Tindakan Umno memperlekehkan Mohd Fauzi Abdullah sebagai peraih ikan dan berpendidikan rendah, akhirnya menjadi senjata makan diri.
Majoriti pengundi di Manek Urai menolak isu tersebut biar pun disebar-sebar di kampung-kampung melalui tenaga kempen Umno dan jentera kerajaan pusat.
Anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa melahirkan rasa bangga kerana rakyat di Manek Urai tidak mudah terpengaruh dengan taktik kotor yang dipermainkan Umno.
Kata beliau juga pengundi mempunyai daya ketahanan diri yang kuat biar pun banyak umpan wang ditabur Umno.Image
"Sebab itulah ada pihak menjangka PAS kalah pada pilihan raya itu berikutan banyak wang ditabur, janji pembangunan dipancing dan bantuan jentera kerajaan secara besar-besaran.
"Jadi ketika berdepan dengan segala situasi itu PAS masih boleh menang maka ia dianggap satu kejayaan besar. Jumlah majoriti tidak lagi menjadi penting dalam keadaan itu," katanya di sini, semalam.
Malah beliau cukup berbangga kerana pengundi di Manek Urai membuktikan kerajaan pimpinan ulama terus menjadi pilihan rakyat Kelantan.