Ikuti Blog ini

Pemuda Wilayah : “Turunkan harga minyak bawah RM 2″

Kamaruzaman Mohamad mengetuai rombongan pemuda wilayah menghantar memorandum kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada pukul10 pagi tadi.

Memorandum tersebut menggesa kerajaan supaya menurunkan harga miinyak di bawah harga RM 2 sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Memorandum tersebut telah diterima oleh En. Zahari yang merupakan setiausaha sulit kanan kepada Y.B. Dato’ Shahrir Bin Abdul Samad.

Beberapa orang yang turut bersama menghantar memorandum ialah Kamarul Arif Ambak (Timbalan Ketua DPPWP), Herman Samsudeen (Ketua Penerangan DPPWP), Suhaimi Abd Aziz (exco DPPWP) dan Zulkarnain Borhan (exco DPPWP).

Berikut memorandum yang yang telah dihantar:

MEMORANDUM
DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH
KEPADA
MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN
HAL EHWAL PENGGUNA
23 SEPTEMBER 2008

”TURUNKAN HARGA MINYAK DIBAWAH HARGA RM 2”

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (Pemudawilayah) memandang serius kenyataan YB Menteri untuk menurunkan harga minyak sebelum hari raya ini.

Trend penurunan harga minyak kini sedang berlaku diseluruh dunia maka menjadi suatu kewajaran untuk pihak Kerajaan menurunkan harga yang sedia ada.

Ketika Kerajaan menaikkan harga minyak pada 5 Jun 2008 yang lalu, harga minyak bagi negara-negara OPEC adalah USD 118.75 setong. Justeru Kerajaan mengambil langkah drastik dengan menaikkan harga minyak petrol sebanyak 78 sen dan diesel sebanyak RM1.00 setiap liter, sekaligus menyebabkan harga baru petrol dan diesel meningkat RM2.70 seliter dan RM2.58 seliter.

Kenaikkan itu diikuti oleh kenaikkan kos pengeluaran dikilang dan akhirnya mendesak harga barangan pengguna di dalam pasaran melambung tinggi. Aliran ini menyebabkan kos hidup rakyat meningkat khususnya bagi mereka yang berpendapatan kurang dari RM 2000 sebulan dan juga bagi mereka yang tingagal dibandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Pada 23 Ogos 2008, Kerajaan menurunkan harga minyak petrol sebanyak 15 sen dan diesel sebanyak 8 sen. Penurunan itu menjadikan harga baru petrol sebanyak RM2.55 seliter dan diesel RM2.50. Walaubagaimana pun kesan penurunan itu tidak begitu dirasai kerana harga barangan pengguna tidak menampakkan perubahan besar.

Rakyat mengharapkan agar kadar penurunan itu ditingkatkan dan mendesak para pengeluar dan peniaga turut menurunkan harga barang dagangan mereka dipasaran.

Jika dilihat pada rekod yang lalu, pada 28 Februari 2006, Kerajaan menaikkan harga petrol kepada RM 1.92 dimana pada ketika itu harga minyak bagi negara OPEC adalah USD 93.49 setong. Harga berkenaan lebih tinggi berbanding harga terbaru pada 19 September iaitu USD 88.53 setong, oleh itu sewajarnya harga yang baru diberikan akan oleh Kerajaan adalah lebih rendah dari itu atau tidak melebihi dari RM 2 seliter.

JADUAL 1 : Statistik Semasa Harga Minyak DiPasaran OPEC dan Seluruh Dunia

Sumber : *Organization of Petroleum Exporting Countries (OPEC)

** Energy Information Administration (EIA), USA


Kami memahami beban kewangan yang ditanggung oleh Kerajaan kerana sebarang perubahan harga minyak boleh memberikan kesan kepada kadar subsidi dan projek-projek lain Kerajaan. Walaubagaimana pun, bebanan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah juga haruslah diambil kira.

Harga minyak dipasaran dunia boleh berubah setiap hari tetapi di Malaysia, sebuah negara kecil perubahan harga minyak mengambil masa yang terlalu lama!

Kecekapan pengurusan diperingkat Kerajaan adalah dituntut agar trend turun naik harga minyak dunia dapat diselaraskan dengan harga bagi pasaran tempatan tanpa menunggu masa yang terlalu lama untuk penilaian harga baru.

Sekurang-kurangnya Kerajaan boleh membuat semakan harga pada setiap minggu. Perubahan harga tidak akan menjejaskan operasi semasa syarikat penjual Minyak dan Gas sekiranya semakan mingguan dibuat. Minyak adalah komoditi yang bergerak pantas dan kadar penjualannya juga tinggi sesuai dengan kadar permintaan yang sentiasa melebihi.

Kerajaan wajar menyediakan jadual anggaran harga masa hadapan sebagai panduan. Anggaran boleh dibuat berdasarkan rekod harga pada minggu yang sebelumnya dan ini akan memudahkan penentuan harga pasaran dan agihan subsidi.

Dicadangkan juga, agar pihak Kementerian mewujudkan satu Unit Khas yang berfungsi untuk mengkaji dan mengawal harga minyak ini setiap minggu.

Menjelang syawal tahun ini, rakyat begitu terasa dengan bebanan kenaikkan harga minyak yang mempengaruhi harga minyak. Oleh itu Pemudawilayah sekali mengesa akan pihak Kerajaan dapat menimbangkan kadar yang lebih kompetatif untuk harga minyak baru iaitu dibawah RM 2.

Sekian. Terima Kasih.

Kamaruzaman Mohamad
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan




Kata Presiden




Beberapa Info Berguna Berkenaan Malam Al-Qadar

Laylatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr . Firman Allah SWT :

Ertinya : "Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan" (Al-Qadr : 2) .

Di Malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain. Disebutkan di dalam sebuah hadith :-

Ertinya : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175 )

Sebuah lagi hadis menyebut :-

انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها

Ertinya : "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره

Ertinya : " Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Waktunya

Malam Al-Qadar Indah Bagi Orang BerimanPara ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.

Iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.

Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.

Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?.

Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.

Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.

Hadith Nabi menyebut:-

التمسوها في العشر الأواخر من رمضان

Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu JIKA negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama. Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam.

carilah malam alqadar dengan ikhlas dan amal

Tarikhnya Berubah atau Tetap Setiap Tahun?

Sebahagian ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu' 6/450).

Selain dari itu, berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:-

أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر

Ertinya : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir" ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)

Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamany di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerna beliau telah melihat tandanya dan zaman lain umumnya), sebagaimana dalil hadith yang menyebut:-

ليلة القدر ليلة سبع وعشرين

Ertinya : "Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh" (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )

Doa Terpenting Semasa Lailatul Qadar

Allah s.w.t pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak kemakbulan doa. Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya :-

فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ

Ertinya : Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat ( Al-Baqarah : 200 )

Jelas dalam ayat ini Allah s.w.t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.

Lalu Allah s.w.t mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat..dan dilebihkan 'portion' atau bahagian akhirat apabila di tambah "selamatkan dari api neraka". Beerti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.

Lihat doa yang diingini Allah s.w.t :-

وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Ertinya : "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )

Di malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w kepada Aisyah r.a :-

وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

Ertinya : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"

Mestikah Mendapat Tanda ?

Sabda Nabi SAW :

من يقم ليلة القدر فيوافقها..

Ertinya : Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya..." ( Riwayat Muslim)

Hadiith ini menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat keberkatan malam al-qadar mestilah mengetahui berdasarkan hadith di atas.

Bagaimanapun, pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, samada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki oleh Allah untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda menarik dan mungkin pelik dan sebagainya.

Tidak perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah akan memberikan tandanya menurut kehendakNya.

Masa Berkat Berpanjangan atau Hanya Beberapa Saat?

Saya masih ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak, tersebar info kepada kebanyakkan saya dan rakan-rakan ketika itu adalah :

waktu maqbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas maka saatnya rugilah sepanjang hayat.

Rupanya, ia hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak diketahui tujuan mereka. Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang malam, ia telah disebutkan oleh Allah dengan jelas iaitu :-

سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

Ertinya : Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5 )

Inilah yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami' Li Ahkam al-Quran, 20/134 )

Wanita Haid Terhalang Dari Berkatnya ?

Adakah wanita sedang haid terhalang dari keberkatan lailatul Qadar?. Sudah tentu jawabnya tidak, Allah s.w.t maha adil. Bagi wanita sedang uzur pelbagai amalan dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti :-

  • 1) Berzikir
  • 2) Berdoa
  • 3) Membawa terjemahan Al-Quran serta memahaminya.
  • 4) Mendengar bacaan Al-Quran oleh suaminya, adik beradik atau dari kaset.

Sebahagian ulama silam dan moden seperti Syeikh Prof. Dr Muhammad Abu Laylah ( Prof Syariah di Univ Al-Azhar) berpendapat mereka dibenarkan juga membaca al-Quran tanpa memegangnya (melalui hafazan), malah sebahagian yang lain seperti Fatwa Ulama Saudi pula membenarkan mereka membacanya melalui mashaf. Saya tidak ingin membincangkannya di sini. Sekadar memberikan idea dan keterbukaan di kalangan para ulama.

Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut.

sekian.



بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على محمد وآل محمد

اَللَّهُمَّ اَدْخِلْ عَلَى اَهْلِ الْقُبُوْرِ السُّرُوْرَ اَللَّهُمَّ اَغْنِ كُلَّ فَقِيْرٍ، اَللَّهُمَّ اَشْبِعْ كُلَّ جَائِعٍ، اَللَّهُمَّ اكْسُ كُلَّ عُرْيَانٍ، اَللَّهُمَّ اقْضِ دَيْنَ كُلِّ مَدِيْنٍ، اَللَّهُمَّ فَرِّجْ عَنْ كُلِّ مَكْرُوْبٍ، اَللَّهُمَّ رُدَّ كُلَّ غَرِيْبٍ، اَللَّهُمَّ فُكَّ كُلَّ اَسِيْرٍ، اَللَّهُمَّ اَصْلِحْ كُلَّ فَاسِدٍ مِنْ اُمُوْرِ الْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ اشْفِ كُلَّ مَرِيْضٍ، اللَّهُمَّ سُدَّ فَقْرَنَا بِغِنَاكَ، اَللَّهُمَّ غَيِّرْ سُوْءَ حَالِنَا بِحُسْنِ حَالِكَ، اَللَّهُمَّ اقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَاَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ، اِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Ya Allah, sampaikan shalawat kepada Rasulullah dan keluarganya

Ya Allah, masukkan kebahagiaan kepada penghuni kubur. Ya Allah, kayakan setiap yang faqir. Ya Allah, kenyangkan setiap yang lapar. Ya Allah, berikanlah pakaian kepada setiap yang telanjang. Ya Allah, tunaikan hutang setiap yang berhutang. Ya Allah, bahagiakan setiap yang menderita.

Ya Allah, kembalikan setiap yang terasing. Ya Allah, bebaskan setiap yang tertawan. Ya Allah, perbaiki setiap yang rusak dari urusan kaum muslimin. Ya Allah, sembuhkan setiap yang sakit.

Ya Allah, kayakan kami dengan kekayaan-Mu. Ya Allah, rubahlah keburukan keadaan kami dengan kebaikan keadaan-Mu. Ya Allah, tunaikan hutang kami dan kayakan kefaqiran kami, sensungguhnya Dikau Maha Kuasa atas segala sesuatu.


SANTAI: KEPALA MAT REMPIT TERCUCUK BESI

Seorang bapa dipanggil ke hospital kerana anaknya seorang Mat Rempit terlibat kemalangan.
"Anak Pak Cik kemalangan dengan lori besi ketika berlumba motor dengan kawan-kawannya, kepalanya tercucuk besi terkena otak, kami mungkin sukar menyelamatkannya", terang doktor kepada bapanya
"Tak mungkin", jawab bapa

"Kenapa Pak Cik tak percaya?", tanya doktor.

"Macamana boleh tercucuk otak pulak ,anak saya ni tak de otak! Sebab tu dia jadi Mat Rempit, kalau ade otak mesti dia dengar cakap saya", jawab bapa



Majlis Perunding Pertubuhan-Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) ditubuhkan


Ipoh : Beberapa pertubuhan NGO Islam diperingkat nasional dan peringkat negeri telah bersetuju secara konsensus untuk bergabung dalam satu pertubuhan yang akan bertindak sebagai badan induk Majlis Perunding bagi menangani isu-isu yang berkaitan umat Islam secara bebas.

Majlis Perasmian Penubuhan dan Persidangan Majlis Perunding Pertubuhan–Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu telah diadakan pada hari Ahad di Dewan Besar Kediaman Menteri Besar Perak.

Majlis tersebut adalah anjuran Sekretariat Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak atau ringkasnya JAMAI’IY.

“Lebih 30 NGO Islam peringkat nasional dan 14 lagi di peringkat negeri telah bersetuju membentuk Majlis Perunding Pertubuhan–Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) kelmarin,” jelas Mohd Nazri Sahat , salah seorang exco JAMAI’IY.

Antara yang hadhir dalam majlis tersebut ialah perwakilan daripada ABIM, JIM, TERAS, PKIM, ISMA, MACMA, dan lain-lain.


Menteri Besar Perak, Dato Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin telah menyempurnakan ucaprasmi Majlis Penubuhan dan Persidangan MPIM tersebut.

Nizar berharap MAPIM akan berperanan aktif sebagai ‘Islamic Council’ , merapatkan kerjasama pertubuhan Islam berikutan dengan pembangunan , ekonomi dan sosial.

Nizar berkata, “ MAPIM ditubuhkan untuk menyatakan lebih bersepadu berikutan dengan urus tadbir negara dan untuk berkongsi maklumat memajukan Malaysia tanpa mengira kaum atau ugama.”

“Dengan tertubuhnya MAPIM, adalah diharapkan kita telah dapat menyelesaikan masalah berbilang-bilang jemaah Islam dalam negara kita hari ini,” jelas Nazri.

Menjawab kepada persoalan mengapa majlis tersebut dibuat dikediaman Menteri Besar, sedangkan MAPIM merupakan satu pertubungan NGO, Nazri menjelaskan bahawa Menteri Besar itu sendiri merupakan satu institusi milik rakyat dan MAPIM juga adalah milik rakyat ; maka tidak ada peliknya kalau dilihat dari sudut demikian.

Penubuhan MAPIM adalah satu detik sejarah bermulanya satu lembaran pemikiran ummat yang menjangkau pandangan politik kepartian dalam mengurus hala tuju ummat Islam dalam negara ini.



Rahsia & risipi Kelantan bangkit semula selepas cemas-cemas tumbang - TMB Kelantan




Muqqaddimah: Apabila bercakap mengenai kerajaan Islam, Kelantanlah menjadi fokusnya. Sehingga kini sudah lebih 18 tahun ulama mentadbir negeri terbabit. Sepanjang tempoh itu ada pasang dan surutnya. Biar apa pun Kelantan terus gagah meredah arus politik. Penggal lalu kerajaan PAS berada dalam suasana paling gentir. Seumpama telor di hujung tanduk. Namun biar pun dijarak dengan kelebihan satu kerusi kerajaan PAS terus utuh. Apa rahsianya. Ikuti temubual bersama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yakub bagi melihat dari dekat lonjakan kembali PAS di Kelantan ketika ditemui.

Apa rahsia PAS Kelantan dapat bangkit selepas hampir rebah pada penggal lalu?

Kita mendapat lonjakan sokongan pada pilihan raya baru-baru ini kerana hasil kerja keras sebelum ini, di samping itu jentera kita penuh disiplin. Selain itu kerajaan negeri juga melaksanakan beberapa program baru yang lebih kepada kebajikan kepada rakyat.
Ini menyebabkan rakyat memberi keyakinan semula kepada PAS. Manifesto dalam pilihan raya baru-baru ini untuk melebarkan lagi program kebajikan rakyat. Utama sekali istiqamah serta dakwah 'bil hal' dan pemimpin kita berpegang teguh dengan prinsip perjuangan Islam.
Dalam keadaan kita menang dengan satu kerusi pada penggal lalu wakil rakyat kita berpegang teguh kepada prinsip Islam. Biar pun ditawarkan dengan jutaan wang ringgit namun mereka tetap dengan perjuangan. Dan ini mendapat pujian daripada rakyat terhadap sikap wakil rakyat PAS.

Ada sesuatu program yang Dato' rasa telah menarik minat rakyat?

Program yang kita lancar antaranya Pembangunan Ladang Rakyat sehingga menjelang pilihan raya baru-baru ini hampir 100 orang dari setiap Dun dipilih sebagai peserta. Ini bermakna mereka dapat menerima bantuan secara langsung daripada kerajaan hasil daripada Ladang Rakyat sebanyak RM200 sebulan.
Kita beri dalam tempoh tiga bulan sekali iaitu berjumlah RM600. Ini sedikit sebanyak dapat menampung kehidupan mereka lebih-lebih lagi kenaikan harga minyak yang begitu tinggi baru-baru ini. Selain itu program Skim Takaful Kifaalah.
Ini cukup berkesan kerana kerajaan begitu prihatin terhadap kesusahan rakyat. Pada hari kematian diberi RM500 dan tidak lama selepas itu akan diberi RM2,000 lagi. Dalam penggal lepas program belia sangat berjaya di bawah Abdul Fattah Mahmood dengan pelbagai program untuk bersama belia.

Banyak pihak mengatakan kekuatan PAS di Kelantan kerana faktor Tok Guru Dato' Nik Abdul Aziz. Sejauh mana Dato' melihatnya?

Ada kebenarannya. Sudah menjadi budaya di Kelantan menghormati Tok Guru sebagai pemimpin, ketua atau apa sahaja. Tok Guru menjadi lambang yang dihormati. Budaya ilmu di Kelantan disebar oleh Tok Guru. Mungkin kita tidak dapat mencari satu calon yang sama dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Namun kita boleh dengan cara kolektif dan suara ramai untuk meneruskan dasar Membangun Bersama Islam asasnya di bawah pimpinan ulama. Maka kita mampu menyediakan pelapis ke arah itu.

Ini bermakna Dato' rasa sudah ada calon boleh menggantikan Tok Guru sekarang?

Bagi saya ramai pemimpin berwibawa dalam PAS sekarang, cuma selagi Tok Guru masih ada kita beri peluang kepadanya untuk terus memimpin. Jadi dalam waktu ini belum nampak lagi calon lain yang menonjol kerana belum lagi diberi peluang. Memang ada calon-calon yang dianggap sesuai.
Namun belum lagi kita tunjukkan. Biasanya pimpinan Islam silih berganti. Selagi kita bergerak di atas dasar Islam dan tidak lari daripada prinsip itu InsyaAllah kita tidak akan ketandusan pemimpin pelapis.

Apa persediaan Dato' sekiranya diberi peluang mengetuai kerajaan?

Saya setakat ini masih lagi Timbalan Menteri Besar dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan (ketawa).

Sejauh mana kejayaan Kelantan kalau dibanding dengan negeri-negeri lain, selepas lebih 18 tahun berada di bawah PAS?

Apa yang paling ketara ialah dari segi amanah. Pemimpin walaupun bijak dan hebat tetapi kalau tidak ada amanah akan berlaku ketirisan dan kecurangan. Ini yang tidak berlaku di Kelantan. Kita boleh berbangga dengan sifat amanah yang begitu tinggi menjadi amalan pemimpin di sini.

Kelantan sehingga kini masih lagi dilabelkan sebagai tidak membangun dan ketinggalan. Benarkah demikian?

Pada saya Kelantan sudah jauh membangun kalau hendak dibanding dengan sesetengah negeri lain. Mungkin mereka dipengaruhi pemikiran lama yang masih bersisa.
Pembangunan tetap berlaku cuma yang belum ada industri secara besar-besaran. Kita
tidak ada pelabuhan dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa. Dalam jawatankuasa infrastruktur negeri ada cadangan untuk membina pelabuhan di Tok Bali, Pasir Puteh dan KuaLa Besar. Industri besar-besar juga mungkin memberi kesan yang tidak baik kepada alam sekitar.
Bgaimana pun kita cuba mewujudkan pelabuhan melalui pembangunan ekonomi wilayah timur (ECER). Kita cuba padukan dan saya rasa tidak timbul tiada pembangunan.

Bagaimana penyelesaian masalah tanah?

Sebahagian besar masalah permohonan tanah lebih tertumpu di kawasan Kelantan Selatan, misalnya Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan Tanah Merah. Kerajaan sentiasa memberi hak milik tanah kepada rakyat sekadar untuk sara hidup mereka. Kita juga sedang melaksanakan program pembanngunan tanah melalui agensi kerajaan khususnya Perbadanan Menteri Besar dan Perbadanan Ladang Rakyat.

Sejauh mana hak milik tanah sudah diselesaikan?

Sudah banyak diluluskan untuk rakyat. Namun program baru yang sedang kita usaha iaitu tanah-tanah yang diberi kelulusan dasar melebihi 50 ekar, kalau pemiliknya tidak dapat membayar premium dan upah ukur, kerajaan mengambil pendekatan tanah-tanah itu akan diberi milik kepada pemohon melalui kerjasama Perbadanan Ladang Rakyat.
Ladang Rakyat akan membayar premium dan upah ukur. Satu perjanjian akan dibuat bersama peneroka yang akan dimajukan Ladang Rakyat sehingga 30 tahun akan datang.
Apabila ladang yang diusahakan mendapat hasilnya akan dipotong pendahuluan yang diberi pada peringkat awal. Kawasan tersebut ada tempatnya seluas 1,000 ekar dan di tempat lain pula 2,000 ekar.
Kita kenalpasti ada 11 kawasan yang sudah dilulus dasar oleh kerajaan. Kelulusan dasar sudah lama diberi namun penduduk tidak mampu untuk membayar premium sehingga kerajaan tidak mendapat sebarang hasil.
Melalui kaedah baru hasil dapat kepada kerajaan dan peneroka diberi hak milik tanah. Sekarang kawasan itu tidak ada hasil. Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah jajahan akan membuat pemutihan ke atas pemohon kelulusan dasar dan mereka akan diminta membayar premium dan upah ukur sebelum tanah itu diluluskan.
Ladang Rakyat akan tolong membayarnya terlebih dahulu dan akan memajukan kawasan itu. Masalah ini juga dapat menyelesaian penerokaan tanah secara haram peringkat demi peringkat. Syarat tanah tersebut hanya diterima sebelum 1995. Permohonan tanah baru kita tidak benarkan.

Bagaimana sokongan orang bukan Islam terhadap PAS?

Kita dapati sokongan meningkat kerana kita tidak berjuang di atas dasar bangsa. Kita berjuang di atas dasar agama. PAS sekarang sudah berjaya menjelaskan mengenai Islam kepada orang bukan Islam biar pun sebelum ini dihalang parti lawan.
Umno banyak menghalang usaha dakwah kita, namun sekarang orang bukan Islam mulai faham. Sebab itulah orang bukan Islam di Kelantan semakin ramai memberi sokongan kepada PAS. Ini terbukti dengan kaum Cina dan India kepada calon PAS di Dun Kota Lama meningkat dengan mendadak.
Ini kerana kita tidak pernah mengubah budaya mereka dan tetap dapat diamalkan. Kita kemukakan Islam sebagai satu cara penyelesaian bagi kehidupan manusia.

Sistem gadaian Islam (Ar Rahn) yang dipelopori kerajaan negeri nampaknya semakin berkembang. Sejauh mana prestasinya sekarang?

Kita sediakan sistem tersebut bagi memudahkan rakyat menyimpan barang kemas bagi mendapat wang tunai. Kita tidak kenakan sebarang faedah. Ini menyebabkan orang ramai semakin berminat untuk menggunakan perkhidmatannya sehingga Ar Rahn berkembang sehingga ke luar Kelantan.
Berkaitan kes pecah masuk baru-baru ini kerajaan negeri sudah memberi jaminan akan membayar ganti rugi sepenuhnya kepada penyimpan. Dan rakyat yakin dengan kemampuan kita mengurusnya.

PAS juga didapati mendapat sokongan padu anak-anak perantau pada pilihan raya umum lalu?

Kita menghargai pengundi di kalangan rakyat Kelantan yang tinggal di luar negeri, di mana mereka balik mengundi dengan tidak ada upah. Mereka balik dengan menyatakan tidak mahu lagi kepada BN. Ini menggambarkan satu arus yang berlaku.
Mereka sudah merasaikan dari dekat kerenah pemimpin Umno sekarang. Mereka balik dengan penuh kesedaran. Dan ini menyebabkan pemimpin Umno kecewa. Sebelum itu mereka mengharapkan pengundi dari Lembah Kelang, Johor, balik memberi undi kepada BN tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Rakyat yang tinggal di sana sudah mengetahui BN menghadapi banyak masalah.
Selain itu, parti-parti lain dalam BN sudah tidak rapat lagi dengan BN. Sebab itulah ramai penduduk bukan Islam daripada kaum India dan Cina banyak memberi sokongan kepada PAS pada pilihan raya umum lalu. Saya memfokus kepercayaan rakyat kepada PAS dan mereka hilang keyakinan kepada BN.

Pandangan Dato' situasi politik negara sekarang?

Selepas pilihan raya Permatang Pauh dan hari ini selepas berlaku pertukaran jawatan di mana Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan dan Kewangan diberi kepada Dato' Seri Najib menyebabkan saham kita jatuh menjunam 3.09 peratus atau 39.09 mata.
Ini suatu kejatuhan yang sangat membimbangkan ekonomi negara. Perletakan jawatan Dato' Zaid Ibrahim dan keadaan yang semakin tidak menentu menyebabkan rakyat semakin tidak yakin dengan kerajaan BN.
Masa inilah yang terbaik bagi ahli Umno meninggalkan parti dengan menyertai parti lain termasuk PAS. Saya yakin dalam masa tidak lama akan kerajaan BN akan runtuh.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .