Ikuti Blog ini

BETAPA SAYANGNYA RAKYAT KELANTAN KEPADA TUAN GURU

[1]

Tidak dapat dibayangkan betapa sedihnya hati Abu Bakar As-Siddiq ketika turunnya firman Allah bagi ayat yang terakhir yang menyatakan bahawa kandungan syariah Islam ini telah disempurnakan oleh Allah s.w.t. Di kala itu, boleh dikatakan perasaan gembira di kalangan para sahabat terserlah, tetapi ia merupakan penyebabkan air mata Abu Bakar As-Siddiq membasahi pipinya yang mulia.

Apabila ditanya, Abu Bakar As-Siddiq terus menyatakan bahawa penurunan ayat yang terakhir memberi satu isyarat bahawa itulah saat terakhirnya mereka bersama dengan Nabi Muhammad s.a.w yang cukup mereka cintai. Keadaan itu menyebabkan para sahabat Nabi yang lain merasa sedar, lalu turut menangis. Abu Bakar As-Siddiq sudah merasakan perkara ini, tidak hairan beliau amat tenang apabila mendapat berita kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.

Namun begitu, tidak dinafikan bahawa di zaman itu wujud satu lagi tokoh yang cukup hebat bernama Umar bin Al-Khattab. Berita kewafatan Nabi Muhammad s.a.w agak sukar diterima oleh beliau, menyebabkan beliau bertindak seperti orang yang kehilangan arah. Beliau dilihat seperti mengamuk dan meracau, seperti seekor ibu ayam yang sedang melilau mencari anak-anaknya yang hilang.

Namun begitu, keadaan Umar bin Al-Khattab berjaya ditenangkan oleh manusia berjiwa lembut dan tenang bernama Abu Bakar As-Siddiq. Terutama apabila mendengar ucapan yang cukup bernas dari Abu Bakar as-Siddiq yang berkata, “Barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad itu telah mati. Barangsiapa yang sembah Allah, sesungguhnya Allah itu hidup tidak akan mati”.

Aku kira, keberadaan dua karakter seperti ini wujud di setiap zaman kegemilangan seseorang tokoh. Ada pihak menilai seseorang tokoh itu, sepertimana Abu Bakar As-Siddiq menilai Rasulullah s.a.w. Ia mempamerkan Kesayangan beliau terhadap Nabi Muhammad s.a.w tidak menafikan rasional beliau yang mengakui bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu bakal wafat, kerana ia adalah satu sunnah alam, malahan dinyatakan sendiri oleh Allah s.w.t dalam al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud, “Setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati”.

Di sisi yang lain pula, ada satu karakter lagi bernama Umar bin Al-Khattab. Beliau adalah seorang tokoh yang berjaya mengadakan banyak reformasi dalam pemerintahan di zaman beliau menjadi Khalifah. Itu sudah cukup menandakan beliau seorang yang cerdik, dan mempunyai pemikiran yang cukup rasional dalam bidang politik.

Namun begitu, kesayangan beliau kepada Nabi Muhammad s.a.w begitu tinggi, sehingga beliau agak emosional dalam menerima berita kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Berita kesedihan diterima itu menyebabkan beliau yang dikenali sebagai manusia cukup rasional dalam berfikir, tetapi bertindak sebaliknya, sehinggakan beliau terpaksa diredakan oleh Abu Bakar As-Siddiq.

Padaku, rakyat Kelantan dan seluruh Rakyat Malaysia yang menyayangi Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga mempunyai cara seperti dua karakter ini. Ada karakter seperti Abu Bakar As-Siddiq. Tanpa dinafikan juga bahawa di sana ada di kalangan rakyat Kelantan khususnya, dan Malaysia umumnya meletakkan sayang mereka kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz seperti Umar bin Al-Khattab menyayangi Rasulullah s.a.w.

Walau kita dapat lihat bahawa cara kedua-dua tokoh ini berbeda dalam menerima berita kewafatan Nabi Muhammad SAW, tetapi adalah satu perkara yang kita tidak boleh nafikan bahawa kedua-dua tokoh ini amat menyayangi Nabi Muhammad s.a.w.

Ia bukan bermakna, Abu Bakar yang tenang itu tidak menyayangi Nabi Muhammad s.a.w. Juga tindakan Umar itu tidak bermakna beliau menpertuhankan Nabi Muhammad s.a.w. Tidak, sekali-kali tidak. Tetapi, kesayangan yang terlalu tinggi itu menyebabkan beliau bertindak sedemikian.

[2]

Idea yang aku lontarkan agar Tuan Guru Nik Abdul Aziz round Malaysia dan dalam masa yang sama tidak bertanding dalam Pilihanraya mendapat komentar yang banyak. Ada yang melihat dengan positif, tanpa dinafikan ada yang melihatnya dengan pandangan negative.

Di peringkat Negeri Kelantan sendiri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz secara peribadi melihatnya sebagai positif, tetapi dilihat seperti negative oleh sebilangan pemimpin-pemimpin PAS di peringkat Negeri.

Dari pihak yang negative dengan idea itu, ada sebilangan mereka menolak dengan rasional, tanpa dinafikan disana ada yang menolaknya dengan emosional. Malahan Makian dan kutukan terhadap diriku berlaku.

Padaku, itu hak dan tanggungjawab mereka. Aku tidak akan menyalahkan mereka, malahan akur dengan tindakan mereka itu. Mungkin anugerah perasaan sayang mereka kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz kurniaan Allah itu setara dengan sayangnya Umar al-Khattab kepada Rasulullah s.a.w.

Jika Umar boleh hilang rasional dikala mendapat berita kewafatan Nabi Muhammad s.a.w, tidak hairan ada yang hilang rasional ketika mendengar idea yang tidak popular tersebut.

[3]

Pada penilaianku, rata-rata menerima idea Tuan Guru Nik Abdul Aziz round Malaysia, tetapi tidak dapat menerima idea Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak bertanding dalam Pilihanraya seterusnya tidak menjadi Menteri Besar dalam sessi akan datang.

Dalam perbincangan dan wacana secara tidak langsung, ada pandangan lain yang mencadangkan agar Tuan Guru tetap juga bertanding pilihanraya, tetapi beliau tidak lagi ditabal sebagai Menteri Besar. Penilaianku, itu juga idea yang bernas.

Ada bertanya, mengapa idea ini dilontarkan. Jawapanku adalah, cadangan tersebut berfaktorkan beberapa perkara berikut;

Pertama;

Apabila Tuan Guru tidak bertanding dalam PRU, maka Tuan Guru boleh fokus round Malaysia dalam usaha menjatuhkan UMNO/BN di Malaysia.

Kedua;

Tuan Guru sendiri telah membuka ruang kepada muka-muka baru yang merupakan anak didik-anak didik beliau sendiri untuk mengambil tampuk pemerintahan yang beliau bina sejak sekian lama.

Ketiga;

Sekiranya berlaku kekalutan di kala beliau hidup ketika pemerintahan Kelantan bertukar ‘driver’, beliau yang masih hidup boleh meredakan keadaan itu. Tanpa beliau, amat sukar hendak meramal keadaan yang berlaku di Kelantan kelak.

Keempat;

Padaku Tuan Guru bukan segala-galanya dalam politik PAS di Kelantan. Namun, segala-galanya memerlukan bantuan Tuan Guru. Dengan maksud, bermula dari sekarang Tuan Guru perlu mengkedepankan tokoh yang berkemampuan seperti Tuan Guru. Sekiranya wujud sebarang kelemahan dalam pemerintahan tokoh itu di kala beliau hidup, ia berjaya dibaiki sendiri oleh Tuan Guru.

[4]

Dari sudut hati kecilku, perkara yang paling aku bimbang adalah, dua perkara besar. Iaitu,

Pertama;

Kebimbangan terhadap kepercayaan dan iktiqad sebilangan individu ahli PAS yang meletakkan tanggapan bahawa Kelantan ini bertahan kerana factor Tuan Guru Nik Abdul Aziz sahaja. Dengan tanggapan, selepas Tuan Guru Nik Abdul Aziz, maka Kelantan akan jatuh ke tangan UMNO/BN.

Keadaan ini mengingatkanku terhadap keputusan tidak popular Umar yang memecat Khalid Al-Walid dari menjadi panglima Perang, walhal sebelum ini Khalid Al-Walid memimpin perang tidak pernah kalah. Walaupun dibantah oleh sebilangan besar sahabat yang hidup ketika itu, tetapi Factor kepercayaan “hanya Khalid sahaja berjaya memberi kemenangan dalam berperang” itu melahirkan kerosakan dari sudut kepercayaan, menyebabkan Umar mengambil keputusan tidak popular tersebut.

Padaku, kepercayaan bahawa Kelantan itu hanya diperintah PAS berfaktorkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi Menteri besar perlu dipecahkan. Perlu diwujudkan kepercayaan bahawa tanpa Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi menteri Besar pun, PAS boleh menang di Kelantan, kerana kemenangan itu adalah pemberian Allah, iaitu meletakkan kepercayaan sepertimana Umar bin Al-Khattab mewujudkan kepercayaan bahawa kemenangan dalam peperangan itu bukan kerana Khalid Al-Walid semata-mata, malahan tanpa Khalid menjadi Panglima Perang pun, Islam boleh mencapai kemenangan dalam sebarang peperangan.

Kedua;

Kebimbangan “calar” tuan Guru Nik Abdul Aziz di masa akan datang. Mahathir calar di kala beliau meletakkan jawatan. Begitujuga Pak Lah Badawi yang meletakkan jawatan ketika beliau “terlalu banyak calar”.

Keadaan di masa akan datang, sukar diramal; apakah baik, apakah buruk, itu di bawah kekuasaan Allah yang maha berkuasa. Sekiranya baik, maka itu adalah perkara yang sudah berlaku sekian lama pada individu Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Namun sekiranya buruk, itu yang kita tidak habis-habis meminta bantuan dari Allah agak mengelakkan dari berlaku.

Meranung jauh kebelakang, aku masih ingat dengan individu bernama Dato’ Dr Hasan Ali. Sebelum sejarah 8 mac 2008, Hasan Ali disukai oleh ramai rakyat Selangor sehingga beliau disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar PAS di Negeri Selangor. Tetapi, setelah beliau dibisingkan dengan isu hubungan intim beliau dengan UMNO dan hubungan rapuh beliau dengan Pakatan Rakyat, beliau digugurkan dari jawatan pesuruhjaya PAS, dengan mendapat sokongan padu dari sebilangan besar ahli PAS sendiri.

Inilah kebimbanganku yang amat ketara bermain-main dalam fikiranku apabila berfikir tentang Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

[5]

Idea round Malaysia tidak ada khilaf dalam penerimaannya. Tetapi, idea tidak bertanding, penerimaan dan penolakkannya berlaku sedikit khilaf.

Secara idealnya, Tuan Guru NIk Abdul Aziz sendiri memandangnya sebagai positif. Namun idea itu agak ditolak oleh PAS di peringkat Kelantan. Pada tanggapanku, kebimbangan PAS Kelantan itu juga berasas, malahan juga logic. Ia kerana, mungkin idea itu menghasilkan resiko yang agak besar dalam berhadapan dengan pilihanraya di peringkat Negeri.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz memang mempunyai keputusan dia sendiri, tetapi sebagai pemimpin yang baik, sudah pasti beliau tidak akan mengambil keputusan sendiri, sebaliknya beliau akan menerima suara majority dari “kabinet” PAS di peringkat Negeri, malahan diperingkat pusat. Ini kerana, jatuh bangun Kelantan, bukan tertumpu kepada diri beliau sendiri, tetapi melibatkan sokongan dan dokongan dari rakan-rakan kabinet beliau.

Jadi, keputusan yang telah dan bakal dibuat hendaklah dihormati. Kerana, pandangan ramai itu lebih hampir kepada kebenaran berbanding pandangan yang sedikit.

[6]

Aku meletakkan kepercayaan bahawa kemenangan Islam itu bukan sebagai memerintah. Kemenangan dalam Islam yang aku faham adalah apabila ramai manusia memeluk islam.

Hujjah aku ini merujuk kepada firman Allah dari surah An-Nasr, ayat pertama dan kedua. Firman Allah itu bermaksud, “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan, kamu akan melihat manusia masuk kepada kepada Islam itu beramai-ramai”.

Adapun berjaya menguasai kerajaan adalah satu hadiah bonus dari Allah. Ini berasaskan kepada firman Allah yang bermaksud, “katakanlah Wahai Muhammad, kepunyaan Allah segala kerajaan. DIA akan memberikan kerajaan kepada siapa yang dia mahu” (Al-Imran : 26)

Jadi, Idea atau pandangan yang aku lontarkan dalam program pertemuan blogger dan facebooker itu sebagai sesuatu pandangan yang jika mahu diistilahkan sebagai soal ijtihad sahaja (walaupun tidak layak dengan istilah itu). Sekiranya ia benar, ia menghasilkan dua pahala, dan sekiranya tidak benar, maka ia menghasilkan satu pahala sahaja.

Kerana padaku, tindakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Round Malaysia, ia akan menarik perhatian non Muslim untuk mendekati politik Islam. Ia sudah pasti lebih hampir kepada makna bagi kemenangan islam mengikut neraca ayat al-Quran di atas.

Walaubagaimana pun, aku tidak menyatakan idea itu adalah yang terbaik malahan ia mungkin tidak relevan langsung. Ia terpulang kepada mereka terlibat dengan penentuan masa depan parti PAS dan kemenangan Islam di Malaysia untuk membuat keputusan.

Sekian

Wallahu ‘Alam
http://g-82.blogspot.com

Himpunan Sejuta Ummah Selamatkan Aqidah

Himpunan Sejuta Ummah Selamatkan Aqidah

1. Menyedari keadaan ummat Islam yang kini semakin dilingkari oleh persekitaran yang mengundang ancaman kepada aqidah mereka, pula keadaan ummat Islam yang sering disogok dengan aktiviti yang meletakkan mereka leka dan alpa dari tanggungjawab dan amanah  sebagai seorang muslim terhadap Tuhan yang mencipta mereka. Leka dan alpa dari tanggungjawab dan amanah sebagai seorang muslim terhadap masyarakat dan negara, DPP Malaysia akan bangkit bersama Ngo - Ngo Muslim untuk menggerakkan kebangkitan Ummat Islam di negara ini agar peka terhadap tanggungjawab mereka mempertahankan aqidah dan memperjuangkan kesuciannya.

2. Ummat Islam  seperti dibiarkan hanyut mengikut arus jahiliah moden yang melanda negara hari ini. Mereka dibiarkan jahil terhadap agama yang mereka anut tanpa sebarang tindakan yang efektif untuk memantapkan kefahaman dan aqidah sebaliknya aktiviti yang berpotensi meracuni pemikiran dan merosakkan aqidah ummat Islam semakin subur dan marak.

3. Melalui industri filem yang semakin mempopularkan amalan khurafat, tahyul, pergaulan bebas dan sindiran tajam kepada golongan yang komited dengan agama, kini aktiviti dan kenyataan yang mengguris hati dan nurani ummat Islam itu melarat pula ke laman sosial seperti facebook dan twitter tanpa sebarang sekatan.

4. Isu " Makcik Hajjah Sitt Al - Wuzara" yang telah menghina Islam secara terbuka melalui laman web, facebook dan twitternya seperti mendapat restu dari pihak berkuasa agama apabila tiada satu pun tindakan berkesan diambil. Sungguhpun beberapa kali desakan telah dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia mahupun Ngo - Ngo muslim termasuk kumpulan Jingga 13.

5. Sebelum ini DPP Malaysia telah memberikan had tempoh 10 hari untuk  pihak berkuasa agama bertindak setelah isu ini terlalu lama dibiarkan berlarutan. Jika tidak, DPP Malaysia tidak teragak- agak untuk bangkit bersama dengan ngo - ngo muslim dan seluruh rakyat prihatin menggerakkan "Himpunan Sejuta Ummah" bagi menentang apa jua usaha, kenyataan dan perlakuan yang  cuba meruntuhkan aqidah ummah dan mempersendakan ajaran Islam yang suci ini.

6. Dakyah golongan tertentu melalui pelbagai agensi dan elemen, yang dilihat cuba mempengaruhi pemikiran dan keyakinan [aqidah] ummat Islam juga giat dirancang dan berjalan dalam negara kita. Sementara keadaan ummat Islam yang semakin jauh dari suasana [bia'h] hidup beragama turut mengundang kepada gejala keruntuhan akhlak dan aqidah.

7. Mutaakhir ini, negara juga menyaksikan terlalu banyak ideologi ciptaan manusia disogok dan dipaksa kepada ummat Islam supaya mereka menerima dan menganutnya. Begitu juga ajaran - ajaran sesat semakin berkembang dengan berselindung disebalik pelbagai aktiviti sosial malah mereka seperti mendapat "lesen" untuk beroperasi secara terang - terangan. Termasuklah penularan fahaman syiah yang semakin membimbangkan masyarakat Islam dalam negara ini.

8. Ummat Islam tiada pilihan dan mereka mesti bangkit. Mereka perlu disedarkan segera dari lena yang panjang dan alpa yang mengasyikkan. Justeru itu Dewan Pemuda PAS Malaysia memberi sokongan 200% kepada usaha ngo - ngo Islam bagi menjayakan "Himpunan Sejuta Ummah" di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober 2011 kelak sebagaimana yang telah diisytiharkan oleh Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid semalam.

9. Objektif gerakan ini sangat murni dan sayugianya tiada siapa dari kalangan ummat Islam yang prejudis terhadap "Himpunan Sejuta Ummah" yang akan membangkitkan kesedaran Ummat Islam dari seluruh negara. Mudah - mudahan mereka memahami amanah dan tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim yang tidak boleh membiarkan diri mereka dipersenda dan agama mereka dihina.

10. Insyaallah, bertepatan pula dengan resolusi Sidang Meja Bulat Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama 14 Ngo - ngo Islam di Shah Alam tempohari, DPP Malaysia akan menggerakkan seluruh kekuatan pemuda - pemuda Islam negara ini untuk bangkit mempertahankan aqidah, akhlak dan fikrah ummah agar Islam kembali tegak dan dihormati sebagai agama yang membawa rahmat [kasih simpati], a'dalah [keadilan] dan barakah [kebaikan yang melimpah ruah] dari Tuhan Sang Pencipta.

11. Himpunan dan kebangkitan ini tidak perlu dilihat sebagai ancaman kepada masyarakat non muslim sebaliknya Himpunan dan Kebangkitan ini adalah berobjektifkan untuk memperkasa aqidah ummat Islam dan menentang elemen penghinaan terhadap agama Islam. Justeru Islam adalah agama yang sangat menghormati dan menjaga hak - hak non muslim dan ia adalah agama yang sangat toleransi terhadap agama - agama lain.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Video : Sidang Media Mat Sabu Selepas Failkan Saman Keatas Utusan



KUALA LUMPUR, 14 sept: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini menyaman akhbar Utusan Malaysia ekoran penyiaran satu berita yang didakwa memfitnahnya berhubung isu komunis.

Saman tersebut difailkan pagi tadi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.

Ianya berikutan laporan muka depan akhbar Umno itu pada 27 Ogos lalu bertajuk "Mohamd Sabu Hina Pejuang, Anggap Pengganas Komunis Hero Sebenar Tragedi Bukit Kepong" yang didakwanya sebagai fitnah.

"Saya hanya mempertahankan diri dan mengelak daripada fitnah terutama tuduhan komunis, tuduhan sebagai pengganas dan mempertikai aqidah.

"Fitnah-fitnah yang disebutkan tadi boleh menyebabkan keselamatan saya dan keluarga saya terjejas, maka kita perlu ambil tindakan undang-undang," kata Mohamad pada sidang medianya di Pejabat Agung PAS hari ini.

Turut serta pada sidang media itu peguam mewakilinya, Hanipa Maidin.

Menurut Hanipa, saman tersebut menamakan dua pihak iaitu Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sebagai pencetak dan penerbit akhbar berbahasa Melayu itu.

Antara yang dituntut termasuklah ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Bagaimanapun jumlah ganti rugi tersebut tidak ditentukan dan bergantung kepada tafsiran mahkamah.

Dalam laporan Utusan Malaysia 27 Ogos lalu, akhbar itu menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Mat Indera, lelaki yang didakwa bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Bagaimanapun laporan itu dakwa Mohamad sebagai tidak benar dan fitnah kerana beliau tidak pernah mengaitkan Mat Indera dengan Komunis namun dilapor sebaliknya oleh Utusan Malaysia.

Ekoran laopran itu juga menurut Mohamad, beliau dan anggota keluarganya yang lain menerima pelbagai ugutan termasuk dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti ‘awak patut bertaubat, awak berbohong dan jangan sampai ada yang simbah asid ke atas isteri dan anak perempuan kamu.’

Beliau berkata, ada juga mendesak beliau dibuang negara, termasuk dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), selepas laporan akhbar didakwa memesongkan kenya­taannya.Hrkh

Cukai GST: Rakyat Bakal Menderita Parah Jika UMNO BN Menang PRU13

Najib: GST kemungkinan selepas PRU-13

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata bahawa kerajaan sedang meninjau kemungkinan untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selepas pilihan raya umum akan datang.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis makan malam Persidangan CEO Global Forbes Ke-11 di Kuala Lumpur hari ini, Najib berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri telah diminta untuk memastikan segala sistem sudah bersiap-sedia. Katanya, isu sekarang ialah masa yang sesuai bagi pelaksanaan berkenaan.

"Kami telah umumkan, secara prinsip bahawa kita akan memperkenalkan GST dan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menubuhkan sistem bagi membolehkan kita untuk melaksanakan ini.

"Persoalannya ialah masa. Saya berpendapat apabila tiba masanya, dalam masa terdekat... kemungkinan selepas pilihan raya akan datang, kami akan memperkenalkan GST," kata Najib.

Beliau berkata adalah penting untuk bersedia memandangkan akan terdapat gangguan dan penilaian semula apabila tiba masa pelaksanaannya.

"Saya percaya apabila sesuatu sistem diperkenalkan, tidak kira betapa rapi persediaan dilakukan, tetap akan ada kesilapan dan kelemahan dalam pelaksanaan nanti," katanya.

Najib yang juga menteri kewangan juga mendakwa penerimaan rakyat terhadap pelaksanaan GST semakin meningkat.

Daripada 12 juta rakyat, hanya 1.2 juta yang membayar cukai, katanya.

"Rancangan kami ialah untuk mengurangkan defisit fiskal kami daripada 5.6 peratus kepada 5.4 peratus tahun ini dan turun kepada kira-kira tiga peratus dalam masa beberapa tahun akan datang. Jadi, apabila kami mngurangkan defisit fiskal kami, akan terdapat lebih keyakinan dalam ekonomi serta kami akan dapat menyaksikan asas yang lebih kukuh di Malaysia," kata Najib.

Sementara itu, Bernama melaporkan pada dialog selama 45 minit itu yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarang dan Pengerusi Forbes Asia, Steve Forbes, Najib juga berkata tindakan afirmatif untuk membantu Bumiputera, yang diperkenal di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan dikekalkan.

Bagaimanapun menurut perdana menteri, DEB akan berubah menjadi lebih mesra pasaran dan berdasarkan merit.

Najib, yang juga menteri kewangan, berkata strategi kerajaan sekarang yang mewujudkan lebih banyak peluang bagi Bumiputera, tanpa mengenakan kuota ke atas kaum lain, juga menarik bukan Bumiputera.

"Apa yang kita dapati ialah cara ini (tindakan afirmatif di bawah DEB), pertamanya, ia tidak popular dengan pasaran; dan keduanya, tidak benar-benar membantu bumiputera.

"Apa yang cuba kita lakukan sekarang ialah mengubahnya; tindakan afirmatif kekal, tetapi ia harus lebih mesra pasaran dan harus lebih berdasarkan merit," katanya.

Mengenai sama ada telah tiba masanya bagi Asean mengkaji untuk memperkenal mata wang baharu, Najib berkata negara-negara Asean akan tetap terbuka kepada idea dalam jangka panjang tetapi pendekatan mestilah terkawal bagi mengelak daripada gangguan dalam pasaran kewangan dan mata wang.

"Saya menerima hakikat bahawa dalam jangka pendek dan sederhana, dolar AS akan terus menjadi mata wang utama antarabangsa dan euro juga akan menjadi mata wang penting. Saya tidak melihat gambaran berubah dalam jangka pendek dan sederhana.

"Tetapi dalam jangka panjang, ia (idea mata wang baharu bagi Asean) masih terbuka. Tetapi biarlah pelaksanaan terkawal supaya kami tidak mengganggu pasaran kewangan dan mata wang," kata Najib.

Beliau berkata Malaysia merupakan negara pertama menggunakan mata wang tempatan untuk menjalankan perniagaan dan perdagangan dengan China. -M'kini

Bagaimana Jamil Khir mampu miliki Rumah Mewah ini?


WarkahDaily – Ala, ‘ustaz’ pun nak kaya jugak bro…tak kan ustaz tak boleh bina banglo, duduk dalam banglo mewah yang serba lengkap, bahkan memiliki banglo berharga berjuta-juta ringgit. Fuh, memang terer ustaz ni.

Woi, sekarang jangan panggil ustaz lagi bro!, panggil Datuk Seri pulak ye. I dah jadi orang kaya baru. Semuanya hasil kerja ‘dakwah’ I dalam Umno dan memperjuangkan Umno.



Tiga tahun jadi menteri dah dapat rumah sebesar ini?
Tapi kan, kalau I masih lagi tak aktif siang-malam bekerja untuk perjuangan Umno, I rasa, I tak akan menikmati banglo sebesar itu. I memang berjaya!

Eh..eh..Ustaz…Ops, Datuk Seri, banyaknya duit Datuk Seri sampai boleh bina banglo sebesar itu. Bukan murah tu, boleh sampai angka juta-juta tu. Betoi ke ni Datuk Seri? Ce citer, ce citer sket….

Bukan ke Datuk Seri baru tiga tahun ‘bersengkang’ mata berjuang untuk Umno? Tiga tahun pun boleh dapat juta-juta ke? Memang hebat tu!

Semalam akhbar Suara Keadilan telah mendedahkan yang ‘ustaz’ Umno yang kini bergelar Datuk Seri telah mempunyai sebuah rumah mewah yang dianggar menelan jutaan ringgit.

Dalam pada itu, timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan, (AMK) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin menggesa ‘ustaz’ Umno bertaraf menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu memberi penjelasan terhadap pendedahan berkenaan.

