Ikuti Blog ini

PAS DIJANGKA MENANG MUDAH



PAS dijangka akan memenangi Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir pada 25 Ogos ini atas beberapa alasan :-

1) Perpaduan PR semakin mantap dan ini menyebabkan rakyat semakin yakin kepada PR. Ini ditunjukkan dengan gerakerja bersepadu antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat di Permatang Pasir. Semua pimpinan utama PR turun padang membantu kempen dan ini dilihat oleh rakyat sebagai suata perkara positif yang melambangkan perpaduan dan keutuhan PR.

2) Kerajaan PR Pulau Pinang pimpinan DAP berjaya meyakinkan rakyat semua kaum bahawa ianya sebuah kerajaan rakyat yang mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Program kebajikan seperti pembasmian golongan miskin tegar, elaun guru KAFA yang dinaikkan, elaun untuk pada Hafiz dan Hafizah dan lain-lain berjaya menutup mulut Umno/BN.

3) Pengaruh Anwar terus utuh dan kukuh di Permatang Pauh sehingga rakyat Permatang Pasir terus memberikan sokongan kepada calon Pakatan Rakyat.

4) Jasa dan perkhidmatan Allahyarham Hamdan tetap dikenang rakyat Permatang Pasir dan mereka yakin Ustaz Salleh Man mampu untuk meneruskan legasi Allahyarham Hamdan.

5) Sifat tenang, mesra, mudah didekati, tidak mempunyai rekod buruk dan ketekunan Ustaz Salleh Man sepanjang kempen memikat hati rakyat untuk mengundi beliau.

6) Ustaz Salleh Man memang telah lama dikenali rakyat kerana pengelibatan politiknya bersama PAS sejak lebih 25 tahun bergiat dalam gerakerja politik dan kemasyarakatan. Malah beliau sering bersama-sama dengan Allahyarham Datuk Hamdan menyelesaikan masalah rakyat.

7) Kekuatan asas PR di Permatang Pasir memang cukup untuk memberikan kemenangan kepada PR kerana di DUN ini PAS dan PKR mempunyai lebih dari 2,000 ahli berdaftar ditambah lagi dengan bilangan ahli dan penyokong DAP yang juga ramai. Rekod bersih PAS memenangi semua Peti Undi pada PRU 2008 dahulu membuktikan sokongan padu rakyat kepada PR dan ianya terus dipertahankan pada PRK Permatang Pauh sehingga sekarang.

8) Mood rakyat yang sememangnya terus cenderung menyokong PR dengan isu-isu nasional seperti kematian Teoh Beng Hock, isu perkauman, serangan dan fitnah berlebihan kepada Datuk Nik Aziz menambah sokongan dan simpati kepada calon PR.

9) Jentera PR yang sistematik, cekap, sepadu di tambah dengan strategi kempen yang mengena menambahkan lagi keperitan Umno/BN. Jentera PAS sendiri iaitu MTD terus beristiqamah menjalankan gerakerja di DUN ini sejak Allahyarham Datuk Hamdan Abdul Rahman menjadi wakil rakyat selepas PRU 1999 lagi.

10) Kesilapan Umno/BN memilih calon bermasalah memudahkan lagi PR untuk menang di Permatang Pasir. Sejak dari awal kempen Umno/BN berada dalam keadaan defensive dimana terpaksa ‘membersihkan’ salah laku dan peribadi calonnya yang jelas buruk dan tercemar.

11) BN sendiri dilihat bercakaran sesama sendiri dengan isu terbaru berkaitan PKFZ menambahkan parah BN yang sememangnya sudah parah dengan isu dalaman MCA, MIC dan Umno yang sehingga kini tidak dapat diatasi.

12) Umno Bahagian Permatang Pauh masih bercakaran sesame sendiri di tambahkan lagi dengan penentangan akar umbi terhadap pemilihan Rohaizat sebagai calon sedangkan masih ramai lagi calon lain yang bersih, berkarisma dan diterima oleh akar umbi.

13) Pengundi di DUN ini sememangnya tidak mudah ditipu dan termakan dengan pujuk rayu dan sogokan Umno/BN kerana mereka terdedah kepada maklumat alternative dengan lokasi mereka yang berdekatan dengan Bandar dan mudah mendapat maklumat.

14) Isu-isu pembangunan dan projek segera tidak menarik minat pengundi di sini kerana hampir semua kemudahan asas telah sedia ada di sini.

15) Fitnah Umno/BN terhadap Tok Guru Nik Aziz dalam isu syurga dan fitnah terhadap Ustaz Salleh akhirnya memakan diri mereka sendiri kerana rakyat faham dan sudah mangli dengan isu seumpama itu.

Sokongan masyarakat semakin memihak kepada Pakatan Rakyat

Hujan lebat tidak menghalang Ust Salleh Man daripada menemui orang ramai di sekitar pekan Permatang Pauh dan Sama Gagah di sini pagi tadi.

Turut bersama beliau ialah Menteri Besar Perak, DS Mohammad Nizar Jamaluddin.Mereka turut terserempak dengan rombongan Menteri Besar Selangor Tan Seri Khalid Ibrahim semasa mengadakan kempen bertemu masyarakat disekitar kawasan tersebut.

Orang ramai begitu gembira menyambut kedatangan mereka dan masing-masing menyatakan sokongan kepada calon PAS yang bertanding. Kalangan peniaga dan masyarakat Cina yang ditemui begitu mesra dengan DS Nizar kerana dapat berbual dengannya dalam bahasa ibunda mereka.

Tanpa menghiraukan keadaannya yang basah,Ust Salleh Man dan DS Nizar terus menemui para peniaga di sekitar deretan kedai dan pasar awam di situ untuk mendapat sokongan mereka pada PRU 25 Ogos Ini.

Radzhi Dicabar Bersumpah Di Bulan Ramadhan

Rakyat di Dewan Undangan Negeri Lunas hari ini kesal dengan tindakan ADUN mereka yang mengumumkan keputusan keluar parti hari ini untuk menjadi wakil rakyat bebas tetapi pada masa yang sama tidak mahu melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia negeri.

Seorang pemimpin PKR Bahagian hari ini mencabar Mohd Radzhi untuk meletakkan jawatan dan mengisytiharkan kerusi DUN Lunas kosong jika beliau ikhlas di dalam perjuangannya.

Apa yang nyata ini adalah satu permainan kotor orang-orang Perdana Menteri, Najib Tun Razak di dalam usaha untuk merampas negeri-negeri Pakatan Rakyat sepertimana mereka telah melakukan di Perak awal tahun ini.

Mohd Radzhi sebelum pun menafikan beliau dibeli atau dibayar kerana menjadi ahli Bebas. Namun beliau dicabar untuk bersumpah dengan Al-Quran di bulan Ramadhan yang mulia ini jika benar beliau tidak disogok atau dibayar oleh pihak tertentu di dalam membuat keputusannya itu.

Banyak pihak termasuk pemerhati politik melihat isu terbaru ini sebagai usaha terdesak Najib dan UMNO BN untuk memenangi pilihanraya kecil Permatang Pasir dengan cara menjejaskan kredibiliti Pakatan Rakyat.

Namun yang nyata, Najib dan akan terus dilihat sebagai pemimpin dan parti yang bacul dan takut untuk menghadapi pilihanraya tetapi mencari jalan singkat dan mudah untuk menang iaitu dengan membeli ADUN-ADUN dan MP-MP Pakatan Rakyat yang mudah untuk disogokkan dengan nilai-nilai kebendaan seperti wang ringgit dan sebagainya.

Rakyat akan terus mengutuk tindakan Radhzi tersebut, lebih-lebih lagi tindakan Najib dan UMNO yang mempersendakan demokrasi serta pilihan rakyat di dalam negara ini dengan melakukan konspirasi untuk membeli ADUN-ADUN parti lawan mereka setelah gagal bertarung di dalam pilihanraya.


BN SEMAKIN TIDAK YAKIN UNTUK MENANG

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan jelas tidak yakin calon BN akan menang pada PRK Permatang Pasir. Tidak ada fakta yang tepat dan meyakinkan bagi menyokong ramalan Ahmad bahawa BN akan menang kali ini.

Dari kenyataan Ahmad hari ini saya merasakan beliau sendiri tidak yakin BN akan merampas kerusi Permatang Pasir.

Beliau menggunakan teori “pendulum” atau ladung jam untuk menjelaskan perubahan sokongan rakyat kepada BN.“Pada 1995, ladung jam berpusing ke sebelah kanan sebab itu kita menang di Permatang Pasir. Pada 1999 dia pusing kiri, kita kalah Permatang Pasir. Pada 2004, ia pusing kanan tapi kita kalah cuma 600 undi. Pada 2008, ia pusing kiri, kalah 5,000 lebih.

Jelas teori ini hanyalah untuk mengubat hati pemimpin BN yang runsing kerana peluang untuk BN menang semakin menguncup dengan imej calon BN yang semakin teruk dan tercemar.

“Jadi kalau ikut teori saya, pada tahun 2009 ia akan pergi kanan, BN akan menang,” katanya ketika berkempen dari rumah ke rumah Permatang Pasir semalam.

Pesanan Tok Guru Kepada Pengundi Permatang Pasir

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.” (Sebahagian dari Ayat 5 : Surah Al Bayyinah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh

Tuan/Puan bakal-bakal pengundi sekalian,

Alhamdulillah. Menjelang 1 Ramadhan 1430, genaplah 8 warkah rayuan pengundi yang telah saya tulis dan tandatangani. Entah apalah rahsia yang tersimpan dalam lipatan perbendaharaan ilmu Allah yang Maha Luas itu sehingga berlaku 8 pilihan raya kecil sejak Pilihan Raya Umum Ke-12, tiada siapa jua yang mampu menekanya. Apa yang hanya boleh kita baca dari 7 pilihan raya kecil yang telah berlalu, parti yang bertanding dari Pakatan Rakyat (PR) telah menang sebanyak 6 kali berturut-turut. BN cuma menang 1 kali; itupun di Batang Ai, Sarawak. Ini realiti dan ini kenyataan.

Pada kali ini Kerusi Permatang Pasir menjemput kita sekali lagi untuk turun ke gelanggang. Walaupun dengan penuh berat, kita terpaksa melepaskan Allahyarham Dato’ Hamdan kita untuk kembali menemuiNya. Bagi kita yang hidup, tuntutan sambungan jihad demi sebuah tanggungjawab wajib diteruskan. Sudah 3 penggal calon kita bersusah payah untuk mengangkat Islam dan sudah 15 tahun rakyat di Permatang Pasir memperbaharui kepercayaan agar PAS terus menerajui kerusi Dewan Undangan di Permatang Pasir ini.

Jika dibaca nilai istiqamah pengundi di sini di masa-masa lalu, ia jelas menunjukkan betapa tingginya iltizam, kenyakinan dan komitmen mereka. Walaupun mereka tentu boleh faham bahawa apalah sangat memberi kemenangan kepada PAS di kerusi ini dari segi memerintah negeri, namun pada saya, majoriti yang diraih Allahyarham pada 8 Mac 2008, melebihi 5,000 undi adalah teramat mahal. Bagi pengundi Islam tanpa mengira bangsa, mereka tentu ingin merakamkan sokongan mereka kepada sebuah gerakan Islam yang membawa perjuangan Islam syamil yang sebenar. Mereka tidak sanggup memangkah parti Umno yang mengamalkan Islam dari klon sekular; agama suku dan politik suku. Mana boleh diasingkan iman dengan Islam dan Islam dengan politik? Islam jenis sekular yang diperjuangkan oleh Umno inilah yang saya namakan sebagai Islam palsu. Sebagaimana adanya wang palsu, rambut palsu atau kad pengenalan palsu; begitu jugalah dengan Islam palsu. Benda palsu; nampak macam sebenar tetapi ia tetap tidak asli. Bagi yang ahli, dia akan tetap tahu membezakan antara bunga hidup dengan bunga plastik. Dengan keadaan tidak tulin itulah timbulnya keraguan. Soalnya bolehkah yang diragu-ragu (syak) itu dibawa untuk mendapatkan anugerah Syurga Allah di akhirat kelak? Saya bercakap dari sudut aqidah dan kaedah. Jika buat begini ia boleh jadi begini. Jika tidak sempurna wudhu’, amalan sembahyang tidak diterima. Jika tolak Islam dari Allah, maka dengan apa nak digantikan? Ini bukan soal saya mendahului Tuhan atau lebih tahu dari Tuhan. Ini soal kaedah. Saya percaya, para pengundi Islam di DUN Permatang Pasir boleh dengan mudah memahami persoalan ini.

Manakala bagi pengundi bukan Islam pula pada umumnya, saya seakan boleh menyelami keresahan yang sedang bergolak di hati saudara saudari sekelian. Di sana ada tuduhan rasuah berjumlah RM10 juta yang katanya melibatkan pemimpin MCA. Di sana juga ada kes kematian misteri seorang anak muda bernama Teoh Beng Hock sewaktu berada di dalam siasatan (custody) SPRM. Di sana juga ada kes kematian Kugan sewaktu berada di dalam tahanan polis. Dengan insiden stadium runtuh dan gelanggang akuatik yang tidak selamat di Terengganu, keretakan yang berlaku di lebuh raya MRR2 serta LDP dan skandal di PKFZ Pelabuhan Klang yang bernilai berbilion ringgit, ramai pemimpin Umno yang kena gantung dan disabitkan kesalahan mengamalkan politik wang termasuklah Ketua Menteri Melaka yang masih ada sekarang, buruknya layanan ke atas rakyat yang berhimpun secara aman untuk mengangkat nota bantahan ISA kepada DYMM Yang Dipertuan Agung, cederanya Sdr. Wong dan Gobalakrishnan di tangan SPRM dan Polis – pengamal undang-undang, para pencinta demokrasi dan pejuang hak asasi tidak mempunyai lain-lain harapan pemulihan untuk negara kita. Apa yang ada hanya satu sahaja iaitu mengekalkan kerusi yang sudah dikuasai oleh PR dan dapatkan sebanyak mungkin kerusi-kerusi tambahan dari Umno/BN jika berlaku lagi pilihan raya kecil. Ini adalah langkah persiapan untuk mengambil alih kerusi, kemudi di Putrajaya tidak lama lagi. Hanya melalui cara ini sahaja Malaysia akan memperkukuhkan sistem dua parti yang boleh menyemak Institusi Kehakiman, pelaksanaan “rule of law” dan perjalanan demokrasi. Melalui laluan baru inilah, Malaysia akan menjalani proses tajdid, transformasi dan reformasinya yang sebenar. InsyaAllah, ini akan berlaku tidak lama lagi.

Melihatkan trend sokongan non-muslim kepada calon Parti Islam SeMalaysia dan PR, khususnya di Parlimen Permatang Pauh yang telah memenangkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan di Parlimen Bukit Gantang yang telah memenangkan Dato’ Seri Nizar Jamaludin baru empat lima bulan yang lalu, saya cukup mempunyai keyakinan. Mari kita sama-sama perbesarkan majoriti kita di DUN N11 ini agar menjadi kekal, tidak kurang dari 5,000 undi, sekurang-kurangnya untuk ujian pada 25 Ogos 2009. Tinggalkan Umno dengan syurga politik wangnya. Mari kita terus istiqamah untuk tetap berada di tengah-tengah gelora kesedaran rakyat demi menafikan Umno/BN yang sudah laih dan kehilangan stamina mulai sekarang.

Jangan tertipu lagi untuk percayakan slogan-slogan baru yang dikitar semula. Dulu Islam Hadhari. Kini One Malaysia pula. Esok entah apa pulalah. Umno ni nak jadi apa, entahlah. Nak kata udang pun tidak. Ikan pun bukan. Ingatlah pesan pepatah Melayu: Jika sudah kepalanya ular, mustahil ekornya belut.

Akhir kata, gunakanlah kesempatan membuang undi pada kali ini dengan penuh cermat. Walaupun kita berpuasa dan kemungkinan kita boleh jadi letih tetapi tidakkah Peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadhan itu pernah membawa kemenangan yang besar? Tiada perbuatan yang lebih mulia pada hari mengundi di bulan Ramadhan pada kali ini melainkan memangkah parti yang boleh membela maaruf dan kebaikan; sekaligus menolak kemungkaran, rasuah, kezaliman dan ketidak adilan. Undilah Sdr. Saleh bin Man. Undilah PAS dan PR demi keadilan Islam.

“Ya Allah, saksikanlah. Hamba sesungguhnya sudah menyampaikan.”



NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Mursyidul Am PAS
Merangkap Menteri Besar Kelantan
Tanggal: 1 Ramadhan 1430 / 22 Ogos 2009

http://img.nattawat.org/images/1i4aii9s4w37xon1gdpz.jpg

Mengapa SPRM takut untuk siasat Datuk Seri Musa Aman

musa aman

BETULKAH MUSA AMAN KALIS SIASATAN SPRM?

RAKYAT Sabah terasa sangat hairan kerana para pemimpin UMNO Sabah mempunyai rumah ala-mansion atau istana, namun tidak pun disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ?

Yang paling menghairankan dari mana mereka mendapat duit sebanyak itu untuk membina rumah ala mansion itu sedangkan gaji mereka hanya mampu untuk membeli rumah yang bernilai RM1 atau RM2 juta melalui pinjaman bank. Rumah yang mereka miliki bernilai lebih RM20 hingga RM100 juta!

Datuk Seri Musa Aman dikhabarkan mempunyai beberapa buah mansion walaupun menggunakan nama anak, isteri, menantu atau proksi. Begitu juga dengan Datuk Seri Yahya Hussin yang turut memiliki koleksi beberapa buah rumah bungalow dan mansion; yang diikuti oleh jemaah menteri kabinet, namun oleh kerana prinsip ‘NO CASE TO ANSWER’ maka mereka kalis siasatan SPRM.

Berbanding rakyat biasa yang berhempas pulas memburu hidup di penjuru nasib yang sekadar memiliki lesen PKK kelas F dan memiliki rumah pangsa atau dua buah proton saga kelabu, pasti akan diburu SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri bagaikan pesalah yang mencuri berjuta ringgit harta kerajaan.

Bukan sahaja Ketua Menteri yang kalis siasatan, malah Jemaah Menteri Sabah juga kalis dari sebarang pertuduhan rasuah dan tidak pernah disiasat, melainkan melalui khabar angin sahaja. Kalaupun Musa Aman didatangi Pegawai Siasatan SPRM, hanya sekadar untuk berbasa basi yang dibalas dengan pengurniaan Pingat Kebesaran Negeri termasuk Datuk Seri Panglima ataupun Datuk ataupun ASDK yang lebih kurang bermaksud ‘Angkat Semua Dua Kaki’ atau remaja kita menggelarkannya sebagai ‘Aku Suka Dengan Kamu’.

Untuk meyakinkan orang ramai, satu reformasi harus dilakukan iaitu sistem penyiasatan SPRM terhadap pemimpin politik UMNO dan pembangkang, mestilahlah dibuat dari satu badan berkecuali, bukan terdiri daripada kaki tangan Kerajaan yang boleh dipengaruhi dari pertalian persahabatan dan sama-sama cari makan dengan Kerajaan “you scratch my back, I punch your ribs”. Tutup kes, maka jadilah “No case to answer” walaupun daripada 81 Dalil yang difailkan Datuk Dr Jeffrey Kitingan terhadap Musa Aman, sekurang-kurangnya 10 Dalil mempunyai asas yang kukuh untuk pendakwaan.

Ironinya, Menteri Besar Selangor, Kerajaan Pakatan Rakyat yang menyedekahkan lembu korban pula akan dituduh rasuah, sehingga Tan Sri Khalid mahu mengganti kereta lama pun dituduh menyalahguna kuasa, namun SPRM di Sabah hanya membisu seribu bahasa apabila melihat kapal di laut, pesawat di udara dan Gedung harta di Darat serta Kayu balak di rimba semuanya milik Musa Aman dan kroni, sedangkan gajinya sekadar mampu beristeri dua dan memiliki harta ala kadar yang setaraf dengan Ninja King atau Kong.

Kewibawaan SPRM sebagai sebuah badan berkecuali kini sangat diragui oleh rakyat Malaysia, begitu juga dengan polis yang tidak lagi diyakini rakyat, kerana mereka tidak menjalankan penyiasatan ke atas semua harta Datuk Seri Musa Aman di Singapura, Hong Kong, Australia dan sebagainya kerana sebelum menjadi Ketua menteri Sabah, beliau telah mengisytiharkan diri bernilai RM300 Juta atau ‘Three Hundred Million Dollar Man’ lebih hebat daripada siri TV, ‘Six Million Dollar Man’.

Namun menurut sumber yang dipercayai, saya bersyukur kerana Musa Aman adalah salah seorang yang terkaya di Asia dengan asset luar negara bernilai USD 16 Billion, namun tidak diisytiharkan. Hanya Allah dan orang tertentu sahaja yang tahu! Kalau tidak percaya tanya Richard Barnes atau Michael Chia. Mungkin Daud Tampokong pun tahu tetapi buat-buat tidak tahu.

Bukankah lebih baik jika Kerajaan Malaysia melantik Badan Bebas atau pihak berkecuali untuk menyiasat mereka yang berpengaruh seperti ‘Raja Bersiong’ Musa Aman; terutama tokoh yang dipercayai masyarakat antaranya, Tan Sri Lee Lam Thye dan Professor Khoo Kay Kim untuk mengulangi penyiasatan yang dibuat oleh kakitangan Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang selama ini amat diragui ketelusannya?

Kes paling menjolok mata ialah pemilikan bangunan Wisma Bandaraya oleh Musa Aman dan Isterinya yang disewakan oleh Kementerian Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat Sabah serta subsidiarinya; sedangkan pada dasarnya Musa menyedarinya tugasnya sebagai Menteri Kewangan ialah memastikan semua sewa bangunan kerajaan negeri dibayar oleh Kementerian Kewangan dan wang tersebut masuk ke koceknya!.

Ramai rakyat mendesak agar Panel Khas yang dilantik turut menyiasat jasa-jasa Datuk Seri Ahmad Said Hamdan kepada Negeri Sabah sehingga dikurniai pingat Seri Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (S.P.D.K) tidak lama setelah beliau selesai membuat penyiasatan ke atas Datuk Seri Musa Aman yang bukan sahaja didapati BERSIH daripada sebarang Skandal rasuah, malah berbau bersih daripada sebarang skandal lain di Sabah.

Kemungkinan keberangkalian kalau Musa Aman menyedekahkan sejuta lembu menggunakan wang kerajaan negeri untuk dikorbankan sekalipun beliau akan tetap kekal bersih, kelihatan bersih dan berbau bersih. Itulah kehebatan Musa Aman yang tidak dimiliki oleh Semua Menteri Besar atau Ketua Menteri di Malaysia. Wallahualam!

Kedah 500 hari..!!

[2009-08-23_000329.jpg]
[2009-08-23_000606.jpg]
[2009-08-23_000424.jpg]
[2009-08-23_000521.jpg]
[2009-08-23_000443.jpg]
[2009-08-23_000403.jpg]

SELOKA PERMATANG PASIR

Pilihanraya kecil Permatang Pasir
PRK ketiga di Permatang Pauh
BN pening macam orang buasir
Kalah dekat menang jauh

Datuk Hamdan banyak berjasa
Mesra rakyat dan mudah berkira
Perginya beliau ditangisi semua
Doakan kesejahteraan beliau di sana

Calon PAS segak bergaya
Disegani kawan dan juga lawan
Semangat tinggi kental orangnya
Itulah Ustaz Salleh Man

Calon BN kempen sakan
Ke sana ke mari sepanjang jalan
Lesen guaman telah dibatalkan
Angkara menipu dia punya pelanggan

BN pening untuk pertahankan
Sifat buruk jadi kebencian
BN tersilap buat pilihan
25 Ogos rakyat tentukan

Pakatan Rakyat semakin mantap
Permatang Pasir tambah eratkan
Pakatan Rakyat berani berentap
Rekod baik akan dipertahan

Hari penamaan calon sungguh meriah
Penyokong PR ramai menderu
Awal-awal BN dah kalah
Penyokong BN lemah dan dan lesu

Rakyat bijak rakyat cerdik
Sukar ditipu macam dahulu
BN marah BN herdik
Rakyat senyum 25 Ogos baru tahu

PAS, DAP dan Keadilan
Berjuang bersama setia kawan
BN berpecah tidak sehaluan
Macam-macam isu perlu jawapan

Salleh Man yakin menang
Sokongan rakyat jelas kelihatan
Beliau bersyukur sentiasa tenang
Tidak melenting tidak meroyan

Rohaizat pening cari jawapan
Rakan sekerja dikambing hitamkan
Yusri tampil maruah dipertahankan
Ke sana ke mari beri penerangan

Jalil dan Cikgu Zaidi masam muka
Tak jadi calon masam mencuka
Muhyiddin dan Zahid pening kepala
Silap pilih calon inilah bahana

Satu Malaysia sudah tahu
Calon BN seorang bermasalah
Ku Li hairan tergaru-garu
Alamat BN hendak kalah

Permatang Pasir Permatang Pauh
Seberang Jaya dan juga Penanti
Kami petugas datang dari jauh
Hendak 'menguburkan' BN yang mati

Nampak jelas BN tak semangat
Banyak Pos ditutup rapat
Ramai pengundi rasa meluat
Janji lama masih diingat

25 Ogos hari penentuan
17 Ogos hari penamaan
Kepada rakyat besarlah harapan
Jangan lupa undi Pakatan

Nukilan Mutaligat
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .