Pemimpin politik dan wakil masyarakat tidak perlu mengucapkan terima kasih kepada pentadbiran Najib atas keputusan kerajaan pusat mahu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa undang-undang berkaitan kerana pihak berkuasa yang merampas hak rakyat selama ini, kata pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari
(gambar).
Dengan merujuk kepada pendirian bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan beberapa pihak lain, Aziz berkata, adakah rakyat perlu mengucapkan terima kasih kepada pencuri yang melarikan barang milik seseorang.
Oleh itu tegas beliau, sudah menjadi tanggungjawab dan amanah kerajaan pusat untuk mengembalikan hak-hak rakyat yang dirampas selama lebih lima dekad yang lalu.
“Dia (Asri) tak faham isu sebenar. Hak yang dinafi selama ini ialah hak yang Allah berikan dan diambil secara tidak sah oleh kerajaan. Termasuk melalui ISA sejak 1960.
“Jadi, perlukah kita ucap terima kasih kepada pencuri? Dalam Islam kerajaan adalah pemegang amanah, menjaga rakyat. Bukan bertindak sesuka hati,” kata ahli akademik ini.
Aziz juga menambah, ISA pernah digunakan ke atas pelbagai pihak termasuk pejuang-pejuang Islam yang difitnah macam-macam.
“Mungkin Asri lupa atau tak tahu hal itu. Dia mungkin tahu agama tapi tak mahir dan tak mengikuti perkembangan politik,” tambah Aziz.
Dalam reaksi ke atas pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Khamis lalu, Asri berkata, pengumuman itu membawa makna yang besar kepada negara dan amat bersejarah.
Pemimpin bukan politik ini menambah, ISA adalah satu akta yang tidak islamik selain menjejaskan hak asasi individu dan boleh disalahgunakan oleh pemerintah dengan mudah, dan oleh itu tindakan memansukhkannya adalah tindakan yang amat islamik.
“Dalam masa yang sama menunjukkan semangat penghormatan hak rakyat yang tinggi oleh pihak pimpinan Perdana Menteri sekarang dalam isu ini,” katanya lagi.
Kata beliau, sekian lama perjuangan agar akta itu dimansukhkan dan “hari ini Perdana Menteri telah merealisasikan harapan dan impian rakyat ini.”
“Itu satu penunaian hasrat rakyat yang besar untuk melihat sistem pengadilan negara yang lebih baik,” kata beliau.
Tambah beliau, pengumuman malam tadi juga lebih berharga dari segala pemberian bonus dan kenaikan gaji kerana pemansuhan ini bererti mengembalikan hak asasi insani yang lebih berharga dari wang ringgit.
“Ini bererti ia sebuah hadiah daripada Perdana Menteri yang bermakna sempena Hari Malaysia,” kata beliau lagi.
Malah katanya, pengumuman ini bererti usaha transformasi negara dan kesedaran kerajaan Perdana Menteri sekarang tentang perubahan situasi rakyat tidak boleh dianggap retorik politik semata, sebaliknya ia telah diterjemahkan dalam beberapa langkah yang berani dan bermakna.
“Rakyat yang insaf, tanpa mengira parti hendaklah berterima kasih kepada pengumuman ini. Kita hendaklah berpolitik secara matang, memuji apa yang patut dipuji, menyokong apa yang patut disokong, membantah apa yang patut dibantah, mengkritik apa yang patut dikritik,” kata beliau.
Justeru tambah Aziz, beliau bersetuju dengan pendirian Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang menuntut kerajaan membayar ganti rugi kepada tahanan ISA ataupun kepada anggota keluarga masing-masing.
“Sebetulnya mahkamah melalui Hakim Datuk Hishammudin Yunus dah kata OK, (dalam kes Malek Hussin yang dapat gantirugi kerana ditahan ketika reformasi) tapi sayangnya kes ini telah dibatalkan oleh mahkamah rayuan,” kata beliau lagi.