Kalau nak tahu, siapa lagi ‘ustaz’ Umno yang kaya-raya tu, kalau bukan menteri yang duk jaga hal ehwal Agama Islam, Datuk Seri Jamil Khir.

‘Ustaz’ tu bro!...Penulis WarkahDaily Online duk rasa, dia ni macam si isteri bosnya kot yang beli cincin RM24 juta dengan duit dia kumpul sejak kecik lagi. Hahaha…menabung adalah amalan mulia.

Menurut Khairul Anuar, kekayaan Jamil Khir itu menimbulkan keraguan apabila menteri yang baru dilantik 3 tahun oleh Perdana Menteri dan hanya memiliki gaji tidak menjangkau RM15,000 itu, mampu memiliki kediaman mewah dalam masa yang singkat.


Hasil duit menabung masa kecik-kecik dulu ke?
Dasar pemimpin Umno, duk berebut nak jadi YB, nak jadi menteri, rupa-rupa mereka nak habuan rumah besar, kereta besar, duit besar. Tak kira ‘ustaz’ tu, semuanya ‘gelap’ mata.

“Kalau dia (Jamil Khir) rasa seorang yang berpegang teguh terhadap agama dan ada kebertanggungjawaban terhadap negara, dia perlu jujur menjelaskan kekayaan sebelum dan selepas (menjadi menteri),” katanya mengulas isu berkenaan semalam.

Dipetik dari Keadilandaily, Khairul berkata ia bukan perkara memeranjatkan kerana menjadi kebiasaan menteri yang ditadbir Kerajaan Barisan Nasional (BN) hidup mewah.

Beliau merujuk kes bekas Menteri Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang mencetus kontroversi kerana kos kediamannya dikatakan melebihi kemampuan sebagai menteri besar yang berkhidmat selama lapan tahun.

“Rakyat pun tidak terperanjat dengan isu yang sudah dianggap biasa ini. Oleh itu, jika beliau (Jamil) ada sedikit rasa tanggungjawab dengan imej dan kedudukannya, beliau perlu tampil memberi penjelasan.

“Walaupun (dia) Jamil Khir merupakan Menteri Agama namun ia bukanlah jaminan beliau berperangai seperti Menteri-menteri lain”kata Khairul.

Sebelum ini PKR pernah mempersoalkan kehilangan RM32,000 wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) didakwa membiayai yuran guaman Jamil Khir dan Pengarah Jabatan Islam (JAWI), Datuk Che Mat Ali.

Ia terbongkar melalui kenyataan media Timbalan Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim, beberapa bulan lalu.

Wang zakat tersebut didakwa digunakan bagi menghalang permohonan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Saiful Bukhari Azlan, sedangkan Jamil dan Che Mat tidak tergolong dalam kategori yang layak menerima zakat.

AKHIRNYA!!!Demi Kuasa.. UMNO Penang melutut dan merayu kepada Koh Tsu Koon?

Demi kuasa, UMNO Pulau Pinang dilaporkan telah menjilat kembali ludah mereka, mereka mengenepikan sikap perkauman mereka, mereka membakul sampahkan Ketuanan Melayu mereka..

Demi Kuasa.. UMNO Pulau Pinang dilaporkan melutut dan merayu kepada Koh Tsu Koon dan Gerakan..

Terjemahan dari Kwong Wah Jit Poh, 11 September 2011, muka surat A6.

Untuk merampas kuasa kerajaan negeri Pulau Pinang daripada Pakatan Rakyat, pemimpin UMNO Pulau Pinang telah memohon maaf kepada Presiden Gerakan Koh Tsu Koon, agar hubungan antara kedua-dua parti yang terjejas sebelum ini dapat dijalin semula.

Sementara itu, Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajam Musa Sheikh Fadzir yang sering menyerang Koh Tsu Koon sebelum ini, dikatakan telah berjanji kepada Koh Tsu Koon bahawa dirinya tidak akan menyerang Gerakan lagi.

Malah, UMNO Pulau Pinang berjanji agar jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang disandang pemimpin Gerakan, seandainya Barisan Nasional menang di Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Demikianlah laporan Kwong Wah Yit Poh yang disiarkan pada 11 September 2011, memetik daripada sumbernya.

Menurut laporan, kebangkitan Pakatan Rakyat selepas 8 Mac 2008 telah menyedarkan UMNO Pulau Pinang, bahawa mereka tidak boleh menang hanya dengan undi Melayu.

Kesedaran UMNO Pulau Pinang tentang "kepentingan undi Cina" telah membuka ruang untuk UMNO berbaik semula dengan Gerakan.

Perselisihan berlaku antara UMNO dengan Gerakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, antaranya Pemuda UMNO mengambil kesempatan untuk menyatakan ketidakpuasan terhadap Koh (yang pada ketika itu masih Ketua Menteri), dalam satu acara yang turut dihadiri Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri ketika itu) pada tahun 2006.

Pada September 2008, seorang penyokong bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera Ahmad Ismail mengoyakkan gambar Koh di khalayak ramai, sehingga Koh dipersendakan musuh politiknya. Rata-rata masyarakat Cina menganggap Koh Tsu Koon terlalu "lembik", sehingga mudah "dibuli" pemimpin UMNO.

Koh ugut keluar dari BN?

Seorang pemimpin Gerakan yang memihak kepada Koh, memberitahu Kwong Wah Yit Poh bahawa Koh Tsu Koon amat tegas dalam isu Ahmad Ismail, malah mengugut untuk memanggil Mesyuarat Agong Luar Biasa (EGM) Gerakan agar keluar dari Barisan Nasional, seandainya pimpinan tertinggi UMNO tidak membekukan keahlian Ahmad Ismail.

Menurut laporan, ada usaha sebelum ini untuk menobatkan semula Ahmad Ismail (gambar kanan) sebagai Ketua Bahagian UMNO Bukit Bendera selepas tamat tempoh pembekuan keahlian beliau, namun usaha ini dihalang kerana tekanan daripada Koh.

Menurut laporan, Presiden UMNO Najib Razak dikatakan memberi jaminan bahawa Ahmad Ismail tidak akan kembali menjadi Ketua Bahagian selagi Najib kekal pada jawatan Presiden UMNO.

Melihat kepada nasib Ahmad Ismail, ditambah pula senario politik yang menyaksikan pemecahan undi Melayu kepada UMNO, PKR dan PAS, maka pemimpin UMNO Pulau Pinang telah menyedari kepentingan undi Cina, lantas berbaik-baik semula dengan Gerakan dalam mesyuarat Barisan Nasional sebelum ini.

Laporan Kwong Wah Yit Poh juga memetik Penyelaras BN DUN Padang Kota, Oh Tong Keong yang mengakui bahawa dirinya pernah mendengar khabar bahawa pemimpin UMNO memohon maaf kepada Koh Tsu Koon, dan berjanji untuk menyokong pemimpin Gerakan untuk menjawat Ketua Menteri Pulau Pinang. -
MerdekaReview

Mat Sabu fail saman hari ini

KUALA LUMPUR, 14 Sept — Senator Ezam Mohd Nor menyertai pemimpin-pemimpin Umno menggesa agar Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dikenakan tindakan tegas - kali ini digesa agar diusir keluar dan dilucutkan kerakyatan ekoran kenyataan berkenaan tragedi Bukit Kepong bulan lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad yang turut dikenali sebagai Mat Sabu (gambar) akan memfailkan kes saman ke atas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini.


Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan Mohamad akan memfailkan kes saman beliau.

Sebelum ini kerajaan berkata Mohamad tidak boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebab tindakannya tidak mengancam keselamatan negara.

“Saya dimaklumkan beliau (Mohamad) akan memfailkan kes hari ini, setakat ini satu pihak sahaja... Utusan, beliau akan mengadakan sidang media selepas itu,” kata beliau lagi.

Penghujung minggu lalu, Mohamad berkata akan memfailkan saman ke atas Utusan Malaysia berhubung satu berita berkenaan ceramahnya yang menyentuh tragedi Bukit Kepong bulan lalu.

Tempoh 24 jam yang diberikan oleh Mohamad kepada akhbar milik Umno itu agar memohon maaf berakhir Jumaat lalu.

“Masanya dah tiba saya saman Utusan Malaysia sampai bankrap sesuai dengan fitnah yang sengaja diatur untuk menjatuhkan maruah saya sekali gus bertujuan melumpuhkan pengaruh PAS bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal,” kata beliau Sabtu lalu.

Katanya, masa telah diberikan kepada Utusan Malaysia selama 24 jam untuk menarik balik siaran muka depan ‘Mat Sabu hina pejuang’ sudah berakhir dan saman akan bermula 12 September.

Serangan bertubi-tubi ke atas Mohamad masuk minggu ketiga sekarang.

Dalam kenyataannya, Ezam, bekas ketua sayap muda PKR mendakwa tiada tempat bagi orang yang menghina pengasas negara di mana-mana negara bertamadun.

“(Mohamad) Mat Sabu jelas melanggar garisan bagi seorang rakyat yang beradab dan bertamadun apabila menghina (Bapa Kemerdekaan) Tunku Abdul Rahman... tidak ada negara bertamadun akan kompromi dengan kebiadapan dan sifat tidak bertamadun ini.

“Rakyat Malaysia mesti diajar hidup secara bermaruah dan bertamadun. Justeru Mat Sabu mesti dihukum dan diusir keluar dari negara ini. Banyak negara komunis lain boleh jadi pilihannya,” katanya lagi.

Ahad lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata terpulang kepada Peguam Negara untuk mengambil sebarang tindakan terhadap Mohamad berhubung kenyataannya mendakwa pengganas komunis yang menyerang dan membunuh anggota polis dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950 sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara.

Beliau berkata kes Mohamad banyak berkisar kepada undang-undang dan oleh itu hanya Peguam Negara yang dapat menentukan bentuk tindakan terhadap beliau.

Hishammuddin bagaimanapun berkata kenyataan Mohamad tidak mengancam keselamatan negara dan oleh itu bukan satu opsyen untuk menyiasat beliau di bawah ISA.

The Malaysian Insider

Aksi Pencuri Batery MyVi dan Besi Longkang....




Jadikan Hari Malaysia medan muhasabah penipuan pilihanraya

KUALA LUMPUR, 14 Sept: Menjelang Hari Malaysia 16 September ini, PAS meminta rakyat menjadikannya medan muhasabah terhadap kerajaan terutama dalam isu penipuan pilihan raya yang semakin berleluasa.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta rakyat jangan membiarkan Malaysia menjadi semakin lemah di bawah kerajaan Umno BN, kerana generasi anak cucu kitalah nanti yang akan menerima sengsaranya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan yang dikeluarkan hari ini.

Malaysia buat pertama kalinya menyambut Hari Malaysia serentak dengan Hari Kemerdekaan 16 September ini.

Hari Malaysia mula dibincangkan selepas ia bangkitkan oleh Pakatan Rakyat dan kini ia menjadi acara rasmi kerajaan.

Sambutan bersama ini diadakan ekoran Hari Kemerdekaan 31 Ogos jatuh serentak dengan Hari Raya Aidil Fitri.

Namun sambutan Kemerdekaan negara menjadi isu apabila seorang profesor Umno, Profesor Zainal Kling berkata, negara tidak pernah dijajah oleh British.

Bagi Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang, adalah menjadi naluri semua manusia tanpa mengira latar belakang, kaum, agama, bahasa dan sebagainya untuk hidup sebagai manusia yang bebas merdeka, sama ada merdeka jasad dan akal fikiran dari sebarang bentuk perhambaan.

Tidak akan ada orang yang waras akal fikiran mahu hidup di bawah belenggu mana-mana penjajahan, apatah lagi dikawal minda dan tindakannya, katanya.

"PAS ingin menegaskan bahawa kami menentang semua penjajah, sama ada komunis atau bukan komunis, mahupun oleh blok timur atau barat.

"PAS amat menghargai peranan yang dimainkan oleh semua pihak dan tokoh seperti Sultan Abdul Samad, Sultan Zainal Abidin, Raja Abdullah serta Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dr Burhanuddin Helmy, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan lain-lainnya (sekadar beberapa nama) yang menyumbang sehingga lahirnya negara kita dengan bentuknya yang ada pada ketika ini," tegas Abdul Hadi dalam kenyataannya itu.

Mereka ini, kata beliau, telah meletakkan asas negara ini, "walaupun ada tindakan mereka yang kita tidak bersetuju kerana wujud kelemahannya yang tersendiri."

"Namun segala kelemahan orang lalu yang telah pun meninggal dunia ini tidak wajar untuk kita balas dengan kata nista.

"Apa yang wajar dilakukan ialah kita memohon agar kesilapan yang mereka lakukan mendapat keampunan dari Allah SWT," tambahnya.

Apa pun, katanya, peranan baik yang telah dilaksanakan akan dibalas dengan pahala di sisi Allah SWT.

Kelemahan dan kesilapan lalu dalam merangka sebuah negara yang bernama Malaysia pula perlulah diperbaiki oleh kita yang hidup di zaman ini dan berterusan menjadi tanggungjawab generasi akan datang.

"Alangkah baiknya kehidupan berbagai bangsa dan agama, budaya dan bahasa yang wujud dalam negara kita ini mampu untuk menjadi resepi utama dalam melahirkan negara Malaysia yang benar-benar melindungi kebajikan rakyatnya," katanya.

Pada saat ini, kata beliau, rakyat negara ini sedang sama-sama melihat betapa kerajaan Umno BN yang ada ini sudah diberi amanah pemerintahan selama lebih 50 tahun dan semakin membawa negara kita kepada penyakit yang menyusahkan rakyat.

Antaranya daya saing negara yang makin merudum, kos hidup yang meningkat dan barang keperluan yang melambung harganya, keluhuran akhlak yang tidak lagi dianggap penting, kehidupan beragama ditinggalkan dan seribu lagi macam kerosakan, maka tentulah menjadi tanggungjawab semua untuk sama-sama melakukan perubahan. -Hrkh

Bila TPM Malaysia "Angkat Tangan" Kepada 'Rakan Sejawatan' Dalam Negara.. Tunggu Saman La Nanti!!!

KUALA LUMPUR . - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak akan berdebat dengan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengenai isu pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa individu yang layak berdebat dengan Mohamad Sabu adalah pakar-pakar sejarah dan bukannya beliau.

Ditanya mengenai tindakan saman yang akan dibuat oleh Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu sekiranya beliau enggan menyahut cabarannya, Muhyiddin berkata: “Tak apalah, saya tunggulah dia saman saya.” Muhyiddin, yang sebelum itu menghadiri majlis Tawaran Baru kepada Pengetua (Sekolah Menengah) dan Guru Besar (Sekolah Rendah) Bidang Kerberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan 2010 di Bahagian Teknologi Pendidikan, Bukit Kiara di sini, berkata, Mat Sabu tidak seharusnya memutarbelitkan fakta sejarah demi mengejar cita-cita politiknya kerana sejarah tidak ada kena mengena dengan politik dan apa yang dibangkitkannya boleh memporak-perandakan negara.

"Mat Sabu sebagai seorang pemimpin politik seharusnya menarik balik kenyataannya bahawa pengganas komunis adalah hero sebenar dalam tragedi Bukit Kepong dan meminta maaf secara terbuka,” katanya.

Mengenai majlis makan malam beliau bersama Setiausaha Agung Parti Komunis Republik China, Sun Zhenglai malam ini, Muhyiddin berkata, hubungan diplomatik Malaysia dengan China adalah baik dan Malaysia menghormati pandangan ideologi negara itu.

"Malaysia tidak mengkritik China kerana berfahaman komunis tetapi mengutuk tindakan kejam pengganas komunis sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan dahulu.

"Hubungan dua hala Malaysia dan China adalah penting kerana negara itu menjalinkan hubungan dalam sektor perniagaan, dalam perdagangan, perindustrian dan pelbagai sektor lain,” katanya.

Beliau berkata, Amerika Syarikat yang mengamalkan demokrasi sepenuhnya pun turut menjalin hubungan diplomatik dengan China.

"Maka kita perlu pragmatik dalam perkara ini dan tidak menimbulkan isu politik mengenainya,” katanya.- Bernama

Najib enggan siasat Musa-Gani, takut rahsia Altantuya terbongkar

              Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak enggan menyiasat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung pemalsuan bukti dalam kes rasuah membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Peguam Anwar, R Sivarasa menyifatkan Najib enggan membuat siasatan terutama terhadap Gani kerana takut penglibatannya dalam kes pembunuhan Altantuya akan dibongkar.

Sivarasa berkata demikian mengulas pendedahan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim dalam surat terbarunya semalam.
“Kenapa tak berani ambil tindakan, kita tidak boleh mengekalkan peguam negara (Gani) yang melakukan jenayah (memalsukan bukti).
“Ini semua kerana Najib terhutang budi dengannya ( dalam kes Altantuya). Gani telah pastikan kes Altantuya dijalankan tanpa melibatkan Najib dan membebaskan kawan baiknya Razak Baginda,”
“Jika siasatan dijalankan, (besar kemungkinan) mereka (Gani dan Musa) akan membongkarkan semula kes Najib dengan Altantuya,” kata Ahli Parlimen Subang itu kepada Keadilandaily.
Sivarasa berkata,  pendedahan yang dibuat  Mat Zain tentang pemalsuan bukti itu juga menunjukkan perkara sama tidak mustahil dilakukan dalam kes  Fitnah II bagi mematikan karier politik Anwar.
“Apa yang telah disebut Mat Zain itu jelas menunjukkan pemalsuan bukti dalam kes fitnah 1 terhadap Anwar,” ujarnya.
Semalam, Mat Zain dalam surat terbukanya mendakwa hukuman salah guna kuasa terhadap Anwar pada 1998 adalah silap kerana pihak pendakwaan memalsukan bukti.
Penipuan itu dibuat melalui tindakan Musa yang menjadi pegawai penyiasat ketika itu, dan Abdul Gani selaku pendakwaraya.
Najib sebelum ini pernah dikaitkan dengan pembunuhan kejam Altantuya yang diletupkan dengan menggunakan bahan letupan C4 pada Oktober 2006.
Dua pengawal peribadi Najib iaitu ketua inspektor Azilah Hadri dan koperal Sirul Azhar Umar dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah pada April 2009.
Sementara sahabat baik Najib, Abdul Razak Baginda turut dituduh bersubahat namun dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.
Pembunuhan itu telah dikaitkan dengan pembelian kapal selam Perancis membabitkan AS$1 bilion oleh Kementerian Pertahanan, yang ketika itu diterajui oleh Najib- K/Daily

Jika Kita Tak Pernah Dijajah, Maka Sambutan Merdeka Selama Ini Hanya Main-main

Sambutan Hari Kemerdekaan selama 54 tahun ternyata sia- sia jika benar Tanah Melayu tidak pernah dijajah, seperti yang didakwa bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa hakikat kehadiran British di Malaya adalah kerana mereka bertindak seperti penjajah sekali gus bersetuju dengan kenyataan Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Zainal Kling bahawa Malaya tidak pernah dijajah oleh British, tetapi menegaskan hakikatnya, sultan-sultan akhirnya bertindak mengikut arahan British.

Menurut Mohamad Sabu, kenyataan Mahathir itu juga disifatkan hanya mahu mempertahankan MPN sekali gus sebagai cubaan meyakinkan rakyat yang semakin keliru dengan sejarah tanah melayu.

"Andaian itu adalah cubaan mereka (Umno) untuk lari daripada kenyataan bahawa Malaysia ini tidak pernah dijajah. Sekirannya itu andaian mereka, sambutan hari kemerdekaan adalah sambutan yang main-main selama ini," katanya ketika ditemui diluar perkarangan Mahkamah Sesyen Jenayah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas menghadiri perbicaraannya dan 44 yang lain berhubung kes Himpunan Aman Rakyat Membantah Kenaikan Harga Barangan Dan Perkhidmatan (PROTES), hari ini.

Semalam, Mahathir dilaporkan berkata, secara teknikalnya memang Tanah Melayu tidak pernah dijajah kerana Sultan telah memutuskan untuk menjemput British manasihat baginda berkenaan pentadbiran negara ini.

"Kita secara teknikal tidak pernah terjajah. Apa yang kita lakukan adalah sultan-sultan memutuskan untuk menjemput British datang ke mari dan menasihatkan mereka mengenai cara mentadbir negeri. Dalam kata itu, kita tidak dijajah.

"Seperti di Pulau Pinang, kita dibayar supaya memberikan mereka stesen untuk berdagang... Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka beroperasi seolah-olah kita dijajah.

Jumaat lalu, Zainal berkata, berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

Menurut Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, pemerintahan British sebelum ini hanya bertindak sebagai Perdana Menteri yang menasihat Sultan.

"Ia hanyalah andaian Tun Dr mahathir, seperti negara kita hari ini, Yang Dipertuan Agung adalah pemerintah dan penasihatnya adalah Perdana Menteri, tetapi yang menjalankan tugas eksekutif adalah Perdana Menteri, Yang Dipertuan Agung adalah penaung, begitu jugalah situasinya pada zaman dahulu, apabila British bertindak sebagai penasihat jadi mereka adalah pemerintah kepada negara kita dahulu." kata beliau.

Katanya lagi, kenyataan Mahthir itu bukan sahaja mengelirukan malah ia memberi kesan kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan ekoran keliru dengan fakta dan kesahihan teks pelajaran mereka.

"Situasi ini amat mengelirukan, saya cadangkan agar peperiksaan SPM dan lain-lain ditangguh supaya sejarah dikaji semula kerana pelajar menjadi keliru apabila profesor-profesor yang pakar dalam sejarah kononnya memberi pandangan bertentangan dengan apa yang ada dalam teks pelajaran mereka," jelasnya.




Perbuatan ' Khianat ' Di Majlis Forum Rakyat Di Kota Bharu






 
Orang ramai yang hadir pada Forum Rakyat ' Erti Kemerdekaan Sebenar ' Di Kota Bharu malam tadi dikejutkan dengan kejadian beberapa kenderaan disembur cat hijau dan digores oleh pihak tertentu.
Mohd Nasir Ismail, 45 dari Pasir Mas berkata, keretanya jenis Unser Toyota yang di parkir berhampiran Gelanggang Seni disembur cat hijau.

Katanya, banyak lagi kenderaan milik orang lain yang diletak di situ menerima nasib yang sama.
”Ketika saya datang ke tempat kereta semasa hendak pulang saya lihat ada anggota polis di kawasan berhampiran, namun dia tidak menanyakan apa yang berlaku.

”Saya yakin pihak yang melakukan perbuatan khianat itu berani kerana kemungkinan besar mereka dilindungi kuasa politik.

”Kita boleh lihat sendiri apabila kes aktivis Gerakan Bertindak Kembali Royalti Rakyat Kelantan, Hishamuddin Ghazali yang ditampar veteran Umno beberapa bulan lalu tidak diambil sebarang tindakan biar pun laporan polis sudah dibuat,” ujarnya.

Turut menjadi mangsa perbuatan khianat tersebut kereta milik seorang wartawan tempatan. Difahamkan beliau sudah membuat laporan polis pagi ini. -Hrkh

Lebih baik Mahathir berdiam diri!

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir berdiam diri dari bercakap soal sejarah negara kerana beliau bukan ahlinya untuk bercakap demikian.

Menurut Ketua Penerangan, Ustaz Riduan Mohd Nor, kenyataan Tun Dr Mahathir menyokong Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Zainal Kling menyebabkan rakyat semakin keliru terhadap sejarah kemerdekaan negara.

"Kenyataan Tun Dr Mahathir menyebabkan rakyat semakin keliru terhadap sejarah kemerdekaan negara. Dengan kenyataan penuh kontroversi oleh Profesor Zainal Kling telah menimbulkan keserabutan dalam pemikiran rakyat Malaysia,

"Tun Dr Mahathir pula menambah lagi kekeruhan terhadap rakyat Malaysia. Banyak persoalan yang bermain di fikiran rakyat,"ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

DPPM mempersoalkan, jika Malaya tidak pernah dijajah, mengapa kita sambut Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos setiap tahun? Dan jika Malaysia tidak pernah dijajah, apakah UMNO boleh dianggap pejuang kemerdekaan?

DPPM menegaskan, Tun Dr Mahathir hanyalah seorang ahli politik negara dan bukan ahli sejarah yang layak memberi komentar terhadap apa yang pernah berlaku.

Menurut Riduan lagi, sejarah perlu dibentangkan dengaan fakta dan kajian ilmiah secara terperinci. Justeru, beliau tidak berhak memberikan pandangannya mengenai sejarah negara.

Sehubungan itu, DPPM mencabar Dr Mahathir, adakah beliau berani mengaku bahawa UMNO bukanlah pejuang kemerdekaan sebenar kerana negara tidak pernah dijajah.

"Apakah juga Dr Mahathir mahu menafikan sumbangan tokoh-tokoh kemerdekaan yang diangkat selama ini seperti Tunku Abdul Rahman, Dato’ Onn Jaafar, Datuk Panglima Bukit Gantang dan lain-lain? Beranikah Tun Dr Mahathir menyebut bahawa British layak diangkat sebagai pejuang negara manakala Dr Burhanuddin Al Helmi, Ahmad Bostamam, Tok Janggut, Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Mat Saleh, Rentap, dan lain-lainnya sebagai pengkhianat negara?,"soal Riduan lagi

DPPM menjelaskan gerakan-gerakan menuntut kemerdekaan lebih dahulu ditubuhkan sebelum UMNO. Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuhkan pada 1938, diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada 1945 dan badan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API)yang ditubuhkan pada Februari 1946 , Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Tanah Air (BATAS). UMNO hanya ditubuhkan pada tahun 1946 lewat beberapa tahun selepas penubuhan gerakan-gerakan ini.Saat gerakan nasionalis kiri ini melaungkan slogan merdeka ,UMNO masih dengan slogan “hidup Melayu”.

"UMNO pula telah diharamkan pada tahun 1988. UMNO yang ada kini hanya UMNO baru yang ditubuhkan selepas diharamkan tahun 1988. Roh UMNO zaman ‘kemerdekaan’ telah berkubur sejak itu.

"Zaman Tun Dr Mahathir yang menyebabkan UMNO diharamkan. Apakah Tun Dr Mahathir melupakannya dan mahu sejarah menggelapkan sejarah ini,"jelasnya lagi

Justeru itu, DPPM mempunyai pandangan yang tegas bahawa Dr Mahathir hendaklah berdiam diri dalam isu untuk tidak menyerabutkan lagi perbahasan sejarah kemerdekaan yang berlaku. -BO
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .