Ikuti Blog ini

Dua Kenyataan Aishah Yang Boleh Buat UMNO Sasau



Orang Bijak Pandai Ramai Masuk PAS - Aishah

Kuala Terengganu: Rakyat diingatkan agar tidak lagi merasa takut dengan helah serta propaganda Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tahu mentadbir negara.

Selebriti tanahair, Wan Aishah Wan Ariffin yang baru menyertai PAS mengajak rakyat agar sama-sama membuat perubahan politik dalam negara ini.

Katanya, andaian hanya kerajaan BN sahaja yang pandai memerintah negeri itu hanyalah propaganda pemimpin Umno.

“Kita selalu ditakut-takutkan dengan perubahan. Inilah propaganda oleh Umno kononnya orang lain tidak boleh memerintah dan hanya Umno sahaja.

“Usah ingat hanya orang Umno saja pandai (memerintah). Hari ini, orang bijak pandai ramai yang sokong dan masuk PAS sekarang,” tegasnya ketika berucap pada majlis Sembang Santai Bersama Salebriti Aishah di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir.
(Gambar: Aishah menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah.)

Menurutnya, setiap orang Islam wajib mencegah segala kemungkaran yang berlaku termasuk pemerintah yang zalim dan rasuah.

Katanya, jika berlaku kemungkaran tersebut perlu dicegah dengan tangan, mulut atau paling kurang kena benci dalam hati.

“Saya masuk PAS hari ini kerana cuba hendak baiki diri dengan Islam dan membesarkan anak-anak saya dengan Islam sebenar. Inilah proses penghijrahan diri saya yang pernah bergelar artis.

“Kita jangan terlalu emosi dalam berpolitik. Saya lihat pemerintah hari ini sudah tidak betul, banyak duit rakyat yang disonglapnya.

“Jadi kita kena cegah kemungkaran itu dengan tangan atau cegah dengan mulut macam yang saya bercakap ini atau cegah dengan hati. Itu selemah-lemah iman kita,” jelasnya di hadapan hampir 400 hadirin. -HD

Saya sokong PAS kerana Islam - Aishah


TUMPAT: Selagi perjuangan Islam yang didokongi PAS tetap berlandaskan syariat dan hadis, beliau tetap akan memberikan sokongan terhadap parti yang memperjuangkan Islam itu.

Wan Aishah Wan Ariffin atau nama glamournya Aishah (gambar), artis kesayangan ramai yang baru menyertai PAS baru-baru ini berkata demikian ketika ditanya oleh salah seorang peserta yang ingin mengetahui tindakannya menyertai parti itu baru-baru ini ingin bergiat politik pula.

Menurut Aishah, beliau berhasrat untuk menyertai parti itu secara senyap, bagaimanapun tidak menjadi mungkin kerana beliau seorang artis.

“Tapi apa yang saya lakukan ini adalah untuk kebaikan diri saya sendiri serta dua orang anak-anak saya.

“Prinsip saya mudah, saya akan menolak mana-mana yang tak betul, perjuangan sekular, banyak kemungkaran yang berlaku di hadapan kita yang wajib kita tentang,”ujarnya.

Menurutnya, pengalaman hidupnya membuatkan beliau tercari-cari hala tuju kehidupan sebenar.

Beliau juga turut menolak akan aktif dalam politik, Cuma mengambil kesempatan untuk memberi pandangan sebagai seorang artis berhubung pandangannya sebagai seorang artis terhadap perjuangan Islam.

“Pengalaman yang berlaku selama ini boleh kita membawanya ke pentas untuk dikongsi bersama masyarakat, tidak ada salahnya asalkan ianya baik untuk Islam,”ujarnya.

Terdahulu beliau menyeru golongan pendakwah tidak terus membiarkan golongan dibelakang tabir seperti komposer, penulis lirik, pemuzik dan sebagainya agar mereka tidak lari dari landasan Islam sebenar.
-HD

Umat Islam perlu cipta sesuatu yang baru


KOTA BHARU: Ekspo Perdagangan Dunia Islam dan Konvensyen Halal Dinar Dirham bermula malam tadi apabila majlis perasmiannya telah dilakukan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Acara penuh meriah apabila kesemua peserta dari luar Negara yang berhasrat untuk menyertai program itu turut hadir untuk mempamerkan barangan jualan mereka termasuk Iran yang paling banyak membuat tempahan gerai jualan.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu menyeru umat Islam di negara ini, mencipta sesuatu yang baru hingga boleh terkenal ke seluruh dunia.

Katanya, ianya amat penting bagi mengembalikan kegemilangan orang Islam yang telah masyhur di zaman silam dalam mereka cipta sesuatu yang baru.

“Sekarang ni pelbagai alat canggih berada di pasaran, tetapi ianya dicipta oleh golongan barat yang tidak beragama Islam,” ujarnya.

Turut berucap pada majlis perasmian itu, Gabenor Wilayah Qom Iran, Mohamed Hussien dan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa.

Sementara itu, Tuan Guru berkesempatan menaiki motosikal buatan Iran sempena majlis ekspo terbabit disamping merasmikan logo tuntutan Royalti ‘R’.

Ekspo berkenaan bermula semalam 15 Jun dan dijangka berakhir 21 Jun ini.

Pelbagai pameran dan jualan disediakan untuk orang ramai, termasuk motosikal keluaran Iran yang bakal menjadi tarikan masyarakat di negeri ini.

Ekspo ini terbuka kepada orang ramai yang bermula 10.00 pagi hingga 11.00 malam. -Hrkh

Zamil terima juta2 ringgit daripada Umno BN pujuk MP Pakatan keluar parti – Saifuddin

(Oleh Mohd Martin Kahar)

KUALA LUMPUR : Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan, bekas Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Kedah, Zamil Ibrahim menerima komisen berjuta-juta ringgit daripada Umno BN untuk memujuk Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berpaling tadah.

Menurut beliau, Zamil merupakan seorang penjual burger sebelum mengecapi kemewahan sejak kebelakangan ini.

“Zamil merupakan bekas Angkatan Muda KEADILAN Kedah. Dia keluar parti bersama-sama Ezam Mohd Nor. Kemudian dia menyertai Kita. Sebelum ini, dia hanya penjual burger. Isterinya pula hanya penjual kosmetik tradisional.

“Komisen yang diperoleh daripada Umno BN membolehkan dia hidup senang dan tinggal di banglo mewah di Kedah. Tidak mungkin kekayaannya hari ini hasil jualan burger dan ubat tradisional,” kata Saifuddin dalam sidang media semalam.

Ahli Parlimen Machang itu turut mendedahkan, Zamil adalah bekas tahanan di Pulau Jerjak bagi kes dadah.

“Saya cabar dia (Zamil) menafikan perkara ini jika pendedahan saya tidak benar,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendedahkan di Parlimen semalam, Zamil antara individu yang ada dalam rakaman video cubaan membeli Ahli Parlimen Pakatan.

Zamil bertindak sebagai salah seorang ejen kepada Umno BN untuk memujuk dua Ahli Parlimen Pakatan untuk lompat parti dengan tawaran RM2 juta.

Zamil dipercayai menerima komisen berdasarkan dialog dalam rakaman tersebut.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=31658
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .