Ikuti Blog ini

Kota Siputeh sama dengan 3 DUN di Perak, SPR kena tarik keputusannya di Perak sebelum ini.

Pada hari ini Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan keputusan mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah minggu lalu. Sekarang nampak sungguh SPR sudah tersasar dari tugas sebenarnya dan betul-betul jadi barua Umno dan BN dengan berkerja kuat untuk mengelakkan berlaku kekosongan kerusi tersebut.

Walaupun gagal pada hari ini SPR memaklumkan akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung penolakan penangguhan tersebut.Berikut adalah beberapa kenyataan saya pada hari ini :-

1. Bukankah SPR kerjanya tidak lebih dari menguruskan soal berkaitan pilihanraya. Atau sejak bila SPR sudah jadi satu entiti yang boleh mempertikaikan apa saja surat dan dokumen termasuklah kesahan dari segi undang-undang yang tidak selayaknya dipertikaikan oleh badan itu.

SPR kerjanya hanyalah mengurus soal pilihanraya. Sesudah menerima apa-apa makluman dari mana-mana Speaker SPR hendaklah bermesyuarat. Biasanya bila kita mendengar SPR ingin bermesyuarat semuanya rasa berdebar dan menunggu-nunggu apakah SPR menerima surat atau dokumen sebagai bukti kerusi itu dikosongkan. Ini adalah sudah salah dari pandangan yang sebenarnya kepada apa yang sepatutunya dimesyuarat.

2. Yang lebih malang ternyata SPR sudah jadi barua dan diperkudakan dalam banyak hal termasuklah apa yang berlaku di Perak.Dengan tidak profesionalnya SPR kemelut di Perak telah jadi "gila khinzir' sekarang. Tidakkah seperti yang disebutkan oleh hakim pada hari ini sangat jelas bahawa SPR bertindak tidak wajar dalam Kes Kota Siputeh. Bagi saya termasuklah di Perak.

Hakim menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

Kata Hakim lagi pada hari ini, "Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya dalam penghakimannya.

3. Artinya kalau perkara ini di rujuk kepada kes Jelapang, Behrang, dan Changkat Jering jelas makluman Speaker Sivakumar mengenai perletakan jawatan, Hee, Osman, dan Jamaluddin mesti diterima oleh SPR sebagai makulmat dan SPR cuma bermesyuarat untuk menentukan bila tarikh penamaan calon, hari mengundi dan berbincang berbagi hal yang berkaitan dengan pengundian bagi 3 DUN tersebut.

4. Penghakiman pada hari ini bagi saya memberi jawapan bahawa SPR tidak ada hak untuk menafikan makluman Sivakumar di Perak dan satu laluan kepada pilihanraya di 3 DUN di Perak tersebut mesti disegerakan.

5. Oleh itu saya mendesak supaya kes semakan keputusan SPR yang difailkan oleh Sivakumar yang digantung tidak bertali dan masih belum dibicarakan dan diputuskan mestilah disegerakan. Ataupun dengan keputusan penghakiman pada hari ini SPR mestilah menyemak kembali keputusan silapnya dalam ke 3 DUN di Perak dan memaklumkan kekosongan 3 kerusi tersebut secepat mungkin.

Sekian terima kasih.

KENYATAAN MEDIA 23 November 2009

DRS. KHALIL IDHAM LIM,
Ketua Penerangan PAS Perak/
Pengerusi PRBBC Perak/
ADUN Titi Serong.

SPR gagal tangguh perintah kosongkan Kota Siputeh

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan keputusan mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah minggu lalu.

Suruhanjaya itu bagaimanapun akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung penolakan penangguhan tersebut.

Isnin lalu, hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Dalam keputusannya, hakim menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya dalam penghakimannya.

"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata hakim itu lagi ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Speaker DUN itu memfailkan semakan berkenaan pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakil rakyatnya.

Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.

Royalti: Umno wajar contohi sikap Hassan Harun

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Kerajaan Kelantan menggesa pemimpin Umno sekarang mengambil teladan dari sikap bekas Senator Kelantan, Datuk Hassan Harun, iaitu antara individu Umno yang awal memperjuang tuntutan royalti negeri itu bermula tahun 1989.

Exconya, Datuk Husam Musa seperti yang ditulis dalam blog beliau memberitahu, sikap Tuan Hasan yang perihatin terhadap rezeki rakyat negeri sendiri wajar dicontohi pemimpin Umno lain.

Hassan sewaktu menjadi senator, pernah membangkitkan isu royalti Kelantan pada persidangan Dewan Negara.

"Senator Hassan Harun, atau lebih mesra dengan panggilan Abe Hase, telah mendahului saya dalam keprihatinannya terhadap hak dan masa depan rakyat dan bumi Kelantan.

"Abe Hase (Hassan) teladan untuk pemimpin UMNO Kelantan masa kini. Berbeza parti jangan sampai menolak-nolak rezki rakyat Kelantan.

"Hati perut kita biarlah bersama yang berhak, rakyat kita sendiri," tulis beliau dalam blog http://cetusan-hati.blogspot.com.

Biarpun perkara itu sudah 20 tahun lalu, namun situasi semasa sekali lagi menuntut semua pemimpin termasuk dari Umno dan khasnya di Kelantan membangkitkan kembali perkara itu.

"Untuk pemimpin UMNO, saya ulangi, belum terlambat, " katanya.

Sperti termaktub dalam rekod persidangan Dewan Negara bertarikh 9 April 1989, pada halaman 993,994 dan 995; Hassan pernah bertanyakan soalan berkaitan kepada Perdana Menteri pada waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohammad.

Beliau antara lain meminta Perdana Menteri menyatakan apakah rancangan-rancangan dan faedah-faedah yang akan dinikmati oleh penduduk- penduduk tempatan jika carigali minyak berlaku berhadapan kawasan negeri Kelantan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada waktu itu, Datuk Kasitah bin Gaddam mewakili Perdana Menteri telah menjawab antara lain menyatakan bahawa kerajaan Kelantan akan menerima sebanyak 5 peratus daripada minyak dan gas yang dikeluarkan seperti diterima oleh Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Husam selain itu turut menyelar sikap pemimpin Umno jika masih berdolak dalih berhubung hak rakyat Kelantan itu.

Pelbagai bukti telah dilampirkan menyokong hujah tuntutan kerajaan negeri itu adalah sangat berasas.

"Penggalian dokumen lama memungkinkan kita mencantumkan tuntutan kita selari dengan semua penyataan yang pernah diucap kecuali sikap berdolak dalik UMNO yang sentiasa kekal sebagai punca masalah.

"Dokumen lama dan baru tidak pandai berbohong. Ya kata ya, tidak kata tidak," tulisnya lagi.
__
Berikut antara seperti termaktub dalam Penyata Rasmi Dewan Negara, 9 APRIL 1989, halaman 993,994,995;

CARIGALI MINYAK DI KELANTAN

1. Tuan Hassan bin Harun( Kelantan) minta Perdana Menteri menyatakan:

(a) benarkah usaha carigali minyak di pantai Kelantan telah berjaya

(c) apakah rancangan-rancangan dan faedah-faedah yang akan dinikmati oleh penduduk- penduduk tempatan berhubung dengan ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Kasitah bin Gaddam):

Tuan Yang di-Pertua, usaha mencarigali minyak dan gas di perairan negeri Kelantan belum lagi berjaya menemui
minyak di dalam kuantiti yang komersial. Di dalam tahun tujuhpuluhan, Syarikat Esso telah menggerudi dua telaga tetapi gagal
menemui minyak.

Pada bulan Ogos, 1988, kawasan tersebut yang dikenali sebagai Blok PM2, telah diserahkan pula kepada sebuah konsortium terdiri daripada Home Oil Malaysia Ltd., Petro-Canada Malaysia Inc., Texaco Canada Malaysia Inc., PEXCO N.V. dan PETRONAS Carigali.

Mengikut Kontrak Perkongsian Pengeluaran yang ditandatangani dengan PETRONAS, konsortium ini akan membelanjakan $43 juta untuk kerja-kerja mencarigali di dalam tempoh tiga tahun dan menggerudi empat telaga rambang di kawasan ini, bermula pada penghujung tahun ini.
Jika minyak ditemui dalam kuantiti yang komersial, maka konsortium ini akan bertanggungjawab mengeluarkannya.

Sekiranya minyak diperolehi di kawasan berhadapan dengan negeri Kelantan, maka Kerajaan Negeri Kelantan akan menerima hasil royalti sebanyak 5% daripada minyak dan gas yang dikeluarkan sebagaimana yang diterima oleh negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak.

HarakahDaily.Net/-
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .