PETALING JAYA: Setiausaha
Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memberitahu parti itu sudah lama
menghadapi budaya samseng sejak dari tahun 1960-an lagi.
Katanya, tindakan yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) hampir sama dengan apa yang parti Perikatan lakukan sebelum ini.
"Pada tahun 1969, mereka (Perikatan) telah tubuh pemuda tahan lasak
yang akan membuat apa-apa sahaja tindakan sehinggakan parti
pembangkang menghadapi kesukaran untuk meneruskan penerangan kepada
rakyat.
"Mereka bukan sahaja membuat kacau tetapi sanggup
meletakkan pokok kayu di tengah-tengah jalan bagi menghalang
pergerakan parti pembangkang," ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat
PKR hari ini.
Mustafa juga menyatakan walaupun keganasan itu ditujukan kepada Ketua
Pembangkang dan juga PKR, namun ia juga dianggap ancaman kepada
Pakatan Rakyat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
pula berkata keganasan yang berlaku terus berulang setiap kali adanya
program Pakatan Rakyat terutamanya PKR.
Namun, katanya walaupun
tindakan tersebut sentiasa berlaku dan berulang sehingga kini belum
ada kenyataan dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengutuk
tindakan tersebut.
"Kita mempunyai maklumat dan bukti yang
menyatakan bukan sekadar penglibatan Perkasa malah turut melibatkan
Umno," katanya selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan
Rakyat.
Malah, katanya keganasan yang berlaku di Lembah Pantai
seolah-olah ia mendapat restu daripada Menteri Wilayah Persekutuan dan
Kesejahteraan Bandar.
Menurut beliau lagi, sehingga sekarang tidak ada langsung tindakan diambil oleh pihak polis berhubung insiden tersebut.
"Adakah ini menjadi budaya mereka dan jika tidak saya berharap pihak
polis dapat menjalankan tugas mereka dengan lebih tegas dan adil.
"Malah kenyataan terbaru ada yang memberi amaran kepada saya dari turun
ke Johor untuk meneruskan program jelajah merdeka rakyat," sambung
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi.
Penasihat DAP, Lim Kit
Siang turut berharap Najib dan juga Hishammuddin dapat tampil mengutuk
keganasan yang telah berlaku di Kota Bharu, Alor Setar, Lembah Pantai
dan Melaka.
Beliau juga minta Perdana Menteri perlu berlaku
adil dengan semua pihak dan jangan hanya menyebelahi pihak yang
menyokong beliau sahaja.
-Hrkh