Mahkamah wajar terima permohonan Karpal - Anwar
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mahkamah seharusnya menerima permohonan peguam bela, Karpal Singh supaya menangguhkan prosiding kerana Mohd Saiful ternyata memberikan keterangan yang tidak konsisten.
Anwar berkata, pihaknya mempunyai bukti bahawa saksi utama kes liwat itu membuat dakwaan yang salah terhadapnya dan bercanggah antara satu sama lain.
"Kita ada bukti. Saiful buat dakwaan yang salah dan tidak konsisten dalam keterangannya di mahkamah dan laporan polis yang dibuat. Ternyata dia menipu," katanya kepada pemberita di luar mahkamah selepas prosiding ditangguhkan untuk makan tengah hari, tadi.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan penangguhan prosiding yang dikemukakan Karpal sementara menunggu keputusan rayuan.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Mohamad Zaibidin Mohd Diah, atas alasan tidak ada alasan istimewa bagi menangguhkan prosiding berkenaan.
Beliau juga berkata keputusannya semalam adalah mengikut prosedur dan tidak boleh dirayu.
Semalam, mahkamah menolak permohonan Karpal bagi mendapatkan kenyataan beramaran daripada pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang diberikan kepada polis.
Karpal memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan memerlukan keterangan itu kerana terdapat percanggahan antara keterangannya kepada polis dan pertuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar.
Karpal berkata Saiful, dalam keterangannya kepada polis dan keterangannya di mahkamah, menyatakan dakwaan liwat itu dilakukan tanpa kerelaannya manakala pertuduhan yang dikenakan terhadap Anwar mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan adalah persetubuhan yang dipersetujui.
Anwar juga berkata, sukar untuk pihaknya mendapatkan kepercayaan hakim walaupun mereka mempunyai bukti mengenai penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor bersama pembantu khas masing-masing.
Khairul Anas adalah pembantu khas Najib, manakala Datuk Mumtaz Jaafar pula pegawai khas kepada Rosmah.
"Kita tidak berjaya untuk menangguhkan prosiding dan sangat susah untuk membuatkan hakim bersetuju dengan kita.
"Saya tidak fikir dengan senang kita dapat melalui prosiding ini walaupun kita tahu penglibatan Najib, isterinya, Rosmah dan pembantu khas mereka. Ini dinyatakan sendiri oleh Saiful," katanya.
Saiful dalam keterangannya semalam mendedahkan nama-nama berkenaan yang pernah ditemuinya selepas mendakwa diliwat.
Sementara itu, dalam prosiding hari ini, Karpal menunjukkan kepada Saiful sebuah artikel di dalam portal berita Malaysiakini yang bertarikh 15 Ogos 2008 dengan tajuk 'Saya diliwat tanpa rela'.
Saiful berkata, beliau silap mentafsirkan soalan wartawan apabila diajukan sama ada itu kali pertama dia diliwat.
Karpal juga memohon prosiding petang ini diadakan secara tertutup dan dipersetujui oleh hakim.
-Hrkh