yang mengkaji bidang gerakan Islam, politik Islam dan juga Usul al-Fiqh, saya berasa terpanggil untuk mengarang surat terbuka ini kepada Dato’ untuk menilai beberapa kenyataan Dato’ dari pertimbangan ilmu dan kacamata ilmiah di dalam bidang pengkajian saya. Saya kira tulisan surat terbuka saya sebagai ahli akademik ini adalah sebagai tanggungjawab saya kepada kejujuran terhadap disiplin ilmu yang saya pikul dan bukannya sebagai ahli politik. Saya bukanlah ahli parti PAS, yang tampil untuk membela PAS dari serangan Dato’. Maka saya bertegas menyatakan apa yang saya tulis ini hanyalah semata-mata pendangan orang luar dan ahli akademik yang neutral dan tidak berpihak, baik kepada Dato’ mahupun kepada parti PAS yang telah memecat Dato’.

Saya kira Dato’ mungkin telah maklum dengan pencapaian gerakan-gerakan Islam moderat di utara Afrika seperti Ikhwan Muslimun di Mesir, parti Ennahda di Tunisia, parti keadilan dan pembangunan (PJD) di Morocco dan juga parti-parti Islam lain selepas kebangkitan rakyat (Arab Spring). Kemenangan kesemua gerakan-gerakan tersebut secara empirikalnya seperti yang telah dianalisis oleh pakar politik di rantau berkenaan merujuk kepada tiga perkara utama: ‘Wacana Islam moderat yang segar’; Kesediaan ‘perkongsian kuasa’ (power sharing); dan juga ‘pengaruh di kalangan rakyat’ melalui jaringan kerja kebajikan dan juga pendidikan yang menyeluruh, berterusan serta meluas.

Apa yang dimaksudkan dengan wacana moderat yang segar ialah kemampuan gerakan-gerakan tersebut untuk menawarkan apa yang diperlukan oleh rakyat dan apa yang diperlukan oleh sesebuah Negara di dalam pendekatan mereka. Wacana moderat juga telah memperlihatkan bagaimana gerakan-gerakan Islam, tidak lagi memaksakan apa yang mereka mahukan atau percaya ke atas rakyat tanpa kerelaan majoriti. Maka, di dalam wacana baru mereka, gerakan-gerakan Islam tidak lagi menawarkan retorik ‘Dawlah Islamiyyah’ (Negara Islam) yang agak bersifat utopia dan tidak tentu apakah modelnya. Mereka juga tidak menawarkan hukuman jenayah Islam ‘secara paksaan’ seperti yang pernah dilakukan oleh Taleban di Afghanistan, sebelum keadaan ekonomi dan kebajikan yang kondusif disediakan di dalam negara mereka. Mereka juga tidak mempamerkan diri sebagai penghukum, tetapi mereka muncul sebagai pembawa harapan, pejuang kebebasan dan pelaksana keadilan setelah rakyat ditindas dan dizalimi selama berdekad-dekad lamanya oleh para diktator. Perkara ini telah membuatkan ramai dari kalangan pengkaji di barat telah mula mengatakan bahawa golongan ini telah merubah sikap dan prinsip mereka, lantas menggelar fenomena ini sebagai post-Islamism (pasca-Islamisme).

Saya konsisten untuk tidak menyokong istilah pasca-Islamisme yang sarat dengan makna neo-kolonialisme. Hakikatnya gerakan-gerakan Islam yang terlibat tidak pernah merubah prinsip. Mereka juga tidak meninggalkan landasan perjuangan, apatah lagi mengubah pendirian. Apa yang berlaku ialah proses kematangan gerakan-gerakan terlibat untuk melihat Islam dalam kerangkanya yang lebih luas dan komprehensif. Kejayaan beberapa individu berlatarbelakangkan Islamis di Turki melalui agenda neutral AKP, telah menjadi sumber inspirasi gerakan-gerakan tersebut. Wacana ini juga bertunjangkan konsep Maqasid al-Shariah dan melihat ajaran Islam dari aspek yang holistik, terutamanya aspek moral dan keadilan. Gelombang perubahan pada pendekatan inilah yang telah melanda kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia mutakhir ini, tidak ketinggalan PAS yang Dato pernah sertai dahulu. Gelombang ini sekaligus melenyapkan pengaruh model Iran yang pernah mendominasi wacana gerakan-gerakan Islam sedunia dengan melaungkan pembinaan sebuah republik Islam dan juga pemerintahan mutlak golongan agama (Wilayatul Faqih).

Realitinya kini, gerakan-gerakan Islam moderat yang wujud lebih memilih ruang demokrasi untuk membawa perubahan. Mereka juga melaungkan pembentukan negara sivil milik semua warga dengan menjamin kebebasan politik, penegakan keadilan, hak upaya masyarakat sivil, hak wanita, tatakelola yang baik, kebajikan rakyat yang terpelihara, ekonomi yang lebih berdaya saing serta bebas dari korupsi, pecah amanah dan rasuah, serta perkongsian kuasa bersama rakyat dari segala lapisan dan kumpulan. Menurut kajian saya ke atas wacana baru PAS, terutamanya melalui konsep ‘Negara Berkebajikan’, PAS juga tidak terlepas dari arus perubahan ini. Jika Dato’ merasakan pendekatan baru PAS ini bermakna PAS telah meninggalkan perjuangan Islamnya, saya kira Dato’ tersilap. Perubahan pada PAS bukanlah kerja parasit sepertimana yang Dato’ dakwa, tetapi ianya merupakan satu dinamisme tabi’i bagi sebuah gerakan Islam yang matang. Jikalaulah parasit yang telah menyebabkan perubahan pada PAS, maka pastinya kesemua gerakan Islam di Utara Afrika dan Asia Barat, termasuk Ikhwan Muslimin di Mesir dan juga parti Ennahda juga telah dilanda parasit. Timbul dilemma di dalam pemikiran saya, apakah pemimpin dan tokoh ideolog gerakan Islam sedunia, Rashid Ghannoushi yang telah mencetuskan wacana gerakan Islam yang baru itu juga telah dijangkiti parasit? Apakah mungkin Dato ingin mengatakan bahawa Rashid Ghannoushi yang merupakan sumber inspirasi perubahan fikrah pada gerakan-gerakan Islam moderat sedunia itu pula merupakan bapa parasit?

Yakinlah Dato’, sepertimana gerakan-gerakan tersebut telah berjaya mendapatkan majoriti undi di dalam pilihanraya di negara-negara mereka kerana pendekatan baru ini, PAS juga sedang meniti langkah tersebut. Inilah yang ditakuti oleh UMNO dan kerajaan BN. Pihak lawan tidak mahukan PAS mendapat sokongan majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Pihak lawan mahu PAS kekal sebagai parti kampung milik Pak Lebai dan Pak Haji. Pihak lawan juga tidak mahu PAS bangkit sebagai parti milik semua rakyat Malaysia, mereka lebih selesa PAS dikenali sebagai parti ekstrimis dan fundamentalis yang hanya tahu memotong tangan orang sahaja. Hanya dengan wacana Islamis global yang baru ini sahajalah niat buruk mereka akan terhalang. Malang sekali apabila Dato’ pula yang mula bercakap senada dan seirama dengan pihak lawan menentang perubahan pada PAS. Lebih malang lagi kini Dato’ menjadi suara pihak lawan untuk memaksa PAS kembali ke kerangka persepsi lama rakyat terhadap mereka yang telah dilelong oleh pihak UMNO dan BN.

Saya yakin, di dalam PAS masih terdapat segelintir yang termakan umpan Dato’ lantas mempercayai kewujudan parasit. Mereka ini golongan yang ikhlas tetapi hanya kurang mendapat pendedahan terhadap dunia luar sahaja. Ada di antara mereka juga yang berkepentingan, lantas menggunakan hujah Dato’ untuk kekal berpengaruh, tetapi saya yakin mereka ini teramat kecil bilangannya. Melalui pengamatan saya, PAS akan terus menggalas harapan rakyat dan juga kefahaman Islam yang sebenar berteraskan wacana baru gerakan Islam sedunia untuk menempuh hari muka mereka. Seperkara yang perlu Dato’ ketahui, wacana baru gerakan Islam moderat ini juga telah mendapat restu dari para ulama terkemuka seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Tawfiq al-Wa’ie, Dr Rashid al-Ghannoushi. Amat kasihan kerana Dato’ tidak dapat bersama lagi dengan realiti baru ini.

Apabila melihat kepada isu ‘Negara Berkebajikan’ pula, pada hemat saya, setelah meneliti dokumen ‘Negara Berkebajikan’ PAS dan membandingkannya dengan manifesto parti-parti Islam moderat lain di dunia Arab, saya mendapati PAS ternyata senada dengan mereka yang telah Berjaya di negara masing-masing. Saya berkeyakinan gagasan ‘Negara Berkebajikan’ merupakan satu langkah drastik PAS di dalam membawa perubahan dan menyuarakan persiapan mereka untuk muncul sebagai alternatif kepada parti pemerintah yang sedia ada. Prinsip-prinsip konsepsual ‘Negara Berkebajikan’ yang dibentangkan di dalam dokumen tersebut dan juga cadangan mekanisme perlaksanaannya merupakan satu anjakan paradigma bagi sebuah gerakan dakwah dan parti politik yang telah matang seperti PAS. Jelas sekali PAS sudah melayakkan dirinya untuk menyertai gelombang perubahan yang melanda gerakan Islam di seluruh dunia dengan membuktikan bahawa golongan Islamis mampu dan bersedia untuk berkongsi kuasa dan memerintah di dalam kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik. Malangnya, hal ini tidak disambut positif oleh Dato’, malah dipandang sinis.

Melihat kepada isu hudud yang Dato’ anggap telah ditinggalkan oleh PAS, saya kira itu juga agak kurang tepat. Sebagai sebuah parti Islam, saya berpendapat PAS dilihat amat konsisten memperjuangkan apa yang mereka yakini, iaitu kewajipan melaksanakan hukum hudud. Apa yang menarik ialah pendekatan PAS yang terbuka untuk membicarakan isu tersebut di ruang umum dan bersedia untuk meyakinkan rakyat melalui proses pendidikan dan dakwah adalah sesuatu yang patut dihargai. Apa yang saya dapati melalui metod obervasi ke atas ruang ‘discursive’ PAS selama ini, PAS tidak memilih untuk memaksakan hudud ke atas orang lain secara kekerasan. Malah di dalam banyak kenyataan PAS, mereka bersedia untuk mendengar suara majoriti di dalam melaksanakan hukum jenayah Syariah itu. Pendekatan diplomasi PAS ini harus dihormati kerana ia mencerminkan sikap professionalisme PAS dan keterbukaan para pimpinannya. Saya kira kerana sikap konsisten PAS inilah yang menyebabkan parti itu telah berjaya meraih sokongan ramai bukan Islam melalui ‘Kelab Penyokong PAS’.

Akhirkata, jika Dato’ benar-benar ingin memperjuangkan aqidah dan memerangi gejala murtad yang dikatakan sebagai mengancam umat Islam di Selangor, saya mempunyai pelan tindakan yang boleh Dato’ lakukan berdasarkan kekuatan yang ada pada diri Dato’. Sebagai seorang motivator yang begitu meyakinkan dan berupaya bermain dengan emosi orang ramai, saya rasa sudah sampai waktunya Dato’ untuk turun padang bertemu dengan mereka yang didakwa murtad berdasarkan senarai yang rakan-rakan Dato’ miliki. Mungkin juga Dato’ boleh menggunakan kemahiran tersebut juga untuk berdakwah kepada mat-mat rempit, tahi dadah, remaja berpeleseran yang terdapat di dalam negeri Selangor secara sukarela tanpa sebarang bayaran. Jika dulu mungkin Dato’ sibuk dengan tugas exco, kini Dato’ lebih mempunyai waktu lapang. Buktikanlah kata-kata Dato’ yang ingin menjaga aqidah itu. Saya kira Dato’ juga boleh berdakwah di Hard Rock Café menyeru umat Islam agar bertaubat dan menghayati agama Islam. Saya pasti pemilik Hard Rock Café tidak akan menghalang kerja murni Dato’ itu. Saya yakin 10,000 atau lebih orang yang turut berHIMPUN bersama Dato’ untuk menyelamatkan aqidah umat Islam boleh Dato’ kerahkan dari seluruh negara untuk sama-sama turun padang demi menyelamatkan aqidah umat Islam secara praktikal. Saya amat meyakini, jika Dato’ berdakwah seperti itu, Dato’ akan tetap dikenang kawan ataupun lawan sebagai ‘pejuang aqidah yang sebenar!’.

Dr Maszlee Malik
Ahli Akademik Politik Warga
UIAM
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .