KUALA LUMPUR: Majlis
Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan
Malaysia segera bertindak melakukan sesuatu, jika etnik Islam Rohingya
di Myanmar sekarang mahu diselamatkan.
“Mapim sedang mengikuti perkembangan keganasan terbaru di Myanmar dengan dekat melalui
Union of World Rohingya Organization
yang menjadi rakan jaringan kami agar maklumat yang sah dan terkini
dapat diperolehi,” ujar Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam
satu kenyataan.
Beliau berkata, perkembangan terkini sangat
meruncing di beberapa bandar di Arakan dan ada tanda ketegangan akan
merebak ke seluruh Myanmar.
“Kami sangat kecewa keganasan yang tercetus terkini yang lebih
meruncing dan sangat mengkhuatirkan tidak mendapat perhatian segera
untuk menyelamatkan komuniti Muslim Rohingya yang menjadi mangsa
serangan oleh etnik Buddha Rakhine.
“Apakah Malaysia sebagai
anggota OIC dan Asean hanya mahu menjadi pemerhati kepada keganasan
penghapusan etnik yang sangat kejam sedangkan tragedi itu sedang berlaku
dirantau ini?” katanya
Kini, jelasnya keadaan sangat meruncing
kerana serangan kali ini nampaknya nekad untuk menghabiskan semua
penduduk etnik Rohingya dan Kaman Muslim di seluruh Myanmar.
Menurutnya, angka kematian sebenarnya sudah mencecah hampir seribu orang
, sedangkan bilangan rumah dan perkampungan orang Rohingya yang dibakar
jauh lebih besar jumlahnya.
Sebenarnya, kata beliau dunia
sedang menyaksikan pengulangan peristiwa pembunuhan massa kaum Serbia ke
atas kaum Bosnia pada 1995.
Katanya lagi, hanya setelah ratusan ribu kaum Muslim Bosnia terbunuh barulah Nato bertindak ke atas Serbia.
“Kami menegaskan bahawa saat ini bukan lagi masanya untuk mengeluarkan
kenyataan tetapi hendaklah melakukan tindakan konkrit untuk melindungi
mangsa Rohingya Muslim yang menjadi sasaran serangan kaum Rakhine yang
dibantu oleh tentera dan polis Myanmar,” ujarnya.
Justeru,
katanya Mapim mendesak kerajaan Malaysia menghantar delegasi khas dengan
segera untuk menyampaikan mesej tegas bahawa tindakan kerajaan Myanmar
tidak boleh diterima sama sekali.
Katanya, pihak kedutaan Myanmar di Malaysia hendaklah dipanggil
segera untuk menyampaikan pendirian negara terhadap kekejaman yang
sedang berterusan sekarang.
-Hrkh