KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan boleh dianggap tidak mematuhi ketuanya jika beliau tidak bertindak ke atas pihak ketiga yang campur tangan dalam urusan polis, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (PIC).
"Oleh kerana Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Datuk Seri Hishammuddin Hussein) berkata, adalah menjadi tanggungjawab polis untuk bertindak ke atas pihak ketiga yang campur tangan dalam urusan polis, Musa boleh dianggap ingkar kepada ketuanya jika beliau tidak menyegerakan tindakan tersebut," katanya.
Musa sebelum itu mendedahkan ada pihak ketiga yang campur tangan dalam urusan polis dan memberi tekanan kepada para pegawainya.
Menurut beliau, hanya Ketua Polis Negara yang boleh memberi arahan berdasarkan Seksyen 4 Akta Polis 1957.
Salahuddin juga mempersoalkan sikap Hishammuddin yang seolah-olah mengambil sikap lepas tangan terhadap apa yang dibangkitkan oleh Musa itu.
"Selaku menteri, beliau sepatutnya mengambil tanggungjawab bersama untuk menyiasat dan bertindak ke atas campur tangan pihak ketiga yang dibangkitkan oleh ketua polis negara sendiri.
"Bukannya membuat kenyataan yang seolah-olah memperkecilkan betapa seriusnya apa yang dibangkitkan oleh Ketua Polis Negara itu apabila mendakwa beliau belum lagi mendengar aduan tentang pihak ketiga yang berkuasa mempengaruhi polis.
"Ketua Polis Negara telah membangkitkannya dalam media dan heboh di seluruh negara, adakah wajar bagi Hishammuddin untuk membuat dakwaan bahawa tidak pernah mendengar aduan?" kata Ahli Parlimen Kerian itu sambil tidak menolak kemungkinan pihak ketiga yang berkepentingan politiklah yang memaksa polis menyerang perhimpunan-perhimpunan demokratik yang dijalankan oleh Pakatan Rakyat (PR).
Salahuddin juga berharap Menteri Dalam Negeri jujur apabila mendakwa tidak ada pergeseran antara Kementerian Dalam Negeri dan pasukan polis.
"Jika Menteri Dalam Negeri berkrisis dengan Ketua Polis Negara, yang menanggung padahnya adalah rakyat," katanya.
Hishamuddin membuat dakwaan itu ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat daripada Anthony Loke (DAP- Rasah) yang meminta penjelasan mengapa Ketua Polis Negara dan beliau memilih meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing di media daripada berkomunikasi sesama mereka.
Wujud spekulasi bahawa hubungan kedua-dua pihak adalah tegang berikutan pendedahan Musa bahawa ada campurtangan pihak ketiga dalam pasukan polis.
Harakah Daily