Ikuti Blog ini

PAS buat keputusan 'menjohorkan' PAS di Johor


BATU PAHAT: PAS Johor mengambil pendekatan untuk 'menjohorkan' PAS di negeri ini dengan menjadikan seluruh aktiviti dan tindak tanduk para pemimpin dan ahlinya sesuai dengan sosiobudaya orang Johor.


Pendekatan ini disepakati oleh pimpinan PAS Johor dalam konvensyennya yang diadakan di Markas PAS Parit Sulong dekat sini semalam.

[Gambar: AJK Umno Labis, Datuk Abdul Rahman Yunus (bersongkok) bersembang dengan Mazlan Aliman dan Datuk Dr Mahfodz ketika menyertai konvensyen PAS Johor semalam.]

"Ada dua pendekatan, kita men'johor'kan  PAS atau mem'pas'kan Johor. Rasanya yang tepat adalah men'johor'kan PAS iaitu dengan kita di negeri ini mengamalkan budaya orang Johor kerana sememangnya kita orang Johor.

"Dengan cara inilah, kita akan bersama masyarakat dan seterusnya memimpin mereka menuju perubahan," kata Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad ketika menggulung perbahasan di Konvensyen PAS Johor.

Pandangan yang beliau mula cetuskan dalam ucaptama konvensyen ini turut disokong oleh para peserta konvensyen ini ketika mereka membahaskan ucapan beliau itu.

Melalui pendekatan ini, katanya, pemimpin PAS di semua peringkat perlu meraikan dan memimpin semua aktiviti orang Johor termasuklah majlis membaca Yassin yang dipanggil Yasinan di Johor, marhaban, berzanji dan sebagainya.

"Masa saya nak kahwin dulu, saya dipaksa berzanji. Lalu terpaksalah saya belajar berzanji sampai pandai. Tetapi lepas itu lupa.

"Lepas ini kita mesti berzanji dan memimpin pasukan berzanji, masuk pasukan rewang (gotong royong kenduri) dan memimpinnya, memimpin tahlil.

"Saya rasa kita ada kelebihan ini. Misalnya, bila tahlil, pemimpin Umno takut nak dekat sebab mereka tak pandai. Jadi kita kena mengambil kesempatan ini.

"Inilah yang dinamakan men'johor'kan PAS," kata Dr Mahfodz ketika menggulung perbahasan konvensyen itu.

Semasa memberikan ucapan dasarnya di konvensyen itu, Dr Mahfodz telah membentangkannya sebagai salah satu perkara yang perlu dilakukan oleh PAS di Johor untuk membolehkan PAS diterima dan seterusnya menang.

Untuk itu, katanya, PAS di Johor tidaklah perlu membawa budaya dari luar yang diamalkan oleh pemimpin dan pengikut PAS untuk mem'pas'kan Johor.

Cukup sekadar mengamalkan budaya orang-orang Johor yang sebenarnya tidak bertentangan dengan Islam bahkan jelas ciri-ciri Islamnya.

PAS Johor juga, katanya, sedang mengkaji tentang kesenian yang diamalkan oleh rakyat Johor untuk turut diamalkan atau diterima oleh PAS sekiranya tidak bertentangan dengan Islam.

"Kuda kepang, ghazal dan tarian zapin...saya telah meminta Dewan Ulamak untuk mengkajinya. Mengikut kata Ketua Dewan Ulamak Johor, tidak salah asalkan tidak bercampur dengan pujaan iblis dan syaitan kepada sesetengah upacaranya," kata Dr Mahfodz.

(Kiri: Para peserta Konvensyen PAS Johor makan dalam talam sebagai salah satu budaya rakyat Johor yang cuba dihidupkan PAS dalam konvensyen ini.)

Semasa memberikan ucaptamanya, Dr Mahfodz berkata, PAS perlu memaplikasikan sepenuhnya strategi 'menjohorkan' PAS dalam membina jambatan untuk masyarakat.

"Menjohorkan PAS adalah dalam ertikata kita mengekalkan sosiobudaya Melayu di samping kita berjuang bersama PAS," katanya.

Beliau menggariskan tujuh ciri-ciri 'menjohorkan' PAS yang perlu dipertimbangkan.

Ia termasuklah meraikan budaya rakyat Johor (seperti yasinan, marhaban, rewang/kedarat dan tahlil), budaya kesenian popular rakyat (seperti ghazal, tarian zapin dan kuda kepang), budaya berpakaian (baju melayu teluk belanga, baju kurung Johor dan songkok tinggi Johor).

Selain itu, budaya makanan tradisional (asam pedas, nasi ambeng, laksa Johor, soto, ketupat dll), institusikan kerja kebajikan, budaya engagement dengan masyarakat Melayu dan meraikan budi bhasa Melayu Johor (misalnya menerang bukannya menyerang, memuji bukannya mengeji) dan lain-lain lagi. -Hrkh

[BERGAMBAR] Cemas: 10 Anggota Bomba Cedera Tangki Minyak Meletup



Kota Bharu- 10 anggota bomba cedera dalam kebakaran yang melibatkan empat tangki minyak di sebuah kilang tayar yang tidak lagi beroperasi di kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Padang Tembak di sini pagi tadi.

Anggota bomba berdepan detik cemas selepas dua daripada tangki minyak terbabit yang dipercayai mengalami kebocoran meletup ketika mereka cuba mengawal api dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 8 pagi itu.

Wartawan dan Jurufoto Sinar Harian juga yang turut berada di lokasi kejadian, sempat menyelamatkan diri dari kebakaran itu yang mengambil masa hampir dua jam untuk dikawal.

Kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan susulan.

Pengarah Bomba Negeri, Azmi Osman berkata, dalam kejadian itu lima anggota dilaporkan mengalami kecederaan parah manakala selebihnya menerima rawatan susulan di HUSM dan HRPZ II.

"Buat masa ini tiga mangsa yang cedera parah iaitu Nazah Napi, Abdullah Mohamad, Abdul Razak Abdullah yang bertugas di Balai Bomba Kota Bharu ditempatkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

"Selebihnya yang mengalami kecederaan di leher, tangan dan badan menerima rawatan susulan di HUSM dan HRPZ II," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Azmi berkata, ketika kebakaran berlaku lima jentera dengan 39 anggota iaitu dari Balai Bomba Kota Bharu, Pengkalan Chepa, dan Darul Naim dihantar ke tempat kejadian.

"Ketika cuba memadam api, bomba menghadapi kesukaran disebabkan masalah bekalan air yang tidak mencukupi namun masih berusaha mengawalnya.

"Buat masa ini punca kebakaran dan kerugian masih disiasat bagi mengenal pasti punca kejadian terbabit," katanya. -SH


Tangki ‘muntah’ api


KOTA BHARU: Laungan Allahuakbar berulang-kali mengiringi suasana cemas di sebuah kilang tayar yang tidak lagi beroperasi di Kawasan Perindustrian, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, selepas sebuah tangki minyak pelincir terpakai berkapasiti antara 16,000 hingga 25,000 liter meletup sehingga ‘memuntahkan’ minyak bersama api dan membakar anggota bomba yang cuba memadamkan kebakaran di kilang berkenaan.

Kilang itu yang ditawarkan untuk dijual pada harga RM5 juta pada mulanya terbakar pada jam 8 pagi sebelum anggota bomba tiba pada jam 8.

11 pagi, namun ketika menyudahkan tugas memastikan api di tangki berkenaan padam sepenuhnya setengah jam kemudian, minyak dari tangki itu memancut meletuskan api setinggi lebih 30 meter dan membakar beberapa anggota bomba yang berada berhampiran tangki berkenaan.

Akibatnya, tercetus suasana kelam-kabut apabila ada anggota bomba terbakar bersama pakaian dan ada pula yang berlari, berguling sebelum terbaring.

Seramai 10 pegawai dan anggota bomba cedera termasuk seorang anggota bomba wanita dengan lima daripadanya parah selepas melecur di muka dan badan.

Sekumpulan wartawan dan jurugambar turut bertakbir apabila berdepan detik cemas kerana kejadian itu berlaku hanya beberapa meter dari tempat mereka berkumpul.

Malah, Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman yang turun padang turut memberi pertolongan kepada anggotanya yang cedera.

Antara yang parah ialah tiga pegawai bomba, Pegawai Bomba Kanan 1 (PBK1), Abdullah Din Mohd, 55, dan Pegawai Bomba Kanan II (PBKII), Nazah Nafi, 43 yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, manakala seorang lagi, PBKII, Wan Asri Wan Yaacob, 53, dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Mangsa melecur di muka, tangan serta badan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Seorang anggota bomba, Mahusin Hassan, 45, bersyukur kerana api hanya membakar baju khas memadam kebakaran yang dipakai, namun sayu melihat rakan setugas yang melecur akibat terbakar.

Katanya, mereka tidak menyangka tangki minyak berkenaan meletup sehingga api menyambar anggota bomba.

“Ketika kejadian saya berehat dan berada 50 meter dari tangki berkenaan selepas memadamkan kebakaran di beberapa bahagian lain. Tiba-tiba saya terdengar letupan dan apabila menoleh ke belakang, saya lihat api seperti menyambar dan mengejar dari belakang.

“Saya bingkas bangun untuk melarikan diri sebelum menyedari api menyambar belakang baju khas memadam kebakaran. “Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya melihat beberapa anggota yang berguling-guling di atas tanah bagi memadamkan api di pakaian mereka dan ada yang melecur di muka, badan, dan tangan sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa.

Dalam pada itu, saksi kebakaran, Nadzri Noor, 37, yang juga pemilik kedai makan berhampiran kilang tayar itu berkata, dia menyedari berlaku kebakaran selepas melihat kepulan asap tebal bersama api menjulang tinggi sebelum terdengar letupan.

“Saya melayan pelanggan sebelum terlihat kepulan asap dan terkejut apabila terdengar beberapa letupan. “Walaupun jarak kedai dan kilang kira-kira 100 meter, saya dapat rasa bahang apinya,” katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, sebanyak lima jentera dan 39 pegawai serta anggota bomba dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan Katanya, pihaknya berdepan masalah tekanan air, sekali gus menyukarkan operasi memadamkan kebakaran selain perlu menggunakan buih untuk memadamkan api yang berpunca daripada minyak.

“Lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Kota Darulnaim dan Tunjung dikejarkan ke tempat kejadian, malah kami juga meminta bantuan tambahan selepas letupan yang mencederakan 10 anggota bomba berlaku.

“Kami masih menyiasat punca kejadian dan anggota yang cedera dihantar ke HUSM dan HRPZ II,” katanya.
-HM






Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .