Ikuti Blog ini

Realisasi agenda PAS ganti Umno

KUALA TERENGGANU, 23 Okt: Agenda PAS menggantikan Umno hendaklah direalisasikan oleh pendukung parti dengan menekankan kepada gerakan dakwah terhadap golongan Umno dan golongan atas pagar, mengelakkan serangan peribadi dan memperbanyakkan aktiviti penerangan melebihi serangan.

Demikian antara resolusi Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu ke-14 yang diadakan di perkarangan Surau Kampung Tanjung Batu Rakit, yang berakhir petang ini.

Di samping itu, Dewan Himpunan Penyokong PAS hendaklah diperkasakan sebagai wahana untuk menjadikan saluran bagi menolak fahaman asabiah perkauman tokok pimpinan Umno BN dan NGO upahan seumpama Perkasa yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia seterusnya berintima’ dengan perjuangan PAS bagi menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua.

Berikut ialah resolusi penuh.

Menyedari bahawa Barisan Nasional (BN) sedang berada di ambang keruntuhan dalam menghadapi pelbagai masalah luaran dan dalaman, sedang PAS Negeri Terengganu terus melangkah memperkasakan kekuatannya bagi memenuhi harapan besar yang diberikan oleh rakyat bagi membawa perubahan kepada negeri Terengganu.

Berasaskan hakikat ini, Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu kali ke-14 yang diadakan pada 23hb Oktober 2010, bersamaan 15 Zulkaedah 1431H yang bertemakan “Demi Kedaulatan Islam; Perkasakan Jihad” dengan sebulat suara membuat gagasan dan resolusi bahawa saf kepimpinan PAS Negeri Terengganu di semua peringkat beriltizam untuk:

Bagi menghadapi pilihan raya umum yang ke-13, maka jentera pilihan raya mestilah digerakkan bermula dari sekarang di semua peringkat mengatasi perancangan dan gerak kerja Umno BN dengan memberi tumpuan kepada pengemaskinian urusan pemilih dan keahlian serta penguasaan ke atas pengundi sasaran.

Meningkatkan kefahaman dan penghayatan petugas-petugas PAS di semua peringkat bagi mengikis penyakit atau budaya negatif seperti futur, isti’jal, ukhuwah yang longgar dan seumpamanya.

Menegaskan bahawa setiap anggota jemaah sama ada pemimpin, petugas atau ahli parti, hendaklah memperkukuhkan sifat-sifat kualiti peribadi dan meningkatkan keupayaan diri dalam memperkasakan jihad dengan memperkukuhkan wala’, thiqah dan intima’ terhadap pimpinan dan jemaah.

Merealisasikan agenda PAS mengganti Umno dengan menekankan kepada gerakan dakwah terhadap golongan Umno dan golongan atas pagar, mengelakkan serangan peribadi dan memperbanyakkan aktiviti penerangan melebihi serangan.

Menyokong, meneruskan dan memperkukuhkan kerjasama politik di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat melalui kaedah tahaluf siyasi tanpa menggadai prinsip perjuangan di samping menjadikannya sebagai satu ruang dakwah.

Menerus sumbangan dan komitmen semua petugas dan kepimpinan yang sedia ada dalam memperkasakan PAS benar-benar sebagai sebuah gerakan Islam yang syumul.

Meneruskan proses pembudayaan petugas-petugas PAS dengan gerak kerja berasaskan kepada perancangan yang sistematik dan berstrategi membina keyakinan masyarakat terhadap PAS sebagai kerajaan alternatif ataupun kerajaan menunggu.

Memperkasakan Dewan Himpunan Penyokong PAS sebagai wahana untuk menjadikan saluran bagi menolak fahaman asabiah perkauman tokok pimpinan Umno BN dan NGO upahan seumpama Perkasa yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia seterusnya berintima’ dengan perjuangan kita bagi menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua.

“Marilah kita sama-sama meletakkan komitmen untuk melaksanakan resolusi-resolusi yang mewakili hampir keseluruhan cadangan dan lontaran idea yang telah diberi oleh perwakilan dan ulasan pimpinan bertunjangkan kepada ucaptama Tuan Guru Presiden,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Resolusi ijtimak, Mohd Draman ketika membacakan resolusi itu. -Hrkh

Ulama Muda UMNO pertahankan Rosmah

Akhirnya kita dapat mendengar apa dia komen ulama muda UMNO di dalam Isu Islamic Fashion Festival yang dinaungi oleh Rosmah Mansor isteri Perdana Menteri Malaysia. Ulasan Ulama muda UMNO jelas sekali berpihak kepada Rosmah.

Ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahya berkata pendekatan pembangkang mengecam tindakan Rosmah Mansor menaungi Festival Busana Islam (IFF) - yang mencetuskan kontroversi - melalui tersasar daripada konsep agama sebagai nasihat.

Mempertahankan isteri perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Fathul Bari berkata, pembangkang sengaja membesar-besarkan isu itu sambil meletakkan sepenuhnya kesalahan atas bahu Rosmah tanpa menyiasat terlebih dahulu perkara itu.

"Sepatutnya bantahan itu ditujukan kepada penganjur sedangkan beliau (Rosmah) penaung semata-mata," katanya.

Berucap pertama kali di perhimpunan agung Umno hari ini, Fathul Bari berkata, manusia sentiasa dituntut meneliti terlebih dahulu sama ada sesautu kesilapan itu dilakukan dengan sengaja atau pun tidak.

"Tanpa diteliti hal tersebut, mereka terus menyerang dan menghukum. Adakah ini sikap orang Islam yang mengakui membawa hukum allah. Sedangkan jelas perbuatan seperti ini tersasar Islam yang mengajar etika menasihati seseorang," katanya.



Ciuman Kasturi Buat Nik Aziz: Sempena Genap 20 Tahun Mentadbir Kelantan


MEREKA atau individu yang merasakan saya sebagai seorang peminat kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mungkin tidak percaya kalau saya sudah tidak bertemu muka dan bersalaman dengan beliau hampir tiga tahun.

Apa lagi orang masih melihat konteks batin dan naluri kemanusiaan saya dengan beliau cukup kuat. Ia tercermin di mana-mana saja akan hal ini. Kandatipun saya sesekali mengkritik beliau, tetapi kritikan itu akan lebih mengemenkan lagi tali konteks batin saya dengan beliau. Orang tahu dan beliau sendiri tahu bahawa kritikan saya tidak lebih daripada sang ibu kerbau yang menanduk anaknya kerana ingin memberi peringatan. Sesungguhnya tandukan itu tidak akan merodak ke hulu hati si anak yang mulia.

Antara saya dengan beliau ada perjanjian dan ba'iah yang tidak mungkin difahami oleh sesiapa. Hanya kami saja yang sedia maklum. Apakah lafaz dan ikrar hanya terbungkus dalam hati kami yang disaksikan malaikat di kiri dan di kanan. Ianya sangat peribadi untuk diangkatkan di sini. Justeru atas kekemasan tali perhubungan itu saya tidak pernah merasakan yang Tok Guru terkedu hati atau marahkan saya, kalau saya jadi sebaliknya. Tidak..

Rasanya ketika Tok Guruku itu sedang berbulan madu dengan sambutan sempena genap 20 tahun pentadbirannya selaku MB Kelantan dewasa ini tidak elok kalau saya mencungkilkan sebab musabab kenapa saya tidak bertemu muka dengannya. Biarlah ia menjadi sebahagian sejarah antara kami - terutamanya saya. Mungkin dilain lembaran dan keadaan akan diceritakan kenapa saya merajuk sendiri tanpa diketahui pun oleh Tok Guru.

Namun beliau tahu akan sebab musabab perenggangan itu. Tahu sangat. Selalunya kalau saya lama tidak muncul di Kelantan ataupun berada di laluan di mana-mana dewan untuk beliau menuju ke pentas untuk bersalam dan mencium tangannya, dia akan bertanya kenapa, lama tidak timbul kalau beliau merasakan saya lama tidak menemuinya? Atau pun akan bertanya sihat ke dan buku baru apa judulnya?

Apabila beliau bertanya demikian saya mengira dia mengunci segala pergerakan saya dalam mata politiknya.

Hari ini atau tepatnya 21 Oktober lalu genap 20 tahun Tok Guru menerajui Kelantan Darulnaim sebagai MB. Satu kejayaan besar dan rekod tersendiri buatnya. Saya mengira rekod ini tidak mungkin akan terpecah oleh mana-mana tokoh baik dari Pas ataupun Umno selepas ini. Dua dekad, satu jangka masa terlalu panjang dan menunjukkan betapa stabilnya pemerintahan seseorang itu dalam politik kontemporari ini. Pastinya tanpa ada senjata ampuh dan politik bijaksana yang tidak akan sampai ke tahap itu. Dalam hal ini pada saya Tok Guru memiliki cenduai politik yang sangat menyerap.

Kalau orang Umno berbangga dengan pencapaian Dr Mahathir Mohamad menjadi PM selama 22 tahun, maka orang Pas juga perlu berbangga dengan pencapaian Tok Guru Nik Aziz itu. Bahkan orang Pas patut merasakan mereka merasakan kebanggaan mutlak kerana pencapaian Nik Aziz bukan atas politik adu domba, politik menggunakan kuasa tetapi politik kesedarhanaan dan tulus ikhlas. Mahathir berjaya menjadi PM kerana kelicitan beliau menyingkir seorang demi seorang musuh politiknya tanpa berhati perut.

Mahathir singkar Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu perlawanan penuh misteri dan tertanya-tanya sampai kini tahun 1987. Ada berpendapat kekalahan Tengku Razaleigh hanya dengan 53 undi adalah kekalahan yang palsu. Selepas itu Dr Mahathir meyingkirkan Musa Hitam. Terbaru dan amat menghuruharakan parti itu menyingkirkan Anwar Ibrahim menerusi satu konspirasi yang memalukan ummah dan negara tahun 1998.

Namun tidak begitu dengan Tok Guruku Nik Aziz. Dia tidak menyingkir sesiapa, dia tidak memanipulasikan kuasa dan kedudukannya untuk terus kekal dan tercokol di atas kerusinya. Beliau bukan bersikap autokrasi untuk mengekalkan diri atas jemala kekuasaan. Sebaliknya dia diminta dan dirayu oleh rakyat. Disokong dan didoa oleh rakyat. Jadi sokongan rakyat kepadanya lebih kudus dan murni daripada kekaguman kepada Mahathir Mohamad.

Barang kali tidak melampau kalau dikatakan, jikalau Allah tidak memberi kesempatan Pas memerintah Malaysia, tetapi cukup bagi orang Pas buat ketika ini menerima kehadiran Nik Aziz sebagai MB Kelantan dan mana aura kehebatannya turut sama dirasai oleh segenap lapisan rakyat dan jiwa negara ini.

Saya sebagai peminat beliau sedari kecil bebangga atas pencapaian Tok Guru. Syabas dan tahniah. Sebenarnya wajar kalau Tok Guru mampu melalui dua dekad pentadbiran atau lebih panjang dari itu. Kekuatan yang ada kepadanya bukan memanipulasi kuasa politik tetapi ia adalah rahmat dan pertolongan Allah. Beliau tidak berlawan dengan musuh menerusi politik struggle tetapi dengan menyerah kepada Allah. Itu saja senjata utama baginya berdoa dan meminta keredhaan Allah.

Kalau Nik Aziz mengharapkan kepada kuasa politik semata-mata pasti dia tidak akan sampai ke takah itu. Dia akan mati di tengah jalan. Dia tidak bermain dengan kuasa politik dan menjadikan nafsu sebagai pengawalnya. Keikhlasannya membimbing dia terus untuk memerintah Kelantan. Sekali lagi doa menjadi senjata dan perawat sukadukanya. Yang memberi kekuatan dan daya istiqamah yang tinggi.

Dalam melihat perjalanan politik Tok Guru sebagai MB dan ahli siasah, bohonglah kalau di sepanjang dua dekad itu beliau tidak pernah dibaham kedukaan atau tidak menangis. Atau tidak pernah dioleng rasa cemas dan walang atas permainan pihak musuh.

Atas sifatnya sebagai manusia biasa, beliau juga tidak dapat terlepas dari segala pencaroba itu. Selaku peminatnya dan pendamping secara halimunan saya menyaksikan akan detik-detik yang memberi cemas kepadanya. Detik-detik menjadikan dia menggeletar dan takut kepada Allah kerana tidak dapat terus menjaga negerinya sekiranya kekuasaan Islam menerusi Pas hilang.

Ada dua peristiwa yang berlaku di depan mata dan ini juga dapat dirasai oleh rakyat seluruhnya bagaimana Tok Guru pernah berada dalam keadaan cemas yang membimbangkan. Pertama ialah ketika berlaku krisis dengan pihak istana Kelantan tahun 195 selepas Tengku Razaleigh menguburkan Semangat 46. Kerana waktu itu istana diperalatkan oleh golongan tertentu telah menganggu Tok Guru Nik Aziz. Tugas dan tanggungjawabnya sebagai MB dicabar dan diganggu. Matlamatnya satu mahu melemahkah kerajaan Tok Guru.

Dengan krisis ini sehingga berlaku sesuatu yang tidak seharusnya berlaku yang rasanya tidak manis untuk disebut semula di sini. Dalam krisis ini Tok Guru dihina sebagai manusia dan MB. Beliau seakan akan hilang segalanya, termasuk kerajaan Kelantan. Namun berkat kesabaran dan doa akhirnya krisis itu mereda dan keadaan kembali pulih. Pihak yang memusuhinya juga akhirnya mengangkat tangan surrender atas kebenaran.

Bayangkan kalau bukan sembarangan orang mesti tewas dalam mengharungi krisis berkenaan. Betapa bukan kecilnya krisis itu bila mana seorang MB dinafikan haknya dan huluran salamnya tidak mahu disambut oleh sultan. Kejadian ini bukan dalam kamar sempit tersembunyi tetapi di khalayak. Peritiwa itu penakanya mahu melondehkan maruah Tok Guru itu.

Beluam ada sejarah dalam politik negara ini MB yang berkrisis dengan MB dapat meneruskan pentadbirannya. Seorang demi seorang MB yang menghadapi masalah dengan sultan akhirnya membungkus tikar bantal pulang ke rumah. Namun ini tidak terjadi kepada Tok Guru. Pihak istana yang mendapat nasihat tidak betul akhirnya kembali ke jalan benar, menerima Tok Guru sebagai memanda menteri semula yang bertakwa dan beriman. Semua ini ialah kerana pendekatan dan sikap tasamuh diamalkan oleh Tok Guru yang senantiasa berdoa siang dan malam meminta Allah menunjukkan kebaikan kepada semua.

Saat cemas kedua yang saya saksi ialah pada malam keputusan pilihan raya umum ke 11 tahun 2004. Tidak ada detik dan suasana yang saya rasakan telah menelorkan kerimasan begitu dahysat kepada seorang Tok Guru dan MB. Semuanya kerana Pas kehilangan banyak kerusi. Beliau begitu bimbang sekali Pas akan kehilangan kerajaan, namun disudut hati kecilnya kalau kehilangan itu demi kebaikan tentu beliau redha.

Sepanjang malam itu di atas pejabat Pas di Jalan Dato' Pati Kota Bharu beliau bersolat hajat dan berdoa kepada Tuhan. Sedulang buah-buahan yang dihidang untuk menghambat kerisauan sementara menunggu keputusan langsung tidak disentuh. Wajahnya juga muram durja. Tatkala ada perkhabaran jahat mengatakan BN sudah menguasi 2/3 kerusi Dun Kelantan, saya nampak wajahnya pucat dan beliau kelihatan nanar untuk mencari bilik air bagi mengambil wuduk mendirikan solat bagi mendamaikan jiwa.

Tiada kesayuan pada saya melebihi kesayuan malam itu melihat keadaan Tok Guru. Kalaulah malam itu saya boleh membeli tunai segala keresahan dan kewalangannya, tentu sekali saya akan memborongnya semua sekali. Tidak rela melihat seorang tok guru semulia dan seikhlas itu berdukadurja begitu. Tetapi, inilah kelebihan Tok Guru dan orang yang bergantung kepada Tuhan. Baginya apa yang akan berlaku semuanya atas kehendak Allah dan manusia tidak boleh menghalangnya.

Selepas itu tidak ada lagi bala besar yang menimpa dirinya. Kalau pun ada ada cerita-cerita dalaman parti yang boleh membingkitkan telinganya. Semuanya dapat diatasi dengan sikap tawaqus dan doa memanjang. Sikap adil atas kebenaran dan sikap tegas kerana kebenaran menjadikan ubat atas segala itu. Justeru mereka yang cuba untu mengkhinatinya menjadi relai dan insaf sendiri.

Paling akhir ialah serangan jahat ke atasnya yang cuba menghancurkan personaliti beliau sebagai seorang tok guru. Serangan ini dibuat berangkaian dengan serangan ke atas anak menantunya. Tuduhan kononnya beliau menerima rasuah untuk mengerjakan haji adalah satu perbuatan jahat yang sungguh tidak bermoral dan keji. Ia benar-benar mengilan dan mendukacitakan hati Tok Guru berkenaan. Malahan rakyat Kelantan yang tidak berpihak kepada mana-mana warna parti juga kesal atas fitnah melampau itu.

Sekali lagi atas kesabaran dan kebenaran beliau berjaya mengatasi segalanya. Dan kekecewaan itu telah digandakan pula oleh Tuhan, di mana tahun ini beliau dikatakan akan mengerjakan haji, bersama Sultan Mohamad Ke 5. Inilah kerja Tuhan yang tidak ada sesiapa dapat membacanya dan menghalangnya. Semalam Tok Guru di keji dan dihina ataupun dipermainkan, tetapi hari ini esok darjatnya diangkat setinggi-tingginya.

Menilai segala kejayaan, pengorbanan dan kesungguhan Tok Guru menjadi MB dan mentadbir Kelantan selama 20 tahun rasanya tidak terbalas oleh sesiapa pun. Jasa dan pengorbanan itu sangatlah besar. Hanya Allah jugalah yang boleh membalas. Dan seperti telah dijanjikan apabila genap saja 20 tahun Tok Guru jadi MB dan membawa Kelantan menerajui perubahan, Allah talaala memberi ganjaran duniawi besar kepadanya dengan mentkdirkan Tengku Mohamad Faris Petra menjadi sultan Kelantan yang baru.

Gandingan antara Tok Guru dengan Sultan Mohamad Ke V adalah gandingan seperti cekrawala bulan dan mentari. Tok Guru memerintah dengan cahaya kelembutan, Sultan Mohammad Ke V memerintah dengan cahaya ketegasan dan keadilan. Dan ciumanku di perkarangan hotel Fully Inn Gua Musang malam kelmarin adalah ciuman kasturi sebagai cederahati dari seorang marhaen kepada seorang memanda kesayangan Sultan. -MSO

‘Kehilangan’ Anak KM Sarawak, satu lagi PRK?

KUALA LUMPUR – Desas desus bertiup kencang di negeri Bumi Kenyalang berhubung keberadaan anak Ketua Menteri, Sulaiman Abdul Rahman Taib yang tidak kelihatan dikhalayak ramai sejak bulan Ramadhan lalu.

Misteri ‘kehilangannya’ menimbulkan pelbagai spekulasi terutamanya dalam blog dan internet.

Antara berita angin yang tersebar luas di Sarawak ialah kemungkinan Sulailan akan meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Kota Samarahan dan seterusnya membuka laluan kepada pilihan raya kecil, yang kedua di Sarawak selepas Sibu sejak Pilihan Raya Umum 2008.

Malah laman web sarawakreport yang sentiasa mendedahkan mengenai kekayaan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarga, kaum kerabat serta kroni mereka mendakwa Sulaiman kini mendapat rawatan di Kanada (ada yang mengatakan di Australia) bagi mengubati penyakit ‘gaya hidup’ dan keadaan kesihatan beliau dikatakan dari ‘membimbangkan’ hingga ke ‘tenat’.

Bagaimana pun persoalan yang lebih penting ke mana Sulaiman pergi menghilang sehingga rakan Dewan Rakyat, Charles Santiago daripada Pakatan Rakyat mewakili DAP mengatakan beliau akan cuba mendapatkan jawapan Speaker Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab nanti.

Beliau dikatakan tidak pernah sekali hadir pada persidangan Parlimen lalu lantas menimbulkan pertanyaan dikalangan anggota Dewan Rakyat yang lain.

Umno tetap perkauman selepas 50 tahun merdeka

KUALA TERENGGANU, 23 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ternyata setelah lebih 50 tahun merdeka, Umno tetap berwajah perkauman dan bersikap berpura-pura, bahkan menentang Islam.

“Justeru, kita tidak mempunyai pilihan dalam membangunkan negara yang makmur dan masyarakat yang adil, melainkan dengan mendaulatkan Islam dan ianya tidak akan tercapai melainkan dengan kita memperkasakan jihad,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu ke-14 di Kampung Tanjung, Batu Rakit, pagi ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Harun Taib turut berucap pada majlis itu yang dihadiri sama Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Mutakhir ini, katanya Umno BN sedang mengukuhkan strategi gerakan Islam Liberal melalui pengisytiharan kemasukan sekumpulan mereka yang dianggap sebagai ‘ulama muda’.

Menurutnya, mereka diharapkan oleh Umno menjadi barisan hadapan untuk menentang gerakan PAS di bawah kepimpinan ulama.

Mutakhir ini juga, tambahnya apabila PAS berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS, Umno BN menjadi sangat bimbang sehingga mereka mengambil langkah mempertajamkan semula gerakan perkauman dengan didokongi oleh beberapa NGO seperti Perkasa.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, seperti yang sedia maklum Kerajaan Umno BN telah menyalahgunakan undang-undang untuk menghalang pelaksanaan Islam yang syumul.

Mereka, katanya komited untuk menghalang kemaraan PAS di mana pada hari ini bersama Pakatan Rakyat atau menyekat PAS daripada memerintah.

Katanya lagi, Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA 1960, Akta Hasutan 1948, Akta Universiti dan Kolej Universiti AUKU 1971, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 merupakan undang-undang yang berkaitan.

Mereka, ujarnya sentiasa menakut-nakut dan memperbodohkan rakyat seperti yang digambarkan di dalam surah az-Zukhruf, ayat 54 yang bermaksud: (dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik derhaka.

“Di atas kenyataan seperti inilah kerajaan Umno BN menggunakan jentera-jentera kerajaan untuk menekan rakyat.

“Mereka mempunyai kuncu-kuncu dan agen-agen dari golongan tertentu yang sanggup menindas dan merampas hak rakyat demi survival kepentingan mereka,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyentuh mengenai media yang berat sebelah di Malaysia juga menjadi faktor besar penghalang kepada jihad yang didokongi PAS.

“Lihatlah siapa yang memiliki media elektronik negara kalau bukan Umno BN. Siapakah pemilik TV3, RTM, NTV9?

“Siapa pula pemilik akhbar arus perdana Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times kalau bukan Barisan Nasional?

Baginya, media itulah yang digunakan untuk memberi persepsi yang negatif terhadap PAS dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat di mana kerap kali PAS digambarkan sebagai parti ekstrimis.

Tambahnya lagi, dengan media itulah mereka menguasai minda rakyat yang mana propaganda demi propaganda dilancarkan melalui media demi meneruskan kezaliman mereka.

“Setiap waktu, musuh selalu menakut-nakutkan kita melalui media dengan menyebarkan berita-berita bohong dan membentuk persepsi negatif bagi memecahbelahkan saf perjuangan kita.

“Didiklah diri kita agar tidak mengikuti apa yang kita tidak ketahui tentangnya,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan pendukung PAS agar jangan tergolong dalam orang yang disebut oleh Nabi s.a.w. sebagai pembohong hanya kerana menceritakan apa sahaja yang dia dengar walaupun berita yang dibawa adalah bohong.

Beliau juga menyentuh mengenai rakyat dan pengundi yang jahil di mana pepatah ada menyebut "kamu adalah musuh kepada apa yang kamu jahil".

Ini, katanya kerana rakyat dan pengundi yang tidak mendapat maklumat yang sepatutnya menyebabkan persepsi mereka terhadap PAS menjadi negatif.

“Kejahilan inilah menjadi senjata Umno BN untuk memancing undi mereka setiap kali pilihanraya berlangsung,” ujarnya.

Menurutnya, punca rakyat menjadi jahil adalah disebabkan dua faktor penting iaitu malas membaca dan penguasaan media oleh Umno Barisan Nasional.

Tambahnya lagi, memang jelas bahawa antara penghalang kepada rakyat untuk bersama dengan jihad PAS ialah kejahilan mereka terhadap kebenaran jihad perjuangan PAS dek kerana tipudaya melalui propaganda media Barisan Nasional.

“Inilah gerak kerja golongan munafik yang sentiasa mencari jalan untuk melemahkan semangat juang umat Islam untuk berjihad menentang kebatilan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, tegasnya PAS haruslah memainkan peranan sebagai pendidik masyarakat melalui program-program ilmu seperti kuliah, ceramah, tazkirah dan seumpamanya yang hendaklah diatur dengan sebaiknya bagi menangani kejahilan masyarakat terhadap Islam dan perjuangan PAS itu sendiri. -Hrkh

Hipokritnya Presiden UMNO ini..

Ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO di PWTC semalam dalam memulakan ucapannya Najib telah memulakan nya dengan mengajak seluruh perwakilan agar bersama-sama merenungi dua firman Allah SWT, satu daripada firman tersebut ialah..

Surah al-Baqarah, ayat 143,berbunyi:

“Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu umat Islam 'umat pertengahan' agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul yakni Muhammad menjadi saksi atas perbuatan kamu”.

Dan antara ungkapannya ketika dipertengahan ucapan pula ialah,

Menjadi pemimpin sifatnya agung
Syarak dipakai adat dijunjung
Hidupnya mengabdi kepada rakyat
Taat setia membela umat
Akhirnya, disimpulkan Melayu itu:
Dijadikan induk kuat berdiri
Umat sentosa bertuahlah negeri.

Itu adalah antara kata-kata Najib yang sepenuhnya boleh dibaca di SINI.

Sila tonton dan nilai sendiri videoclip dibawah.... agungkah pemimpin Umno ini..? Syarak dan adat mana yang dijunjungnya..? Taat setianya membela umat yang mana?

Isu Khurafat Rosmah dan Zambry, Pemuda PAS Perak Serah Memo Kepada Mufti Perak


MEMORANDUM MENDESAK TEGURAN TERHADAP DATIN PADUKA SERI ROSMAH MANSOR, ISTERI PERDANA MENTERI MALAYSIA YANG DIDAPATI MENGHINA NABI MUHAMMAD S.A.W DAN DATUK SERI DR ZAMBRY ABDUL KADIR, MENTERI BESAR NEGERI PERAK YANG MASIH MENERUSKAN AMALAN KHURAFAT DALAM UPACARA MELETAKKAN ANCAK KE TIANG SERI RUMAH.

Perkara di atas adalah dirujuk.

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) ingin menarik perhatian Y.Bhg. Tan Sri terhadap dua tokoh besar di dalam negara dan negeri ini yang dilihat bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Kami amat kesal kerana Y.Bhg. Tan Sri tidak begitu prihatin untuk memberikan pendapat dan penjelasan sehingga menyebabkan rakyat atau umat Islam keliru terhadap kedua-duaperbuatan dan isu tersebut.

2 Bagi kes isteri pimpinan utama negara, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Malaysia dan juga sebagai Penaung
Festival Busana Muslim atau Islamic Fashion Festival telah menganjurkan Festival Busana Muslim pada 10 Ogos 2010 di Monaco Sporting Club, Monte Carlo. Majlis tersebut secara jelas telah menghina syariat Islam dan Rasulullah s.a.w apabila pakaian yang diperagakan itu bukan pakaian menurut syariat Islam ditambah dengan tulisan "Muhammad" dalam bahasa Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.

Manakala, dalam kes orang nombor satu negeri Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Negeri Perak dalam programProjek Infra Bina Upaya (IBU) pada 17 Oktober 2010 di Kampung Guar, Manong. Pada majlis tersebut, telah diadakan upacara
meletakkan ancak ke tiang seri rumah yang dahulunya merupakan amalan khurafat serta bertentangan dengan aqidah Islam.
Justeru, DPPN Pk ingin menarik perhatian serius Y.Bhg. Tan Sri dalam dua perkara tersebut untuk bertindak atas sifat ilmu dan kedudukan mulia Y.Bhg. Tan Sri agar dapat memperjelaskan kepada rakyat dan umat Islam akan kekeliruan tersebut . Pihak kami meminta
sama ada Y. Bhg. Tan Sri mengeluarkan satu ketetapan atau fatwa yang jelas supaya umat Islam negara ini tidak terus terkeliru.

Najib Menipu Bangsa?

Mendaya: Adakah Najib ‘menjalankan tipu daya’

KUALA LUMPUR : Perkataan 'mendaya' yang digunakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pada ucapan dasarnya 'Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran' dilihat mengelirukan.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Edisi Ketiga, tafsiran rasmi 'mendaya' adalah ialah "menjalankan tipu daya (muslihat), menipu".

Kamus yang dicetak pada 1997 lalu turut menjelaskan contoh penggunaan kalimah 'mendaya' yang tepat.

"Apabila sudah begitu, mudahlah mereka mendayakan kami spt (seperti) yg (yang) sudah diperdayakannya beberapa orang pelayan," dipetik dari halaman 278 kamus tersebut.

Pun begitu, Utusan Malaysia (muka surat 2) hari ini melaporkan, "ucapan bertajuk 'Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran' yang disampaikan dalam nada yang serius itu berjaya memaku para perwakilan dan pemerhati selama satu setengah jam untuk sama-sama menghayati menghayati isi hati dan wawasan perjuangan beliau (Najib)”.

Dijangkakan kalimah 'mendaya' yang digunakan Najib bakal menggamit polemik awam khususnya pada sambungan sidang Dewan Rakyat, Isnin depan.-Hrkh

Pemuda PAS bantah busana hina Islam

http://buletinonline.net/images/stories/berita36/kam-demo10.JPGKUALA TERENGGANU - Duunjuk perasaan secara aman di dua tempat berasingan telah dibuat oleh pemuda PAS Terengganu Kira-kira 2000 umat Islam bagi membantah penganjuran Festival Busana Muslim yang menghina Islam.

Di hadapan Masjid Baru kira-kira 2,000 umat Islam turut serta menyertai demo yang diadakan sejurus selepas para jamaah keluar dari masjid, selesai melaksanakan solat Jumaat.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani berkata, bantahan serupa turut diadakan serentak di seluruh negara oleh Dewan Pemuda PAS Pusat dan negeri-negeri

Beliau yang mengetuai demo aman di Masjid Pengadang Baru memberitahu Festival Busana Muslim yang diadakan di Monte Carlo pada 9 Ogos lalu itu dianjurankan oleh Datin Seri Rosmah Mansor jelas menghina Islam.

Menurutnya, pakaian model yang terlibat dengan peragaan fesyen didakwa busana muslim itu sebenarnya tidak menutup aurat langsung

"Ada model fesyen yang memakai baju tidak menutup aurat dengan tulisan ‘Muhammad SAW’ yang jelas memalukan umat Islam, Pemuda PAS bantah sekeras-kerasnya dan jika dibuat sekali lagi di Negara ini akan ditentang dan akan kerah seberapa ramai umat Islam untuk bantah sehingga penganjuran itu dibatalkan,"tegasnya

Manakala dalam demo aman di masjid Batu Rakit, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah bertegas, Pemuda PAS amat sensitif dan akan tentang dengan apa cara sekali pun walau pun terpaksa dengan pengorbanan darah dan nyawa.

Menurutnya Pemuda PAS mendesak Rosmah selaku penaung program itu minta maaf secara terbuka dan pihak berkuasa ambil tindakan. -BO

Bantah Festival Busana: Mana Dia Ulamak Muda UMNO?

Festival busana: Mana dia ulama muda Umno

"Di mana perginya 40 ulama muda Umno dan mana dia mufti yang selalu tangkas mengeluarkan kenyataan bila berlaku sesuatu peristiwa yang menyebelahi Umno," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam perhimpunan aman di hadapan Masjid Jamek Permatang Janggus selepas solat fardhu Jumaat tadi.

Seramai 200 orang jemaah mengadakan bantahan secara aman terhadap Festival Busana Muslim yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur dan bakal diadakan lagi pada bulan depan.

Tegasnya, Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang mengecam sekeras-kerasnya tindakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan penaung festival berkenaan kerana sanggup menggadai agama Islam semata-mata untuk mendapatkan publisiti.

“Kenapa ulama muda dalam Umno dan mufti di negeri-negeri membisu tanpa mengeluarkan sesuatu kenyataan yang membela Islam dan mendesak Rosmah Mansor memohon maaf pada umat Islam di dunia atau khasnya di Malaysia,” ujarnya.

Katanya, Rosmah yang juga mendapat gelaran baru 'First Lady' tidak wajar bertindak membelakangkan para agamawan disebabkan mahu namanya berada di kemuncak.

"Jelas isteri Datuk Seri Najib menghina Islam menerusi penganjuran festival yang berselindung di belakang nama Islamik tetapi fesyen yang diperagakan tidak sesuai dengan Islam bahkan Rosmah sendiri tidak mengenakan pakaian yang sesuai dengan tema ketika merasmikan program tersebut,” katanya.

Di Pulau Pinang, dua masjid dijadikan lokasi bantahan berkenaan iaitu di Masjid Jamek Hashim Yahya, Jelutong dan Masjid Jamek Permatang Janggus bagi zon Seberang Perai. -Hrkh


Batal perhimpunan, Pemuda PAS WP jumpa Jakim

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (WP) hari ini membatalkan rancangan mengadakan demontrasi membantah tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW dalam penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo 9 Ogos lalu.

Sebaliknya, ia memutuskan untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Dewan Pemuda PAS Wilayah malam semalam, kata ketua penerangannya, Fadhil Osman. Sebelum ini, bantahan tersebut dirancang diadakan di Masjid Kampung Baru selepas solat Jumaat hari ini.

"Hasil perbincangan, Pemuda PAS Wilayah mengambil pendekatan yang lebih bersifat untuk mendapat sokongan politik.

"Kita akan berbincang mengenai isu ini dengan Jakim. Setakat ini mereka (Jakim) tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan (berhubung isu ini)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mesyuarat malam tadi juga, kata Fadhil, bercadang menghantar memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara tersebut.

"Memorandum itu sudah siap. Kita akan menghantar surat memohon perkenan mengadap Seri Paduka untuk menyerahkan memorandum tersebut," katanya.

Fadhil berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada Jakim dan Istana Negara petang ini.

Mengulas pendirian pemuda PAS Wilayah Persekutuan itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata pihaknya tiada halangan asalkan isu berkenaan ditangani dengan berkesan.

Katanya, tindakan itu diambil kerana mungkin mereka beranggapan masih ramai yang belum mengetahui isu tersebut.

“Nak tukar pendekatan hantar memo kepada Jakim dan Agong kerana merasakan isu ini masih ramai belum mengetahuinya dan mereka merasakan penyerahan memo itu lebih berkesan. Itu ok.

“Tidak mengapa dan saya setuju. Yang penting isu ini mesti ditangani secara berkesan,” kata Nasrudin dalam satu pesanan ringkas sms kepada Malaysiakini.

Semalam, Dewan Pemuda PAS pusat mengumumkan akan mengadakan bantahan secara aman di masijid-masid tertentu di seluruh negara selepas solat Jumaat hari ini bagi membantah tindakan Rosmah yang didakwa menghina syariat Islam itu.

Nasrudin dilaporkan mendakwa tindakan Rosmah, selaku penganjur festival fesyen itu, sesuatu yang keterlaluan.

Di festival itu seorang model - yang tidak menutup aurat - telah memperagakan pakaian dengan tulisan "Muhammad" secara terbalik dalam tulisan Arab pada bahagian dadanya.

Sementara itu, ditanya sama ada pihaknya membatalkan perhimpunan hari ini kerana menerima tekanan, Fadhil berkata:

"Kita tidak menerima tekanan dari mana-mana pihak. Ia adalah hasil persetujuan dalam mesyuarat malam tadi".

Katanya, pembatalan perhimpunan itu hanya di peringkat Wilayah Persekutuan sahaja.

Kenyataan Media Ust. Asri berkenaan Islamic Fashion Festival Rosmah

http://dupahang.files.wordpress.com/2009/11/dr-maza.jpg?w=188&h=238
Kenyataan Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Mengenai Islamic Fashion Festival (IFF)

Saya berada di Qatar ketika ini. Pihak media bertalu-talu menghubungi saya bertanya pendapat tentang hal ini. Maka, saya ingin menyebut secara ringkas beberapa perkara berikut;

1. Berdasarkan apa yang ditonjol, jelas bahawa mengaitkan fesyen-fesyen tersebut dengan Islam adalah satu penghinaan. Sama sekali ia tidak islamik. Penganjur amat salah jika menyangka Islamic design dan Islamic fashion hanya berkaitan dengan penonjolan tulisan yang berunsur Islamik tanpa memahami soal etika dan hukum-hakam syarak.

2. IFF boleh memberikan gambaran salah yang serius mengenai pakaian dalam Islam. Ia juga melambang kecelaruan fikiran mereka yang terlibat.

3. Islam tidak menghalang fesyen untuk wanita, tetapi mesti dengan prinsip dan etika yang tersendiri. Penganjuran fesyen pakaian itu tidak salah, tetapi konsep dan pengisiannya IFF itu salah disebabkan tidak memahami prinsip dan etika dalam hal ini.

4. Mereka yang terlibat hendaklah memohon maaf kepada umat Islam dan mengisytiharkan kepada awam bahawa yang dianjurkan itu bukanlah ‘Islamik’.

5. Bahaya untuk isteri pemimpin utama negara Islam terlibat dengan hal-hal yang seperti ini. Ia akan memberikan mesej Islam yang salah kepada dunia, apatah lagi Malaysia dianggap salah sebuah negara Islam yang penting.

6. Kepimpinan negara akan rosak jika isteri-isteri pemimpin utama ini cuba menonjolkan diri sehingga tidak teliti dan tidak lagi memikir buruk baik sesuatu tindakan. Perbuatan seperti ini akan merosakkan kepimpinan sesebuah negara yang majoritinya muslim.

7. Saya mencadangkan kepada mereka yang berminat menganjurkan pertunjukan ‘Islamic fashion’ mewujudkan penasihat syariah terlebih dahulu. Mereka boleh menjemput ilmuwan yang lebih terbuka dan fleksibel tetapi mengikut prinsip-prinsip umum syarak.

-Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Doha, Qatar
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .