Ikuti Blog ini

TG Nik Aziz mahu debat individu berkuasa

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau hanya menyahut cabaran untuk berdebat dengan individu yang mempunyai kuasa dan berprinsip.

Menteri Besar Kelantan itu mengakui, debat cara terbaik untuk menyelesaikan kekusutan, namun ia harus disertai orang yang ada kuasa bagi menyelesaikan masalah berbangkit.

Menurutnya, beliau tidak akan terikut-ikut dengan rentak Ulama UMNO, Profesor Madya Mohd Noor Deris untuk berdebat dengannya kerana individu itu tidak mempunyai dasar yang jelas dalam perjuangan.

“Saya tidak akan terima (cabaran Profesor Mohd Noor), dia ni sekali Pas, sekali UMNO, sekali kebangsa­an, tiada dasar (prinsip) dalam perjuangan,” katanya ketika ditemui di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini, semalam.

Nik Aziz mengulas kenyataannya, kelmarin, yang bersedia untuk berdebat dengan Mohd Noor berhubung dakwaan beliau membuat kenyataan yang merosakkan akidah selain memecah-belah umat Islam.

Isu ini timbul apabila Nik Aziz pada sidang media semasa Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, baru-baru ini, mendakwa mereka yang tidak mengundi Pas adalah jahiliah.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta Majlis Fatwa Kebangsaan tidak menunggu keadaan menjadi lebih keruh dan huru-hara, berikutan kenyataan Nik Aziz yang dikatakan menimbulkan kontroversi.

Ditanya adakah Mohd Noor bukan lawan sebenar beliau untuk berdebat, Nik Aziz berkata, soal taraf tidak berbangkit, tetapi yang penting individu berkenaan ada dasar yang teguh.

“Saya boleh berdebat, orang tengahnya al-Quran, tetapi ia harus dengan individu yang betul, bukan seperti beliau (Mohd Noor),” katanya.

Kezaliman Polis Mesir Terhadap Penentang Diktator Mubarak


Death in Alexandria


Death In Cairo

Pandangan kedua: Bawa pulang bawa kesan negatif

KUALA LUMPUR, 6 Feb: Ketika rakyat dan kerajaan sibuk mahu membawa pelajar Malaysia di Mesir pulang, seorang rakyat Malaysia yang baru pulang dari sana mempunyai pendapat yang berlainan.

(Gambar atas: Rohidzir (tengah) terperangkap di tengah rusuhan di antara penunjuk perasaan dan polis. Asap hitam di belakang menunjukkan penujuk perasaan di Tahrir Square.)

Bagi beliau, mereka tidak perlu dibawa pulang bahkan membawa pulang mereka memberikan kesan negatif kepada pelajar itu sendiri.

"Bagaimana dengan barangan mereka di sana dan apa pandangan penduduk sana yang melihat kita mahu bersama dengan mereka dalam keadaan aman tetapi lari ketika susah," kata Editor Kanan PTS Islamika, Ustaz Rohidzir Rais, 36 yang baru pulang dari sana.

Beliau lebih bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri Kelantan yang menghantar wakil ke sana dan membekalkan wang untuk membantu pelajar yang menghadapi masalah.

Beliau mempersalahkan media tempatan kerana membesar-besarkan sesuatu isu yang tidak pun berlaku seperti pelajar wanita dirogol, kematian yang sebenarnya telah berlaku sebulan lalu dan tidak cukup makanan selain roti.

Rohidzir yang baharu pulang ke tanah air dua hari lalu selepas seminggu terperangkap di dalam suasana demontrasi di Kaherah, tindakan media itu sangat melampau.

"Media dengan maksud tertentu menimbulkan suasana resah perasaan di kalangan ibu bapa yang setiap hari dihidangkan dengan kejadian yang seolah-olahnya anak-anak mereka akan diperapa-apakan oleh keadaan di Mesir.

"Sedangkan pengalaman seminggu saya di sana, kami boleh tidur lena hingga 10 jam kerana langsung tidak terasa apa-apa melainkan sedikit sahaja, malah penduduk tempatan pula bersedia melindungi rakyat Malaysia.

"Ibu bapa yang kelam kabut dengan suasana tidak menentu yang dibangkitkan oleh pihak media dengan sajian berita menakutkan setiap hari lantas mereka mendesak pihak berwajib untuk bawa pulang pelajar," jelasnya.

Tambahnya, jika media memaparkan makanan yang ada roti sahaja tiada nasi dan sebagainya seperti makanan Malaysia, itu sesuatu yang sangat lucu kerana memang orang Arab makan roti yang merupakan makanan asasi mereka.

Makanan seperti beras masih ada walaupun dalam jumlah berkurangan dari biasa dan harga sedikit bertambah dari sebelumnya namun pelajar-pelajar itu masih mampu meneruskan kehidupan mereka tanpa perlu pulang asalkan mereka mengikut arahan pegawai negara ini yang bertugas di sana, ujarnya.

Rohidzir ditemui di pinggir ibu kota selepas sehari pulang ke Malaysia namun kelihatan gembira dengan peristiwa ini meskipun terperangkap selama seminggu di sana kerana pengalaman ini baginya, sangat bernilai.

Beliau dan Imran Azmi, juga Editor Kanan Islamika, dalam rangka menghadiri Pesta Buku Kaherah yang terbesar di dunia Arab yang dijadualkan bermula pada 26 Januari lalu dalam usahanya mencari buku-buku terkenal Mesir untuk diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

"Memang ketika hendak pergi, kami sudah tahu tentang kebangkitan rakyat itu tetapi kerana sudah berpengalaman bahawa ia tidak lama kerana memang Mesir adalah negara demontrasi; kami tidak menjangkakan mereka akan berhimpun melebihi 2 juta di Tahrir Square (Dataran Merdeka).

"Sesampainya kami di Dataran Merdeka langsung terperangkap di tengah-tengah suasana demontrasi (muzaharat) dan sempat juga mengambil gambar-gambar menarik untuk titipan sejarah ke dalam bentuk buku.

"Niat hati ketika datang untuk meninjau tempat bersejarah kerana empat tahun ketika belajar dahulu, tidak berkesempatan berbuat demikian, rupanya kami terlibat secara tidak langsung di dalam senario mencipta sejarah baru," jelasnya.

Selain itu, tambahnya, keputusan Kerajaan Malaysia disifatkan sebagai tidak mempunyai rasa persahabatan sesama umat Islam ekoran membawa pulang ribuan pelajar ketika Mesir dilanda musibah.

Rohidzir yang berpengalaman selama empat tahun (1998 - 2002) belajar di negara itu berpendapat, sewajarnya rakyat Malaysia tidak perlu dibawa pulang.

"Kita dilihat sebagai hanya mementingkan diri sendiri sahaja atau selfish kerana hanya sanggup tinggal di sana ketika senang dan meninggalkannya ketika mereka ditimpa bencana," jelasnya.

Kedudukan tempat tinggal pelajar negara ini, ujarnya, agak jauh dalam beberapa jam perjalanan kereta dan apa yang berlaku di Kaherah seperti dentuman, tidak pun didengari oleh pelajar.

Dalam pada itu, Rohidzir turut membayangkan, jika pun semua pelajar berjaya dibawa pulang dengan selamat, bagaimana keselamatan peralatan belajar mereka yang ditinggal sementara seperti kitab-kitab yang banyak dan kandungan komputer sangat berharga.

Setelah aman, ujarnya, pelajar-pelajar akan datang semula ke Mesir dengan kos siapa pula dan banyak lagi perkembangan negatif yang bakal berlaku ekoran tindakan kurang tepat yang diambil oleh pihak berwajib.

Sementara itu, beliau menyanjung tinggi usaha segera yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang menghantar Ustaz Zulkifli Yaakob dengan membawa wang sebanyak RM120,000 di ketika satu badan wakil kerajaan pusat hanya diperuntukkan sebanyak RM35,000.

Rohidzir bagaimanapun melahirkan rasa syukur tidak terhingga kerana selamat pulang dengan membawa perjanjian hakmilik buku dengan penerbit terbesar negara Arab, Darus-Salam. -Hrkh

Al- Qaradhawi: Peserta Demonstrasi Yang Terbunuh Mati Syahid!

Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menyifatkan Presiden Mesir, Husni Mubarak sebagai ‘mula menyembelih rakyatnya sendiri’ selepas tercetusnya pertempuran berdarah antara penyokong presiden Mesir itu dan para peserta demonstrasi pada Rabu, 2 Februari 2011 di Medan Tahrir.

Beliau menyifatkan sedemikian kerana pertempuran itu berlaku selepas 9 hari majoriti rakyat Mesir berdemonstrasi menuntut pengunduran Husni Mubarak daripada kerajaan.

Mubarak, menurut al-Qaradhawi lagi “telah mula menyembelih tanahairnya sendiri dan bertindak seperti tindakan Firaun serta menjadikan sebahagian rakyat Mesir berkuasa ke atas sebahagian yang lain”.

Syaikh al-Qaradhawi turut berdoa supaya Allah membebaskan rakyat Mesir daripada penderitaan mereka dan membebaskan mereka daripada ‘para taghut’.

Ketegasan dan kelantangan al-Qaradhawi

Ketegasan dan kelantangan Syaikh al-Qaradhawi berhubung situasi semasa di Mesir begitu terserlah apabila beliau, melalui stesen satelit al-Jazeera pada 2 Februari 2011, menegaskan adalah menjadi kemestian ke atas setiap rakyat Mesir menyertai ‘Perarakan Jutaan Umat’ yang akan diadakan pada jumaat depan. (telah berlalu -GB)

Perhimpunan tersebut yang diadakan bagi menguatkan tekanan ke atas Presiden Husni Mubarak, disifatkan oleh para peserta demonstrasi sebagai ‘Jumaat Pemutus’ yang merupakan kesinambungan kepada perarakan pada Jumaat lepas yang dinamakan sebagai‘Jumaat Kemarahan’.

Lebih daripada itu, Al-Qaradhawi yang tinggal dalam buangan di Qatar itu, menganggap bahawa “turun ke jalan raya khususnya hari Jumaat, untuk menyertai bantahan merupakan kewajipan syarak ke atas setiap yang mampu pergi ke tempat-tempat perhimpunan dan tidak ada keuzuran yang menghalangnya”.

Sehubungan itu, beliau menggesa para ulama al-Azhar dan lepasan universiti itu agar memimpin dan menyertai perarakan membantah kezaliman regim Husni Mubarak di seluruh Mesir.

Dalam ucapan yang ditujukan kepada Husni Mubarak, al-Qaradhawi memberi amaran kepada Presiden Mesir itu bahawa “kami akan menghadapi kamu dengan doa diwaktu sahur dan dengan setiap orang yang kusut rambutnya dan berdebu tubuh badannya yang jika dia berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan memperkenankan doanya”.

Beliau merujuk kepada hadis Nabi s.a.w yang memperihalkan kewujudan sebilangan manusia yang sangat mustajab doanya, meskipun mereka pada zahirnya kusut masai rambutnya dan berdebu tubuh badannya.

Sebagi ingatan kepada Mubarak, al-Qaradhawi menegaskan bahawa “doa orang yang dizalimi akan diangkat oleh Allah melepasi awan dan akan dibukakan untuknya pintu-pintu langit sambil Dia berkata, “demi keagungan dan ketinggianKu, Aku akan menolongmu walau pun selepas beberapa ketika”.

Peserta demonstrasi yang terbunuh mati syahid

Di akhir ucapannya, al-Qaradhawi memperlihatkan sikap dan pandangannya berhubung rakyat Mesir yang menyertai demonstrasi membantah regim Mubarak dan kedudukan mereka yang terbunuh dalam demonstrasi tersebut pada pandangan syarak.

Dalam ucapan yang ditujukan kepada para pemuda yang menggerakkan demonstrasi di Mesir, al-Qaradhawi menyatakan, “saya mengucapkan syabas kepada para pemuda yang menyertai siri-siri demonstrasi di atas keberanian, kecekalan, kemahuan dan sikap tidak berganjak mereka daripada lokasi-lokasi demonstrasi. Saya katakan kepada mereka, samada kamu menjadi orang-orang yang mulia dan bahagia, atau kamu mati sebagai para syuhada’”.

Terdahulu, dalam perutusan khas, al-Qaradhawi di atas nama Kesatuan Ulama Islam Sedunia, memfatwakan bahawa rakyat Mesir yang terbunuh dalam tunjuk perasaan di Mesir sebagai mati syahid.

Asas kepada fatwa ini ialah hadis Nabi s.a.w yang bermaksud, “sebaik-baik orang-orang yang mati syahid ialah Hamzah r.a dan seorang lelaki yang pergi kepada pemimpin yang zalim, lantas menyuruhnya melakukan makruf dan menegahnya dari kemungkaran, lantas dia dibunuh”.

Perutusan ini disiarkan oleh laman rasmi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, iumsonline.net.

Difahami daripada fatwa ini, rakyat Mesir yang berdemonstrasi membantah regim Mubarak, pada hakikatnya sama seperti seorang yang tampil membantah pemimpin yang zalim yang mengakibatkannya dibunuh, seperti yang disebutkan dalam hadis yang dinyatakan.

Sumber : onislam.net & iumsonline.net

Fatwa Dr. Yusof Al-Qaradawi di atas menutup terus pintu-pintu penghinaan dan cemuhan UMNO dan juak-juak mereka terhadap demonstrasi ke atas pemimpin yang zalim.

Ulamak2 UMNO? Apa kata tuan-tuan semua?

Dan ingat, Dr Yusof Al-Qaradawi adalah Tokoh Ma'al Hijrah Malaysia 2009 yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia sendiri. -GB
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .