Ikuti Blog ini

Satim Diman dan Umno Puchong cuba gadai tanah rezeb Melayu

Satim -
Betulke dia ni ada Phd?
Pakatan Rakyat terutama PAS sering dituduh UMNO menjual hak Melayu kerana baik dengan DAP.

Malangnya, bukti di bawah menunjukkan sebaliknya. Sebidang tanah rezab Melayu di atas namaUMNO Bahagian Puchong telah cuba digadai/dijual kepada sebuah syarikat milik bukan Bumiputra.

Mujur kerajaan Selangor diperintah Pakatan Rakyat menjadikan percubaan UMNO Puchong ini digagalkan. Terselematlah sebidang tanah rezab Melayu walaupun ianya di bawah nama UMNO Bahagian Puchong.

UMNO Puchong pula dipimpin oleh Dato Satim Diman, yang sekarang ini adalah Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Tak sangka. Ku ingat panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Bayangkan. Ni dalam keadaan UMNO tidak memerintah Selangor. Kalau ditakdirkan mereka masih memerintah, habislah tanah rezab Melayu di Selangor ni tergadai demi mengkayakan kroni dan UMNOPUTRA.



Sumber: malaysiawaves.

PAS mesti terus maju ke depan - Husam

GOMBAK, 25 April: Pendekatan lunak PAS dengan semua organisasi masyarakat sebelum ini telah membawa PAS ke satu era baru di mana semua pihak menerima PAS dengan baik, kata Datuk Husam Musa.

Justeru itu tegasnya, pimpinan dan ahli PAS jangan mengambil sikap mundur ke belakang setelah berjaya menawan hati sebahagian besar rakyat dan pengundi mutakhir yang memberikan sokongan dan dokongan mereka.

(Gambar kanan: Husam berucap merasmikan mesyuarat agung PAS kawasan Batu)

Bagi beliau, pendekatan ini adalah kesinambungan warisan perjuangan yang pernah dibawa Baginda Nabi Muhammad SAW.

Husam yang juga AJK PAS Pusat berkata, dengan menggunakan pendekatan itu, terdapat ramai dalam kalangan anggota organisasi masyarakat dapat menerima Nabi dan begitu juga dengan gerak kerja dakwah dan politik PAS.

Husam yang juga Exco Kerajaan Kelantan berkata, hasil awal sudah dapat dikecapi sehingga kini dengan pembentukan Pakatan Rakyat (Pakatan), perjuangan untuk menegakkan keadilan telah diterima oleh masyarakat terbanyak.

Menurutnya, paling jelas di dalam keputusan pilihan raya ke 12 (PRU12) lalu memperlihatkan kecenderungan nyata dan jelas dengan memberikan sokongan dan undi mereka kepada parti-parti teras yang hari ini berada dalam Pakatan.

"Jika PAS mundur kembali, sudah pasti tindakan itu bakal mengelirukan rakyat dan pengundi," tegasnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Batu kali 26, di sini pagi tadi.

YDP kawasan Batu, Cikgu Ishak Surin mengkisahkan semula sedikit sebanyak bagaimana perjuangan rakyat yang disertainya dalam usaha menuntut kemerdekaan negara dahulu.

PAS Batu telah membuat satu pembaharuan di mana dalam acara pra-perasmian, diadakan slot pidato khas yang disampaikan oleh pimpinan NGO dan bukan PAS dalam usaha mendekatkan hubungan sesama aktivis masyarakat.

Sesi pidato itu melibatkan tetamu khas Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw, Naib Presiden Keadilan yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Naib Presiden PRM, Koh Swee Yong, Setiausaha Agung PSM, Arutcelvan dan tokoh NGO Jerit, Kohila.

Timbalan Pesurujaya PAS Wilayah, Ustaz Dr Mohd Ali Jamil pula melancarkan tujuh cawangan baru PAS dalam kawasan Batu dan menyerahkan bendera lambang perjuangan bergerak terus kepada mereka.

Tetamu lain yang hadir adalah bekas Menteri Tanah dan Wilayah, Datuk Dr Tan Kee Kwong, Setiausaha GMP, Hasni Abbas, YDP Jim Batu, Hassan Unir, wakil Gerakan Mansuhkan ISA, Aliza Jaafar, wakil Jabatan Pilihan raya Negeri (JPN) Wilayah Persekutuan, Zakaria Aziz dan Penulis Terkenal Negara, Haji Subky Latif.

Pengerusi Lajnah Pendidikan Muslimat PAS Pusat yang juga bekas calon PAS dalam pilihan raya kecil Dun Tenang, Cikgu Normala Sudirman turut hadir dan berucap mengenai isu penindasan minda dan perasaan terhadap golongan pendidik di negara ini.

Dalam mesyuarat itu, tiada sebarang pencalonan jawatan untuk pimpinan Pusat kerana diserahkan kepada kebijaksanaan Jawatankuasa PAS Kawasan Batu yang baharu dipilih.

Sementara itu, Haji Subky telah diberikan Anugerah Jasa Baktimu Dikenang (gambar atas) memandangkan penglibatan besar, kuat dan mendalam beliau sejak PAS belum dikenali hingga kini terus menulis dalam usaha mengambangkan pengaruh perjuangan Islam dalam negara ini. -Hrkh

Teks Penuh - Ucapan Penangguhan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Puchong

AYUH TERUSKAN - nukilan oleh Rosharizan Mohd Rozlan, Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Puchong sempena Mesyuarat Agong Kali ke-8 PAS Puchong.

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi mengasihani, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw.

Umum mengetahui bahawa, berkemungkinan PRU 13 akan berlangsung tidak lama lagi dan bakal menyaksikan pertarungan paling sengit dalam sejarah Malaysia baru. PRN Sarawak bakal menjadi indikator cepat atau lambat PRU 13, sudah menjadi buah mulut dan dibincangkan didada media hinggalah ke warung kopi.

Tahun ini juga adalah tahun pemilihan bagi PAS disemua peringkat iaitu bermula dengan peringkat cawangan hinggalah ke peringkat pusat. Walaupun beberapa parti politik menangguhkan pemilihan tetapi tidak pada PAS. Ternyata PAS melalui kepimpinan ulamak bertindak bijak dengan menaruh kepercayaan yang baik kepada ahli untuk menjalankan mesyuarat agung dan memilih kepimpinan tanpa mengira suhu dan iklim politik semasa.

Dewan Pemuda PAS Puchong menyeru dengan semangat ukhuwah agar setiap ahli dan perwakilan menjalankan amanah yang penting ini dalam memastikan kepimpinan ulamak sentiasa teguh dan menjadi tulang belakang perjuangan dimana kita sebagai jundullah tidak kira berlatarbelakang apa, perlu seiring memperkuatkan kepimpinan ulamak.

Perkembangan terkini kita lihat bagaimana Presiden PAS diasak dari pelbagai sudut termasuklah kenyataan seorang Profesor yang keliru dengan mengatakan Presiden liabiliti kepada PAS serta meletakkan kelemahan Presiden punca Terengganu jatuh pada PRU yang lepas.

Apa yang Dewan Pemuda PAS Puchong ingin sentuh ialah, bagaimanakah sikap ahli kita dalam menterjemahkan pandangan ini adakah kita akan menari bersama dengan rentak terancang ini.

Tidak dinafikan kebanjiran ahli yang mempunyai kepelbagaian kepakaran, pengalaman dan pendidikan telah membentuk satu evolusi permikiran dan tindakan dalam PAS mutkhir ini.

Menjadi dasar parti untuk meraikan segala pandangan dalaman dan pandangan luaran dengan satu disiplin yang ketat agar parti tidak bergoncang dan bergelora. Terkadang terdapat beberapa pihak termasuk ahli yang keliru dengan mekanisme yang diguna pakai oleh PAS.

Menyalahkan kepimpinan adalah satu tindakan yang kini kian subur berlaku dikalangan pendokong jamaah yang kita cintai. Tidak kira diperingkat mana samada di cawangan, kawasan, negeri dan pusat sudah ada kempen yang bergerak dan semakin sukar dikawal. Menjadi satu kesilapan besar meletakkan segala-segalanya ke atas bahu pimpinan kerana ianya berlawanan dengan konsep amal jamaie dan qiadah itu sendiri dan bakal menjadikan kita tenggelam dalam kesesatan apabila thiqah tiada kita letakkan pada pimpinan dalam menentukan hala tuju gerakan.

Bersangka baiklah dengan pimpinan,beban yang ditanggung oleh para pimpinan ulamak kita bukanlah beban yang mampu kita tanggung sebagai ahli.Cerminkan diri kita diperingkat cawangan adakah kita berjaya dalam menggerakkan cawangan dengan landasan gerakan Islam yang syumul, bagaimana persediaan kita menyediakan lapisan pimpinan setelah kita tua, bagaimana anak-anak kita adakah mereka akan menyambung tugasan kita, bagaimana dengan muslimat kita dan bagaimana dengan komponen terpenting iaitu manhaj tarbiyah. Kita perlu menyediakan benih yang baik di cawangan sebelum ianya tumbuh subur untuk menggalas tugasan dan amanah keperingkat yang lebih tinggi lagi samada kawasan,negeri dan pusat.


Mengikut kajian kita, cawangan-cawangan yang tidak mengambil berat dengan saranan di atas pasti sahaja akan berhadapan dengan masalah kelopongan pelapis dan fikrah. Janganlah cawangan kita bakal menjadi seperti sesetengah surau dipedalaman yang didokongi hanya golongan veteran dan orang mudanya entah kemana kerana ianya tidak akan menguntungkna jamaah.

Kita selalu ucapkan ulamak pewaris nabi, sudah tentu kalimat ini punyai kelebihan, keberkatan dan kita sepatutnya lebih percaya dan bangga kerana ramainya ulamak yang mendokong PAS ini dan menjadi satu trademark yang baik.

Kita sepatut sedar bahawa tanggung jawab kita yang berada di saff bawah ini perlu menguatkan antara satu sama lain bukan bercakaran, berselisih pendapat dan tidak memberi kerjasama dalam membentuk satu kumpulan saff yang kuat. Setiap keputusan yang dibuat adalah secara syura dan bukanlah semata-mata diputuskan oleh Presiden, Pesuruh Jaya, YDP atau Ketua Cawangan. Berjaya, hebat, lemah gagal sesebuah organisasi adalah menjadi tanggung jawab kita semua. Oleh itu mengapa tundingan jari sering kita lakukan melainkan tundingan itulah yang bakal menyeronakkan syaitan dan pendokong kumpulan penghalang gerakan Islam.

Mengkoreksi kelemahan kepimpinan juga seiring dengan tundingan jari, sikap yang menjerat setiap ahli kekancah syaitan dan dosa ini perlu kita tangani dengan tegas kerana ianya kian membarah dalam jamaah pada semua peringkat. Perkara ini berlaku tidak kira masa dan semakin hebat jika musim itu musim pemilihan. Setiap kelemahan sepatutnya kita tutupi dan bukan kita menjadi penghukum setiap kelemahan dan aib pimpinan dengan menjadi kumpulan penyebar sana sini. Sebarlah kebaikan pimpinan tutupilah kelemahan mereka.

Adab ikhtilaf perlu difahami agar ianya menjadi rahmat dan bukannya menjadi sebab keruntuhan jamaah. Dewan pemuda PAS Puchong ingin mengingatkan tentang kisah bagaimana Saidina Abu Bakar bertegas mahu memerangi kumpulan yang enggan menunaikan zakat selepas kewafatan nabi saw. Umar pada ketika itu berpendapat berbeza dengan Abu Bakar termasuk ramai sahabat besar nabi saw.

Tetapi dengan penuh adab akhirnya Umar bersetuju dengan Abu Bakar walaupun Umar pernah mendengar nabi saw bersabda “Sesungguhnya Allah menjadikan kebenaran itu pada lidah dan hati Umar”

Pada ketika itu jugalah timbangan kethiqahan dan ketaatan difikirkan oleh Umar, beliau tidak terpedaya dengan dirinya sendiri sambil mengucapkan “Demi Allah aku melihat Allah Tuhan telah membuka pintu hati Abu Bakar untuk memerangi mereka”

Pokoknya bagaimana kita hari ini, adakah kita seperti Umar yang mempunyai kelebihan seperti disabdakan oleh nabi saw? Mengapa kita pada hari ini semberono sahaja mencurigai setiap keputusan yang telah disyurakan diperingkat pimpinan. Mengapa setiap penjelasan tidak boleh diterima dengan hati yang terbuka. Jika perkara ini ada dalam sifat sesebuah organisasi,terbukti bahawa musuh telah berjaya memperdaya kita dan terbukti syaitan bersama dengan kita.

Dewan pemuda PAS Puchong juga ingin berkongsi mengenai kisah yang mahsyur iaitu apabila dua sahabat Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar pernah untuk berebut menerima baiah antara satu sama lain selepas kewafatan nabi saw. Umar berkata kepada Abu Bakar “Hulurkanlah tangan mu untuk aku nyatakan baiah” Maka Abu Bakar berkata “Bahkan aku berbaiah pada mu” Umar berkata “Kamulah utama dari ku” Abu Bakar menjawab “Kamu lebih kuat daripad ku” Lalu Umar berkata “Kekuatan ku adalah untuk bersama dengan kelebihan mu” Akhirnya Umar berbaiah kepada Abu Bakar yang menjadi khalifah pertama selepas kewafatan baginda saw.

Pemilihan pimpinan sudah menjadi perkara yang lumrah dalam setiap parti begitu juga dengan PAS yang kita cintai ini. Pemimpin datang dan pergi serta perlu disediakan pelapis yang yang baik dan telah melalui marhalah-marhalah tarbiyah serta faham dengan tuntutan bahawa PAS ini adalah satu gerakan Islam yang menjadikan politik sebagai wasilah perjuangan.

Keterbukaan PAS dalam menerima pencalonan untuk mencabar pimpinan sepatutnya hanya dilihat dari sudut tuntutan organisasi dan akta pertubuhan di Malaysia sahaja.Tetapi bukanlah Dewan Pemuda tidak bersetuju dengan perkara di atas. Kenyataan Presiden dan Mursyidul Am di media perdana baru-baru ini jangan disalah tafsirkan dengan penafsiran setiap orang layak bertanding untuk jawatan-jawatan peringkat cawangan hinggalah ke peringkat pusat. Cuba kita fikirkan apa akan jadi dengan PAS jika proses tapisan tak dilakukan oleh kita semua. Kita bertanggungjawab atas pencalonan yang dibuat dan timbangan tapisan hanyalah berkisar dengan tarbiyah kerana inilah ciri-ciri yang membezakan kita dengan parti sekular yang lain. Kita harus berbeza dan perbezaan itu tidak semestinya mengundang kegoncangan jamaah.

Kita semua maklum bahawa dewan-dewan menjadi sayap kepada kekuatan kawasan di mana Dewan Pemuda sebagai sayap kanan dan Dewan Muslimat sebagai sayap kiri. Sifat sebagai sayap biasanya kena bergerak lebih cepat dan bekerja keras dalam memenuhi tuntutan pelbagai gerak kerja dan amanah. Dewan Pemuda akan meneruskan kerjasama pintar dengan Dewan Muslimat walaupun Ketua Muslimat telah bertukar kerana kami mempunyai “mimpi yang sama” InsyaAllah.

Akhirnya harapan Dewan Pemuda PAS Puchong adalah untuk melihat PAS Puchong bergerak dengan lebih teliti, efisyen dan berdaya saing mengikut tuntutan zaman dengan tidak menggadai prinsip dan akar perjuangan yang kita warisi selama ini. Maafkan Dewan Pemuda jika ada perkataan dan tindakan yang menghiris para perwakilan. Moga Allah memberkati kita semua.

Lagi Gambar dalam FB Pas Puchong di sini dan di sini

Eskay menipu atau Polis berbohong atau kedua-duanya Pendusta?



Kerajaan Rakyat - KUALA LUMPUR: Terdapat banyak percanggahan antara kenyataan yang dikeluarkan pihak Polis Diraja Malaysia dan kenyataan yang dibuat salah seorang Trio Datuk T, Datuk Eskay Shazryl Abdullah berhubung video seks palsu membabitkan Ketua Pembangkang.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar semalam, bahawa polis mengambil masa untuk menyiasat video tersebut.

“Eskay sebut kepada saya (kejadian itu) berlaku di Club House. Itu dia sebut kepada saya. Saya tidak tahu kalau dia sebut hotel kepada media.

“Polis tak perlu pergi jauh-jauh pun. Pergi cari mana-mana club house dulu.
“Tetapi polis kata kondo, mana yang betul. Saya tak nak mengajar polis. Polis sepatutnya mendapatkan ketetapan Eskay dulu, kenapa susah sangat. Kecualilah kalau mereka mahu melindungi sesuatu,” katanya ketika dihubungi keadilandaily.com.

Johari turut mempersoal kenyataan Polis bahawa pelaku wanita dalam video berkenaan adalah seorang pelajar swasta di ibu negara.

“Eskay kata pelacur, kemudian polis kata student. Yang mana betul ni? Sebab itu saya minta polis supaya siasat dulu, kerana lagi banyak buat statement lagi banyak nampak tembelang mereka,” katanya yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.

Johari adalah satu-satunya ahli parlimen Pakatan Rakyat yang ditunjukkan rakaman video seks itu oleh Trio Datuk T yang terdiri daripada Eskay, Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa, Datuk Shuib Lazim, 21 Mac lalu.

Namun beliau menafikan sekeras-kerasnya pelaku lelaki dalam rakaman video berkenaan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan bentuk tubuh dan lenggok pelaku tersebut.
Justeru Johari ketika dihubungi memberi amaran kepada pihak polis supaya tidak bermain politik dan laksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab serta profesional.

“Saya mendesak dan menasihati pihak polis supaya lengkapkan siasatan secara profesional sebelum membuat sebarang kenyataan. Kalau dah kenal pasti individu dalam video itu, tak payah buat kenyataan. Kerja polis adalah siasat secara profesional.

“Polis jangan main politik, polis sepatutnya lanksanakan tanggungjawab dengan profesional. Kerja polis adalah menjaga keselamatan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan orang ramai terhadap polis sangat tinggi, tetapi rakyat di bawah sudah hilang keyakinan,” katanya.

Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa polis sudah mengenal pasti identiti wanita yang dikaitkan dalam video berkenaan iaitu seorang pelajar sebuah kolej swasta di ibu kota, berusia 26 tahun yang juga seorang warga China.

Polis juga menyatakan rakaman itu dikenalpasti dilakukan di sebuah kondominium.
Ia bertentangan sama sekali dengan kenyataan Eskay bahawa wanita berkenaan adalah seorang pelacur warganegara China dan kejadian tersebut berlaku di sebuah hotel di ibu negara.

Harussani: Anwar Tak Perlu Sumpah Mubahalah

Video seks: Anwar tak perlu sumpah mubahalah, kata Harussani

Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu melakukan sumpah mubahalah berhubung dakwaan rakaman video seks, oleh tiga “Datuk T”, yang mengaitkan dengan diri beliau.

Ini kerana jelas Mufti Perak, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh tidak boleh disabitkan dengan sebarang kesalahan atau dijatuhkan hukuman kerana pelaku dalam rakaman video seks yang didedahkan “Datuk T” masih belum dibuktikan lagi.

Tegas, Harussani (gambar), sebarang tuduhan atau pendakwaan terhadap Anwar perlu dilakukan di mahkamah dan bukan di khalayak ramai termasuk sumpah mubahalah.

“Sumpah (mubahalah) dalam mahkamah bukan di luar... lagipun apa guna beliau (Anwar) nak bersumpah? Jadi beliau tidak perlu bersumpah di hadapan masyarakat, kenapa tidak buat di mahkamah? Anwar tak perlu dihukum sebab beliau tidak lagi didapati bersalah.

“Dalam video itu, kita belum tahu siapa pelakunya, kalau nak bersumpah mubahalah pun kena tunggu bukti dulu tapi kalau ada (bukti) pun Anwar tidak boleh disabitkan bersalah sebab menurut Islam perlu ada empat saksi yang menyaksikan kejadian itu berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dipetik akhbar arus perdana baru-baru ini, agar Anwar melakukan sumpah mubahalah di hadapan masyarakat ekoran tuduhan “Datuk T” terhadapnya. Asri dipetik berkata Anwar perlu bersumpah seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa menafikan beliau terlibat dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu di sebuah masjid di Bukit Mertajam, Pulau Pinang tiga tahun lalu.

"Datuk T” iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah telah menggemparkan negara apabila mempertontonkan rakaman video seks itu kepada wakil media pada 21 Mac lalu di hotel Carcosa Seri Negara.

Malah ketiga-tiga individu itu telah membuat pengakuan secara terbuka dan akan mengambil tanggungjawab selain bersedia menerima sebarang tindakan undang-undang.

Sehari selepas pendedahan video seks itu, Anwar membuat laporan polis dan menafikan beliau adalah pelaku aksi seks yang didakwa “Datuk T”.

Malah sebelum ini Shuib juga mencabar Anwar supaya bersumpah laknat bagi membuktikan kebenaran dakwaan rakaman video seks itu.

Tambah Harussani, sekiranya Anwar melakukan sumpah mubahalah di hadapan masyarakat ia tidak boleh membuktikan sama ada beliau bersalah atau tidak dalam tuduhan itu.

“Sumpah mubahalah ini tak perlu buat depan orang ramai, kalau nak buat di mahkamah.

“Kalau buat depan orang ramai tidak boleh pakai kerana keputusan hanya dibuat di mahkamah sahaja... kalau buat kepada orang ramai, apa yang mereka boleh buat?” soalnya.

Dalam pada itu, Asri berkata laporan sesetengah media yang mengatakan bahawa beliau meminta Anwar bersumpah mubahalah kurang tepat.

“Saya menjawab menyatakan Datuk T wajar bersumpah mubahalah, isu video itu tidak membabitkan diri mereka.

“Cumanya jika mereka buat juga, bagi mengelakkan salah sangka masyarakat, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar menyebut wallahi, wa billahi, wa tallahi, menafikan hal itu,” kata bekas mufti Perlis ini.

Kata beliau, sekurang-kurangnya langkah itu dapat menghilangkan salah sangka sesetengah pihak.

“Pun begitu, terpulang kepadanya, tiada paksaan,” kata beliau lagi.

Jelas Asri, mubahalah menyebut laknat ke atas diri dan jika tidak disebut maka ia adalah sumpah biasa.

“Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu dia boleh buat mubahalah, terpulang kepadanya. Jika dia buat, kesannya besar kepada diri dan rakyat,” tambah beliau. -TMI
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .