Ikuti Blog ini
Taktik Kotor BN Mula Terserlah ,Ahad, Januari 11, 2009 at 11.1.09,
Kuala Terengganu – Taktik kotor Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO mula terserlah dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu.
Kelmarin, Timbalan Pengarah Jentera Induk PAS Dato’ Mustafa Ali telah mendedahkan kepada umum sifat keji BN yang membeli undi dengan memberi rasuah RM 500.00
Semalam, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan pula cubaan BN untuk mengujudkan kekeliruan dan salahfaham dikalangan pengundi dengan penemuan sehelai ‘vest’ petugas BN yang dicetak dengan dua lambang.
Ekoran risikan dan tindakan pantas skuad AMK akhirnya membuktikan niat jahat UMNO dan BN apabila vest yang dicetak dengan dua lambang itu ditemui dalam markaz besar pemuda UMNO.
“Kita (AMK) telah mendapat maklumat tentang vest yang berlambang dua itu lebih awal dan menugaskan skuad khas AMK membuat risikan,
“akhirnya ia berjaya ditemui di markaz besar pemuda UMNO dan skuad khas AMK telah bertindak pantas menyeludup keluar vest tersebut,”kata Pengarah Pilihanraya AMK, Fariz Musa di Markaz Besar AMK, di Kampung Ladang dekat sini semalam.
Beliau berkata vest tersebut amat mengelirukan dan cukup bahaya sekiranya ia diguna pakai.
“Dihadapan vest tersebut dicetak dengan lambang PKR, manakala di bahagian belakang dicetak dengan lambang BN,”katanya sambil menunjukkan vest tersebut dipejabatnya semalam.
Katanya pemakaian vest tersebut boleh mengelirukan orang ramai dan pengundi Kuala Terengganu dengan niat untuk memberikan imej yang buruk kepada PKR dan Pakatan Rakyat.
“Ia juga boleh memecahbelahkan muafakat Pakatan Rakyat sekiranya si pemakainya melakukan kerja-kerja sabotaj, misalnya mencabut merosakkan bendera PAS atau pun DAP,”terangnya.
Oleh yang demikian beliau meminta semua petugas Pakatan Rakyat samada dari PAS, PKR dan DAP supaya sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga terhadap tipu helah BN yang terbaru itu.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai samada pengundi atau pun bukan bersama-sama turut memantau keadaan keselamatan supaya pilihanraya kecil Kuala Terengganu dapat berlangsung dalam suasana yang aman.
Justeru beliau meminta pihak-pihak yang berkaitan dengan keselamatan samada petugas-petugas keselamatan dari Pakatan Rakyat atau pun petugas keselamatan awam meningkatkan kawalan masing-masing supaya kejadian yang tidak diingini dapat dicegah lebih awal.
Bekas ARC Cup Prix bersama di 'Riang-ria Motor' , at 11.1.09,
Beliau yang juga merupakan salah seorang anggota jawatankuasa Lajnah Kebudayaan dan Kesenian Pemuda Pas Pusat bersama bersama empat lagi rakannya telah mengadakan demonstrasi 'menunggang motor cara selamat' di Pasar Borong Gong Pauh dekat sini petang semalam.
Ketibaan Calon PAS, Abdul Wahid Endut yang diiringi ahli-ahli ARC yang menaiki motorsikal berkuasa tinggi ini telah menggamatkan suasana walaupun dalam keadaan cuaca hujan renyai-renyai.
Abdul Wahid, dalam ucapannya berkata ”Saya telah melalui usia muda dan saya sangat memahami kehendak jiwa muda baik lelaki, mahupun perempuan. Islam mahukan umatnya sentiasa aktif, cergas serta progresif”.
Bekas pelumba motorsikal negara ini menyarankan agar golongan muda membina kekuatan mental, fizikal dan spiritual bagi menghadapi cabaran semasa. Dalam pada itu, beliau sempat melayan keluhan rakyat berkenaan isu pencerobohan tanah oleh kerajaan BN.
Turut yang mengulang kata Yasser, beliau menyatakan bahawa sangat penting bagi golongan muda untuk memberikan peluang kepada Pas untuk membuktikan bahawa pemimpin Pas memperjuangkan hak yang menepati citarasa golongan muda," ujarnya.
Aksi dan demonstrasi menunggang motorsikal dengan selamat oleh Yasser dan pertandingan menunggang motorsikal lambat oleh para peserta berjaya menarik minat kira-kira 200 pengunjung untuk menunggu sehingga program berakhir.
Saran Yasser, selaku orang yang berpengalaman dan berkemahiran dalam menunggang motor serta aktif dalam ceramah ”Safety Riding” agar wanita memakai jaket bagi mengelakkan tudung daripada menutupi muka ketika menunggang motor untuk mencegah berlakunya kejadian yang tidak diingini ketika.
Aktiviti itu juga berselang-seli dengan ucapan pimpinan yang hadir. Penyampaian cabutan bertuah berupa hadiah barangan dan servis enjin motor secara percuma kepada 30 peserta yang terlibat.
Baginya, melihat suasana di sini, kelebihan pengundi muda akan memberi undi kepada Wahid sangat tinggi memandangkan calon yang baginya sangat prihatin kepada golongan muda itu memahami kehendak orang muda dalam apa juga keadaan.
Dimaklumkan juga, beliau (Yasser) akan berada di Kuala Terengganu bersama jentera pilihan raya PAS beberapa hari sehingga proses pembuangan undi pada 17 Januari ini.
Program yang julung kali diadakan ini bermula jam 2.30 petang ini selesai hingga lewat petang semalam.
Calon BN sombong, Umno tak reti pilih calon - Tun , at 11.1.09,
KT: Imej Sombong Wan Farid
Buruk sangatkah imej dan perlakuan Wan Farid sehinggakan Pak Lah sendiri terpaksa membela Wan Farid dari imej sombong? Sebelum ini Najib juga telah ke depan membela Wan Farid apabila Dr M mengatakan Wan Farid adalah proksi kepada Pak Lah. MB Terengganu, Ahmad Said sendiri mengakui belum berpuas hati dengan imej Wan Farid setakat ini. Apakah Wan Farid adalah "teruk dan teramat buruk" seperti yang dikatakan tersebut?
Secara peribadi aku tidak kenal siapa Wan Farid. Walaupun tahu Wan Farid adalah Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, namun disebabkan tiada apa yang menarik untuk diteliti tentang dirinya menyebabkan tiada perasaan mahu ambil tahu sehinggalah Wan Farid dilihat beria-ria mahu menjadi calon UMNO bagi kerusi P036 Kuala Terengganu.
Ketika itu imej Wan Farid sudah diperkatakan sebagai sombong, elit dan sebagainya. Ditambah dengan mempunyai pertalian dengan Wan Hisham (abang), imej Wan Farid sudah diletakkan sebagai tercalar sebelum dicalonkan lagi. Namun, kerana kedudukan dan sedikit 'keakraban' dengan Pak Lah mungkin menjadi penyebab kepada kerusi terbabit dicaloninya.
Imej Wan Farid bertambah buruk bilamana PAS meletakkan Hj Mohd Abdul Wahid Endut sebagai calon. Sifat semulajadi peramah dan mudah mesra Hj Wahid telah meletakkan saham Wan Farid merudum lagi. Perbezaan sikap dan kemesraan antara keduanya menyebabkan imej Wan Farid dikatakan terpaksa diperbaiki dan dimolekkan. Maka muncullah pelbagai billboard yang cuba menceritakan Wan Farid adalah comel-comel sahaja layaknya.
Dalam mendengar cakap-cakap awam tentang Wan Farid yang ego, sombong dan elit, aku akhirnya terpaksa akur dan mengakui bahawa cakap-cakap itu ada asas dan kebenarannya. Aku sempat melayari laman web UMNO Kuala Terengganu dan menjumpai gambar-gambar anak bangsawan tersebut. Patutlah dia dikatakan ego, sombong dan elit.
Tangkap penyokong Palestin: Rakyat KT mesti hukum BN , at 11.1.09,
KUALA LUMPUR - Para pengundi di Kuala Terengganu bertanggungjawab menghukum sikap hipokrit kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menahan 21 orang dalam perhimpunan nyalaan lilin menyokong mangsa perang di Palestin dan Sri Lanka, kata Pengerusi Gerakan Anti-Zionis (Gaza), Mahfuz Omar.
Polis menahan 21 orang termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara yang juga Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Mohd Nasir Hashim, Anggota Parlimen Klang Charles Santiago serta Penyelaras Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) Arutchelvan Subramaniam serta beberapa aktivis dari Suaram dan Jerit.
"Kerajaan BN mendakwa ia menyokong perjuangan rakyat Palestin yang kini diganasi oleh Israel. Tetapi pada masa yang sama, ia bertindak zalim terhadap rakyat yang berhimpun menyokong mangsa keganasan di Palestin dan Sri Lanka.
"Tindakan itu tindakan zalim, kejam. Tidak ada istilah lain yang lebih tepat. Rakyat tidak boleh lagi berdiam diri terhadap kezaliman kerajaan BN itu dan para pengundi dalan pilihan raya kecil Kuala Terengganu mesti menghukum tindakan kejam itu dan jangan sama sekali mengundi BN," tegas beliau.
Kerajaan BN, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, bukan sahaja menentang arus dunia yang menyuarakan bantahan besar-besaran terhadap kekejaman dan keganasan Israel, malah tidak menghormati perasaan dan keprihatinan mereka yang berhimpun menentang kedurjanaan itu.
"Kerajaan BN bukan sahaja tidak menghormati mereka yang berhimpun itu, malah tidak menghormati gelombang kemanusiaan di seluruh dunia yang menentang keganasan Israel dan lebih dari itu, tidak menghormati rakyat Palestin yang berjuang, berdarah dan terbunuh untuk memerdekakan tanah air mereka," katanya lagi.
Mahfuz mempersoalkan, adakah kerajaan BN hendak mengambil hati Amerika Syarikat dengan tindakan menzalimi mereka yang berhimpun menyokong mangsa perang di Palestin dan Sri Lanka itu?
"Adakah kerajaan BN menerima isyarat dari Amerika supaya menyekat pembelaan dan ruang bantahan terhadap keganasan Israel ke atas rakyat Palestin?
"Adakah kerajaan BN diberi amaran oleh Amerika supaya jangan membiarkan gelombang bantahan di negara ini bertambah meluas dan membesar sehingga menjejaskan kepentingan ekonomi syarikat-syarikat dari negara penaung keganasan Israel itu di negara ini? " beliau mempersoalkan lagi