Buletin Online - Kepimpinan Umno Cawangan Banggol Donas termasuk sayap puterinya mendakwa Umno dan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu khianat dan zalim.
Pengkhianatan dan kezaliman yang dilakukan itu tanpa mempedulikan hak serta nasib rakyat yang terlibat dengan pengambilan balik tanah bagi Projek Jalan dari Kampung Jeram ke Banggol Tuan Muda melalui Kampung Banggol Donas.
Ketua Puteri Umno cawangan Banggol Donas, Puan Rosni Hassan, 37, melahirkan rasa dukacita terhadap sikap wakil rakyat Barisan Nasional dan kerajaan negeri.
Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Pasu, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said langsung tidak mahu berbincang dengan penduduk terbabit.
“Saya ini Ketua Puteri Umno cawangan (Banggol Donas), kita buat bantahan kepada semua pihak termasuk pihak Suhakam, jabatan-jabatan, menteri besar, kementerian hingga kepada Perdana Menteri.
“Saya cukup kecewa dan ‘meluat’ dengan Umno dan Barisan Nasional sekarang. Apa lagi untuk sebut Puteri Umno…‘meluat’ sungguh kepada kami sekarang,” ujarnya dengan gimik muka yang jengkel.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Tingkat 10, Wisma Persekutuan, dekat sini, hari ini.
Menurutnya, demi kepentingan projek pihak tertentu nasib rakyat termasuk di kalangan ahli dan penyokong Umno-BN sendiri diabaikan.
Hari ini (12 Jun), sekumpulan wakil penduduk Kampung Banggol Donas yang tanah warisan mereka ‘dirampas’ secara terhormat atas nama pembangunan datang beramai-ramai ke pejabat SPRM di Wisma Darul Iman.
Malah, kedatangan kumpulan tersebut turut membawa warga emas serta kanak-kanak sebagai ‘protes’ terhadap pengambilan balik tanah yang tidak mengikut peraturan serta disyaki berlaku unsur penyelewengan.
Memorandum diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Banggol Donas, Salleh Embong kepada Timbalan Pengarah SPRM Terengganu, Encik Azmi Yusuf pada jam10.30 pagi setelah pertemuan selama satu jam.
Pada 11 Mei lalu, kumpulan yang sama telah menyerahkan memorandum berkenaan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said di Lobi U2 Dewan Undangan Negeri (Dun) Wisma Darul Iman.
Ahmad Said ketika menerima serahan memorandum tersebut menjelaskan kerajaan negeri Terengganu tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana projek jalan tersebut sedang berjalan.
[Gambar - Rosni paling kiri, bergambar di Wisma Persekutuan selepas menyerahkan memorandum kepada SPRM]
Katanya, kerajaan negeri hanya bertanggungjawab menyediakan kos projek dan berkaitan jajaran adalah dibawah pengurusan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kita (kerajaan) sudah tidak boleh buat apa-apa lagi kerana projek ini telah berjalan dengan kerja-kerja menambung tanah dan sebagainya.
“Jika awal dulu boleh kita tengok dan itu (jajaran) tugas JKR yang tentukan dan kita hanya keluarkan kos projek, sekarang tak boleh buat apa-apa lagi,” ujarnya kepada wakil penduduk tersebut.
Buletinonline dimaklumkan, aduan pernah dibuat kepada pihak SUHAKAM yang turut mendapat ‘respons’ agar dihentikan sementara projek tersebut.
Pada bulan April 2010, penduduk pernah menulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri melalui Setiausaha Sulit Kanannya.
Manakala, bulan April 2011 lepas, sekali lagi mereka (jawatankuasa) menulis surat kepada Perdana Menteri dan dijawab surat itu serta dihantar kepada Kementerian Luar Bandar, salinan kepada Jawatankuasa Bertindak tetapi tidak kepada MB (Terengganu).
Menurut sumber, Projek Jalan dari Kampung Jeram ke Banggol Tuan Muda melalui Kampung Banggol Dona itu dimiliki oleh Ketua Pemuda Umno Terengganu, Saiful Bahari Baharudin.
Projek “OKU” (Orang Kuat Umno) itu hanya sepanjang 5.6 kilometer tetapi menelan belanja RM226 juta yang dianggap tidak manasabah.
Hadir sama mengiringi penyerahan memorandum tersebut Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak, Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus, Ustaz Ridhuan Hashim, Ketua Cawangan PAS Paya Datu, Ustaz Awang Embong, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Fariz Musa, Ketua Cabang PKR Kuala Nerus, Muzafeq Affyulzaifuzan Muhammad serta beberapa orang penduduk kampung berkenaan.